Saturday, April 16, 2011

TITISAN TINTA SIRI 11


Dalam TITISAN TINTA SIRI 10 yang lalu kita telah serba sedikit tahu mengenai dua sifat terpuji (Mahmudah) iaitu Taubat dari segala dosa dan Takut Akan Allah Taala. Dalam siri ini marilah kita sama-sama cuba memahami maksud sifat ZUHUD dan seterusnya mengamalkan dalam kehidupan harian yang penuh cabaran dan dugaaan ini semata-mata dengan tujuan mendapat keredhaan Allah Taala jua.

Secara ringkasnya ZUHUD bermaksud menjauhkan diri dari dunia dan mendekatkan diri dengan akhirat. Dalam hakikat yang sebenarnya ia bermaksud menjauhkan dunia dari hati dan fikiran dalam sempadan dan batas tertentu.  Orang-orang yang dikurniakan sifat  zuhud ini biasanya mengambil bahagiannya di dunia ini sekadar untuk memenuhi keperluan hidup sahaja, tanpa berlebihan dan keterlaluan. Hatinya lebih cenderung kepada Allah Taala dan hari Akhirat serta tidak tertarik dan gemar kepada dunia. Dalam hal ini timbul beberapa istilah yang menyentuh sifat zuhud seperti berpaling daripada dunia, bencikan dunia dan mencela dunia.

Zuhud bukanlah bererti menolak dunia seluruhnya atau menolaknya secara mutlak. Orang-orang yang zuhud hanya mengambil keperluan  untuk dirinya sekadar untuk  meneruskan hidup seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain dan menjadiknnya sebagai jambatan atau alat untuk lebih mentaati Allah Taala. Dia tidak mengambil secara berlebihan dan keterlaluan. Cara hidup yang dipilih ini tidaklah merendahkan atau menghilangkan tahap zuhud seseorang. 

Kecintaan kepada kehidupan dunia biasanya boleh mengugat kecintaan pada kehidupan akhirat. Jika kecintaan kepada dunia begitu kuat, maka kecintaan kepada akhirat akan sussut. Begitulah sebaliknya. Dalam hal ini ada beberapa sabda Baginda s.a.w. yang elok jika kita renung dan selami ertinya secara mendalam.

1. "Apabila Allah hendak menganugerahkan kebaikan kepada seseorang, dia akan menjadi zuhud di dunia dan gemar kepada akhirat dan dapat melihat keaiban dirinya."

2. "Sesiapa yang mencintai akhirat, akan terancamlah dunianya. Dan sesiapa yang mencintai duna, akan terancamlah akhiratnya. Kerana itu hendaklah kamu memilih yang kekal (akhirat) daripada yang membinasakan (dunia)."

Islam sebenaya mengajak umatnya berzuhud tetapi tidak mencela atau menolak dunia secara mutlak. Iman Al-Ghazali mentakrifkan zuhud sebagai "benci hatinya pada dunia dan meninggalkan dunia kerana berbuat taat kepada Allah, sedangkan dia mampu memiliki dunia itu." Dalam persoalan ini Imam Al-Ghazali dalam kitabnya yang bertajuk MENCELA DUNIA menceritakan satu kisah Baginda Rasulullah s.a.w. terjumpa seekor kambing yang sudah mati, lalu Baginda bersabda kepada para sahabat dengan satu soalan -Tidakkah kamu melihat bahawa kambing ini tiada berharga lagi kepada tuannya? Para sahabat menjawab bahawa benar katamu, maka sebab itulah tuannya telah membuangnya.

Maka Baginda s.a.w. bersabda dengan maksud "Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggemanNya, bahawasanya dunia itu adalah lebih tiada berharga lagi disisi Allah daripada kambing ini kepada tuannya. Andaikata dunia itu dipandang berharga menyamai selembar sayap seekor nyamuk di sisi Allah, niscaya Dia tiada akan memberi minum seorang kafir meskipun seteguk air."

Baginda s.a.w. bersabda dengan maksud "mincintai dunia itu adalah pokok segala kesalahan." dan bersabda mengenai kehidupan dunia bermaksud "Sesungguhnya dunia itu indah dan menawan hati, dan bahawasanya Allah Taala menjadikan kamu sebagai orang-orang yang mewarisinya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan."

Imam Al-Ghazali seterusnya menyatakan, Ingatlah bahawa dunia dan akhirat itu dua perkara yang menyangkut gerak geri hatimu. Yang dekat atau yang berlaku sekarang ini dinamakan DUNIA, iaitu segala sesuatu yang dikecapi dan dilakukan sebelum mati. Sedang yang terkebelakang atau yang ditangguhkan itu dinamakan AKHIRAT, iaitu segala sesuatu yang dirasakan sesudah mati.

Satu perkara yang harus kita semua mengerti ialah bahawa segala yang kita miliki dari bahagian nasib, tujuan, syahwat, kelazatan dan segala-galanya yang kita rasakan sekarang ini dan sebelum mati itulah yang dinamakan dunia yang menjadi hak kita. Tetapi harus diingat bahawa bukan semua yang kita miliki, atau yang kita sedang cenderung kepadanya dari bahagian, nasib atau sebagainya dari urusan keduniaan itu dianggap tercela. Semua urusan itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Pertama, milik yang mengikuti kita hingga ke akhirat dan faedahnya ikut bersama-sama sesudah kita mati, iaitu ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan-amalan soleh.

Kedua, milik yang berlawanan dengan yang pertama di atas, iaitu semua perkara yang menentukan bahagiannya di dunia sahaja, tetapi tidak ada faedahnya sama sekali di akhirat seperti berseronok melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar serta semua yang dilakukan sia-sia, tiada faedahnya. Segalanya inilah yang merupakan urusan keduniaan yang tercela.

Ketiga, milik yang terletak di pertengahan antara dua bahagian terdahulu, iaitu setiap bahagian yang dikecapi dalam urusan keduniaan itu, semata-mata untuk menolong kita di akhirat. Ini termasuklah segala kerja dan usaha mencari ilmu pengetahuan dan kep berbagai erluan hidup di dunia.

Ringkasnya segala yang bertujuan bukan kerana Allah Taala, maka itu dikatakan bahagian dunia. Sebalikya segala yang dimaksudkan untuk mendapat keredhaan Allah Taala, maka itu bukanlah yang terkira dari bahagian dunia.

Hakikatnya dunia itu ibarat benda-benda yang memang ada untuk dipergunakan bagi kepentingan manusia. Allah Taala berfirman "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa-apa yang ada di atas muka bumi itu, sebagai perhiasannya untuk kami menguji mereka, siapakah di antara mereka itu yang amat baik amalannya." (al-Khaf:7).  Dan firmanNya "Telah dihiaskan bagi manusia itu mencintai hawa nafsu terhadap wanita, anak pinak, kekayaan yang melimpah ruah dari emas dan perak, kuda yang tangkas, binatang-binatang  ternakan dan sawah ladang. itulah kesenangan kehidupan dunia." (ali-Imran:14) Ringkasnya hidupdi dunia ini hanyalah ujian dan cobaan Allah Taala kepada manusia untuk menentukan siapakah yang beriman, taat dan beramal soleh. 

Dalam perkara ini, ada dua pertalian antara manusia dan dunia iaitu; Pertama, pertalian urusan keduniaan dengan hati manusia (batin) iaitu mencintai benda-benda itu untuk memilikinya sehingga menjadi seperti hamba yang memperhambakan diri kepada kemahuan tuannya, atau seperti seorang kekasih yang sangat merindui kesasihnya. Dalam hal seperti ini hati kita menjadi begitu terikat dengan urusan keduniaan. Dalam keadaan ini manusia sanggup menjadi hamba kepada tuntutan hawa nafsu dan gilakan dunia seperti kekayaan, pangkat, kedudukan   dan lain-lain sehingga melhirkan sifat-sifat keji (mazmumah) seperti takabbur, dendam, hasad dengki, membesar dan membangga diri, buruk sangka, tamak haloba dan lain-lain.

Kedua, pertalian urusan dunia dengan jasad/tubuh badan, iaitu dengan segala usaha dan kerja yang kita lakukan untuk mendapat dan meneruskan kehidupan bagi diri, keluarga dan juga bagi kebaikan orang-orang lain.

Mengenai kehidupan dunia ini Allah berfirman "Sebenarnya kehidupan dunia itu ialah permainan, senda guruan, perhiasan, bermegah-megahan di antara kamu dan berbanyak-banyak dalam harta kekayaan dan anak-pinak." (al-Hadid:20) Apa yang baik ialah menjalani hidup ini dengan sederhana dan lurus, tidak terlampau memberatkan atau meringankan.

Dari penjelasan ringkas dan terhad diatas, marilah juga kita renungkan wasiat Ali bin Abi Talib  yang boleh dianggap sebagai suatu mutiara hidup yang amat berguna kepada kita semua sebagai seorang muslim iaitu adakah kita mahu menjadi anak dunia atau anak akhirat?  Setiap kita tentu pasti boleh menjawab dan memilihnya. Yang mana lebih baik dan kekal abadi. Wallahu'alam.




No comments:

Post a Comment