Rinduku tetap padaMu
Mataku buta melihat Engkau
Engkau zahir dalam hatiku
Engkau anugerahkan rahmatMu
Engkau pancarkan hidayatMu
Akupun jadi rindu
Rinduku tetap rindu
Rindu dulu, kini dan selamanya
Kukirimkan salam rinduku
Tanpa warkah biru untukMu
Hanya dengan doa dan sendu
Aku lemah kerana rindu
Aku gagah kerana rindu
Aku rindu setiap waktu
Rinduku tetap padaMu
KelanaPutra
Dungun-Kenyir-Gua Musang
27 Jun 2010
Mawar Merah
Sekuntum mawar merah
Laksana cinta indah
Berputik di dalam syurga
Cinta pertama Adam dan Hawa
Kembara bersama ke alam dunia
Kembang mekar mewangi
RIndu asmara kasih mesra
Diragut durinya meskipun berbisa
Piagam cinta mawar merah
Idaman raja mahupun hamba
Berseri di pondok usang
Semerbak di mahligai kayangan
Berbahagialah berjuta insan
Ibrahim - Hajar di gurun cinta
Yusof - Zulaikha di istana cinta
Muhammad- Khadijah di wadi cinta
Juga aku bersama dia
Mendaki gunung menuruni lembah
Memetik mawar merah
Damailah dunia sudahnya
Kelana Putra
PULAU REDANG
11 JUL 2010
Visi Cinta Agung
Sumpah setia cinta agung
dari Dia, kerana Dia, untuk Dia
cermin hati tenang jiwa
satu makna sejuta harapan
berbunga berputik di celah kemelut dunia
gunung iman bertunjang memasak bumi
cahaya ilmu menyilau siang menerangi malam
sungai amal menyusur ke lautan ihsan
anugerah kepada para rasul, nabi dan wali
belaian asmara, rindu dendam, mabuk cinta
serah diri tiada berpaling kepada dunia
siang malam merindui kekasihNya
Berkorban jiwa, harta dan apa sahaja
Mata hati menyelami hakikat dan makrifat
Mekar mewangi tersohor dalam mahligai syurga
Sabar setia cinta pada Yang Maha Esa
Kelana Putra
TAMAN PERMATA
KUALA LUMPUR 8 Julai 2010
Kembara Insan
Perjalanan kita bermula di sini
dari suatu perhentian yang asyik
pentas manusia hilai ketawa
gedung emas dan permata
kita hanyut dan terpesona
kasihkan dunia tidak terkira
Perjalanan ini tidak terperi jauhnya
bukan sejuta batu tidak sejuta tahun
langkah yang tidak mampu dihitung kira
mungkinkah sejauh bumi ke matahari
atau dari bulan ke bintang kejora?
kita tidak mampu undur kembali
Perjalanan ini memang ada garis mula
namun bilakah dan d I manakah destinasinya?
bukan dengan kapalterbang atau jet supersonik
tanpa bekal air mineral mahupun makanan segera
tiada telefon bimbit tiada komputer riba
Bertemankan nur iman dan amal taqwa
Di sana kita berkelana sendirian
hati amat pilu, luka dan duka
meredah lautan keringat, darah dan air mata
bersama mimpi sangat ngeri menakutkan
bayangan pelbagai misteri ciptaan Ilahi
jadi benci dan kesal pada wajah sendiri
Sesalan pasti tiada gunanya
kerana hidup dan mati hanya sekali
diri sendiri sebatang kara
bercucuran air mata tanpa sudahnya
tiada lagi bantuan dari sahabat dan taulan
masing-masing bawa diri sendiri
Perjalanan ini tidak mampu undur kembali
tetap mara menuju Perhimpunan Yang Maha Raksasa
menanti pengadilan Yang Maha Esa
mungkin 1000 tahun lamanya
mampukah kita megadapNya
atau mati dalam perjalanan ini?
Kelana Putra
Tasik Kenyir
27 September 2010
No comments:
Post a Comment