Friday, April 29, 2011

TITISAN TINTA - SIRI 13

SIFAT-SIFAT TERPUJI: SYUKUR
SYUKUR ialah salah satu daripada sifat terpuji (Mahmudah) dan ia selalu dikaitkan dengan sifat sabar. Kita sentiasa disuruh bersyukur terutama sekali apabila kita memperoleh nikmat Allah. Adalah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita mengadakan majlis atau aktiviti keagamaan sebagai tanda kesyukuran apabila mendapat sesuatu kejayaan atau pencapaian yang kita harapkan.  Antara contohnya ialah seperti apabila mendirikan rumahtangga, mendapat cahaya mata, perniagaan yang menguntungkan, berangkat menunaikan fardhu haji, berjaya dalam pelajaran, pekerjaan dan lain-lain.
Namun satu hakikat yang patut kita semua insafi ialah bahawa  semua nikmat yang kita (penerima nikmat) perolehi itu datangnya dari Allah SWT (pemberi nikmat) kerana sifatNya Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Pernahkah kita hitung pelbagai nikmat Allah yang telah kita kecapi semenjak kita dilahirkan, dibesarkan, dididik, menjalani pengehidupan hinggalah nanti ke akhir hayat kita. Nikmat Allah untuk makhluknya begitu luas dan tidaklah terhitung.
Sifat  syukur ini seperti juga sifat-sifat terpuji yang lain seperti takut dan taat kepada Allah dan sabar  mempunyai kedudukan dan kemuliaan tertentu di sisi Allah SWT. Perhatikan dan fikirkan sedalam-dalamnya beberapa firman Allah berkaitan sifat syukur ini.
Allah berfirman “(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami utuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad) yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan mengajarkan kamu kandungan kitab (Al-Quran) serta Hikmah Kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al-Bakarah: 151)
Firman seterusnya “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).”(Al-Bakarah:152)
“Apakah gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan ingatlah Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya) lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).” (An-NIssa’: 147)
Allah berfirman: “Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu satu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.” (A-Li’ Imraan: 145)
Semua firman di atas dengan terang dan jelas memberi perintah kepada manusia supaya bersyukur kepada Allah SW dan Dialah yang memberi balasan terhadap orang-orang yang bersyukur itu.
Baginda SAW bersabda mengenai sifat syukur dan orang bersyukur. Antara sabda-sabda Baginda SAW itu bermaksud:
“Sesungguhnya Allah suka kepada hambaNya, jika makan atau minum, lalu mengucapkan Alhamdulillah.”
“Apabila Allah menghimpunkan makhluk yang pertama hingga yang akhir, maka datang penyeru, berseru dengan suara yang dapat didengar oleh semua makhluk. Kini akan diketahui oleh semua makhluk, siapakah yang patut mendapat penghomatan pada hari ini. Bangunlah orang-orang yang biasa merenggangkan  pinggangnya  dari tempat tidur, maka bangunlah mereka, dan sedikit. Kemudian seruan kedua: Bangunlah orang-orang yang tidak dapat dilalaikan oleh dagangan (jual-beli) untuk zikir kepada Allah, maka bangunlah mereka, hanya sedikit. Kemudian seruan ketiga: Bangunlah mereka yang selalu bersyukur memuji Allah dalam senang dan susah, maka bangkitlah mereka, dan merekpun hanyalah sedikit. Kemudian diadakan hisab untuk semua orang.”
“Dua macam nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya, iaitu sihat afiat dan libur (tidak ada kerja). Yakni  jarang orang yang dapat menggunakan betul-betul masa sihat dan libur itu.”
Dalam satu rumusan ringkas Imam  Al-Ghazali memberikan satu penjelasan yang begitu menarik mengenai perkara syukur dan kata beliau
“Syukur itu adalah merupakan makam yang tertinggi dari segala makam, kerana bersyukur itu sendiri adalah dimaksud dan bukan merupakan  alat, kerana itu syukur itu sendiri terdiri dari tiga perkara:”
“ILMU PENGETAHUAN – Ilmu pengetahuan yang dimaksudkan ialah pengetahuannya mengenai  nikmat dan pemberi  nikmat, bahawa nikmat seluruhnya dari Allah dan Dia sendiri yang memberikannya kepada orang yang dikehendakiNya. Sedang yang lain hanya sebagai perantara sampainya nikmat tadi.
Tentunya pengetahuan dan keyakinan yang demikian itu bersumber dari tauhid yang mendalam, dengan tauhid yang kuat orang akan mengenal bahawa apa sahaja yang ada di dalam alam semesta ini adalah merupakan ciptaanNya, dan semua macam nikmat adalah daripadaNya.
Kerana keyakinan inilah ia selalu memujinya, dan tidak akan timbul keinginan memuji kalau orang berkeyakinan bahawa nikmat itu datang dari yang lainnya. Tanpa keyakinan yang demikian itu, tidaklah sempurna pujian, pengenalan dan kesyukuran kepada Allah. Adapun gerak lidah dalam memuji hanya sebagai tanda keyakinannya tadi.”
“SIKAP JIWA – Sikap jiwa yang tetap dan tidak berubah adalah sebagai akibat dari pengetahuan dan keyakinan tadi, yang mendorongnya selalu senang dan mencintai kepada yang memberikan nikmat, dalam bentuk ketundukan dan kepatuhan hati serta membesarkan yang memberikan nikmat, kalau kerana hanya mencintai nikmat, tidalah dapat dikatakan ia mensyukuri nikmat.”
“PERBUATAN – Perbuatan ialah mempergunakan nikmat yang telah diterimanya utuk bukan yang berbuat maksiat kepada Allah, sikap yang demikian itu hanya terjadi kalau seseorang telah mengenal kebijaksanaan Allah dalam menciptakan seluruh makhlukNya ini. Sikap yang demikian hanya diberikan Allah kepada hambaNya yang dikehendakiNya saja, kerana itu sesiapa yang ingin menjadi manusia yang selalu mensyukuri nikmat Allah, hendaklah ia mengikuti sunnah, memelihara hukum-hukum Allah, dengan demikian Allah akan membukakan rahsia kesyukuran itu kepadanya.”
Dari penjelasan di atas kita patut  sedar dan insaf terhadap beberapa perkara pokok mengenai sifat syukur ini. Antaranya ialah:
  • Syukur itu merupakan perintah Allah dan Dialah yang memberi blasan kepada orang-orang yang bersyukur. Semua nikmat yang kita perolehi datangnya dari pemberi nikmat iaitu Allah, dan yang lainnya hanyalah perantara sampainya nikmat tersebut.
  • Semua orang Islam (mukmin) wajib bersyukur atas semua nikmat yang Allah kurniakan baik yang dahulu, sekarang atau akan datang. Kita mestilah bersyukur dalam semua ketika dan keadaan, dalam susah dan senang.
  • Kita kena memiliki pengetahuan, kekuatan jiwa dan perbuatan atau tingkahlaku yang betul dalam menghayati kesyukuran. Syukur yang sebenar-benarnya adalah sifat dan amalan orang-orang yang kuat iman dan beramal soleh.
  • Apakah yang akan terjadi dan kesudahannya jika kita tidak bersyukur kepada Allah?
  • Adakah kita sentiasa bersyukur kepada Allah dalam  kehidupan kita sehari-hari dengan penuh keihklasan?
Salam sejahtera. Wassalam!

No comments:

Post a Comment