GODAAN DAN TIPU DAYA IBLIS dan SYAITAN
Keturunan umat manusia menjadi sasaran kepada godaan, hasutan dan tipu daya iblis dan syaitan. Hal ini telah bermula seawalnya semasa Adam dan Hawa berada di dalam sorga sehingga kedua pasangan suami isteri pertama yang diciptakan Allah SWT itu diperintah turun ke alam dunia. Keengkaran iblis menghormati Nabi Adam telah berlaku lebih awal apabila iblis tidak tunduk hormat kepada Adam sebagaimana perintah Allah sedangkan semua malaikat-malaikat berbuat demikian. Iblis begitu angkuh dan sombong kerana mendakwa dirinya yang Allah ciptakan dari api itu jauh lebih mulia daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Dengan itu iblis telah menerima hukuman laknat oleh Allah SWT. Iblis menerimanya dan meminta izin daripada Allah SWT untuk terus menggoda dan menyesatkan keturunan manusia dan Allah SWT telah memberi izin atas permintaan itu sehinggalah pada Hari Kiamat kelak.
Peristiwa pertama godaan dan tipu daya iblis ini berlaku di dalam sorga apabila kedua-dua Adan dan Hawa telah mendekati pokok larangan dan memakan buahnya. Sebelum itu Allah berfirman "Wahai Adam, tinggallah engaku dan isterimu dalam sorga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini: (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamiu dari golongan orang-orang yang zalim." (al-Bakarah: 35).
Iblis mengambil kesempatan terhadap Adam dan Hawa sehingga kedua-duanya melanggar perintah larangan Allah ini. Berikutan dengan itu Allah memerintah dengan firman "Turunlah Kamu! Sebahagian dari kamu telah menjadi musuh kepada sebahagian yang lain: dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, sehingga mendapat kesenangan hingga kesuatu masa (mati) (Al-Bakarah: 36)
Allah berfirman dengan memberi peringatan kepada manuia "Sesungguhnya syaitan bagimu adalah musuh, maka jadikanlah dia sebagai musuh." (Al-Fathir; 6). Baginda SAW menjelaskan lagi perihal berkiatan dengan ancaman dan godaan iblis dan syaitan. Antara sabda-sabda Baginda SAW itu ialah:
"Sesungguhnya syaitan menjalar dalam tubuh manusia bagaikan aliran darah. Maka bendunglah aliran itu dengan lapar."
"Tergesa-gesa itu adalah dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah. Ketika tergesa-gesa syaitan meniupkan kejahatan kepada seseorang sekiranya dia tidak tahu."
Ada satu cerita yang megisahkan perihal Baginda SAW dengan para sahabat dimana "Rasulullah menggariskan untuk kami satu garisan seraya bersabda "Ini jalan Allah." Kemudian menggariskan beberapa garisan di kanan dan kiri seraya bersabda "Ini beberapa jalan syaitan di mana syaitan menyeru kepadanya." Baginda SAW membaca ayat dari firman Allah "Sesungguhnya ini jalanKu yang lurus, ikutilah ia, dan jangan ikuti jalan-jalan syaitan nanti bercerai berai kamu dari jalanNya." (al-An'am: 153)
Pada umumnya ada 10 jalan di mana syaitan dapat menembus anak Adam, keturunan umat manusia seluruhnya dan jalan-jalan itu ialah:
Dari sifat tamak (rakus)
Dari panjang angan-angan dan lamunan
Dari keinginan istirehat dan nikmat
Dari ujub dan bangga diri
Dari meremehkan kawan dan tidak menghargai mereka
Dari sifat hasad (dengki khianat)
Dari sifat riak dan pujian orang
Dari sifat kikir (bakhil)
Dari sifat sombong
Dari sifat jahat sangka
Berhubung dengan godaan dan hasutan iblis dan syaitan ini, terdapat pelbagai cerita yang mengisahkan bagaimana para rasul dan nabi juga dicuba oleh iblis dan syaitan dengan pelbagai cara seperti yang dialami oleh Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW berkesempatan bertanya kepada iblis (setelah diperintah Allah Taala) untuk datang dan menjawab soalan-soalan yang akan ditanya oleh Baginda SAW kepadanya. Iblis telah menemui Baginda SAW dengan menyamar sebagai seorang tua yang bertongkat.
Baginda SAW bertanya: "Ya malaun, berapakah musuh-musuhmu dari unatku?
Jawab Iblis, 15 orang: 1. Engkau, 2. Imam yang adil, 2. Orang kaya yang merendah diri, 5. Orang alim yang kusyuk, 6. Orang mukmin yang suka menasihati, 7. Oang yang taubat dan tetap pada taubatnya, 8. Orang mukmin yang murah hati, 9. Orang yang menjauhkan diri segala yang haram, 10. Orang yang tetap wuduk (jika terbatal mengambil wuduknya lagi), 11. Orang mukmin yang banyak sedekah, 13. Orang mukmin yang banyak jasa dan gunanya kepada manusia, 14. Orang yang membawa Al-Quran dan selalu membacanya (menghafal atau mengerti), 15. Orang yang suka sembahayang tahjud malam, sedangkan orang-orang lain tidur nyenyak.
Dan siapakah kawan-kawanmu dari umatku?
1. Raja yang zalim, 2. Orang kaya yang sombong, 3. Pedagang atau peniaga yang khianat, 4. Orang yang jadi pemabuk (peminum arak), 5. Orang yang menjadi tukang adu domba (fitnah). 6. Pelacur, 7. Orang yang makan harta anak yatim, 7. Orang yang meremehkan sembahayang, 8. Orang yang tidak mengeluarkan zakat (penolak zakat), 9. Orang yang panjang angan-angan. Mereka itulah kawan dan sahabatku."
Daripada senarai orang-orang yang disebutkan tadi, lihatlah diri kita sendiri, isteri dan anak-anak kita yang menjadi tanggungjawab dan amanah Allah ini. Di manakah semuanya berada. Dalam senarai orang-orang yang menjadi musuh syaitan atau sebagai kawan dan sahabat syaitan? Kalau begitu apakah yang dikita patut lakukan.
Semua orang mukmin berhasrat memilih jalan yang lurus. Ada dua jalan iaitu jalan Allah SWT dan jalan iblis dan syaitan. Pilihlah sepenuhnya jalan yang Allah tunjukkan agar kita beroleh kesejahteraan di dunia dan lebih-lebih lagi di Hari Akhirat.
Hidup di dunia ini sememangnya sebagai ujian dan dugaan dari Allah. Siapakah yang lebih beriman, berilmu dan beramal soleh. Tapi jalannya bukan mudah kerana kira sentiasa berhadapan dengan musuh. Selain iblis dan syaitan yang terang dan jelas menjadi musuh kita, Ada lagi musuh-musuh lain turut mengancam hidup kita.
Nafsu syahwat, kelemahan iman, kebekuan hati, keterbatasan ilmu, pesonaan dan kegilaan terhadap dunia dan percampuran dengan manusia yang bergelumang dengan segala macam kemungkaran dan maksiat boleh menyebabkan kita terus hanyut dan tenggelam. Tidak malu, tidak takut dan tidak taat kepada Allah SWT dan menyeleweng daripada ajaran Baginda Rasulullah SAW. Kita telahpun di seru agar tidak mencampakkan diri kita dan keluarga kita ke lembah kebinasaan. Saya akhiri renungan kali ini dengan firman Allah SWT "Seperti syaitan ketika berkata kepada manusia "kafirlah", setelah dia kafir syaitan berkata. "Sesungguhnya aku bebas dari engkau." (al-Hasyr: 16) Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment