Tuesday, March 15, 2011

TITISAN TINTA - SIRI 7

AMALAN AKHLAK YANG BAIK - TAAT KEPADA IBUBAPA

Setiap diri yang lahir ke dunia ini pasti bergelar anak dan memiliki ibu dan bapa. Dua insan pertama yang paling istimewa dan paling dekat dengan diri kita ialah  ibu dan bapa. Sebagai anak dan hamba Allah s.w.t. kita berkewajiban dan bertanggungjawab untuk mentaati Allah, Rasul dan kedua ibubapa.

Kita tidak terlepas daripada amanah dan tanggungjawab terhadap kedua-duanya.  Kewajiban dan amanah ini sebenarnya merupakan perintah Allah s.w.t terhadap setiap manusia. Ia merupakan sebahagian daripada keteguhan iman, ajaran Rasulullah s.a.w. dan amal soleh. Berikut ini saya perturunkan petikan beberapa firman Allah s.w.t. dan sabda Baginda Rasulullah s.a.w. berkaitan topik ini untuk pemikiran dan renungan mida hati budi kita dan umat Islam seluruhnya. 
  1. Kedua ibubapa kita diberi darjat dan kedudukan yang tinggi sebagaimana firman Allah s.w.t  "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa..." (An-Nisa; 36)
  2. "Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) pada kedua orang ibu bapanya: ibunya telah mengandungnya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya dalam dua tahun" (Luqman: 14)
  3. "Jika salah seorang diantara keduanya ( ibubapa) atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada nereka perkataan yang mulia"  (Israk:23)
  4. "Dan redhakanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku sewaktu kecil" (Al-Isra': 24) 
  5. Sabda Baginda s.a.w. bermaksud "Redha Allah bergantung kepada redha kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah bergantung atas kemurkaan kedua ibubapa"
  6. Sabda Baginda s.a..w. bermaksud "Apabila mati seseorang insan terputuslah amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya"
  7. Sabda Baginda s.a.w. bermaksud  "Tiga orang yang diharamkan Allah Maha Berkat Maha Tinggi memasuki syurga: Tahi arak, penderhaka terhadap kedua ibu bapanya dan yang membiarkan isterinya melakukan perbuatan keji"  (Riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)
Rumusannya sebagai anak, kita semua mempunyai pelbagai kewajiban dan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa iaitu: mentaati, menghormati, mengasihi, memelihara maruah, menguruskan jenazah ibu bapa melunaskan hutang dan wasiat ibubapa, meneruskan silaturahim dengan orang-orang yang disukai ibubapa dan berdoa untuk kedua-duanya. Selain itu kita juga telah mendengar dan mungkin telah menyaksikan pelbagai berita, cerita dan peristiwa suka duka, derita bahagia berkaitan hubungan antara anak-anak dengan ibu dan bapa yang patut kita teladani dan sempadani.

Ada satu peroalan dalam hal ini iaitu; sejauhmanakah kita telah menjalankan perintah Allah s.w.t. terhadap kedua ibubapa kita? Marilah kita bermuhasabah diri dan membaiki ketaatan dan berbuat baik kepada ibu dan bapa kerana sudah pastinya kita menerima balasan Allah s.w.t. di dunia ini dan diakhirat kelak. Dan peluang ini hanya datang sekali sahaja dan sama-sama kita tunaikan perintah dan amanah  terhadap ibu dan bapa kita ini sebaik-baiknya. Sekian salam sejahtera, semoga kita sentiasa beroleh rahmat dan hidayah-Nya

1 comment:

  1. Salah satu sifat/ciri akhlak yang baik yang diperintahkan oleh Allah SWT. ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Selaku anak, setiap diri perlu taat, mengharmati dan memberi kasih sayang kepada mereka berdua.dan dengan itu kita akan memperolehi redha Allah jua.

    ReplyDelete