Wednesday, March 30, 2011

TITISAN TINTA SIRI 9

AKHLAK ISLAM: SIFAT-SIFAT MUKMIN SEJATI
Nabi Muhammad s.a.w. ialah nabi dan rasul terakhir, pesuruh Allah s.w.t. yang menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia akhir zaman. Islam telah berkembang dalam tempoh lebih 1,400 tahun yang lalu dengan pelbagai peristiwa suka duka dan tentangan hebat daripads musuh-musuh Islam semenjak zaman Baginda Rasulullah s.a.w. melewati zaman pemerintahan khalifah Al -Rashidin, empayar-empayar Islam di benua Eropah dan Asia hinggalah ke hari ini.
Perkataan akhlak menurut pandangan Islam  mengandungi pengertian yang begitu luas dan mendalam. Ia bukan sekadar perbuatan dan tingkahlaku luaran yang boleh dilihat, didengar dan disebutkan. Ringkasnya ia merupakan keperibadian, budi pekerti yang mengandungi kepercayaan, sikap dan tingkahlaku manusia bersangkutan dengan hubungannya sebagai hamba dengan Allah s.w.t. Tuhan Maha Pencipta dan dengan sesama manusia dan alam sekelilingnya.

Model atau contoh manusia agung yang memiliki dan dianugerahi akhlak atau budi pekerti yang paling sempurna, mulia dan terpuji ialah Baginda Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana "Akhlak Rasulullah ada akhlak Al-Quran" sebagaimana yang dinyatakan oleh Aisyah r.anha. Pembentukan keperibadian dan akhlak Baginda s.a.w. adalah di bawah wahyu Allah s.w.t berteraskan Al-Quran.
Sifat-sifat keperibadian mukmin sejati sudah pasti dapat memperlihatkan dan mencerminkan ciri-ciri akhlak terpuji. mulia dan sempurna. Baginda Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang agak panjang telah menyebutkan sifat-sifat mukmin sejati. Jika dapat dirumuskan semuanya ia terkandung dalam satu senarai seperti berikut::

  • Kuat dalam beragama
  • Tegas dan tetap pendirian dalam berlembut
  • Keimanan dalam yakin
  • Kuat keinginan dalam ilmu
  • Sederhana dalam kekayaan
  • Berperangai indah dalam kesempitan
  • Mengelak diri dari sifat tamak
  • Berusaha dalam apa yang halal
  • Kebaikan dalam istiqamah
  • Cergas dalam bimbingan (Allah)
  • Melarang (diri dari) keinginan yang rendah
  • Kasihan belas kepada mereka yang tertindas 
Dan sesungguhnya orang-orang mukmin itu  adalah termasuk keddalam golongan hamba Allah yang;
  • TIDAK berlaku zalim kepada orang yang dimarahinya
  • TIDAK menggunakan gelaran (keji)
  • TIDAK melakukan dosa dalam (memberi layanan kepada) sesiapa yang dikasihinya
  • TIDAK menyiakan apa yang diamanahkan kepadanya
  • TIDAKdengki
  • TIDAK mencaci
  • tTIDAK melaknat
  • Mengakui apa yang hak, walaupun dia TIDAK menyaksikan di atasnya
  • TIDAK menggunakan gelaran-gelaran (yang keji ke atas orang lain)
  •  KHUSYUK dalam sembahayang
  • SEGERA dalam menunaikan zakat
  • TENANG dalam keadaan huru hara
  • MENGAWAL DIRI dalam keadaan senang
  • BERSYUKUR dan bersikap memadai dengan apa yang ada padanya
  • TIDAK mendakwa apa yang bukan haknya
  • TIDAK berhimpun dalam kemarahan
  • TIDAK dikuasai oleh sifat bakhil (sehingga tidak melakukan kebaikan yang diinginkan)
  • Dia BERGAUL dengan manusia untuk memberi pengajaran kepada mereka
  • Dia BERBICARA kepada mereka untuk memberikab kefahaman kepada mereka
  • Kalau dia dizalimi atau dilakukan kejahatan ke atasnya,maka dia BERSABAR sehingga Tuhan Yang Rahman memberi pertolongan untuknya.

Kalau kita renung fikir dengan dengan minda hati budi yang luhur, pasti dapatlah kita jadikan intipati hadis Baginda Rasulullah s.a.w. ini sebagai pedoman dan panduan untuk kita berusaha memperkasakan diri sebagai mukmin sejati yang sememangnya menuntut diri kita berusaha sedaya upaya meningkatkan tahap keimanan, menambahkan ilmu pengetahuan, memperbaiki amal soleh dan menyuburkan ihsan dengan sekaligus menahan dan mengawal hawa nafsu.  Semua sifat-sifat mukmin sejati ini begitu banyak diajarkan dan diperjelaskan oleh ulamak-ulamak Islam dalam pelbagai kitab yang patut kita pelajari dan perdalami. Wallahualam.

Monday, March 28, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

MASA: APA DAN BAGAIMANA?

Pepatah Melayu ada mengukapkan "Masa itu Emas." Barang kali inilah suatu kenyataan  dalam budaya kita untuk menegaskan mengenai betapa penting dan bernilainya  MASA. Sesiapa sahaja mempunyai anggapan dan  sikap sendiri mengenai masa.  Allah s.w.t. berfirman  "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam KERUGIAN, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran" (Surah Al-Asr)

Inilah peringatan Allah s.w.t. kepada manusia seluruhnya yang mesti difikirkan secara mendalam dan seterusnya menyahut seruan agar BERIMAN, mengerjakan AMAL SOLEH, nasihat-menasihati agar mentaati KEBENARAN dan menepati KESABARAN.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud bahawa setiap orang Islam mesti ingat LIMA perkara, iaitu lakukan lima perkara sebelum datang lima perkara:

  1. Muda sebelum tua
  2. Senang sebelum susah
  3. Kaya sebelum miskin
  4. Sihat sebelum sakit
  5. Hidup sebelum mati
Dalam menjalani kehidupan moden pada hari ini, kita semua begitu sibuk, terdesak, dihimpit dan terperangkap dalam pelbagai masalah, cabaran dan dugaaan. Ramai diantara kita merungut mengenai masa - tiada masa, tak cukup masa, diburu masa dan lain-lain. Biar apapun sikap dan persepsi kita mengenai masa, hakikatnya ialah bahawa masa itu adalah suatu peluang dan kesempatan kurniaan Allah s.w.t., masa tidak boleh ditukar ganti dan dijual beli, masa tetap berlalu pergi dan tidak akan undur kembali. 

Sebagai manusia kita membesar dan dibesarkan dari peringkat alam rahim (kandungan ibu) keperingkat bayi, kanak-kanak, muda remaja, dewasa dan tua (atau jika dilanjutkan usia menjadi tua bangka). Setiap kita boleh merenung,  berfikir sejenak mengenai apa yang telah kita lalui dan alami dalam masa yang telah berlalu. Apakah masa yang berlalu itu telah kita rancang, gunakan dan manfaatkan sebaik-baiknya untuk pelbagai aktiviti dan urusan dunia dan persediaan akhirat sebagaimana yang dituntut dan diajarkan oleh Islam. 

Setiap manusia memerlukan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti dan perkara. Dalam satu hari misalnya kita memerukan masa untuk tidur dan rehat, bekerja atau belajar, bersama keluarga dan kawan, beriadah dan bersantai, melakukan ibadat dan lain-lain mengikut keperluan sendiri. Apakah semua ini telah dapat kita jadualkan, aturkan dan sempurnakan dalam konteks pengurusan masa yang berkesan dan berkualiti atau kita masih diburu dengan konflik dan kelemahan pengurusan masa. Kita juga perlu memikirkan dan cuba mengatasi apa sahaja bentuk kelemahan dalam pengurusan masa agar kita tidak menyesal dan mahu menuntut kembali masa yang telah berlalu pergi.

Wednesday, March 23, 2011

TITISAN TINTA - SIRI 8

ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI PENGALAMAN

Teori dan aplikasi dalam dunia pendidikan telah mengakui bahawa setiap anak lebih banyak belajar menerusi komunikasi atau kontak dengan alam persekitaran atau pengalaman yang dilaluinya dalam realiti yang sebenar. Mereka berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, objek dan apa sahaja yang ada disekelilingnya. Anak-anak belajar menggunakan semua pancaindera dan sekaligus mengembangkan mindanya. Pelbagai perkara dipelajari menerusi penglihatan, pendengaran, sentuhan fizikal, perasaan hati/emosi dan daya pemikiran.

Pakar-pakar pendidikan dan psikologi sejak dulu hingga kini mencipta dan memperkenalkan pelbagai teori dan model pengajaran dan pembelajaran. Mereka memperkenalkan teori-teori tingkahlaku, keperluan kendiri. personaliti, motivasi, pembelajaran masteri, kecerdasan pelbagai, kemahiran-kemahiran belajar dan berfikir Semuanya mempunyai rasional, konsep dan amalan-amalan tersendiri.

Biar apapun teori dan model (termasuk pendekatan, kaedah dan teknik) yang digunakan  dalam pengajaran dan pembelajaran, ia bukanlah menjadi persoalan pokok kerana semuanya itu hanyalah cara untuk sampai kepada matlamat atau objektif yang hendak dicapai. Apa yang penting ialah penggunaan sebarang teori atau model (pendekatan, kaedah dan teknik) itu mestilah sesuai dengan peringkat umur, kesediaan dan kebolehan individu dari segi JERI (jasmani, emosi, rohani dan intelek) murid dan pelajar serta hasil pembelajaran yang diharapkan.


Dalam hubungan pembelajaran menerusi pengalaman sendiri dan komunikasi dengan alam persekitaran, baik kita renungkan beberapa rangkap madah atau ungkapan seorang ahli pendidik Inggeris yang boleh menyebabkan kira berfikir secara serius dan menyuluh ertinya dengan hati budi sebagai seorang guru atau pendidik yang sejati.

Children Learn What They Live
By Dorothy Law Nolte, Ph.D.

If children live with criticism, they learn to condemn.
If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with fear, they learn to be apprehensive.
If children live with pity, they learn to feel sorry for themselves.
If children live with ridicule, they learn to feel shy.
If children live with jealousy, they learn to feel envy.
If children live with shame, they learn to feel guilty.
If children live with encouragement, they learn confidence.
If children live with tolerance, they learn patience.
If children live with praise, they learn appreciation.

If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with approval, they learn to like themselves.
If children live with recognition, they learn it is good to have a goal.
If children live with sharing, they learn generosity.
If children live with honesty, they learn truthfulness.
If children live with fairness, they learn justice.
If children live with kindness and consideration, they learn respect.
If children live with security, they learn to have faith in themselves and in those about them.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

Copyright © 1972 by Dorothy Law Nolte Children Learn What They Live
By Dorothy Law Nolte, Ph.D.


TEMAN SETIA

Ingat dan lupa
akrab lagi setia
silih berganti
macam tidur dengan jaga

Bilaku ingat. Engkau ada
dalam hati melintas lalu
kuukir di bibir bukan senyuman
terpahat dijiwa memugari iman

Bilaku lupa, Engkau tiada
lesap ditelan sibuk
hiruk pikuk gilakan dunia
buru  harta, takhta, wanita

Butakah mata, matikah hati
sasaukah akal, luputkan budi
zalim pada diri sendiri
nafsu sudah memerintah hati

Apakah aku dan juga kau
terus ingat atau terus lupa
atau ingat-ingat lupa
atau lupa-lupa ingat
Ingat dan lupa milik siapa
Dia atau kita?

Kelana Putera
Bandar Bukit Puchong
Selangor DE
28 Februari 2011
25 R'Awal 1432

Tuesday, March 22, 2011

WASIAT

NIKMAT ALLAH  (SYEIKH AHMAD IBNU ATHAILLAH)

"Sesungguhnya manusia dalam menghadapi nikmat Allah terbagi menjadi tiga golongan, iaitu:
Pertama, orang yang lalai kepada Allah dengan kelalaian yang amat sangat. Pengaruh inderanya sangat kuat sehingga mata hatinya padam tak bersinar. Maka dia selalu melihat kebaikan (pertolongan) itu dari makhluk, bukan dari Allah Penguasa Sekelian Alam. Bila yang demikian ini sudah merupakan iktikad, maka syiriknya sudah jelas. Ertinya dia itu termasuk orang musyrik. Tetapi kalau hal itu hanya sandaran sahaja (ertinya pemberi kebaikan adalah Allah, tetapi disandarkan bahawa penyebabnya adalah makhluk) maka syiriknya termasuk samar.

Kedua, orang ahli hakekat (orang khash), iaitu orang yang telah melupakan makhluk kerana telah melihat Allah (dengan penglihatan mata hatinya). Dia telah melenyapkan sebab-musabab kerana telah melihat Dzat yang menentukan sebab (Allah). Dia itulah adalah hamba yang telah mengadap dihadapan Allah, yang terlihat atasnya cahaya Allah, yang telah berjalan menuju thariqah hingga dia benar-benar mencapai puncaknya. Hanya saja dia itu telah tenggelam dalam cahaya tauhid yang dapat menghapuskan mata hatinya dari melihat makhluk. Hilangnya rasa keduniaan telah mengalahkan keghairahannya kepada dunia, pertemuannya dengan Allah telah mengalahkan penglihatannya kepada makhluk, lenyapnya di dalam Dzat Allah telah mengalahkan perasaanya bercampur dengan makhluk dan hilangnya keadaan makhluk dari penglihatannya telah mengalahkan perasaan hadirnya bersama makhluk.
Ketiga, dari yang paling sempurna daripadanya adalah hamba yang telah minum karunia Allah dan cahaya tauhid-Nya. Maka menjadi bertambah kesedarannya dan hilang penglihatannya kepada dunia. Menjadi bertambah pula rasa kehadirannya di hadapan Allah, maka tidaklah pertemuannya dengan Allah bisa menghalangi penglihatannya kepada makhluk,  dan tidaklah penglihatannya kepada makhluk bisa menghalangi pertemuannya dengan Allah. Dan tidaklah  lenyapnya dirinya di dalam Dzat Allah itu menghalang perasaannya yang tetap bercampur dengan makhluk, dan tidak pula perasaaannya yang tetap bercampur dengan makhluk bisa menghalangi kelenyapan dirinya di dalam Dzat Allah. Dia berikan kepada setiap yang punya hak akan haknya.

Golongan ketiga ini adalah golongan yang dapat bersyukur kepada Allah dan kepada makhluk. Dan dia tidak akan lupa kepada Allah sewaktu bercampur dengan makhluk. Kedua-duanya dipenuhi hak dan bagiannya masing-masing"

Sunday, March 20, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah s.w.,t. yang paling mulia dan sempurna. Manusia diperintah untuk menyembah dan taat setia sebagai HAMBA dan sekaligus diangkat sebagai KHALIFAH untuk memerintah dan mentadbir muka bumi. Biar apa sekalipun kewajipan, amanah dan tanggungjawab ini mestilah dipikul dan dikerjakan dengan sebaik- baiknya. Diri kita dilengkapi dengan jasad, roh, hati, akal dan nafsu. Semuanya mempunyai kedudukan, peranan dan pengaruh dalam hidup kita di dunia kemudiannya membawa ke akhirat kelak.

Sebagai manusia kita membesar dan dibesarkan secara berperingkat-peringkat untuk menjalani semua urusan dunia dan akhirat. Secara ringkas hidup kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah harus bermula dengan peringkat kenal diri sendiri terus kepada sedar diri, membawa keperingkat rendah diri dan serah diri. Semua ini boleh berlaku dan mungkin telah berlaku kepada diri anda menerusi proses penyucian hati dan jiwa yang begitu hebat dengan segala macam dugaan dan cabaran, yang pasti dengan pertolongan dan hidayah Allah s.w.t. jua.

Seorang ulama Indonesia, Abdul Qadir bin Abdul Muthalib (Al-Indunesia Al-Mandili) telah siap menyusun kitab ini pada 7 Rejab 1378 Hijrah yang kenudiannya diterjemahkan dengan judul PENAWAR BAGI HATI  terbitan Al Hidayah Pub 2010. Dalam kata pendahuluan kitabnya penulis menyatakan bahawa 

"Ketahui olehmu bahawasanya ilmu tasawwuf itu pengetahuan yang diketahui dengan dia akan segala kelakuan hati, sama ada kelakuan yang dipuji seperti merendah diri dan sabar atau kelakuan yang tercela seperti dengki dan membesarkan diri.  Dan adapun faedahnya maka menyampaikan ia kepada mengosongkan hati daripada yang lain daripada Allah Ta'ala dan menghiasinya dengan memandang kepada Tuhan sekalian alam. Dan hantarannya  maka iaitu hati manusia daripada pihak yang datang kepadanya"

Bahagian pertama kitab ini memberi penjelasan dan huraian mengenai anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, faraj (kemaluan), dua tangan dan dua kaki. Semua anggota ini mestilah dijaga dan digunakan dengan sebaik-baiknya kerana ia boleh mendatangkan sama ada faedah dan kebaikan atau bencana dan kejahatan di dunia dan di akhirat.

Bahagian kedua kitab ini memberi huraian dan penjelasan mengenai 10 perkara yang Allah Ta'ala keji iaitu; Sangat loba atas makanan, sangat loba atas berkata-kata, marah, dengki, kikir dan kasih akan harta, kasih akan kemegahan, kasih akan dunia, membesarkan diri, ujub dan riya'.

Bahagian ketiga kitab ini pula menyatakan 10 perangai yang  Allah Ta'ala puji  iaitu; Taubat daripada segala dosa, takut akan Allah Ta'ala, zuhud (benci akan dunia dan berpaling daripadanya), sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, kasih akan Allah Ta'ala, redha dengan qadha Allah Ta'ala dan mengingat akan mati.

Semua perkara inilah telah banyak dijelaskan dan dikupas oleh par ulamak besar Dunia Islam sejak dulu lagi di negara-negara Timur Tengah, Nusantara dan Asia Selatan. Fikirkan dengan mendalam dan berusahalah sedaya upaya  agar kita dapat  membersihkan dan menyucikan hati yang rosak dan tercela sehingga mendapat redha Allah s.w.t. Wallahuualam, salam sejahtera.

Tuesday, March 15, 2011

TITISAN TINTA - SIRI 7

AMALAN AKHLAK YANG BAIK - TAAT KEPADA IBUBAPA

Setiap diri yang lahir ke dunia ini pasti bergelar anak dan memiliki ibu dan bapa. Dua insan pertama yang paling istimewa dan paling dekat dengan diri kita ialah  ibu dan bapa. Sebagai anak dan hamba Allah s.w.t. kita berkewajiban dan bertanggungjawab untuk mentaati Allah, Rasul dan kedua ibubapa.

Kita tidak terlepas daripada amanah dan tanggungjawab terhadap kedua-duanya.  Kewajiban dan amanah ini sebenarnya merupakan perintah Allah s.w.t terhadap setiap manusia. Ia merupakan sebahagian daripada keteguhan iman, ajaran Rasulullah s.a.w. dan amal soleh. Berikut ini saya perturunkan petikan beberapa firman Allah s.w.t. dan sabda Baginda Rasulullah s.a.w. berkaitan topik ini untuk pemikiran dan renungan mida hati budi kita dan umat Islam seluruhnya. 
  1. Kedua ibubapa kita diberi darjat dan kedudukan yang tinggi sebagaimana firman Allah s.w.t  "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa..." (An-Nisa; 36)
  2. "Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) pada kedua orang ibu bapanya: ibunya telah mengandungnya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya dalam dua tahun" (Luqman: 14)
  3. "Jika salah seorang diantara keduanya ( ibubapa) atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada nereka perkataan yang mulia"  (Israk:23)
  4. "Dan redhakanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku sewaktu kecil" (Al-Isra': 24) 
  5. Sabda Baginda s.a.w. bermaksud "Redha Allah bergantung kepada redha kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah bergantung atas kemurkaan kedua ibubapa"
  6. Sabda Baginda s.a..w. bermaksud "Apabila mati seseorang insan terputuslah amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya"
  7. Sabda Baginda s.a.w. bermaksud  "Tiga orang yang diharamkan Allah Maha Berkat Maha Tinggi memasuki syurga: Tahi arak, penderhaka terhadap kedua ibu bapanya dan yang membiarkan isterinya melakukan perbuatan keji"  (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)
Rumusannya sebagai anak, kita semua mempunyai pelbagai kewajiban dan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa iaitu: mentaati, menghormati, mengasihi, memelihara maruah, menguruskan jenazah ibu bapa melunaskan hutang dan wasiat ibubapa, meneruskan silaturahim dengan orang-orang yang disukai ibubapa dan berdoa untuk kedua-duanya. Selain itu kita juga telah mendengar dan mungkin telah menyaksikan pelbagai berita, cerita dan peristiwa suka duka, derita bahagia berkaitan hubungan antara anak-anak dengan ibu dan bapa yang patut kita teladani dan sempadani.

Ada satu peroalan dalam hal ini iaitu; sejauhmanakah kita telah menjalankan perintah Allah s.w.t. terhadap kedua ibubapa kita? Marilah kita bermuhasabah diri dan membaiki ketaatan dan berbuat baik kepada ibu dan bapa kerana sudah pastinya kita menerima balasan Allah s.w.t. di dunia ini dan diakhirat kelak. Dan peluang ini hanya datang sekali sahaja dan sama-sama kita tunaikan perintah dan amanah  terhadap ibu dan bapa kita ini sebaik-baiknya. Sekian salam sejahtera, semoga kita sentiasa beroleh rahmat dan hidayah-Nya

Tuesday, March 8, 2011

Memori ini
i
Berlari dalam minda
bermain di penjuru kalbu
sejarah perjalanan diri
merakam beribu hari
hanyalah kenangan belaka
aku tinggalkan jua

Menjajah usia remaja dewasa
pusing keliling roda hidup
kerja buat seorang cikgu
anak didik dah jadi manusia
tabur jasa di desa dan kota
ii
Bunga-bunga harapan bangsa
sumber ilham teguhkan jiwa
hati kecilku ada bertanya
dapat aku bertahan sampai ujungnya
tidak jemu dan kecewa
dalam kerja dituduh kaku

Minda dan hati tidak goyang
isi aspirasi bangsa merdeka
sediakan generasi hadapan
meredah globalisasi liberalisasi
melayari dunia dihujung jari
jadi penerima dan pemberi
iii
Jayakan visi dan misi
pendidikan Malaysia terbilang
generasi baru gagah perkasa
bela diri, keluarga dan bangsa
di persada persaingan global
tidak hilang di mata dunia 

Semuanya jadi kenangan rindu
masa berertiku telah berlalu
kini aku hanya menunggu
senja damai menutup hariku
aku masih belum jemu
menghirup segar udara pagi
iv
Berteduh dari panas mentari
merenung diri dikala senja
apakah aku telah berbakti
pada Dia dan manusia
hanyalah sebiji padi cuma
kuharapkan jadi benih berisi

Pada anak cucu cicit menanti
ingin jua kuwariskan cebisan
pancaran minda dan hatiku ini
menyuluh hati budi
perkasakan diri kalian
jadi insan mukmin sejati

Hanya dapat kutinggalkan
bukan emas permata intan
bukan nama yang terbilang
cuma sebuah kasih sayang
berbunga mawar merah
hiasai memori ini

Kelana Putera
Ipoh, 26 Februari 2011
23 R'Awal 1432