Tuesday, July 30, 2013

RENUNGAN AL-QURAN 334

MANUSIA MENDAPAT BALASAN ALLAH
Firman Allah Taala dalam Surah Ali-Imran ayat 145 dan 146 adalah bermaksud seperti berikut:
(145) Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

(146) Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
145. And no person can ever die except by Allah's Leave and at an appointed term. And whoever desires a reward in (this) world, We shall give him of it; and whoever desires a reward in the Hereafter, We shall give him thereof. And We shall reward the grateful.
146. And many a Prophet (i.e. many from amongst the Prophets) fought (in Allah's Cause) and along with him (fought) large bands of religious learned men. But they never lost heart for that which did befall them in Allah's Way, nor did they weaken nor degrade themselves. And Allah loves As-Sabirin (the patient ones, etc.).
RENUNGAN
1.Tiap-tiap makhluk yang bernyawa (manusia dan lain-lainnya) tidak akan mati melainkan dengan izin Allah. Maknanya tempuh usia dan ajal maut atau kematian itu terletak pada kekuasaan Allah dan saat ketibaan ajal atau kematian seseorang itu telah Allah tetapkan.
2. Dengan yang demikian itu, Allah memperingatkan bahawa sesiapa yang menghendaki balasan dunia Allah akan memberi bahagiannya dari balasan dunia itu. Dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Allah akan memberi bahagiannya dari balasan akhirat.
3. Manusia diperingatkab bahawa Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Dalam kehidupan dunia ini manusia dikurnai dengan pelbagai limpah nikmat dan rahmat oleh Allah SWT. yang tidak terhitung banyaknya dan tak ternilai harganya seperti nikmat iman, nikmat Islam, kesihatan, rezeki, harta kekayaan, isteri, anak pinak dan lain-lain.
Apakah dengan semua ini seseorang itu lupa diri dan jauh dari Allah atau sebaliknya bersyukur dan mendekatkan diri kepadaNya?
4. Semenjak zaman dahulu lagi ramai para Nabi (dan Rasul) telah berperang fisabilillah bersama-sama dengan orang-orang yang taat kepada Allah. Mereka menghadapi perjuangan ini dengan gigih, tidak lemah semangat,t idak lemah tenaga atau kekuatan jasmani dan tidak mahu tunduk kepada musuh (orang-orang kafir). Mereka semua ini adalah tergolong dalam orang-orang yang sabar.
5. Dan ingatlah bahawa Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar (As-Sabirin).
Sekian terima kasih, Was’salaam!
 
 

Monday, July 29, 2013

Bidadari Firdausi

Kaulah puteri sunti
idaman jutaan manusia
dibelai semesra mutiara
amat cantik jelita
bibirmu semerah delima
senyummu berkuntum mawar
rambutmu sewangi kasturi
matamu meredup kristal biru
lirikmu menyapa kalbu
jelingmu melenyap cemburu
tawamu membenih rindu
nyanyimu memadam nestapa
wajahmu menutup purnama

Sayangnya!
di sini kau tiada
hanyalah khabar gembira
bersulam mimpi-mimpi
kalaulah aku ditakdirkan
bertemumu di sini
apakah aku akan jadi sasau
gila terus merana

Aku tahu
kau milik para ambia’ dan syuhada
aku pula insan biasa
apakah tidak mungkin
kau jadi milikku
aku amat merindui
dakapan kucupmu
hati jiwa tulusmu
demi cinta setia abadi
asmara damai sejahtera
di mahligai Firdausi

Kelana Putra
Bukit Puteri
Kuala Terengganu
18 Januari 2012
Selasa 23 Safar 1433.

 

Sunday, July 28, 2013

MALAM


Apakah malam hanyalah
sekadar gelita pekat likat
kelam hitam legam
buta semua mata
di sambar mimpi-mimpi
di ulik khayalan asyik
zikir- fikir makhluk setia
bulan bintang
gunung ganang
unggas pepohon
jua insan-insan
dalam tangis sendu
sayu pilu hiba
kering air mata
letih layu lesu
bertemankan doa sembunyi
dambakan redha kasih cinta
aku berdoa dalam doa
kehadirat-Mu Yang Maha Quddus.

Kelana Putra
Taman Bijaya Sura,
Dungun, Terengganu
22 Okt.2012
6 Dzulhijjah 1433.

 

Saturday, July 27, 2013

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (9)
(sambungan…) Dan  apabila tiba malam idul-fitri itu bernama malam pembahagian hadiah, maka pada pagi harinya diutus malaikat berdiri di perimpangan jalan sambil berseru dengan suara yang lantang dapat didengar oleh oleh segala sesuatu kecuali jin dan manusia.

Friday, July 26, 2013

Aku Pulang


Nanti suatu ketika
Tapi  entah bila
dia pasti datang bertandang
tanpa jemputan undanganku
dia datang tiba-tiba
bersama salam terakhir
mahu pasti memisahkan
dari dunia sayangku
nyawaku dari badanku

Apakah nanti nayawaku ini
dia cabut dengan
perlahan lembut mesranya ataukah
dengan rakus kasar seksa
apakah aku rela ataukah
aku dipksa olehnya
tinggallah jasadku
terbujur kaku beku
tiada maya tanpa nyawa

Ya  dia itulah Malaikatmaut
pencabut nyawa
begitu patuh setia
bila dia datang
aku dibawa pulang
kembali pada-Mu Ya Ilahi.

Kelana Putra
Bingkisan Qakbu
Ahad 27 Januari 2013
15 Rabiul-Awal 1434.

 

RENUNGAN A-QURAN 334


AL-QURAN YANG SANGAT MULIA DAN MENGANDUNGI BANYAK HIKMAT UNTUK UMAT MANUSIA
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

1.Haa, Mim. 2. Demi kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. 3. Sesungguhnya kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. 4. Sesungguhnya Al-Quran itu di dalam Ibu Suratan di sisi Kami-sangat tingggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh. 5. Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau-lampau buruk keadaannya? (Tidak, Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, samada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya). 6. Dan (ingatlah) berapa ramainya Nabi-nabi yang telah Kami utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya. 7. Dan tidak ada seorang Nabipun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya. 8. Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telahpun disebut (berulang-ulang di dalam Al-Quran) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu”. (Az-Zukhruf; 1-8)

Renungan Al-Quran 333

APA KATA SYAITAN?
 
“Dan berkatalah pula Syaitan setelah hukum diputuskan . “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tapi salahkanlah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya sejak dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya”.(IBRAHIM: 22)
 

Thursday, July 25, 2013

Renungan Al-Quran 332

ORANG-ORANG YANG DIREDHAI ALLAH

71.“Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar taubat; 72. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. 73. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. 74. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan Kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami; perkara-perkara yang menyukakan hati kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.75. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucap selamat di dalamnya. 76. Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal”. (Al-Furqan: 71-76)

Renungan Al-Quran 331

DATANG BERSENDIRIAN MENGHADAP ALLAH SWT

93. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahmaan sebagai HAMBA. 94. Demi seungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuan-Nya) serta menghitung mereka satu pesatu. 95. Dan mereka masing-masing akan datang mengadap-Nya pada hari kiamat dengan SEORANG DIRI. (MARYAM; 93-95)

Wednesday, July 24, 2013

MANUSIA

Dari apakah manusia di ciptakan?

1.Demi langit dan At-Tariq; 2. Dan apakah jalannya engkau dapat mengetahui apa dia At-Tariq itu? 3. (At-Tariq) ialah bintang yang menembus sinaran cahayanya; 4. Tiada suatu diri juapun ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya). 5. (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan; dari apa ia diciptakan. 6. Ia diciptakan dari air  (mani) yang memancut (ke dalam rahim), 7. Yang keluar dari “tulang sulbi” lelaki dan “tulang dada” perempuan. 8. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa mengembalikan (hidup semula sesudah mati), 9. Pada hari didedahkan segala yang terpendam dihati (dari iktikad, niat dan lain-lainnya). 10. Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan). 11. Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan,12. Dan bumi yang merkah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan, 13. Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar), 14.Dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok. 15. Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad), bermati-matian menjalankan rancangan jahat,16. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan mengagalkannya). 17. Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa. (Surah AT-TARIQ: 1-17)

1. By the heaven, and At-Tariq (the night-comer, i.e. the bright star);
2. And what will make you to know what At-Tariq (night-comer) is?
3. (It is) the star of piercing brightness;
4. There is no human being but has a protector over him (or her) (i.e. angels incharge of each human being guarding him, writing his good and bad deeds, etc.)
5. So let man see from what he is created!
6. He is created from a water gushing forth
7. Proceeding from between the back-bone and the ribs,
8. Verily, (Allah) is Able to bring him back (to life)!
9. The Day when all the secrets (deeds, prayers, fasting, etc.) will be examined (as to their truth).
10. Then will (man) have no power, nor any helper.
11. By the sky (having rain clouds) which gives rain, again and again.
12. And the earth which splits (with the growth of trees and plants),
13. Verily! This (the Qur'an) is the Word that separates (the truth from falsehood, and commands strict legal laws for mankind to cut the roots of evil).
14. And it is not a thing for amusement.
15. Verily, they are but plotting a plot (against you O Muhammad (http://dar-us-salam.com/TheNobleQuran/images/saws.gif)).
16. And I (too) am planning a plan.
17. So give a respite to the disbelievers. Deal you gently with them for a while.
(Surat At-Tariq: Verse 1-17)

Thanks, Was’salaam!

 

Monday, July 22, 2013

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (8)

(sambungan) “Apabila telah terbit fajar maka Jibril berseru: Hai para malaikat segera kembali, kembali, lalu malaikat bertanya: Bagaimana mengenai hajat kaum mukminin dari umat Muhammad saw.? Jawab Jibril; Allah melihat empat macam: 1. Pemabuk (peminum arak), 2. Penderhaka terhadap ayah bonda, 3.Memutuskan hubungan keluarga. 4. Orang yang memboikot, tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari.

Sunday, July 21, 2013

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN  (7)

(Sambungan…) Lalu malaikat Jibril mengutus malaikat pergi kepada umat Muhammad untuk memberi salam pada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, sembahayang atau berzikir dan menjabat tangan mereka serta mengaminkan doa mereka sehingga terbit fajar.

 

PUKAU



Sepasang mata
merenung wajah rupa 
tidak sekali dirinya
jelek buruk dihina
tohmah cerita cerca
taburkan fitnah nista
kumpul dosa-dosa
cantik molek dipuji puja
sebutan di merata dunia
bicara sampai entah bila

Mata duitan
terbeliak belalak
mimpi mainan malam
igauan di kala siang
menerkam pada kilauan
timbunan emas intan
rakus nafsu jiwa
buru kekayaan kemegahan
mata-mata keranjang
intai mengintai
betina jantan berkejaran
buat maksiat kejahatan
tiada peduli batas sempadan

Apakah mata hati
kabur terus jadi buta
hati keras membeku
menutup erti makna
pada yang benar nyata
pada yang hak
apakah serupa
antara buta dan celik
ramai tiada peduli
aku terpukau sendiri
pada ciptaan agung-Mu
Ya Rab'bi, Ya Ilahi.

Kelana Putra
Petaling Jaya
8 Januari 2012
Sabtu 12 Safar 1433.

 

 

 

 

Saturday, July 20, 2013

PENAWAR HATI


Wahai umat manusia! “Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi PENAWAR  bagi PENYAKIT-PENYAKIT BATIN YANG ADA DI DALAM DADA KAMU, dan juga menjadi HIDAYAH PETUNJUK untuk keselamatan, serta membawa RAHMAT bagi orang-orang yang BERIMAN”.(YUNUS: 57)

Apa lagi?

APA LAGI

Wahai manusia!
apa lagi mahumu
apakah belum cukup
apakah belum puas
diberikan segalanya
roh-jasad dan penghidupan
ayah bonda sanak saudara
sahabat handai kampung halaman
pangkat gelaran berjela-jela
emas perak bertimbun-timbun
kapal muatan redah samudera
gedung niaga kotaraya
istana mahligai indah megah
jet supersonik berlegar di angkasaraya
perang nuklear pamer kuasa
kuasa manusia cuma
memerintah dunia
ikut nafsu jadi haloba
tiada batas hilang sempadan
jangan sekali engkau lupa
dayamu tak semacam mana
ilmumu sejengkal cuma
sesungguhnya engkau tidak mampu
ciptalah sehelai daun sebutir pasir
semuanya milik Dia
di bawah perintah-Nya
Dia-Lah Raja sekelian manusia.

Kelana Putra
Bandar Bukit Puchong
Selangor DE
7 Sept 2011
9 Syawal 1432.

 

Malaikat turun ke bumi


MALAIKAT  DI SEKITAR ARASY

Dari Ali r.a. Nabi saw. bersabda: “Sesungguhnya di sekitar arasy ada tempat bernama hadhiratul qudsi dari nur (cahaya) di situ ramai malaikat yang tidak terhitung banyaknya kecuali Allah sendiri yang mengetahuinya, mereka beribadat tidak berhenti-henti walau sesaatpun, maka bila tiba malam Ramadhan mereka meminta izin kepada Allah untuk turun ke bumi dan beribadat bersama anak Adam, maka turun mereka tiap malam ke bumi untuk sembahayang bersama anak Adam, maka sesiapa yang disentuh oleh mereka atau menyentuh mereka bererti ia telah mendapat bahagia yang tidak akan menderita kesusahan atau celaka untuk selamanya”.

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (6)

(Sambungan….”Dan pada malam lailatul qadar Allah menyuruh malaikat Jibril dengan kumpulan malaikat turun ke bumi dengan membawa panji hijau yang diletakkan di atas Kaabah, dan ia mempunyai enam ratus sayap, di antaranya dua sayap yang tidak dihampar kecuali pada malam lailatul qadar, maka dihampar sehingga meliputi hujung timur hingga hujung barat”.

Friday, July 19, 2013

RENUNGAN AL-QURAN 330

BALASAN SYURGA KERANA BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH
 
Katakanlah wahai Muhammad: "Sesungguhnya Tuhanku mewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang di kehendaki-Nya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). Dan bukanlah harta benda kamu dan juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa. (SABA: 36 dan 37)

DALAM CINTA


Ada apa dalam cinta?
Cinta asmara
milikku milikmu
sumpah janji setia
paduan dua hati sejiwa
ada senyum seribu makna
ada rindu membelah kalbu
ada kasih memaut mesra
ada sayang  selalu terbayang
ada gelora dalam dada
ada cemburu resah keliru
ada geram tuntut habuan
ada dakap memeluk ketat
ada rayu dambakan sayu
ada benci bila tak kesampaian
ada letih menunggu kekasih
ada lesu bila tak ketemu
ada dusta untuk sembunyi
ada penawar bila dilukai
ada racun maha berbisa
ada asmara lepaskan dendam
ada sunyi bila sendirian
ada kerja bila berduaan
ada asyik bila memikirkan
ada syahdu bila dilagukan
ada itu, ada ini
ada macam-macam

 
Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Jumaat 19 Julai 2013.
10 Ramadhan 1434.

 

 

MUTIARA HADIS - ORANG-ORANG YANG BANYAK HARTA

Nabi SAW. bersabda: "Orang-orang yang banyak hartanya itu kelak yang paling bawah tempat mereka kecuali yang menggunakan harta itu begini dan begini dan begini dan begini, iaitu sedekah ke kanan, ke kiri, ke depan dan ke belakang. Dan hanya sedikit yang sedemikian". (HR Abu Dzar al-Ghifari)

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (5)

(sambungan)…”Dan bila pada hari atau malam jumaat pada tiap jam dimerdekakan sejuta orang dari api neraka dan pada akhir hari Ramadhan, Allah memerdekakan pada hari itu seramai orang yang dimerdekakan  dari hari pertama hingga akhir Ramadhan”.

Thursday, July 18, 2013

Hari demi hari..

HARI DEMI HARI

Tidak tiba suatu hari pada anak Adam, melainkan Allah mewajibkan padanya sepuluh macam:
1. Berzikir kepada Allah ketika bangun tidur.
2. Menutup aurat.
3. Menyempurnakan wuduk.

4. Menyelesaikan solat tepat pada waktunya.
5. Berasa tenang terhadap Allah dalam urusan rezeki.
6. Qanaah (Menerima apa yang ada) dengan rezeki pebahagian Allah.
7. Tawakkal berserah kepada Allah.

8. Sabar menerima takdir dan hukum Allah.

9. Syukur terhadap nikmat Allah.
10. Makan minum yang halal.

 

 

MUTIARA HADIS - Amalan yang riya'

Nabi SAW. bersabda: "Yang sangat aku khuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil. Sahabat berkata; Ya Rasulullah apakah syirik yang terkecil itu? Jawab Baginda: Riya'. Pada hari pembalasan kelak Allah berkata: Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulunya kamu beramal kerana mereka di dunia, lihatlah di sana kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka".

Cinta Abadi


Aku cari
cinta abadi
damai sejahtera
dalam alam tidak bersua
hanya ada cinta dunia
perhiasan kemewahan
fana’ kan lebur jua

Bersama langit pecah belah
bintang-bintang gugur berserak
gunung ganang lebur berterbangan
laut meruap asap
bumi muntah ranap
segala  jasad punah ranah

Cinta abadi
berpeluk roh suci murni
kelak bertemu kembali
berpasang gandingan
bersama menemani
jiwaraga yang suci
pasti bersua
dengan Dia Yang Maha Suci

Kelana Putra
Mahlihai Cinta
Rabu 12.12.2012
28 Muharam 1434.

 

Wednesday, July 17, 2013

SOLAT TAHAJJUD


Allah Taala berfirman dengan maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud’  padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhan membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa); “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku di sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”. (AL-ISRAA’: 79-80) 
Mengenai solat tahajjud atau solat tengah malam ini pula Nabi saw. bersabda: “Solat dua rakaat yang dilakukan oleh seorang hamba Allah pada waktu tengah malam yang terakhir adalah LEBIH BAIK BAGINYA DARIPADA DUNIA DAN APA YANG ADA DIDALAMNYA”. Salam dan selamat bersolat tahajud!

ABDI


Masihkah aku ada
cebisan waktuMu
dapatku teruskan
pengabdian ini
bersihkan jiwa
tuluskan hati
luhurkan budi

Memanjat tangga-tangga
manusia hamba istimewa
dalam payah getir
gilakan dunia
panahan nafsu gila
bisikan syaitan-syaitan
mahu larikan daku
jauh sayup
saujana dariMu

Benci pada jiwa
taat sabar setia
sarat isi imannya
bermandikan taqwa
berwajah ihsan
damai tenang sejahtera

Mahu aku terus
bersujud bertasbih
memuja memuji-Mu
bersama gunung-gunung
burung-burung
pohon-pohon
mentari
bulan dan
bintang-bintang

PadaMu Yang Maha Mulia
Raja sekelian manusia.

Kelana Putra
Bandar Puteri
Puchong, Selangor DI
18 NOV 2011
Jumaat 22 Dzulhi’jjah 1432.

 

Mutiara Hadis


SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (4)

Dan pada tiap malam Ramadhan, Allah berseru tiga kali: Siapakah yang minta akan Aku beri permintaannya, siapakah yang taubat akan Aku terima taubatnya, siapakah yang minta ampun maka akan Aku ampunkan, kemudian diserukan; (bersambung…)

Tuesday, July 16, 2013

Visi Cinta Agung

Sumpah setia cinta agung
dari Dia, kerana Dia, untuk Dia
cermin hati tenang jiwa
satu makna sejuta harapan

Berbunga berputik di celah kemelut dunia
gunung iman bertunjang memasak bumi
cahaya ilmu menyilau siang menerangi malam
sungai amal susuri lautan ihsan

Anugerah kepada para, nabi dan wali
belaian asmara, rindu dendam, mabuk cinta
serah diri tiada berpaling kepada dunia
siang malam merindui kekasihNya

Berkorban jiwa, harta dan apa sahaja
mata hati menyelami hakikat dan makrifat
mekar mewangi tersohor dalam mahligai syurga
sabar setia cinta pada-Mu, Yang Maha Esa

 
Kelana Putra
TAMAN PERMATA
KUALA LUMPUR 8 Julai 2010.

 

Monday, July 15, 2013

MUTIARA HADIS

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN (3)

Allah berfirman: Ya Jibril! Turunlah ke bumi dan ikatlah syaitan-syaitan yang jahat dan rantaikanlah mereka kemudian buanglah mereka ke dalam laut supaya tidak mengganggu (merosakkan) puasa umat Muhammad saw.

KASIH

Kasih sayang
suci murni
belaian  jiwa
pujaan hati
ayah-bonda kasih sejati
tetapku bawa  mati
kasih isteri memekar bahagia
hadapi dunia pancaroba
kasih anak permata hati
taruh harapan bergunung tinggi
kasih sahabat sukar dicari
teman tangis gelak tawa
kasih sayang selalu terbayang
dikenang  malam siang
kasih dulu dalam ingatan
kasih kini mekar mewangi
kasih demi kasih
kita bawa dalam hidup
bersama mati.

Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Kuala Terengganu
Jumaat 2 Nov 2012
17 Dzulhijjah 1433.

 

Sunday, July 14, 2013

PEPOHON CINTA


Pepohan cinta kita
dulu sampailah kini
tegak segak berdiri
merimbun dedaunya
kita tumpang berteduh
membelai kasih mesra
hanya seketika

Pepohon cinta kita
bertunjang bumi setia
mengcengkam kepalsuan
takkan rebah tumbang
dilanda ribut raksaksa
dibadai gelombang menggila

Bercabang dahan kemesraan
meliuk lintuk kasih sayang
melambai tika kesepian
senyum bila keseorangan
lesu bila kecemburuan
duka bila kehilangan
semarakkan bebunga cinta
mengharum kebahagian

Dekat kita dakap
Jauh kita rindu
berputik setiap detik
bersama kita petik
kita takkan lupa

Sayang kekasihku
apakah pepohon cinta kita
akan hilang jua
bersama ujung usia ataukah
tetap hidup segar
dan kita boleh berteduh lagi
bila kita sampai di sana nanti

Kelana Putera
Rantau Abang,Terengganu
Ahad 13 November 2011
17 Dzulhi’jjah 1432.

 

 

 

RENUNGAN AL-QURAN 329


ALLAH  SENTIASA MEMBALAS DENGAN SEBAIK-BAIKNYA

29. Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang telah Kami kurniakan kepada mereka , secara sembunyi atau secara terang-terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. 30. Semoga Allah menyempurnakan pahala mereka  dan menambahai mereka  dari  limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya) (AL-FAATIR: 29-30)

Mutiara Hadis

SYURGA PADA SETIAP RAMAHDAN-2

Nabi saw. bersabda: Kemudian Allah berfirman: Ya Ridhwan bukalah pintu-pintu syurga untuk orang-orang yang berpuasa dari umat Muhammad saw. dan menuruh malaikat Malik: Ya Malik: Tutuplah pintu-pintu neraka Jahim dari orang-orang yang berpuasa dari umat Muhammad saw.

Keagungan Cinta-Mu


Ya Rabbi, Ya Ilahi
betapakah agungnya
kasih sayang cinta-Mu
pada makhluk melata
di langit dan di bumi
juga di antaranya
Kau limpahkan rahmat
di mana jua

Tak kira rupa dan warna
pada siang pada malam
dalam susah dalam senang
Dikau Yang Maha Pemberi
pancarkan nur hidayah
pada hati-hati manusia
jadi utuh bertambah murni

Namun sayangnya
tidak ramai yang memilikinya
anugerah sepanjang usia
tiada batas sempadannya
nyawa dan kehidupan ini
bukanlah berjuta harganya
meskipun sementara
untuk beramal bakti

Di sana nanti belum pasti
hanya  yang taat sabar setia
Kau janjikan hidup sejahtera
dalam mahligai istana syurga
aku, kau dan dia
megharap memohon meminta
nikmat cinta-Mu
Tuhan Yang Maha Pengasih.

Kelana Putra
Dungun
Rabu 19 Oktober 2011
22 Dzulkaedah 1432

 

RENUNGAN AL-QURAN 328

ORANG-ORANG YANG DERHAKA DILEMPARKAN KE DALAM NERAKA

1.Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba mendapatkan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangat dan pengaruh), 2.Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! 3. Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk semasa hendak mati)! 4. Sekali lagi diingatkan: jangan sekali-kali kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari kiamat)! 5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang akan kamu hadapi)-dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). 6. (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang.7. Selepas itu demi sesungguhnya!- Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihat dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke  dalamnya)! 8. Selain itu kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (AL-TAKAATHUR; 1-8)

 

Saturday, July 13, 2013

RENUNGAN AL-QURAN 327


NEGERI AKHIRAT

83. Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-mikmatnya) itu, Kami untukkan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. 84. Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang telah mereka kerjakan. (AL-QASAS: 83-84)

SYURGA PADA SETIAP RAMADHAN


Ibnu Abbas r.a. berkata Nabi SAW. bersabda: “Sesungguhnya Syurga itu diukup-ukup dan diperhias setiap tahun ketika masuk bulan Ramadhan, maka apabila malam pertama Ramadhan datanglah angin dari bawah Arasy yang bernama al-Mutsirah, maka menggoyang-goyangkan daun-daun syurga dan menggerakkan daun pintu sehingga terdengar suara bidadari-bidadari dari tingkap-tingkap bahagian atas syurga dan berseru: “Siapakah yang akan meminang kepada Allah untuk dikahwinkan seorang daripada kami, kemudian bidadari-bidadari  itu bertanya kepada malaikat Ridhwan: Ya, Ridhwan, malam apakah ini? Jawabnya: “Wahai wanita-wanita cantik, ini malam pertama dari bulan Ramadhan”.

Thursday, July 11, 2013

Mutiara Hadis

ANUGERAH KEPADA UMAT MUHAMMAD SAW.
Nabi saw. bersabda: “Umat-Ku diberi oleh Allah tiap bulan Ramadhan  lima macam yang tidak diberikan kepada umat-umat yang sebelumnya. 1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. 2. Malaikat mintakan ampun untuk oang-orang yang berpuasa hingga berbuka, 3. Penjahat-penjahat syaitan dibelenggu sehijgga mereka tidak dapat berleluasa seperti biasanya. 4. Allah menghias syurga setiap hari, dan berfirman: Hampir para hamba-Ku yang soleh bebas dari keberatan dan gangguan dan kembali kepadamu. 5. Allah mengampunkan mereka pada hari akhir bulan Ramadhan. Ditanya: Ya Raslullah apakah itu lailatul qadar? Jawabnya: Bukan, tetapi seseorang buruh dibayar upahnya bila ia telah selesai pekerjaannya.”. (HR Abu Hurairah r.a.)

Wednesday, July 10, 2013

SOLAT TAHAJJUD

 
Allah Taala berfirman dengan maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud’  padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhan membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa); “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku di sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”. (AL-ISRAA’: 79-80) 
Mengenai solat tahajjud atau solat tengah malam ini pula Nabi saw. bersabda: “Solat dua rakaat yang dilakukan oleh seorang hamba Allah pada waktu tengah malam yang terakhir adalah LEBIH BAIK BAGINYA DARIPADA DUNIA DAN APA YANG ADA DIDALAMNYA”. Salam dan selamat bersolat tahajud!
 
 

Mutiara Hadis

KHABAR GEMBIRA
Nabi saw. menyampaikan khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda: "Telah tiba kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang berkat, Allah mewajibkan kepadamu berpuasa, dalam bulan ini terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka jahim, dan dibelenggu syaitan-syaitan yang jahat, juga di bulan itu ada lailatul qadar yang nilainya lebih baik dari seribu bulan". (Riwayat Abu Hurairah r.a.)

Tuesday, July 9, 2013

Mutiara Hadis

Nabi saw. bersabda: "Sesiapa yang puasa pada siang harinya dan bangun malam harinya kerana iman dan mengharap pahala jaminan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu". (Riwayat Abu Hurairah r.a.)

RENUNGAN AL-QURAN 326

TETAP BERTAQWA DAN MENERIMA BALASAN AKHIRAT

9. Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri; maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah; dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah dan dan kepada-Nya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan). (AL-MUJAADALAH: 9)

Monday, July 8, 2013

PUASA

GEMBIRA BAGI ORANG YANG BERPUASA

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi saw. bersabda: Allah Taala berfirman; “Semua amal anak Adam itu dilipat gandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus lipat ganda, kecuali puasa, maka puasa itu khas untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya, ia meninggalkan syahwat, makan minum kerana-Ku, dan puasa itu sebagai perisai, dan untuk orang yang berpuasa dua kegembiraan, gembira ketika menghadapi saat berbuka puasa, dan gembira kelak bila bertemu dengan Tuhan pada hari kiamat”.

Sunday, July 7, 2013

SUNYI SEPI


Untuk apa
aku duduk di sini
kita sama-sama
bersenda gurau
bergelak ketawa
kita suka jalan-jalan
keliling dunia

Bila mana
minda malas memikir
hati tak keras berzikir
kalbu hilang lenyap
iman tak pasang-pasang
ilmu dimamah gelita
amal sombongkan diri
kekayaan timbunkan kebanggaan
kekuasaan pamerkan kezaliman
kemuliaan serlahkan kehinaan

Apakah usiaku

berlalu hanya begitu
muda remaja lalai leka
mendakap dunia
dalam dewasa mabuk sasau
rakus memburu
kilauan cinta buta
aduh seronok gila
sampai dah tua
tiada lagi daya upaya

Aku letih
aku layu
aku lesu
bersama senjakala
meresapi sinar
menggamit gelita
malam kelam gelita
aku pasti hilang
bersama hitam malam
sunyi lagi sepi
di buai sebuah mimpi

Kelana Putra
Rantau Abang
14 Januarti 2012
Sabtu 19 Safar 1433.
 


Saturday, July 6, 2013

BAWA DIRI


Ingin sekali aku
bawakan diri ini
jauh menyendiri
lepas bebas
merungkai dakapan pelukan
tangan-tangan palsu duniawi
aku rimas lemas
himpit jiwa raga
mahu sahaja aku tutup katup
pintu-pintu diri
kepada bisikan godaan
syaitan dan manusia
meracuni nafsu gila membara
mengajak diri berseronok maksiat
aku di tarik dan aku juga menarik
namun aku tetap mahu bawa
diriku ini menuju destinasi-Mu.

Kelana Putra
Kuala Terengganu
Rabu 2.1.2013
19 Safar 1434.

 

RENUNGAN AL-QURAN 325

JIWA YANG TENANG TENTERAM

27.Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! 28. Kembailah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) 29. Serta masuk  engkau kedalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. 30. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku! (AL-FARJ 27-30)

RENUNGAN AL-QURAN 324

BERTASBIH MEMUJI ALLAH

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih  memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar; lagi Maha Pengampun”. (AL-ISRA’: 44)

Friday, July 5, 2013

RENUNGAN AL-QURAN 324

AMAL MANUSIA YANG BERBAGAI-BAGAI KEADAAN
4. Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya . 5. Jelasnya orang-orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya); 6. Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. 7. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapatkan Syurga. (AL-LAIL: 4-7)

CINTA


Kau dan Aku
demi cinta tulus murni
demi sumpah demi janji
dalam senyum bertaman mesra
dalam mesra menarik ingin
dalam madah bicara hati
dalam hati semarak cinta
dalam jiwa denyut rasa
dalam jantung memamah gelora
dalam dada bersarang rindu
dalam rindu mendakap asmara
dalam asmara berbuai asyik
dalam asyik dendam gelora
dalam dendam menghirup madu
cinta asyik bulan madu
kau dan aku
pertama dan selamanya

 
Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Kuala Dungun
Sabtu 10 Nov 2012
25 Dzulhijah 1433.

 

Thursday, July 4, 2013

TAHAP-TAHAP PENCIPTAAN MANUSIA


PENCIPTAAN MANUSIA

12. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. 13. Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setetes) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. 14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian, Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketiggian Allah sebaik-baik Pencipta. 15. Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. 16.  Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat. (AL-MUKMINUN: 12-16)

RENUNGAN AL-QURAN 323

BERTAQWA DAN JANGANLAH DIPERDAYAKAN
Wahai sekelian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu,dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikitpun. Sesungguhnya, janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. (LUQMAN: 33)