Thursday, May 19, 2011

Perkasa Minda Hati Budi - 3

 PENCIPTAAN MANUSIA

1. Allah Yang Maha Pencipta

Penciptaan langit, bumi dan segala isi di antara keduanya adalah di bawah kekuasaan Allah sebagaimana suatu firman-Nya bermaksud: "Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Ingatlah) tidaklah kami menciptakan langit dan bumi serta yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar dan dengan ada masa perhinggaannya yang tertentu padanya dijalankan pembalasan, dan orang-orang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya". (Al-Ahqaaf: 2 dan 3).

2. Tujuan Allah menciptakan jin dan manusia
 
Tujuan Allah meciptakan jin dan manusia adalah semata-mata untuk beribadat kepadanya. Firman-Nya bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Adz-Dzaariyaat:56).
Sesungguhnya inilah rahsia Allah menciptakan semua manusia dan apakah kita telah benar-benar mengetahui, memahami dan taat kepada semua perintah dan meninggalkan semua larangan-nya sebagai HAMBA Allah kerana dalam keadaan apa sekalipun kita datang dari-Nya dan pasti  tetap kembali kepada-Nya.

3. Nabi Adam ialah manusia pertama ciptaan Allah

Allah menyatakan perkara ini dengan firman-Nya kepada malaikat seperti dalam (surah Al-Bakarah: 30) "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat bermaksud:  "Sesungguhnya aku hendak menciptakan khalifah di muka bumi".

4. Allah ciptakan Nabi Adam  dari tanah.

Pada sisi Allah kejadian Nabi Isa adalah sama dengan kejadian Nabi Adam seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya perbandingan  (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya "Jadilah engkau" maka menjadilah ia". (A-Li' Imran:59)

5. Allah menciptakan sesuatu dengan sebaik-baiknya dengan sempurna. 
Perkara ini diterangkan dalam surah (Al-Sajdah:7, 8 dan 9) bermaksud: "Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. Yang menciptakan sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakannya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu, dari jenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." 
6. Kejadian manusia ialah suatu rahsia Allah
Allah menjelaskan lagi proses kejadian manusia dengan lebih dalam seperti dalam surah (Al- Mukiminun: 12,13 dan 14) dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal dari tanah). Kemudian kami jadikan dari pati itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku: Lalu kami ciptakan darah beku menjadi seketul daging; kemudian kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."
7. Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi.
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain  beberapa darjat, kerana ia hendak menguji kamu kepada apa yang telah dikurniakannya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu adalah amatlah cepat azab seksanya dan sesungguhnya  Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Anaam 165)
8. Manusia akan mati dan dibangkitkan semula pada hari kiamat
Firman Allah bermaksud "Kemudian sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan semula pada hari kiamat". (Al-Mukminun: 15 dan 16)
Sekian, bersamalah kita bersabar, bersyukur dan memohon pertolongan Allah SWT. Wassalam!

 



                                                                                                       



Wednesday, May 18, 2011

SEMBANG-SEMBANG PENDIDIKAN SIRI 3

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH 2011-2015
Terlebih dahulu saya ingin ucapkan Selamat Menyambut Hari Guru Tahun 2011 dan kirimkan anda – Cikgu Cintaku Untukmu.
Apakah kita sebagai guru atau kaum pendidik sedar akan suatu hakikat bahawa proses pendidikan yang sedang kita kerjakan ini perlu diubah atau sama-sama kita megubahnya demi menjayakan visi dan misi negara?  
Dalam tempoh lebih 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan masyarakat dan negara ini melalui kemajuan ekonomi dan sosial yang begitu pantas. Bermula dengan pembangunan yang begitu terhad sejak tahun 1957 yang berorientasikan eksport komoditi, pembangunan pertanian dan luar bandar, negara mengorak langkah memasuki era perindustrian dan pembangunan ekonomi moden di bawah Dasar Ekonami Baru 1970-1990. Terus digerakkan oleh Wawasan 2020 dengan pembangunan yang lebih gah dan menjadi mercutanda Negara.
Perubahan teraju kepimpinan Negara selanjutnya memperkenalkan konsep Islam Hidari dengan beberapa perubahan seperti Integriti Nasional dan konsep pembangunan modal insan. Dalam tempoh yang singkat teraju kepimpinan Negara  bertukar lagi dan kini kita memasuki era baru dengan Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015.
Apakah makna semua perubahan ini kepada sektor-sektor kerajaan, swasta dan masyarakat umum seluruhnya? Dinyatakan bahawa ini merupakan suatu idea dan agenda pembangunan yang menyeluruh dan komprehensif.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh ini terdapat  idea utama iaitu MEMBANGUN DAN MENGEKALKAN MODAL INSAN BERTARAF DUNIA. Keseluruhannya ada tiga strategi besar yang digunakan untuk merealisasikan idea utama memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang iaitu:
1. Merombak sistem pendidikan untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan  signifikan.
2. Meningkatkan kemahiran rakyat untuk meluaskan kebolehpasaran.
3. Menyusun semula pekerjaan untuk menjadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi (NBT)
Usaha=usaha untuk menjadikan pendidikan di Negara ini sampai ketaraf dunia mula jelas kelihatan dengan pelbagai rancangan dan program di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Seluruh jentera kerajaan terutama sekali kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan di gerakkan kearah mencapai matlamat pembangunan modal insan dan mengekalkannya dengan bertaraf dunia.
Jika kita memilih pendekatan futuristik, maka kita harus bermula dengan menilai apa sahaja kejayaan dan kelemahan masa lampau dalam lebih lima dekad lalu untuk menjadi asas kepada kejayaan yang lebih hebat dan terserlah untuk masa hadapan. Pemikiran dan hati kita mestilah mampu melihat dan menjangkakan masa hadapan. Salah satu makna sejarah kepada hidup kita ialah belajar dan mengambil iktibar daripadanya.
Kita perlu menilai secara jujur dengan sikap, minda dan hati yang lebih positif atas hasrat melakukan yang lebih  baik atau terbaik. Bukan memasukkan sentimen dan keutamaan sesuatu pihak.
Ada banyak istilah dan konsep yang disarankan dan pastinya saling berpautan antara satu dengan lain. Kita pasti telah bertemu dan dipertemukan dengan istilah –istilah popular seperti mindset, blue ocean strategy, kritikal thinking, pengurusan kualiti, perancangan dan pengurusan strategik, transformasi, NKRA dll.
 Pertama, kita terlebih dahulu perlu tahu dan faham apakah yang perlu dilakukan terutama sekali yang besangkut paut dengan perkembangan dan perubahan baru dalam aspek-aspek kurikulum, pegagogi, penilaian, teknologi ICT dan khidmat sokongan. Misalnya perkembangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pra sekolah dan rombakan KBSR. Sepanjang masa kita perlu berada dalam arus perdana perubahan ini, bukan hanyut ketepi - dipinggir dan meminggirkan diri.
Kedua, kita harus sedar apakah perubahan sikap, minda dan hati yang perlu berlaku pada diri sendiri sebagai guru atau pendidik yang ingin terus berjaya dan mencipta kejayaan bagi setiap murid yang kita sayangi. Sebenarnya kita bukanlah hanya seorang penyampai ilmu pengetahuan dan melatih kemahiran-kemahiran, tetapi yang lebih besar ertinya ialah kita juga mendidik murid dan pelajar untuk memperkasakan minda, hati dan budinya. Pernahkah kita bayangi perasaan hati murid dan pelajar kita sebagai kita sendiri semasa bergelar seorang murid dan pelajar di suatu ketika dulu?
Kita lanjutkan bicara ini dalam siri keempat nanti. INSYALLAH!

Monday, May 16, 2011

WASIAT- SYAITAN SESATKAN MANUSIA

CARA SYAITAN MENYESATKAN MANUSIA (Imam Al-Ghazali)

"Mengapa syaitan itu harus kita tawan? Sebab Alah sendiri telah menerangkan dalam Al-Quran bahawa dia adalah satu-satunya musuh manusia dan sekali-kali jangan dijadikan kawan tetapi jadikan ia lawan, dan sesungguhnya syaitan itu tak kenal putus asa dalam usaha untuk menyesatkan manusia dengan 1001 cara. Adapun cara syaitan berusaha menyesatkan manusia dan mengagalkan manusia dari berbuat taat kepada Allah ada tujuh macam;
1. Ia mencegah manusia memperbuat ibadah.
2.Apabila manusia dapar melintasi, ia berusaha menanam keraguan.
3. Bila terjadi, dua boleh dilaksanakan, syaitan berusaha agar ibadah tersebut dilakukan dengan cepat.
4.Kalau manusia dapat mengatasi kejebakan syaitan (seperti di atas) ia membiarkan penyempurnaan ibadah manusia, namun ditanamkannya sifat riya'.
5. Jika syaitan tak berhasil, mulailah diseludupkan dalam hati manusia sikap ujub (menganggap ibadat itu semata dari dirinya sendiri).
6. Apabila pintu ujub tertutup, maka ia bukakan pintu ibadah pada khalayak ramai sehingga mahu tidak mau timbul juga riya'.
7. Apabila manusia tidak mengikuti kehendaknya, maka syaitan berusaha membisikkan bahawa ia termasuk orang-orang yang berbahagia, dan juga tidak ada gunanya dan tidak ada pengaruhnya kalau Allah telah metakdirkan ia termasuk orang yang celaka. Maka bila manusia dapat mengatasinya, barula ia selamat dari godaan dan bujukan.

Keingkaran Iblis dan Permusuhan dengan Manusia

Keingkaran iblis (bapak segala syaitan) terhadap perintah Allah telah  bermula dengan kedurhakaan iblis sujud kepada Adam sedangkan semua malaikat berbuat demikian.  Alasan iblis ialah bahawa ia yang dijadikan dari api adalah lebih baik daripada Adam yang dijadikan dari tanah. Selepas itu iblis telah menghasut Nabi Adam bersama Hawa untuk mendekati sebuah pohon dalam syurga dan memperdayakan kedua-dua suami isteri ini memakan buah dari pohon itu. Allah menjadi murka dan akhirnya Adam, Hawa dan Iblis di perintah turun ke bumi dengan Firmannya "Turunlah kamu semuanya dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh kepada setengah yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi dan di beri kesenangan hingga kesuatu ketika (mati)". (Al-A'raaf; 24).

Semasa iblis menerima perintah Allah mengusirnya dari syurga iblis telah memohon kepada Allah untuk menyesatkan manusia dan Allah telah mengizinkan permohonan Iblis ini hinggalah kehari kiamat. Iblis pula berkata "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)  menyebabkan daku tersesat (maka) dengan sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanmu yang lurus' dan "Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (Al-A'raaf: 16 dan 17) Seluruh rentetan peristiwa ini akan dapat anda semua ikuti selengkapnya dalam surah Al-A'raaf dari ayat 11 hingga Ayat 25).





Saturday, May 14, 2011

WASIAT - CINTA SEJATI

APAKAH CINTA SEJATI ITU? (Al-Harits bin Al-Muhasibi)

"Apakah cinta sejati itu? CINTA kerana IMAM. Allah telah berfirman tentang cinta kerana iman. "DAN MEREKA YANG BERIMAN CINTA SEKALI KEPADA ALLAH' (QS 2:165)". Nur kerinduan (Syauq) adalah  nur mahabah; kesemarakannya memancarkan kemahacintaan (widad). Nur kemahacintaan ini menggejolokkan kerinduan hati hambanya, maka berkobarlah relung-relung hatinya, hingga dirinya tercerahkan olehnya dan pelita itu takkan padam kecuali bila amalan-amalannya dikaitkan dengan kepuasdirian. Kerana jika dengan amalan-amalan orang merasa terlepas dari kedengkian musuh (syaithan), maka akan dipamerkannyalah amalan-amalannya itu tanpa sedikitpun merasa khawatir akan tercabut (dari rahmat Allah); maka bersemayamlah ketakaburan di dalam kalbunya; jiwanya pongah; dan murkalah Allah kepadanya. Wajarlah orang yang dikaruniakan oleh Allah jaminan Cinta-Nya, maka akan diserahkannyalah kendali-kendali jiwanya demi kepuasan diri. Lenyapnya (Rahmat Allah) akan mendorongnya dengan cepat dalam kebinasaan total.

Suatu hari seorang salihah berkata "Ah! sekiranya Allah melimpahkan kepada mereka, yang  mendambakan perjumpaan dengan-Nya, suatu keadaan (hal) dan bila  (hal) ini tercabut dari mereka, mereka akan terjuah dari kebahagian abadi".

Dia ditanya, bagaimana kira-kira hal itu?  "Mengapa semua kebajikan mereka sebagai tak berarti, dan memikirkan tentang kelestarian hal di dalam hati mereka agar mereka bisa menjadi penerima Karunia-karunia (Ilahi)" Jawabnya. 

Seorang para salih ditanya, "Kisahkanlah kepada kami kerinduan Anda akan Tuhan, bagaimana hal itu tertanam di dalam kalbu Anda?"  "Pantaskah hal semacam itu ditanyakan kepada orang sepertiku? Tiada yang dapat tertanam di dalam kalbuku selain kehadiran jiwa. Dan bila jiwa hadir dan kalbu menikmati buah keakraban (dengan Tuhan), maka kenikmatannya segera terganggu dan berubah menjadi kesedihan" Jawabnya."

Friday, May 13, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU TAHUN 2014

Cikgu –  sayangku untukmu


Gikgu…. kini di manakah kau berada
pastinya bersama anak didik sayangmu
di kotaraya metropolitan
bersama belenggu hiruk pikuknya…. atau
di desa damai indah permai
bersama bayu dan bumi terbentang hijau…. atau
di pulau yang  gelombangnya sesekali membadai
bersama pantai dan teluk bak mutiara…. atau
jauh di sana……di balik kesibukan dan kegawatan
di lurah dan gunung  dibalut rimba belantara
bersama  dinginnya kabus pagi menusuk rasa

Semua itu punya seribu erti dan makna
pada anak didik tersayang lagi menyangi
wahai Cikgu…. engkau adalah segalanya
Kau tanam semangat waja dalam kalbu
Kau pupuk minda cahaya ilmu 
Kau perkasakan hati suci murni
Kau bebaskan jiwa cari damai
Kau bina manusia jadi ternama

Aku terasa dan merasai…. semuanya
kulihat alam sejak sekecilnya
kukenal diri bila remaja
kucari erti bila dewasa
kuserah diri  bila  dah tua
Cikgu ….kini segala jasa baktimu
bertunjang dalam lubuk jiwa
di seluruh pelusuk dunia
hari ini ingin sekali aku…
hamparkan permaidani jingga
sambil menjabat tangan saktimu
ingin sekali aku….
mendengar lagi bual bicaramu
bersulam nasihat nyalakan semangat
ingin sekali aku…
membalas budi jasamu

Kukalungkan mahkota bertatahkan berlian
bersama selendang sutera pusaka bonda
kusarungkan tanjak pahlawan terbilang
besama keris satria Megat Panji Alam

Sayangnya!
pada saat detik gemilang ini
aku tak punya semua itu
yang aku ada hanyalah
selembar warkah ungu
sekuntum mawar merah
segumpal getaran jiwa
untukku balas budi jasamu yang mulia

Cikgu… terimalah seadanya
sebuah memori cinta dariku
hanyalah…. untukmu.

Kelana Putra,
Dungun, Terengganu
14 Mei 2011
10 Jamadil Akhir 1432.


TITSAN TINTA - SIRI 14


WAHAI PARA HAMBAKU
Muslim meriwayatkan daripada Sa’id bin Abdul Aziz, daripada Rabi’ah bin Yazid daripada Abu Idris al-Khaulani , daripada Abu Zar r.a., daripada Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Allah SWT, Dia berfirman yang bermaksud:
“Wahai para hamba-Ku, sesungguhnya aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku jadikan kezaliman sebagai sesuatu yang aku haramkan di antara kamu; Oleh itu, janganlah kamu saling menzalimi.
Wahai para hamba-Ku, semua orang daripada kamu adalah tersesat, melainkan orang yang Aku beri petunjuk. Oleh itu, mintalah petunjuk kepada-Ku, nescaya kamu akan Kuberikan petunjuk.
Wahai para hamba-Ku, semua orang daripada kamu adalah lapar, melainkan orang yang Aku beri makanan. Oleh itu mintlah makanan kepada-Ku, nescaya kamu Kuberi makanan.
Wahai para hamba-Ku, semua orang daripada kamu adalah telanjang, melainkan orang yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mintalah pakaian kepada-Ku, nescaya kamu Kuberi pakaian.
Wahai para hamba-Ku, sesungguhnya kamu berbuat dosa pada malam hari dan siang hari, sementara aku mengampunkan semua dosa kamu. Oleh itu mohonlah ampun kepada-Ku, nescaya Kuampuni kamu.
Wahai para hamba-Ku, sesungguhnya janganlah sekali-kali kamu melakukan satu kemudaratan yang dapat menimbulkan mudarat bagi-Ku. Sekali-kali kamu juga tidak akan mampu melakukan sesuatu kemanfaatan yang dapat menimbulkan manfaat bagi-Ku
Wahai para hamba-Ku, sekiranya kamu yang terdahulu dan yang terakhir daripada manusia dan jin semuanya memiliki (hati sebagaimana) hati orang yang paling bertakwa, maka hal itu tidak akan menambah (keagungan) sedikitpun di dalam kerajaan-Ku.
Wahai para hamba-Ku, jikalau kamu yang terdahulu atau yang terakhir dari manusia dan jin semuanya berada di suatu tanah lapang, kemudian memohon kepada-Ku, lalu Kuberikan kepada setiap pemohan sesuai dengan permohonannya, maka hal itu tidak akan  mengurang (sedikitpun) kekayaan yang ada pada-Ku, melainkan seperti halnya air yang melekat di sebiji jarum jika jarum tersebut dicelupkan ke dalam lautan (lalu diangkat).
Wahai para hamba-Ku, sesungguhnya amalan kamu itulah yang akan Kuhisab, kemudian Aku memberi balasannya secara sempurna. Maka sesiapa mendapat balasan yang baik, hendaklah ia memuji Allah; dan sesiapa mendapat balasan yang buruk, maka janganlah sekali-kali mencela, melainkan terhadap dirinya sendiri.
(Riwayat Muslim no 2577: Petikan daripada Kitab berjudul Ringkasan Riyadhus Solihin susunan Imam Nawawi) 
Demikianlah Firman Allah yang telah diterima oleh Baginda Rasulullah SAW dan diriwayatkan oleh para sahabat lebih 1,400 tahun yang lalu. Semoga ayat-ayat Allah ini dapat memberi petunjuk kepada kita sebagai HAMBA ALLAH.  Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya jualah kita kembali.
Hidup di dunia ini tak ubah bak permainan penuh dengan kepalsuan, kepura-puraan dan tipu daya. Bagaimana kita hendak berhadapan dengan pelbagai ancaman berupa nafsu ammarah diri sendiri,  kecetekan ilmu, kekeruhan hati, kegelisahan jiwa, godaaan syaitan dan pengaruh keseronokan dunia. Apakah dan manakah petunjuk sebenarnya yang boleh membawa kita melalui  jalan yang lurus menuju ke pangkuan Allah Taala. Hidup di dunia ini umpama sedetik masa berbanding dengan alam akhirat yang kekal abadi. Supaya hidup di dunia yang hanya sekali sahaja ini dapat kita guna dan manfaatkan untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. 
Saya tutup bingkisan kali ini dengan satu firman Allah bermaksud: " “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (degan mematuhi perintahNya dan meninggalkan larangan- Nya); Dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan” (Al-Maa’idah: 35)
Sekian salam sejahtera, Was'salam!

Friday, May 6, 2011

WASIAT

KEMESRAAN DENGAN TUHAN (Ahmad bin Isa Al-Kharraz)

"Ketahuilah bahawa, pencari hikmat sentiasa bertakwa kepada Allah, menjaga kalbu, tujuan, anggota tubuhnya dan menelaahnya. Dipusatkan tujuannya dan dikhawartirkannya bahawa yang ada padanya takkan membawanya kepada tujuan sejatinya, dan iapun takut kepada ketakpedulian, jangan-jangan gerakgeri lahirnya
boleh menyebabkan kekurangan ghairah dirinya. Maka dibebaskan dirinya dari hal itu, walau gerakgeri itu benar-benar dan patut: sebab hati penuh dengan keinginan mulia, maka dzikirnya kepada Allah akan baqa' dan menjauhi tujuan sejatinya. Maka bila dibaqakan zikrnya, serta merta fikirannyapun menjadi jernih, dan tertanamlah nur dalam kalbunya. Ia dekat kepada Allah, maka Allahpun menguasai kalbu dan tujuannya. Lalu ia berkata-kata dan bergeloralah kalbunya dengan zikrullah.

Kecintaan kepada Allahpun mengendaplah di dasar lubuk hatinya paling dalam, terhunjam kuat dalam benaknya, dan tak pernah ia melepaskannya. Maka jiwanya demikian gembira dengan percakapan lirih dengan Allah, pencarian nan gigih dan perbincangan mesra. Demikianlah keadaannya, baik dikala makan, minum, tidur, berjaga, maupun semua gerakgerinya: sebab manakala keakraban kepada Allah menguasai isi hati manusia, maka yang lain-lainya, baik lintasan-lintasan batiniah tujuan-tujuannya maupun gerakgeri lahiriahnya akan terkuasai pula. Lantas manusia itupun mengabadikannya, pergi atau datang, mengambil atau memberi. Maka beradalah dalam dirinya tujuan yang menguasai fikirannya, yakni kecintaan akan Allah dan keakraban dengan-Nya".

Thursday, May 5, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

BAGAIMANA MENGANALISIS DAN MEMECAHKAH
MASALAH SEDIH DI HATI?

Bahagian kedua buku berjudul Ke Arah Hidup Tenteram dan Bahagia, tulisan  Dale Carnegie ini mengandungi dua bab (bab 4 dan 5) yang menumpu kepada Teknik Asas Dalam Menganalisis Kesedihan Hati.

Bab 4 bertajuk "Bagaimana menganalisis dan memecahkan masalah sedih di hati". Mengetahui dan memahami punca sebenar yang menyebabkan kesedihan hati adalah amat peting supaya tindakan berikutnya yang bertujuan menghapuskan kesedikan hati dapat dirancang dan dilakukan dengan bekesan. Ada tiga langkah yang diperkenalkan iaitu:

1. Carilah dan kumpulkanlah seluruh masalah yang ada.
2. Buatlah analisis terhadap fakta-fakta tersebut.
3. Buatlah keputusan dan bertindaklah sesuai dengaan keputusan tersebuat.

Dalam langkah pertama kita perlu mencari dan mengumpulkan semua fakta yang ada. Tanpa fakta yang mencukupi kita tentu sukar untuk punca sebenar yang menyebabkan kesedihan hati yang sedang dialami. Mencari dan mengumpulkan semua fakta bagi masalah kesedihan yang sedang dialami menjadi begitu penting sebagai langkah awal ke arah penyelesiannya. Punca atau sebab sebenar yang menimbulakn kesedihan hati (berbentuk kerisauan, kebingungan, kebimbangan, kekecewaan, putus asa atau lain-lain) dapat dikenalpasti.

Pada peringkat kedau, semua maklumat dan fakta berkaitan masalah yang dikumpulkan itu perlu dianalisis secara terperinci bagi menentukan apakah punca sebenar kepada masalah yang dialami. Apa yang pentung ialah semua maklumat dan fakta yang diberikan itu mestilah tepat dan jujur. Jika terdapat  sebarang maklumat atau fakta yang ditinggalkan atau disembunyikan, maka analisis itu nanti tidak dapat menggambarkan punca atau sebab yang sebenarnya.

Ingin saya kemukakan satu analogi yang mudah. Katalah anda menghadapi masalah sakit kepala yang agak serius.  Apakah punca atau sebab sebenar kepada masalah tersebut? Secara teorinya mungkin ada pelbagai faktor/sebab yang menjadi punca atau sebabnya. Perkara ini dapat dipastikan setelah semua fakta dan maklumat berkaitan dengan diri anda dikumpulkan dan dianalisis. Daripada analisis itu nanti tentu anda dapat mencari punca atau sebab sebenar anda sakit kepala.  Ia boleh jadi berpunca daripada masalah anda tidak cukup tidur, tekanan pekerjaan, tidak cukup masa rehat, terdedah kepada panas matahari berlebihan, terlalu lama memandu, mengalami tekanan darah tinggi, terlalu memikirkan mengenai sesuatu atau lain-lain.

Pada peringkat ketiga. anda tentu dapat membuat keputusan mengenai apakah tindakan selanjutnya setelah punca atau sebab sebenar dipastikan. Pada fikiran anda apakah jalan penyelesaian yang terbaik? Di sini anda mungkin dapat menyenaraikan pelbagai cadangan yang mungkin dapat anda  lakukan. Pilihlah satu cadangan yang anda fikir paling objektif, tepat dan terbaik bagi  menyelesaikan punca atau sebab kepada kesedihan hati anda. Ini adalah peringkat di mana anda perlu bertindak dengan bijaksana.

Dalam kes sakit kepala misalnya anda mungkin mengambil satu atau lebih daripada satu tindakan berikt: Anda mungkin perlu tidur secukupnya, atau mengambil cuti rehat sehari dua, menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan keletihan memandu sendiri, meredakan teanan di tempat kerja, memakai pakaian yang sesuai/menutup kepala jika terpaksa bekerja dalam keadaan terdedah panas matahari, mengambil diet yang sesuai, memakan ubat atau berjumpa doktor bagi merawat tekanan darah tinggi.

Sebagai rumusannya cuba anda beri jawapan kepada soalan-soalan berikut: (Anda sendiri perlu menulis jawapannya)

1. Apakah yang sedang saya sedihkan atau risaukan?
2. Apa yang dapat saya lakukan terhadap masalah tersebut
3. Inilah tindakan yang dapat saya lakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
4. Bilakah tindakan-tindakan itu akan saya lakukan?

Sekian selamat mencuba. 



Wednesday, May 4, 2011

WASIAT

TUNDUKKAN NAFSUMU SEBELUM ENGKAU DITUNDUKANNYA  (Sheikh Abdul Kadir Jailani)

"Berpaling dari Allah SWT ketika turunnya hukum-hukumNya, bererti mati agama, binasanya tauhid, musnahnya keredhaan dan keikhlasan. Sedangkan hati orang mukmin tidak mengetahui, mengapa dan bagaimana hendak melayan nafsunya. Bahkan ia berkata: "Benar....! Semua nafsu itu mesti dilawan, ditentang dan dimusuhi."Oleh yang demikian barangsiapa yang ingin memperbaiki dirinya, maka hendaklah ia berlatih untuk memerangi nafsunya, sehingga dirinya bebas daripada cengkaman kejahatan dan pengaruh nafsu, kerana seluruh nafsu itu mengajak kepada kejahatan.

Apabila kamu mampu menggembleng dan menundukkan nafsumu, maka seluruh nafsu itu akan menjadi baik, yakni kebaikan yang berada dalam mkebaikan. Sehingga jadilah ia nengikut semua ketaatan dan meninggalkan semua kejahatan dan kedurhakaan. Dalam keadaan yang demikian, maka ducapkan baginya firman Allah yang bermaksud "Wahai jiwa yang tenang....! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan penuh redha dan diredhaiNya. Maka mesuklah kamu ke dalam golongan hambaKu dan masuklah ke dalam sorgaKu".

(Petikan sebahagian syarahan yang disampaikan oleh Al-Sayyid Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani di Madrasah al-Ma'murah, Adad pagi, 3 Syawal 545H)
Salam sejahtera, wassalam.

Monday, May 2, 2011

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!!

JIWA MERDEKA
(teristimewa untuk semua PATRIOT  bangsa)
Kau pertaruhkan jiwa raga
Kau redah belantara raksasa rimba
Kau rempuh gunung membelah awan
Kau terjah lembah bergaung jurang
Kau humbankan gelombang berbisa

Musuh durjana keliling kelalang
Mencari peluang merebut ruang
Dalam terang maupun gelita
Siang  malam mesti waspada
Berjuang terus berjuang

Tidak gentar tidak bimbang
Ilmu didada langkah pahlawan
Berkat doa dari yang kasih
Restu kasih dari  yang sayang
Degup cinta sabar setia

Hancurkan saja petualang bangsa
Kau terus mara….sedia…..serang!
Biar bumi disimbah darah
Jangan sekali mengaku kalah
Kemerdekaan dan kebebasan milik bangsa

Berpantang maut sebelum ajal
Bila ajal tinggalkan jasa
Kaulah patriot bangsa
Jarang dikenang ramai yang lupa
Darahmu bukanlah derma

Penebus maruah pendaulat bangsa
Kau taburkan jasa semangat wira
Kau serlahkan bakti seharum kasturi
Kau tumpahkan setia ke dada pertiwi
Kaulah patriot waja…. gugur jua akhirnya!

Bersemadi engkau di pusara ternama
Hormat dan tabik bersama bunga-bunga
Gilang gemilang hanyalah  tontonan
Tinggal abadi semangat menyala
Kau tetap hidup dalam jiwa merdeka
Merdeka!.... Merdeka!…..Merdeka!

Kelana Putera
Taman Bijaya Sura
Dungun, Terengganu DI
Selasa 3 Mei 2011
29 Jamadil Awal 1432

Sunday, May 1, 2011

WASIAT

MENGAPA DOA ITU TIDAK DIPERKENANKAN OLEH ALLAH

"Dan Tuhan kamu berfirman "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina." (Al-Mukmin: 60)

Pernah ditanyakan kepada Ibrahim bin Adham: "Bagaimana kami ini sudah berdoa, tetapi doa itu tidak diperkenankan bagi kami, padahal Allah Taala telah berfirman (maksudnya), "Berdoalah kepadaKu, nescaya Kuperkenankan bagimu."?

Ibrahim bin Adham menjawab: "Kerana hati kamu mati."

Beliau tanya lagi:"Apa saja yang menyebabkan kematian hati itu?"

Jawab beliau: "Ada lapan perkara yang menyebabkan kematian hati:

1. Anda sudah mengetahui hak Allah, tetapi tidak anda laksanakan.
2. Anda membaca Al-Quran, tetapi anda tidak mengamalkan ajaran-ajarannya.
3. Anda berkata: "Kami cintakan kepada Rasulullah SAW" tetapi tidak mengamalkan sunnahnya.
4. Ada berkata: "Kami takut mati", tetapi tidak mengadakan persiapan untuknya.
5. Allah SWT berfirman: "Seasungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu." (Al-Fatir: 6) Tetapi anda bersekutu dengannya untuk melakukan berbagai kemaksiatan.
6. Anda berkata: "Kami takut neraka", tetapi anda menganiaya diri sendiri dalam neraka.
7. Anda berkata: "Kami mahukan syurga", tetapi anda tidak mahu berbuat untuk mendapatkannya.
8. Apabila anda bangun dari tempat tidur anda, anda melemparkan cela anda sendiri di belakang punggung anda, lalu anda hamparkan cela orang lain di hadapan anda, lalu anda dimurka Tuhan Anda, maka bagaimanakah mungkin Tuhan memperkenankan doa anda"?