Wednesday, November 16, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 5

ORANG-ORANG BERIMAN DILARANG MRNGIKUTI SYAITAN

Allah berfirman dengan maksud: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekelian, nescaya tidak seseorangpun diantara kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (An-Nur: 21)

Firman Allah dalam ayat di atas memberi perintah dan petunjuk yang amat jelas bagi setip orang yang beriman. Amat baik jika kita dapat memahami dan menghayti apa yang tersirat di sebalik ayat ini. Antara perkara penting ialah:

1. Allah melarang orang-orang beriman daripada mengikuti langkah-langkah syaitan.

2.Syaitan menyuruh manusia mengerjakan perbuatan keji dan mungkar.

3.Tanpa kurnia dan rahmat Allah, tidak ada seorangpun diantara manusia ini akan dibersihkan selama-lamanya daripada segala  perbuatan keji dan mungkar.

4.Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Monday, November 14, 2011

GETARAN JIWA - PEPOHON CINTA

Pepohon Cinta

Pepohan cinta  kita
Dulu sampailah kini
Tegak  segak berdiri
Merimbun dedaunya
Kita tumpang berteduh
Membelai kasih mesra
Hanya buat seketika

Pepohon cinta kita
Bertunjang bumi setia
Mengcengkam kepalsuan
Takkan rebah tumbang
Dilanda ribut raksasa
Dibadai gelombang menggila

Bercabang dahan kemesraan
Meliuk- lintuk kasih sayang
Melambai bila kesepian
Senyum bila keseorangan
Lesu bila kecemburuan
Duka bila  kehilangan

Semarakkan bebunga cinta
Mengharum kebahagian
Dekat kita dakap
 Jauh  kita rindu
Berputik setiap detik
Bersama kita memetik
Pasti kita takkan lupa

Sayang kekasihku…

Apakah pepohon cinta kita ini
Akan hilang  jua
Bersama ujung usia  
Bila senjakala menutupnya
Ataukah tetap hidup segar
Dan kita boleh berteduh lagi
Bila sampai di sana nanti

Kelana Putera
Rantau Abang,Terengganu DI
Ahad 13 November 2011
17 Dzulhi’jjah 1432




 


Saturday, November 12, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 4

PERINTAH ALLAH KEPADA ORANG-ORANG LAKI-LAKI DAN WANITA YANG BERIMAN
Allah berfirman dengan maksud: "Katakan kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya: yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat" (An-Nur: 30)

"Katalah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau puerta-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung" (An-Nur: 31)

Friday, November 11, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 3

SEMUA MAKHLUK BERSUJUD KEPADA ALLAH

Firman Allah bermaksud: "Apakah kamu tiada mengetahui, bahawa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan sebagian besar daripada manusia? Dan banyak diantara manusia yang telah ditetapkan azab atasnya. Dan barang siapa yang dihinakan Allah maka tiada seorang yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Al-Hajj: 18)

Semua makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi serta di antara kedua-duanya bersujud kepada Allah termasuklah manusia. Banyak dikalangan manusia itu telah ditetapkan azab atas mereka. Golongan ini tentulah terdiri dari orang-orang kafir. munfiq dan durhaka.

Orang-orang yang dihina oleh Allah pastinya tidak dimuliakan oleh mana-mana manusia. Golongan orang yang paling hina di sisi Allah ialah ahli-ahli neraka dan tempat yang paling hina pada manusia ialah neraka jahanam.

Allah berfirman dengan maksud: "Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan" (Al-Hajj: 77)

Orang-orang beriman diseru untuk ruku', sujud dan menyembah Allah serta berbuat kebajikan supaya mereka mendapat kemenangan. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan untuk memberi petunjuk dan pertolonganNya kepada orang-orang beriman dan bertaqwa baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam kehidupan yang singkat ini kita mempunyai masa, kesempatan dan kemampuan untuk membuat kebajikan dan pasti ada banyak jalan untuk berbuat kebajikan sekiranya kita mengetahui dan memahami pengertian dan tujuannya.

Thursday, November 10, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 2

Allah swt. berfirman dengan maksud;  “Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah: 21)
“Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu, kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui” (Surah Al-Baqarah:22)
Kedua-dua ayat di atas menyatakan dengan jelas akan keesaan dan kebesaran Allah dan Allah menyeru manusia menyembahNya.
Dia  adalah Tuhan yang telah menciptakan  semua manusia  termasuklah orang-orang yang sebelum ini.  Dengan kerana itu manusia diminta dan dihajati supaya bertaqwaka kepadaNya.
Dalam ayat kedua diatas Allah menjelaskan bahawa Dialah yang menciptakan bumi sebagai hamparan untuk manusia hidup dan meneruskan kehidupan dan langit dijadikan sebagai atap atau bumbung. Dia menurunkan air (hujan) dari langit dan daripada hujan itu ditumbuhkan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan termasuklah buah-buahan yang menjadi rezki untuk manusia.
Allah melarang manusia mempersekutukaNya dengan menyembah tuhan-tuhan lain, selain daripada-Nya.  Dalam sejarah umat manusia telah banyak kejadian di mana manusia telah menyembah tuhan-tuhan lain seperti menyembah lembu, berhala, api, matahari, bulan ,syaitan dan lain lain sehingga menjadikan manusia itu  syirik dan kafir.





Monday, November 7, 2011

RENUNGAN AL-QURAN

 Allah swt. berfirman dengan maksud; “Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah” (Surah Luqman: 33)

 Firman Allah dalam ayat di atas mengandungi maksud, perintah dan peringatan yang jelas kepada umat manusia. Ada beberapa perkara yang mesti kita renungkan dengan penuh kesedaran dan keninsafan.

1. Semua manusia diseru supaya berkaqwa kepada Allah.
2. Semua manusia diingatkan supaya takut akan hari akhirat.
3 Pada hari akhirat atau hari pembalasan itu seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya. Begitu juga seseorang anak tidak dapat melepaskan ibu atau bapa dari azab dosa masing-masing, walau sedikitpun.
4 Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.
5 Manusia dilarang daripada diperdayakan oleh kehidupan di dunia.
6 Manusia dilarang daripada diperdayakan oleh syaitan menerusi bisikan dan  ajakannya.
7 Kedua-dua keperdayaan itu menyebabkan manusia berani melanggar perintah Allah.
Sama-samalah kita fahami, dalami dan hayati segala maksud yang terkandung dalam ayat di atas dengan harapan bertambah kukuh dan kuatlah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Wednesday, November 2, 2011

GETARAN JIWA - SEBUAH MEMORI

Sebuah memori

Berlari dalam minda
bermain di penjuru kalbu
khazanah perjalanan diri
merakam beribu hari
jadi terlalu peribadi
Akan ku singkap sendiri

Menjajah usia muda dewasa
pusing keliling roda hidup
kerja buat seorang cikgu
anak didik dah jadi manusia
tabur jasa di desa dan kota
jejak semangat gurunya

Bunga-bunga harapan bangsa
sumber ilham teguhkan jiwa
dapatku bertahan sampai ujungnya
hati kecil pernah bertanya
apakah engkau tak jemu
dalam kerja dikatakan kaku


Minda dan hati tidak goyang
isi aspirasi bangsa merdeka
sediakan generasi  harapan
meredah hidup globalisasi
melayari gelombang ICT
jadi penerima dan pemberi

Jayakan visi dan misi negara
Reformasi pendidikan Malaysia
membentuk generasi gagah perkasa
bela diri, keluarga dan bangsa
dipersada persaingan antarabangsa
supaya tidak luput dari dunia

Semuanya jadi kenangan rindu
masaku bermakna telah berlalu
kini aku hanya menunggu
senja damai pasti menutup hariku
tapi aku masih belum jemu
menghirup segar udara pagi

Berteduh bila panas mentari
merenung diri ketika senja
apakah baktiku ini?
hanyalah sebutir padi cuma
aku harap ada isinya
jadi benih berlipat ganda

Pada cucu dan cicit menanti
Inginku wariskan jua
cetusan hati dan minda ini
menjadi gunung budi  sejati
bila aku telah tiada
ditutup tirai malam gelita

Hanya dapat kutinggalkan
sekuntum mawar merah
harumnya sampai bila-bila
agar dapat kalian ciumnya
lambang sejati kasih murni
bersama sebuah memori ini

Kelana Putera
Ipoh, 26 Februari 2011
23 R’Awal 1432