SIFAT PERTANYAAN
(Imam Al-Ghazali dari Kitab Mengingati Mati)
"Wahai anda yang lemah tidak berdaya: iaitu selepas anda alami semua kesulitan termasuk pertanyaan-pertanyaan lisan yang dibuat secara langsung itu, sehingga anda akan ditanya tentang yang sedikit dan yang banyak, yang kecil dan yang besar. Ketika anda sedang dalam kesulitan menempuh Hari Kiamat dan dalam keadaan keringat yang menyimbah serta kepayahan penanggungannya, tiba-tiba turunlah Malaikat-malaikat dari beberapa penjuru langit ke Padang Mahsyar (Mauqiful 'Ardh) seraya datang menghadap Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Luhur. Mereka berdiri berbaris-baris mengelilingi sekelian makhluk yang berkumpul di situ di semua penjuru. Kemudian Malaikat-malaikat itu memanggil nama-nama mereka, seorang demi seorang. Maka ketika itulah seolah-olah segala isi perut terasa hendak terburai dan semua anggota bergoncang dan mrnggeletar dengan fikiran menjadi lebih bingung dan tidak tentu arah, sehingga ada di antara setengah-setengah orang itu sanggup dilontarkan sahaja ke dalam neraka tanpa dibicarakan lagi amalan-amalan buruk mereka yang didedahkan di hadapan Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Luhur itu, agar segala kejahatan dan keburukan mereka itu tiada terlihat oleh orang ramai yang menunggu giliran di situ."
Ringkasan peristiwa pada Hari Kiamat
Sebelum pertanyaan dmulakan, akan terpancar satu cahaya yang gilang gemilang dari Arasy Allah Taala sebagaimana firmanNya "Dan bumi itu terang benderang dengan cahaya pemilikNya (Tuhannya)." ( az-Zumar: 69). Ketika itu barulah semua manusia merasa yakin bahawa mereka dihadapkan ke Hadrat Allah s.w.t.
Allah Taala akan memulakan pertanyaan itu kepada para Nabi dan Rasulnya terlebih dahulu hinggakan semua merekapun menjadi bingung dan tidak tahu apa yang hendak dijawabkan. "Pada hari Allah mengumpulkan para Rasul lalu bertanya, Bagaimanakah sambutan terhadap kamu? Mereka mengatakan: Kami tidak tahu, Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib."
Selepas itu dibawa seorang demi seorang, lalu disoal Allah s.w.t. secara lisan mengenai amalan masing-masing, sama ada amalan-amalan itu sedikit atau banyak, sama ada yang tersembunyi atau yang terang-terangan.
Semua anggota dan segala gerakgeri mereka turut disoal dari yang sekecil-kecilnya, sampai kepada yang sebesar-besarnya.
Sesiapa yang mengingkari dan tidak mengaku kesalahan-kesalahannya, semua anggota akan mengakui kesalahan-kesalahan itu selaku sebagai saksi kebenarannya.
Kemudian setiap orang akan diserahkan catitan amalnya, meliputi semuanya dan tiada satupun yang ditinggalkan, semuanya adalah dikira belaka.
Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda dengan maksud "Kedua kaki anak Adam itu tetap berdiri di hadapan TuhanNya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara:
Tentang UMURnya untuk apa dihabiskan?
Tentang MASA MUDAnya untuk apa dipergunakan?
Tentang HARTAnya, dari mana diperolehi dan dibelanjakan?
Tentang ILMUnya, apa yang sudah dibuat dengannya?
Akhiurnya untung nasib diri sertiap manusia ditentukan, segala amalan itu ditimbang di atas neraca al-Mizan dan buku catatan amalan setiap manusia akan berterbangan ke kiri atau ke kanan sesuai dengan firman Allah s.w.t.
"Maka barang siapa yang berat timbangannya, orang itu dalam kehidupan yang senang. Dan barang siapa yang ringan timbangannya, maka tempat tinggalnya ialah dalam hawiah. Dan tahukah engkau apakah dia hawiah itu? Api yang menyala."
(al-Qari'ah: 6-11)
Semoga kita semua mendapat manfaat daripada bingkisan yang ringkas ini. Bersamalah kita berfikir dengan bijaksana dan merasainya dengan hati tulus ikhlas di bawah naungan hidayah Allah Yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment