Saturday, November 30, 2013

Getaran Jiwa - Keagungan CintaMu

Keagungn Cinta-Mu

Ya Rabbi, Ya Ilahi
betapakah agungnya
kasih sayang cinta-Mu
pada makhluk melata
di langit dan di bumi
serta di antara keduanya
tiada henti tiada putus.

Dikau limpahkan rahmat dan
hidayahMu di mana jua
tak kira rupa dan warna
pada siang pada malam
dalam susah dalam senang
jalan petunjuk dan hidayahMu
pada hati-hati manusia
agar tidak sesat tersasar.

Alangkah sayangnya!
tidak ramai yang memilikinya
anugerah sepanjang usia
nyawa dan kehidupan ini
bukanlah berjuta harganya
meskipun ia adalah sementara
untuk abdikan diri padaMu
dan berbuat kebaikan kepada manusia.

Di sana nanti belum pasti
hanya yang taat sabar setia
Dikau janjikan hidup damai sejahtera
dalam mahligai istana syurgaMu
kini, aku dan kami semua
megharap memohon meminta
nikmat abadi cinta-Mu
Dikau, Yang Maha Pengasih,
lagi Maha Penyayang,

Kelana Putra
Dungun
Rabu 19 Oktober 2011
22 Dzulkaedah 1432

 

Friday, November 29, 2013

MENCINTAI ALLAH

TANDA-TANDA ORANG YANG MENCINTAI  ALLAH

1.Redha dengan segala ketentuan Allah.
2.Mencintai kebaikan dan sanggup melakukannya.
3.Taat kepada perintah kedua ibu bapa.
4.Melakukan amalan ahli syurga.
5.Membasahi lidah dengan zikir.
6.Menjauhi larangan-larangan Allah.
7.Takut dengan perbuatan yang haram.
8.Meninggalkan dosa-dosa besar dan menjauhi dosa-dosa kecil.
9.Menunaikan hak Allah dan hak hamba.
10.Mencintai dan mengamalkan sifat malu.
11.Istiqamah dan berpegang teguh pada jalan yang lurus.

(Rumusan drp; Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah: Cinta dan Rindu Kepada Allah)

 

MENERIMA SURAT AMALAN DAN BALASAN

MENERIMA SURAT AMALAN  DAN BALASAN ALLAH
Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu sehingga (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menerima balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, - Maka ia akan dihisab dengan cara mudah dan ringan. Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya. Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya. Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. (AL-INSYIQAAQ; 6-12)

Thursday, November 28, 2013

CINTA & RINDU KEPADA ALLAH

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi (mencintai) Allah, ikutilah daku nescaya Allah mengasihimu (mencintaimu) dan mengampunkan dosa-dosamu". (A-Li Imraan: 31)

MANUSIA BERSELISIH DALAM MENJALANKAN AGAMA ALLAH

BERSELISIH KERANA HASAD DENGKI SESAMA SENDIRI

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perseisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. (ASY-SYUARA: 14)

Wednesday, November 27, 2013

APAKAH JUAL BELI YANG PALING MENGUNTUNGKAN?

ALLAH BERJUAL BELI DENGAN HAMBANYA YANG BERIMAN

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang sedemikian ialah) sebagai janji yang benar yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapa lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”.(AT-Taubah: 111)

 

BANI ISRAEL DITEMPELAK

ALLAH MENEMPELAK BANI ISRAEL

6.Katakanlah (wahai Muhammad), Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain,  maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar. 7. Dan (sudah tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.(Al-JUMU’AH:6-7)

WASIAT NABI IBRAHIM

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim); "Aku berserah diri (tunduk taat kepada Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbirkan sekelian alam". Dan Nabi Ibrahimpun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakob (berwasiat  kepada anak-anaknya) katanya: "WAHAI ANAK-ANAKKU ! SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMILIH AGAMA (ISLAM) INI MENJADI IKUTAN KAMU, MAKA JANGANLAH KAMU MATI MELAINKAN KAMU DALAM KEADAAN ISLAM". (AL-BAQARAH; 131-132)

Sunday, November 24, 2013

Renungan Al-Quran 437

KEKECUALIAN MENUTUP AURAT?
55. Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan  Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesugguhnya Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (AL-AHZAAB;55)

HARI QIAMAT

Hari Qiamat
 
Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia dibertahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (AL-QIAMAT; 12-15)

Saturday, November 23, 2013

SYURGA YANG PENUH NIKMAT


“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang-orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berhjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredhaan serta Syurga; mereka beroleh dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal”. (AL-AHZAB; 20-21)

Friday, November 22, 2013

Getaran Jiwa - Salam Sejahtera

Salam sejahtera

Nabi Muhammad rasul terakhir
Pesuruh Allah membawa Al-Quran
menyebar syariat dan ajaran
tiada batas ruang sempadan
memancar cahaya ke seluruh pelusuk alam
membawa berita khabar gembira
ada petunjuk, peringatan dan amaran
untuk umat manusia akhir zaman
ada yang menentang ada yang menghina
sunnahmu yang diwasiatkan.

Hanya yang patuh mahu beriman
berbuat bakti kebajikan
dalam sembunyi mahupun terang
pada siang dan pada malam
hidup dalam syariat Islam
pasti mendapat rahmat berpanjangan
dalam dunia pancaroba kepalsuan
menuju akhirat kekal abadi
kau warisi Al-Quran agung mulia
kau wasiatkan Sunnahmu untuk ikutan manusia
"Salam sejahtera atas mu, Ya Raulullah saw.".

Kelana Putra
Taman Bijaya Sura, Dungun,
Khamis 24.1.2013
12 Rabiul-awal 1434.

 

Getaran Jiwa - Pasrah

PASRAH

Sudah termaktub
segala sumpah janji-Nya
tidak padam takkan hilang
semuanya di catat dalam Al-Kitab
sudah lengkap sempurna
rahsia dipelihara disimpan
pasti tetap terjadi dan menjadi

Sejak azali sediakala
setiap sesuatu hanya menunggu
tiba saat ketikanya
manusia hidup pasti merasai mati
di alam kubur lama menanti
dibangkitkan  hidup kembali
terima suratan amalan sendiri
dengan tangan kanan atau kiri
Sijjin atau Illiyin

Timbangan amal dihitung kita
seberat  zarrah amatlah bermakna
di atas al-mizan yang saksama
beratkah dosa atau pahala
meniti Sirath bukaannya mudah
nasib diri jadi taruhan
apakah diri  ini untung ataukah rugi
di antara dua destinasi milik-Mu
Syurga-Mu atau Neraka-Mu
aku tiada lagi daya upaya
aku hanyalah pasrah pada-Mu
Ya Rab’bi.. Ya Ilahi…!

Kelana Putra
Teluk Bidara, Dungun
Sabtu 20.1.2013
7 Rabiul-awal 1434.

Thursday, November 21, 2013

AGAMA ISLAM

AGAMA ISLAM
 
Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. (Kebanyaka manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka: (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada Kami (untuk menerima balasan) (AL-AMBIYAA: 92-93)

Wednesday, November 20, 2013

Getaran Jiwa - Asyik syahdu

Asyik syahdu

Aku, kau dan dia
melihat, melirik, menjeling
pesona raut wajah alam semesta
jauh tampak indah permai
dekat cantik jelita
langit naungi bumi
suria beredar menyinari
purnama puteri gelita
kerdipan bintang-bintang
gemerlapan memagari
samudera membelah benua
bahtera susuri pesisir
jelajah terokai pelusuk dunia
cakerawala berlegar di angkasaraya
temani cenderawasih kayangan
gunung-gunung tegak berpacak
sungai-sungai berlumba mesra
desiran sejuk nyaman damai
bumi terhampar menadahkan
tangisan langit tiada henti
hijau subur ladang taman
bunga-bunga berkembang
harum mekar wangi
kicau riang burung-burung
nyanyi bersiulan
hatiku dipaut ciptaan
aku asyik aku terpesona
aku hitung ujung usia
apakah esok aku masih
sempat bersua cengkerama
dalam dakapan mesra
ruang masa
berlagu merdu
aku asyik syahdu.

 
Kelana Putra
Percint 9, Putrajaya
3 Januari 2012
Selasa 9 Safar 1433.
  

Monday, November 18, 2013

ALLAH SWT.

ALLAH YANG MAHA PENGAMPUN

“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya” (THAHA; 82)

Sunday, November 17, 2013

Selawat ke atas Nabi saw.

Selawat Munjiyat
 
"Ya Allah, tetapkanlah kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad saw. yang dengannya dapat menyelamatkan kami dari segala bala bencana dan memenuhi segala hajat kami, membersihkan kami dari segala keburukan, mengangkatkan kami ke darjat yang lebih tinggi, dan menyampaikan kepada kami seluruh kebaikan semasa kami hidup dan sesudah mati. Ya Allah, tetapkanlah kesejahteraan ke atas sebaik-baik makhlukNya, Penghulu kami Nabi Muhammad saw. dan keatas kaum keluarga, serta sahabat-sahabat baginda sekelian".

DOA

Nabi saw. bersabda:
1. "Doa itu adalah ibadat". (HR.Abu Daud dan At-Tarmizi)
2."Doa itu senjata orang mukmin, tiang agama dan sinar cahaya langit dan bumi" (HR Al-Hakim)

Selamat....

SELAMAT

Selamat datang moga kita berjumpa mesra,
Selamat bertemu moga kita sempat memujuk rayu,
Selamat bersama moga kita berdakap erat bahagia,
Selamat bermesra moga kita asyik asmaradana,
Selamat berasmara cinta moga kita asyik lena,
Selamat berpisah moga nanti kita jumpa lagi,
Selamat mati moga kita dihidupkan kembali,
Selamat hidup kembali moga kita perolehi sejahtera abadi.

Kelana Putra,
Bandar Bukit Puchong,
Isnin 18 Nov. 2013.

 

Saturday, November 16, 2013

Getaran Jiwa - Bahtera

Bahtera

950  tahun usianya
Nuh  merayu seru
kaum kerabat umat manusia
sembah Tuhan Yang Maha Esa
namun kecewa hampa
patung-patung bikinan
mereka sembah puja
sesat ingkar durhaka
mereka  gelak tawa
katakan dia sudah sasau  gila
bina bahtera entah mahu ke mana
tiada banjir tiada gelombang
mereka sombong angkuh
tidak mahu mengikut dan percaya
mencabar  diturunkan azab seksa
tiba saat ketikanya
ribut raksasa terjah melanda
gelombang mengunung-ganang
ditinggalan isteri dan anaknya
berama kaumnya yang durhaka
hanyalah sedikit yang  mengikuti jejaknya
bersama  haiwan berpasang-pasang
dalam cemas takut bimbang
berlayarlah  mereka dalam bahtera damai
berlabuh akhirnya di Gunung Judi
maka bersambunglah zuriat manusia
“Salam sejahtera ke atasmu Nabi Nuh a.s.”

Kelana Putra
Kuala Terengganu,
Khamis 21 Feb. 2013.

 

 

Friday, November 15, 2013

Getaran Jiwa - Andainya engkau....

ANDAINYA ENGKAU…..

Jadi seorang Raja…..................janganlah kau zalim,
Jadi seorang Presiden…...........janganlah kau angkuh sombong,
Jadi seorang Hakim…..............janganlah kau pilih kasih
Jadi seorang Ulamak…............janganlah  kau berdusta
Jadi seorang Hartawan…........janganlah kau bakhil kedekut
Jadi seorang Peniaga…............janganlah kau tamak haloba
Jadi seorang Cendikiawan…...janganlah kau menipu
Jadi seorang Pendidik …..........janganlah kau leka membiarkan
Jadi seorang Pejuang…............janganlah kau membelot
Jadi seorang Pemimpin ….......janganlah kau membolot
Jadi seorang Suami …..............janganlah kau curang
Jadi seorang Isteri….................janganlah kau cemburu buta
Jadi seorang Hamba….............janganlah kau derhaka kepada Tuhanmu

Kelana Putra Dungun
Terengganu DI
Jumaat 20 September 2013.

 

Tuesday, November 12, 2013

Getaran Jiwa - Ada apa dalam cinta?

Ada apa dalam cinta?

Sebuah cinta asmara
milikku milikmu
sumpah janji setia
paduan dua hati dua jiwa
ada senyum seribu makna
ada rindu membelah kalbu
ada kasih memaut mesra
ada saying selalu terbayang
ada cemburu resah keliru
ada geram tuntut dendam
ada rayu dambakan sayu
ada benci bila tak kesampaian
ada letih menunggu kekasih
ada sayu bila tak ketemu
ada dusta untuk sembunyi
ada penawar ubati luka
ada asmara lepaskan geram
ada sunyi bila sendirian
ada kerja bila berduaan
ada asyik bila merasakan
ada syahdu bila ditangiskan
boleh ketawa boleh pengsan
ada itu ada ini
ada begitu ada begini
ada macam-macam.

Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Jumaat 19 Julai 2013.
10 Ramadhan 1434.

 

 

Sunday, November 10, 2013

Manusia

BERSYUKUR ATAU KUFUR?

7.Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya, Jika kamu bersyukur nesaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (IBRAHIM; 7)

Saturday, November 9, 2013

Kelebihan Ilmu



Ilmu itu gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat dinilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya besar sukat digunakan,
Di laut di darat di rimba di pekan.

Masa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Masa berhimpun ia pengenalan,
Hias penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.

Ia penerang jalan ke syurga,
Ia pemuas tekak yang dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,
Idaman orang yang bijaksana,
Hamparnya luas amat saujana,
Tepinya ajal sempadannya fana.



Sumber: Za'ba
Puisi Warisan, 1994.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Thursday, November 7, 2013

MENGADAP ALLAH SWT.

DATANG MENGADAP ALLAH SEORANG DIRI
 
93. Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. 94. Demi sesungguhnya Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. 95. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri. (MARYAM; 93-95)

Wednesday, November 6, 2013

Mutiara Hadis

APABILA SESEORANG HAMBA DI CINTAI DAN DIBENCI OLEH ALLAH SWT
Nabi saw. bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala itu apabila mencintai seseorang hambaNya, lalu dipanggilkan Jinril, kemudian berfirman:
“Sebenarnya Aku ini mencintai si Anu itu, maka cintailah ia. Orang itupun dcintai oleh Jibril. Selanjutnya Jibril berseru di langit dan berkata: ‘Allah mencintai si Anu, maka cintailah orang itu’. Lalu iapun dicintai oleh seluruh penghuni langit. Kemudian diletakkanlah satu penerimaan dalam hati penduduk bumi.
Sebaliknya apabila Allah Taala itu membenci membenci seseorang hambaNya, lalu dipanggilkan Jibril. Kemudian berfirman:
“Sebenarnya Aku ini membenci si Anu itu, maka bencilah ia. Orang itupun dibenci oleh Jibril. Selanjutnya Jibril berseru di langit dan berkata: ‘Allah membenci si Anu, maka bencilah orang itu’. Iapun lalu dibenci oleh seluruh penghuni langit. Kemudian diletakkanlah rasa kebencian itu dalam hati penduduk bumi.
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Monday, November 4, 2013

BERPERANG

ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERPERANG UNTUK MEMBELA AGAMA-NYA
 
4. "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh". (AS-SAFF: 4)

APAKAH ERTI KEHIDPUAN

KEHIDUPAN DUNIA UMPAMA AIR HUJAN
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuhan-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al-Kahfi: 45)
"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan." (Al-kahfi: 46)
Dalam kedua-dua ayat di atas Allah swt. memberi petunjuk dan peringatanNya kepada manusia mengenai hakikat kehidupan dunia serta perumpamaan hehidupan itu bagaikan air hujan. Supaya dengan perumpamaan ini manusia menjadi lebih memahami dan mengerti.
Pertama,  manusia patut mengisafi bahawa kehidupan dunia ini umpama air hujan yang Allah turunkan dari langit. Hujan yang turun saban masa dan ketika menyebabkan tumbuh subur tumbuhan-tumbuhan di muka bumi yang langsung memberikan pelbagai nikmat hidup. Allah memberikan nikmat hidup kepada manusia seumpama curahan hujan yang menyuburkan bumi dengan tumbuh-tumbuhan. Kehidupan manusia pada akhirnya akan lenyap sebagaimana tumbuh-tumbuhan yang kering, mati dan hilang ditiuo angin. Maksudnya kehidupan dunia ini adalah sementara, pinjaman dan fana' belaka pada sisi Allah.
Kedua, Allah mengingatkan manusia bahawa harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia yang bersifat sementara, pinjaman dan tidak akan kekal. Ini adalah hakikat kehidupan manusia biar betapa kasih sayang dan cintanya manusia kepada segala apa yang mereka miliki  di dunia ini. Tiba ketitakanya semua itu pasti hilang lenyap belaka.
Apakah yang kekal di sisi Allah? 
Dalam ayat di atas Allah berfirman "Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahala di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan".  Ada banyak amal perbuatan yang kekal dan diberi pahala di sisi Allah. Yang pastinya ialah semua amal soleh dan taqwa yang dikerjakan dengan ikhlas dan suci hati dengan mengharapkan keredhaan Allah swt. Semua amal perbuatan baik inilah yang boleh menjadi harapan dan manfaat kepada seseorang untuk membela dan menyelamatkan dirinya di hadapan Allah SWT.  di akhirat kelak.
Sekan terima kasih, Was’salam!

ALLAH TAALA

ALLAH AMAT MEMBERI AMPUN

Dan sesugguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal solah kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya. (TAHA; 82)

Saturday, November 2, 2013

Lukisan Rasa - Apa lagi..?

APA LAGI..?

Wahai manusia!
apa lagi mahumu
apakah belum cukup
apakah belum puas
diberikan segalanya
roh-jasad dan penghidupan
ayah bonda sanak saudara
sahabat handai kampung halaman
pangkat gelaran berjela-jela
emas perak bertimbun-timbun
kapal muatan redah samudera
gedung niaga di kotaraya
istana mahligai indah megah
jet supersonik berlegar di angkasaraya
perang nuklear pamer kuasa
kuasa manusia cuma
memerintah dunia
ikut nafsu jadi haloba
tiada batas hilang sempadan
jangan sekali engkau lupa
dayamu tak semacam mana
ilmumu sejengkal cuma
sesungguhnya engkau tidak mampu
cipta sehelai daun sebutir pasir
semuanya milik Dia
di bawah perintah-Nya
Dia-Lah Raja sekelian manusia.

Kelana Putra
Bandar Bukit Puchong
Selangor DE
7 Sept 2011
9 Syawal 1432.

 

Lukisan Rasa - Kasih

KASIH
Kasih sayang
suci murni
belaian  jiwa
pujaan hati
ayah-bonda kasih sejati
tetapku bawa sampai mati
kasih isteri memekar bahagia
hadapi dunia pancaroba
kasih anak permata hati
taruh harapan bergunung tinggi
kasih sahabat sukar dicari
teman tangis gelak tawa
kasih sayang selalu terbayang
dikenang  malam siang
kasih dulu dalam ingatan
kasih kini mekar wangi
kasih demi kasih
kita bawa dalam hidup
bersama mati.

Kelana Putra
Mahligai-Cinta
Kuala Terengganu
Jumaat 2 Nov 2012
17 Dzulhijjah 1433.

 

Friday, November 1, 2013

Mutiara Kata - Imam Al-Ghazali

WAHAI ANAKKU TERCINTA (Imam al-Ghazali)
"Ilmu tanpa amal adalah GILA dan amal tanpa ilmu pula adalah SIA-SIA"
Dan ketahuilah bahawasanya ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan engkau daripada perbuatan MAKSIAT, dan belum mampu mendorong engkau BERBUAT TAAT, dan tidak akan dapat menjauhkan engkau pada hari kiamat daripada API NERAKA. Dan apabila engkau tidak beramal dengan ilmu yg ada pada dirimu dan engkau tidak MEMBUAT PEMBETULAN TERHADAP SEGALA KESILAPAN yg engkau lakukan pada masa yg lalu, kelak engkau akan berkata pada hari kiamat nanti;
"Wahai Tuhan kami! Kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yg kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia untuk kami beramal soleh".
Lalu dikatakan kepada engkau: WAHAI SIBODOH, KENAPA ENGKAU HENDAK KEMBALI KE SANA, SEDANGKAN ENGKAU BARU SAHAJA DATANG DARI SANA!

Renungan Al-Quran 436

AMAL YANG BERBAGAI-BAGAI KEADAAN
 
4. Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya . 5. Jelasnya orang-orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya); 6. Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. 7. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapatkan Syurga. (AL-LAIL: 4-7)