Friday, November 11, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 3

SEMUA MAKHLUK BERSUJUD KEPADA ALLAH

Firman Allah bermaksud: "Apakah kamu tiada mengetahui, bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan sebagian besar daripada manusia? Dan banyak diantara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan barang siapa yang dihinakan Allah maka tiada seorang yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Al-Hajj: 18)

Semua makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi serta di antara kedua-duanya bersujud kepada Allah termasuklah manusia. Banyak dikalangan manusia itu telah ditetapkan azab atas mereka. Golongan ini tentulah terdiri dari orang-orang kafir. munfiq dan durhaka.

Orang-orang yang dihina oleh Allah pastinya tidak dimuliakan oleh mana-mana manusia. Golongan orang yang paling hina di sisi Allah ialah ahli-ahli neraka dan tempat yang paling hina pada manusia ialah neraka jahanam.

Allah berfirman dengan maksud: "Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan" (Al-Hajj: 77)

Orang-orang beriman diseru untuk ruku', sujud dan menyembah Allah serta berbuat kebajikan supaya mereka mendapat kemenangan. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan untuk memberi petunjuk dan pertolonganNya kepada orang-orang beriman dan bertaqwa baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam kehidupan yang singkat ini kita mempunyai masa, kesempatan dan kemampuan untuk membuat kebajikan dan pasti ada banyak jalan untuk berbuat kebajikan sekiranya kita mengetahui dan memahami pengertian dan tujuannya.

Thursday, November 10, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 2

Allah swt. berfirman dengan maksud;  “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah: 21)
“Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu, kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui” (Surah Al-Baqarah:22)
Kedua-dua ayat di atas menyatakan dengan jelas akan keesaan dan kebesaran Allah dan Allah menyeru manusia menyembahNya.
Dia  adalah Tuhan yang telah menciptakan  semua manusia  termasuklah orang-orang yang sebelum ini.  Dengan kerana itu manusia diminta dan dihajati supaya bertaqwaka kepadaNya.
Dalam ayat kedua diatas Allah menjelaskan bahawa Dialah yang menciptakan bumi sebagai hamparan untuk manusia hidup dan meneruskan kehidupan dan langit dijadikan sebagai atap atau bumbung. Dia menurunkan air (hujan) dari langit dan daripada hujan itu ditumbuhkan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan termasuklah buah-buahan yang menjadi rezki untuk manusia.
Allah melarang manusia mempersekutukaNya dengan menyembah tuhan-tuhan lain, selain daripada-Nya.  Dalam sejarah umat manusia telah banyak kejadian di mana manusia telah menyembah tuhan-tuhan lain seperti menyembah lembu, berhala, api, matahari, bulan ,syaitan dan lain lain sehingga menjadikan manusia itu  syirik dan kafir.





Monday, November 7, 2011

RENUNGAN AL-QURAN

 Allah swt. berfirman dengan maksud; “Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah” (Surah Luqman: 33)

 Firman Allah dalam ayat di atas mengandungi maksud, perintah dan peringatan yang jelas kepada umat manusia. Ada beberapa perkara yang mesti kita renungkan dengan penuh kesedaran dan keninsafan.

1. Semua manusia diseru supaya berkaqwa kepada Allah.
2. Semua manusia diingatkan supaya takut akan hari akhirat.
3 Pada hari akhirat atau hari pembalasan itu seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya. Begitu juga seseorang anak tidak dapat melepaskan ibu atau bapa dari azab dosa masing-masing, walau sedikitpun.
4 Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.
5 Manusia dilarang daripada diperdayakan oleh kehidupan di dunia.
6 Manusia dilarang daripada diperdayakan oleh syaitan menerusi bisikan dan  ajakannya.
7 Kedua-dua keperdayaan itu menyebabkan manusia berani melanggar perintah Allah.
Sama-samalah kita fahami, dalami dan hayati segala maksud yang terkandung dalam ayat di atas dengan harapan bertambah kukuh dan kuatlah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Wednesday, November 2, 2011

GETARAN JIWA - SEBUAH MEMORI

Sebuah memori

Berlari dalam minda
bermain di penjuru kalbu
khazanah perjalanan diri
merakam beribu hari
jadi terlalu peribadi
Akan ku singkap sendiri

Menjajah usia muda dewasa
pusing keliling roda hidup
kerja buat seorang cikgu
anak didik dah jadi manusia
tabur jasa di desa dan kota
jejak semangat gurunya

Bunga-bunga harapan bangsa
sumber ilham teguhkan jiwa
dapatku bertahan sampai ujungnya
hati kecil pernah bertanya
apakah engkau tak jemu
dalam kerja dikatakan kaku


Minda dan hati tidak goyang
isi aspirasi bangsa merdeka
sediakan generasi  harapan
meredah hidup globalisasi
melayari gelombang ICT
jadi penerima dan pemberi

Jayakan visi dan misi negara
Reformasi pendidikan Malaysia
membentuk generasi gagah perkasa
bela diri, keluarga dan bangsa
dipersada persaingan antarabangsa
supaya tidak luput dari dunia

Semuanya jadi kenangan rindu
masaku bermakna telah berlalu
kini aku hanya menunggu
senja damai pasti menutup hariku
tapi aku masih belum jemu
menghirup segar udara pagi

Berteduh bila panas mentari
merenung diri ketika senja
apakah baktiku ini?
hanyalah sebutir padi cuma
aku harap ada isinya
jadi benih berlipat ganda

Pada cucu dan cicit menanti
Inginku wariskan jua
cetusan hati dan minda ini
menjadi gunung budi  sejati
bila aku telah tiada
ditutup tirai malam gelita

Hanya dapat kutinggalkan
sekuntum mawar merah
harumnya sampai bila-bila
agar dapat kalian ciumnya
lambang sejati kasih murni
bersama sebuah memori ini

Kelana Putera
Ipoh, 26 Februari 2011
23 R’Awal 1432

Saturday, October 29, 2011

GETARAN JIWA - DALAM RINDU

Dalam rindu

Dalam rindu kuseru namaMu
Pujian pujaan sekelian alam
Engkau Wujud bersama NamaMu
Ya Allah – hanyalah  Engku Yang Satu
Tiada mula tiada akhir
Engkaulah Yang Maha Suci Maha Tinggi

Terbilang mengisi pelusuk alam
Tiada tandingan bukan bandingan
Melampaui batas masa ruang
Berjuta rahsia membalut namaMu
99 cabang sifatMu
Engkaulah Yang Maha segalanya

Kau Pancarkan  rahmat dan hidayahMu
Merentasi tujuh petala langit dan bumi
Tiada yang mampu menghitung kira
Ketika tenang meskipun gelombang
Pada saat bahagia mahupun duka
Pada waktu aman sekalipun perang

Semua makhluk memuji namaMu
Tak kira tempat tak kira masa
Pagi petang siang malam
Menari di pentas minda
Melagu  di bibir  mesra
Menusuk di lubuk hati
Membenam di penjuru kalbu

Tak kan padam sampailah kiamat 
Tapi tak ramai  memendam rindu
Mengingat memuji  memuja namaMu
Demi masa yang terus berlalu
Aku, kau dan semuanya pasti rugi
Peluang dan ruang datangnya sekali
Pasti tidak ada lagi

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Kiniku serahkan diriku padaMu
Kupohonkan ampun taubat dariMu
Kupendam rayu tagih cintaMu
Kusujud sembah taat setia padaMu
Kaulah Yang Maha Tahu
Itulah pintaku……. hambaMu

Kelana Putra
Bandar Bukit Puchong
Selangor DE
13 Rabiul’awal 1432, 16 Februari 2011






Monday, October 24, 2011

WASIAT - KEBINASAAN MANUSIA

Kebinasaan manusia ( Dzun Nun Al-Misri)

"Sesunnguhnya binasa manusia kerana enam perkara (1) lemahnya cita-cita untuk mengerjakan perbuatan akhirat, (2) tubuhnya tergadai kerana syahwatnya, (3) merasa masih lama lagi hidup, padahal maut telah berada di ambang pintu, (4) mengutamakan kesenangan dan keridhaan manusia daripada keridhaan Tuhannya, (5) kurang memperhatikan contoh-contoh kehidupan dan sikap hidup yang sederhana dari orang terdahulu dan tidak memperhatikan contoh dan teladan yang baik yang mereka tinggalkan, dan (6) mengikut hawa nafsunya dan meninggalkan sunnah Nabinya."

Wednesday, October 19, 2011

IMAN DAN AMAL SIRI 2

ORANG-ORANG YANG BERIMAN
Dalam siri pertama yang lepas, saya telah memetik pengenalan yang menunjukkan saling kaitan antara iman dan Islam atau ringkasnya tauhid dengan syariat (iman dan amal). Dalam siri kedua ini ingin saya kemukakan beberapa firman Allah swt. mengenai iman dan perihal orang-orang yang beriman.  
Tujuan Allah meciptakan jin dan manusia adalah semata-mata untuk beribadat kepadanya. Firman-Nya bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku". (Adz-Dzaariyaat:56). Perbuatan atau amal dengan menyembah dan beribadat kepada Allah adalah suatu perintah, ketetapan dan kewajiban yang paling utama dan amat bermanfaat kepada manusia, yakni makhluk dan hamba ciptaan-Nya. Firman-Nya yang berikut memerintah manusia menyembah-Nya dan tiada tuhan lain melainkan Allah semata-mata. Firman-Nya bermaksud: “Lalu kami utus kepada mereka, seorang rasul dari kalangan mereka sendiri (yang berkata)  "Sembahlah Allah oleh kamu sekelian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya." Maka mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya) (Al-Mu’minuun:32).
Sesungguhnya inilah rahsia Allah menciptakan semua manusia. Persoalannya ialah apakah kita telah benar-benar mengetahui, mempelajari, memahami  dan melakukannya dengan menurut semua perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Dalam keadaan apa sekalipun sesungguhnya kita datang dari-Nya dan pasti  tetap kembali kepada-Nya. Tetapi dalam keadaan yang bagaimana?

Pengabdian diri manusia kepada Allah sudah pasti menuntut dan memerlukan iman yang kukuh, ilmu yang hak, hati yang suci dan budi yang luhur dengan hasrat untuk menjadi mukmin sejati. Untuk mencapai tahap keimanan dan ketaqwaaan yang tinggi atau menuju ke tingkat-tingkat yang lebih tinggi bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan banyak usaha dan pengorbanan diri dalam ketaatan dan keredhaan Allah.

Semenjak dari awal lagi Allah telah mengutuskan nabi dan rasul-Nya bermula dengan Nabi Adam as. dan diikuti oleh nabi dan rasul lain untuk menyeru dan memimpin setiap umat masing-masing menuju jalan yang lurus dan jalan yang benar. Allah mewahyukan kitab-kitab-Nya kepada Nabi-nabi Musa (Kitab Taurat) Isa (Kitab Injil), Daud (Kitab Zabur) dan Muhammad (Kitab Al-Quran). Bagi umat Islam, Al-Quran Al-Karim merupakan kitab suci yang memberi petunjuk untuk hidup di dunia dan di akhirat.
Adalah amat bermanfaat jika kita dapat menpelajari, memahami dan menelitinya hakikat iman atau tauhid. Allah berfirman dengan maksud:
“Sesungguhnya agama tauhid ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhan-Mu, maka bertawakallah kepada-Ku”. (Al-Mu’minuun: 52) dan  Firman Allah seterusnya:
“Kemudian mereka (pengikut-prngikut rasul itu) menjadikan agama mereka berpecah belah, menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing). Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sampai satu waktu.”  (Al-Mu’minuun: 53 dan 54)
Allah SWT dengan jelas dan nyata menyeru umat manusia agar beriman kepada-Nya . Ayat-ayat  Al-Quran yang dimulakan dengan  “Wahai orang-orrang yang beriman……” meruapakan antara ayat yang paling banyak disebut.  Surah  ke 23 bertajuk Al-Mu’minuun bererti “Orang-orang yang Beriman” 
 Firman Allah pada bahgian awal surah Al-Mu’minuun ini bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah  orang-oang yang beriman. (ia itu) Orang-orang yang khusyu dalam solatnya, Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan  orang-orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali tehadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki: maka sesungguhnya dalam hal ini mereka tiada tecela. Barang siapa yang mencari yang dibalik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahayangnya. Merea itulah orang-orang yang akan mewarisi, iaitu yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu’minuun: 8-12)
Marilah kita perhati dan fahami setiap ayat di atas dan bertanya diri kita, apakah kita juga mahu menjadi orang-orang beriman sebagaimana yang Allah firmankan itu dan akhirnya menjadi antara orang yang beruntung.
1.Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang sungguh beruntung di sisi Allah.
2.Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang mempunyai sifat-sifat dan amal-amal berikut:
1. Khusyu dalam solat.
2. Menjauhi dri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna.
3. Menunaikan zakat.
4. Mengaja kemaluan.
5. Memelihara amanat dan janji.
6. Memlihara sembahayang.
3. Orang-orang beriman akan mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalammnya.
Keimanan atau tauhid kepada Allah SWT itu sesungguhnya menjadi asas pokok untuk menjadikan manusia itu beramal soleh atau bertaqwa kepada-Nya. Apa yang nyata dan pasti ialah bahawa seseorang Islam yang bertaqwa itu adalah mempunyai keimanan yang teguh dan Allah menolong orang-orang bertaqwa.
Firman Allah bermaksud “Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki atau perempuan, sedang ia orang beriman, maka mereka itu akan masuk  ke dalam Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) walau sedikitpun”. (An Nisaa’: 124)
“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia  mengerjakan kebaikan, dan mengikut agama Ibrahim yang lurus. Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya. (An Nisaa’: 125)
(bersambung dalam siri 3 dan seterusnya)













Tuesday, October 18, 2011

WASIAT - DZIKIR

DZIKIR (Abubakar Asy-Syibli - Wafat 334H)

"Menyebut nama-Mu bukan kerana rupa,
Sesaatpun tidak aku lengah,
Dengan dzikir mudah disapa,
Digerakkan lidah terengah-engah.


Tatkala wujud memancarkan sinar,
Bahwa Engkau adalah berita,
Kulihat wujud-Mu sinar seminar,
Di seluruh tempat alam semesta.


Maka aku segera bermadah,
Dengan tidak memakai kata,
Engkau kulihat dengan mudah,
Dengan tidak memakai mata.