Tuesday, November 27, 2012

Getaran Jiwa - Aku dan Kau Milik Dia

AKU DAN KAU MILIK DIA


aku dan kau

memadu kasih sejati setia

kau turun dari alam tinggi

aku melata di pentas bumi

kaulah nyawa kaulah jiwa

bersatu kita jelajahi dunia

merebut masa beredar

bergelumang dosa pahala

redah dugaan pancaroba

ada menang ada kecundang



aku dan kau tak sekuat mana

masih goyah diancam dunia

mungkinkah dapat kiranya

kita perteguhkan jiwa raga

hadapi dugaan pancaroba

atau kita rebah terpesona



tiba saat sampai ketikanya

kau pasti kembali ke mahligai azali

tinggalkan aku di sini sepi sendiri

punah ranah hancur lumat


Nantinya kita

jumpa semula kali kedua

menurut atur janji-Nya

mengharap bahagia abadi

anugerah teristimewa

daripada Yang Maha Adil Bijaksana


Kelana Putra,                                    

Dungun 29 April 2011

25 Jamadil Awal 1432



RENUNGAN AL-QURAN 192

KECELAKAAN BESAR

12. (Jika ditanya); ke hari yang manakah (perkara-perkara yang besar) itu ditangguhkan?13. Jawabnya ke hari pemutusan hukum. 14. Dan apakah jalanya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pemutusan hukum itu? 15. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang telah dijanjkan oleh Rasulnya)! 16. Bukankah kami telah binasakan orang-orang dahulu (yang ingkar –derhaka, seperti kaum Nabi Nuh, ‘Aad dan Thamud)? 17. Dan kami akan iringi mereka dengan (membinasakan orang-orang yang ingkar-derhaka, dari) kaum-kaum yang datang kemudian. 18. Dan demikian cara Kami lalukan terhadap sesiapa yang berdosa. 19. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang Kami janjikan)! (AL-MURSALAAT:12-19)

Getaran Jiwa - Kemaruk

KEMARUK

Dahaga kemaruk minum
lapar kemaruk makan
mata kemaruk lihat dunia beraneka
telinga kemaruk dengar segala bunyi
lidah kemaruk kata-kata
miskin kemaruk seadanya
kaya kemaruk membolot sebanyaknya
kuasa kemaruk gunanya
dendam kemaruk balasnya
cinta kemaruk asmaradana
asyik kemaruk mahsyuknya
hidup kemaruk dunia
mati nak kemaruk apa?

Kelana Putra
Mahligai-Cinta                                                
Dungun, Terengganu
Rabu, 28 Nov 2012

 

RENUNGAN AL-QURAN 191

ORANG-ORANG YANG SESAT DAN YANG BEROLEH PETUNJUK

75. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang  tertentu, sehingga apabila melihat apa yang dijanjkan kepada mereka: samada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-peyokongnya”. 76. Dan Allah akan menambahai hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal yang baik yang kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya. (MARYAM; 75-76)

Monday, November 26, 2012

Getaran Jiwa- Mawar Putih | iluvislam.com discover the beauty of islam

Getaran Jiwa- Mawar Putih | iluvislam.com discover the beauty of islam

MUSUH IBLIS


KEKASIH IBLIS
1. Pemimpin yang zalim.
2. Orang yang sombong.
3. Orang kaya yang tak mensucikan hartanya.
4. Orang alim yang membenarkan pemimpin yang zalim.
5. Orang berniaga yang menipu.
6. Orang yang menahan keperluan manusia dan menjualnya dengan harga yang begitu tinggi.

7. Orang yang berzina.
8. Orang yang memakan riba.

9. Orang bakhil yang tidak peduli akan halal haram hartanya.
10.Orang yang terus menerus minum arak.

Sunday, November 25, 2012

TITISAN TINTA - HAIRAN

AKU HAIRAN MELIHAT....

1. org yg sudah tahu bahawa dia akan MATI, tapi masih KETAWA
2. org yg sudah tahu bahawa dunia akan BINASA, tapi masih MENCINTAINYA

3. org yg sudah tahu bahawa semua perkara terjadi menurut TAKDIR, tapi masih BERSEDIH
4. org yg sudah tahu di akhirat ada PERHITUNGAN, tapi masih sibuk MENGUMPULKAN HARTA

5. org yg sudah kenal dengan NERAKA, tapi masih berbuat DOSA
6. org yg sudah mengenal ALLAH, tapi masih mengingat YG LAINnya.

7. org yg sudah mengenal SYAITAN, tapi masih mau MENGIKUTnya.
(drp Usman r.a)

RENUNGAN AL-QURAN 190

NERAKA DIISI DENGAN JIN DAN MANUSIA

179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam  banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai. (AL-A’RAAF: 179)

Saturday, November 24, 2012

Getaran Jiwa - Benih cinta


Benih Cinta

 Apakah benar sesungguhnya
Engkau kurniakan
hati  jiwa  kuini

bercambah  benih-benih cinta
bersiram nur hidayah-Mu

berlapis-lapis dalam dadaku
tunduk taat setia cinta

Pada-Mu
Pesuruh-Mu

Kitab-Mu

Alam-Mu

Ketentuan-Mu

membesar segar bugar
melewati  usia

menjadi  pepohon
bertunjang keimanan

berdaun  keilmuan

berbunga ketaatan

berputik Ketaqwaan

            berbuah kebaktian

Ingin  aku petik semuanya
buah-buah  ranum

buat bekal  di sini
dinikmati  dikecapi

 Ingin  aku bawa bersama
ke sana nanti

Aku jadi tidak sunyi
bukan dalam sendu

mengigit hati

masih ada teman sejati
yang membuka khabar

yang memberi  bukti
yang menyaksi  diri

menghadap kehadrat-Mu
Ya Rab’bi  Ya Ilahi

 

Kelana Putra
Dungun, Terengganu DI
Isnin  21 Nov 2011
25 Dzulhi’jjah 1432

 

RENUNGAN AL-QURAN 188

KERJA SYAITAN

37. Dan sesungguhnya  Syaitan-syaitan itu tetap akan menghalangi mereka  dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. 38. Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman. (AZ-ZUKHRUF: 37-38)

RENUNGAN AL-QURAN 187

ADAM DAN HAWA DIHASUT SYAITAN
 
20. Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi Malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)’. 21. Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata); Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang member nasihat kepada kamu berdua”. 22. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulilah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.(AL-A’RAAF: 20-22)

Friday, November 23, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 185

DIBALAS AZAB NERAKA KERANA KUFUR INGKAR
 
70. Dan jauhkan diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia: dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah ia usahakan (dari perbuatan buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis , tebusan (nescaya) tebusan itu tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya) (AL-AN’AAM:70)

RENUNGAN AL-QURAN 184

APAKAH NEGERI AKHIRAT ITU LEBIH BAIK?

32. Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (AL-AN’AAM: 32)

Thursday, November 22, 2012

Getaran Jiwa - Apa lagi....

APA LAGI

 Wahai manusia..!
apa lagi mahumu
apakah belum cukup
apakah belum puas
diberikan segalanya
roh-jasad dan penghidupan
ayah bonda sanak saudara
sahabat handai kampung halaman

Pangkat dan gelaran berjela-jela
emas perak bertimbun-timbun
kapal  muatan redah samudera
gedung niaga di kotaraya
istana mahligai indah megah
jet supersonik berlegar di angkasaraya
perang nuklear pamer kuasa

Raja dan kuasa
memerintah dunia
ikut nafsu jadi haloba
tiada batas hilang sempadan
jangan sekali engkau lupa
dayamu tak semacam mana
ilmumu sejengkal cuma

Kita semua sungguhnya tidak mampu
ciptalah sehelai daun sebutir pasir
apa  lagi roh dan jasad
ayah bonda dan manusia
semunya milik Dia
di bawah perintah-Nya
Dialah Ya Rabbi.

 
Kelana Putra
Bandar Bukit Puchong
Selangor DE
7 Sept 2011
9 Syawal 1432

 

 

 

 

RENUNGAN AL-QURAN 183

BANI  ISRAEL PASTI  MENERIMA DUA KALI PEMBALASAN

4. Dan Kami nyatakan kepada Bani Israel dalam kitab itu: “Sesungguhnya kamu  akan melakukan kerosakan di bumi  (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. 5. Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) tu, Kami  datangkan kepada kamu hamba-hamba kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala  ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap  berlaku. 6. Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami  beri  kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta  Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. 7. Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah)  kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, Kami (datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang telah mereka kuasai, dengan sehancur-hancurnya. AL-ISRAA’: 4-7)

 

Wednesday, November 21, 2012

Getaran Jiwa - Malam


MALAM

Apakah malam hanya
gelita pekat likat

kelam  hitam legam
buta semua mata

di sambar mimpi-mimpi
di ulik khayalan asyik

zikir- fikir makhluk setia
bulan bintang

gunung ganang
unggas pepohon

jua insan-insan
dalam tangis sendu

sayu pilu hiba
kering air mata

letih layu lesu
bertemankan doa sembunyi

dambakan redha kasih cinta
doa dalam doa aku

KehadIrat-Mu Yang Maha Quddus.

 

Kelana Putra
MahligaiCinta

22 OKT 2012
6 DZULHIJJAH 1433

 

 

RENUNGAN AL-QURAN 182

MEMBELANJAKAN HARTA DAN AJAL MAUT

10. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadamu sebelum seseoang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku-ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. 11.Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. (AL-MUNAAFIQUUN; 10-11)

Tuesday, November 20, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 181

KEHIDUPAN DUNIA HANYALAH KESENANGAN BAGI ORANG-ORANG YANG TERPEDAYA

20. Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga bawaan (hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (kesuatu masa tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan) bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat. Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (AL-HADID: 20)

Sunday, November 18, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 180

BERUSAHA HANYA UNTUK KEHIDUPAN DUNIA

15. Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. 16. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain dari azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang  mereka telah kerjakan. (HUD; 15-16)

Friday, November 16, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 179

KEHIDUPAN DUNIA UMPAMA AIR HUJAN

45. Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur baurlah tanaman di bumi antara satu dengan lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 46. Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (AL-KAHFI: 45-46)

Thursday, November 15, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 178

AMAL ORANG-ORANG KAFIR

39. Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatupun yang disangkakan itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkakannya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitung amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. (AN-NUR; 39)

RENUNGAN AL-QURAN 177

SATU PUAK YANG SABAR DAN BERJAYA
 
109. Sesungguhnya ada sepuak dari hamba-hamba-Ku (di dunia dahulu) memohon kepada-Ku dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat”. 110. “Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasan-Ku, dan kamu pula sentiasa mentertawakan mereka. 111. Sesungguhnya aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”.(AL-MUKMINUN;109-111)

Wednesday, November 14, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 176

DOSA SYIRIK TIDAK DIAMPUNKAN

48. Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan Sesutu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia melakukan dosa besar.(AN-NISAA’: 48)

PENAWAR BAGI HATI


SIFAT TERPUJI (Mahmudah)

7. TAWAKKAL

“Ketahuilah olehmu bahawasanya tawakkal itu percaya kepada Allah Taala dan yakin bahawasanya qadhanya lulus ia dan mengikut akan Sunnah SAW. dan berusaha pada barang yang tak dapat tiada daripadanya daripada makanan dan minuman dan pakaian dan memelihara diri daripada seteru seperti yang memperbuat akan dia akan sekelian Nabi as. Dan bahawasanya tawakkal itu satu kelakuan yang dipuji, yang sebab bagi kasih Allah Taala akan orang bersifat dengan dia, kerana firman Allah SWT:

“Kemudian bila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat , untuk membuat sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”. (A-Li’IMRAAN: 159)

Monday, November 12, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 175

AL-QURAN ADALAH KEBENARAN YANG DIYAKINI SEPENUHNYA

“Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada diantara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya). Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan). Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya). Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.(AL-HAAQQAH; 49-52)

RENUNGAN AL-QURAN 174

BUAH ZAQQUM

43. (Ingatlah), sesungguhnya pokok zaqqum, 44. Buahnya menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka), 45. (Makanan ini pula panas), seperti tembaga cair, mendidih dalam perut. 46. Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (AD-DUKHAAN: 43-46)

Azab seksa

AZAB SEKSA

Di dunia tak seberapa
kita mampu menepis menolaknya
lari  berlidung diri
tembok tinggi tak telus cahaya
mahligai kaca tak tembus peluru
keliling dunia ceruk rantau
namun sementara cuma
azab kubur pasti  lebih lama
pedih perit derita
tiada mampu lari kemana lagi
tiada  daya hilang upaya
dalam keranda sempit himpit
pasti  reput  jua
tunggu hingga kiamat tiba
azab akhirat
maha dahsyat
tiada tara bukan tanggungan
tidak hidup tidak pula mati
hancur luluh darah daging
pekik lolong tiap detik
menangis meraung-raung
entahlah sampai bila
Wahai Tuhanku!
lepaskan aku dari azab-Mu
apakah mungkin aku ini
boleh kembali semula
kepada dunia dahulu
buat kedua kalinya
dengan tulus sabar setia
mengabdi diri  
kepada-Mu seluruhnya
atau apakah ini
hanyalah mimpiku saja…..?

Kelana Putra
Mahligai-Cinta 60
Sura Jetty
Isnin 121112
27 Dzulhijah 1433.

 

 

RENUNGAN AL-QURAN 173

SYAK DAN MERAGUI AL-QURAN

45.Dan (janganlah engkau merasa kecewa wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu, kerana) demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga kesuatu masa tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaummu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Quran itu). 46. Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali akan berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya. (FUSSILAT; 45-46)

 

Sunday, November 11, 2012

Getaran Jiwa - GODA

GODA

Goda menggoda
tergoda digoda
siapa goda siapa?
kau goda aku
aku goda kau
goda vs goda
Iblis syaitan
punya permit penggoda
dulu, kini hingga berakhir dunia
balas dendam egoist
goda Adam goda Hawa
terbukalah aurat berdua
daun-daun Syurga menutupnya
bersama turun ke alam dunia
godanya terus goda
goda seluruh zuriat manusia
semua jantan semua betina
agar hilang lenyap iman taqwa
berbuat maksiat ingkar durhaka
Pada-Mu  Yang Maha Esa

Kelana Putra
Mahligai-Cinta 60
Teluk Bidara
Ahad 111112
26 Dzulhijah 1433

 

ISA IBNU MARYAM

NABI ISA 3

35. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila ia menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia. 36. “Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul-lurus”.( MARYAM;35-36)

'ISA IBNU MARYAM

NABI ISA

33.“Dan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan (hidup semula pada hari kiamat)”. 34. Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibnu Maryam. Keterangan yang tersebut  ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. (MARYAM: 33-34)

Friday, November 9, 2012

Getaran Jiwa - CINTA

CINTA

Kau dan Aku
Demi cinta tulus murni
Demi sumpah demi janji
Dalam senyum bertanam mesra
Dalam mesra menarik ingin
Dalam madah bicara hati
Dalam hati semarak cinta
Dalam jiwa denyut rasa
Dalam jantung memamah cinta
Dalam dada bersarang rindu
Dalam rindu mendakap asmara
Dalam asmara berbuai asyik
Dalam asyik menghirup madu
Cinta asyik bulan madu
Kau dan Aku
Pertama...dan selamanya
 
Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Kuala Dungun
Sabtu 10 Nov 2012
25 Dzulhijah 1433


 

 

Thursday, November 8, 2012

NERAKA JAHANAM

PUAK KIRI DI DALAM NERAKA JAHANAM
41- Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?. 42. Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak, 43. Serta naungan dari asap hitam, 44. Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan, 45. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan). 46. Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar, 47. Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan semula? 48. “Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)?”. 49. Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang terkemudian, 50. “Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan-pada hari kiamat yang termaklum.(AL-WAAQI’AH: 41-50)

Wednesday, November 7, 2012

SIFAT TERPUJI - IKHLAS

IKHLAS

‘’Ketahui olehmu bahawasanya IKHLAS ITU MENUNGGALKAN ALLAH TAALA pada segala taat dengan QASAD. Dan iaitu bahawa menghendaki ia dengan taatnya itu akan semata-mata menuntut hampir kepada Allah Taala tiada akan sesuatu yang lain daipadanya seperti puji manusia dan harta benda dan dimuliakan dan lainnya daripada segala tujuan dunia dan bahawasanya ikhlas itu satu kelakuan hati yang dipuji. Dan tiada diterima akan AMAL IBADAT MELAINKAN DENGAN IKHLAS. Firman Allah Taala: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid………..(AL-BAIYINAH; 5)

Tuesday, November 6, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 172

ORANG-ORANG YANG BERSALAH DI DALAM NERAKA

14. Dan sesungguhnnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam N.eraka yang menjulang-julang. 15. Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari pembalasan. 16. Dan mereka (sentiasa  berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya. 17. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? 18. Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? 19. (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah. (AL-INFITAAR: 14-19)

Monday, November 5, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 171

HUBUNGAN DENGAN ORANG-ORANG BUKAN ISLAM

8. Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana (agama) kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (AL-MUMTAHANAH; 8—9)

Sunday, November 4, 2012

GETARAN JIWA - SALAM JEBAT KEPADA TUAH

Salam Jebat kepada Tuah

Demi sumpah janji
Sabar setia cinta
Demi rakyat
Demi keadilan
Lawan tetap lawan
Lawan dulu lawan kini
 ....dan lawan selamanya
Salam si-Jebat pada si-Tuah
Takkan mati sebelum ajal
Takkan pasrah sebelum kalah
Membujur lalu
Melintang patah
Hutang nyawa di bayar nyawa
Hutang kuasa ambil kuasa
Putrajaya milik kita
Pakatan rakyat Malaysia
Dalam rela maupun paska
PR….. .selamat datang!
BN….. selamat tinggal!
Bukan misteri namun realiti..???

Kelana Putra
Mahligai-Cinta
5 Nov 2012
Isnin 20 Dzulhujah 1433

 

PENAWAR BAGI HATI-ZUHUD

SIFAT-SIFAT TERPUJI 3-ZUHUD

“Ketahui olehmu bahawasanya ZUHUD ITU BENCI AKAN DUNIA dan berpaling daripadanya. Dan berkata setengah ulama: iaitu meninggalkan kesenangan dunia kerana menuntut akan kesenangan akhirat. Dan bahawasanya zuhud itu satu kelakuan hati yang dipuji yang menyebabkan ia akan kasih Allah Ta’ala dan sekelian manusia akan orang yang bersifat dengan dia, kerana sabda Nabi saw. “Zuhud olehmu pada dunia nescaya kasih akan dikau oleh Allah Taala dan zuhud olehmu pada barang yang di tangan manusia daripada dunia nescaya kasih akan dikau oleh manusia”.

 

Saturday, November 3, 2012

RENUNGAN AL-OURAN 170 - NERAKA JAHANAM

NERAKA JAHANAM 1
Azab yang berbagai jenis di dalamnya
 
11.(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat, dan kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang. 12. Apabila Neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang mengelegak dan mengeluh. 13. Dan apabila mereka di humbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu). 14. (Lalu dikatakan kepada mereka); “Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)). (AL-FURQAAN: 11-14)

WANITA MULIA-MARYAM PUTERI IMRAN

Putera Maryam berkata-kata

29. Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”. 30. Ia menjawab: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (MARYAM: 29-30)

WANITA MULIA - MARYAM PUTERI IMRAN

Maryam balik kepada kaumnya

27. Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Merekapun menempelaknya dengan berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya:. 28. Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (MARYAM; 27-28)

WANITA MULIA - MARYAM PUTERI IMRAN

Maryam balik kepada kaumnya

27. Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Merekapun menempelaknya dengan berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya:. 28. Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (MARYAM; 27-28)

Friday, November 2, 2012

RENUNGAN AL-QURAN - 170

SUMPAH BAGI TUDUHAN ISTERI BERZINA
 
6. Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (yang sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar;7. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang berdusta. 8. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. 9. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (AN-NUR: 6-9)

WANITA MULIA - MARYAM PUTERI IMRAN

Bernazar tidak akan berkata-kata

26. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian), maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”. MARYAM: 26)

Thursday, November 1, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 169

MENGERJAKAN IBADAT

37. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahayang serta memberI zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (AN-NUR: 37)

WANITA MULIA - MARYAM PUTERI IMRAN

Diseru supaya jangan berdukacita

24. Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: “Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. 25. “Dan gegarkanlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak”. (MARYAM: 24-25)

GETARAN JIWA - KASIH

KASIH

Kasih sayang
Suci murni
Belaian jiwa

Pujaan hati
Ayah-bonda kasih sejati

Terus dibawa sesudah mati
Kasih isteri memekar bahagia

Hadapi dunia pancaroba
Kasih anak permata hati

Taruh harapan mengunung tinggi
Kasih sahabat sukar dicari

Teman tangis gelak ketawa
Kasih sayang selalu terbayang

Terkenang-kenang malam siang
Kasih dulu dalam ingatan

Kasih kini mekar mewangi
Kasih demi kasih

Kita bawa dalam hidup
Bersama mati……

 
Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Kuala Terengganu
Jumaat 2 Nov 2012
17 Dzulhijjah 1433

 

RENUNGAN AL-QURAN 168 - PENZINA

HUKUM SEBAT 100 KALI

2. Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus  kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (AN-NUR: 2)