Monday, March 28, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

MASA: APA DAN BAGAIMANA?

Pepatah Melayu ada mengukapkan "Masa itu Emas." Barang kali inilah suatu kenyataan  dalam budaya kita untuk menegaskan mengenai betapa penting dan bernilainya  MASA. Sesiapa sahaja mempunyai anggapan dan  sikap sendiri mengenai masa.  Allah s.w.t. berfirman  "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam KERUGIAN, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran" (Surah Al-Asr)

Inilah peringatan Allah s.w.t. kepada manusia seluruhnya yang mesti difikirkan secara mendalam dan seterusnya menyahut seruan agar BERIMAN, mengerjakan AMAL SOLEH, nasihat-menasihati agar mentaati KEBENARAN dan menepati KESABARAN.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud bahawa setiap orang Islam mesti ingat LIMA perkara, iaitu lakukan lima perkara sebelum datang lima perkara:

  1. Muda sebelum tua
  2. Senang sebelum susah
  3. Kaya sebelum miskin
  4. Sihat sebelum sakit
  5. Hidup sebelum mati
Dalam menjalani kehidupan moden pada hari ini, kita semua begitu sibuk, terdesak, dihimpit dan terperangkap dalam pelbagai masalah, cabaran dan dugaaan. Ramai diantara kita merungut mengenai masa - tiada masa, tak cukup masa, diburu masa dan lain-lain. Biar apapun sikap dan persepsi kita mengenai masa, hakikatnya ialah bahawa masa itu adalah suatu peluang dan kesempatan kurniaan Allah s.w.t., masa tidak boleh ditukar ganti dan dijual beli, masa tetap berlalu pergi dan tidak akan undur kembali. 

Sebagai manusia kita membesar dan dibesarkan dari peringkat alam rahim (kandungan ibu) keperingkat bayi, kanak-kanak, muda remaja, dewasa dan tua (atau jika dilanjutkan usia menjadi tua bangka). Setiap kita boleh merenung,  berfikir sejenak mengenai apa yang telah kita lalui dan alami dalam masa yang telah berlalu. Apakah masa yang berlalu itu telah kita rancang, gunakan dan manfaatkan sebaik-baiknya untuk pelbagai aktiviti dan urusan dunia dan persediaan akhirat sebagaimana yang dituntut dan diajarkan oleh Islam. 

Setiap manusia memerlukan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti dan perkara. Dalam satu hari misalnya kita memerukan masa untuk tidur dan rehat, bekerja atau belajar, bersama keluarga dan kawan, beriadah dan bersantai, melakukan ibadat dan lain-lain mengikut keperluan sendiri. Apakah semua ini telah dapat kita jadualkan, aturkan dan sempurnakan dalam konteks pengurusan masa yang berkesan dan berkualiti atau kita masih diburu dengan konflik dan kelemahan pengurusan masa. Kita juga perlu memikirkan dan cuba mengatasi apa sahaja bentuk kelemahan dalam pengurusan masa agar kita tidak menyesal dan mahu menuntut kembali masa yang telah berlalu pergi.

No comments:

Post a Comment