Sunday, March 20, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah s.w.,t. yang paling mulia dan sempurna. Manusia diperintah untuk menyembah dan taat setia sebagai HAMBA dan sekaligus diangkat sebagai KHALIFAH untuk memerintah dan mentadbir muka bumi. Biar apa sekalipun kewajipan, amanah dan tanggungjawab ini mestilah dipikul dan dikerjakan dengan sebaik- baiknya. Diri kita dilengkapi dengan jasad, roh, hati, akal dan nafsu. Semuanya mempunyai kedudukan, peranan dan pengaruh dalam hidup kita di dunia kemudiannya membawa ke akhirat kelak.

Sebagai manusia kita membesar dan dibesarkan secara berperingkat-peringkat untuk menjalani semua urusan dunia dan akhirat. Secara ringkas hidup kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah harus bermula dengan peringkat kenal diri sendiri terus kepada sedar diri, membawa keperingkat rendah diri dan serah diri. Semua ini boleh berlaku dan mungkin telah berlaku kepada diri anda menerusi proses penyucian hati dan jiwa yang begitu hebat dengan segala macam dugaan dan cabaran, yang pasti dengan pertolongan dan hidayah Allah s.w.t. jua.

Seorang ulama Indonesia, Abdul Qadir bin Abdul Muthalib (Al-Indunesia Al-Mandili) telah siap menyusun kitab ini pada 7 Rejab 1378 Hijrah yang kenudiannya diterjemahkan dengan judul PENAWAR BAGI HATI  terbitan Al Hidayah Pub 2010. Dalam kata pendahuluan kitabnya penulis menyatakan bahawa 

"Ketahui olehmu bahawasanya ilmu tasawwuf itu pengetahuan yang diketahui dengan dia akan segala kelakuan hati, sama ada kelakuan yang dipuji seperti merendah diri dan sabar atau kelakuan yang tercela seperti dengki dan membesarkan diri.  Dan adapun faedahnya maka menyampaikan ia kepada mengosongkan hati daripada yang lain daripada Allah Ta'ala dan menghiasinya dengan memandang kepada Tuhan sekalian alam. Dan hantarannya  maka iaitu hati manusia daripada pihak yang datang kepadanya"

Bahagian pertama kitab ini memberi penjelasan dan huraian mengenai anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, faraj (kemaluan), dua tangan dan dua kaki. Semua anggota ini mestilah dijaga dan digunakan dengan sebaik-baiknya kerana ia boleh mendatangkan sama ada faedah dan kebaikan atau bencana dan kejahatan di dunia dan di akhirat.

Bahagian kedua kitab ini memberi huraian dan penjelasan mengenai 10 perkara yang Allah Ta'ala keji iaitu; Sangat loba atas makanan, sangat loba atas berkata-kata, marah, dengki, kikir dan kasih akan harta, kasih akan kemegahan, kasih akan dunia, membesarkan diri, ujub dan riya'.

Bahagian ketiga kitab ini pula menyatakan 10 perangai yang  Allah Ta'ala puji  iaitu; Taubat daripada segala dosa, takut akan Allah Ta'ala, zuhud (benci akan dunia dan berpaling daripadanya), sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, kasih akan Allah Ta'ala, redha dengan qadha Allah Ta'ala dan mengingat akan mati.

Semua perkara inilah telah banyak dijelaskan dan dikupas oleh par ulamak besar Dunia Islam sejak dulu lagi di negara-negara Timur Tengah, Nusantara dan Asia Selatan. Fikirkan dengan mendalam dan berusahalah sedaya upaya  agar kita dapat  membersihkan dan menyucikan hati yang rosak dan tercela sehingga mendapat redha Allah s.w.t. Wallahuualam, salam sejahtera.

No comments:

Post a Comment