Tuesday, November 22, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 10

MANUSIA MEMIKUL AMANAH ALLAH

Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-gunung (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki  yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik: dan Allah juga akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 72 dan 73)

1. Manuasia telah diberi dan menerima amanah Allah. Bagaimana kita harus menunaikan semua amanah ini dengan sebaik mungkin sebagai seorang HAMBA ALLAH DAN KHALIFAH di bumi ini?

2. Allah memperingatkan bahawa kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. Apakah kita sesungguhnya berusaha keras menghindarkan diri dari melakukan apa sahaja bentuk kezaliman pada diri dan kepada orang lain. Apakah kita sedaya upaya berusaha membuat amal makrruf dan mencegah kemungkaran.

3. Akibatnya kerana banyak melakukan kezaliman dan pelbagai perbuatan ingkar, keji dan kemungkaran, orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang MUNAFIK dan MUSYRIK akan menerima pembalasan dan seksaan Allah.

4. Allah menerima taubat orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang beriman. Sesunguhnya jika kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sunguh-sungguh, semoga akhirnya kita terhapus dari segala dosa dan mendapat keredhaan-Nya jua.





Monday, November 21, 2011

GETARAN JIWA - BENIH CINTA


Benih Cinta

Apakah benar sesungguhnya
Engkau kurniakan
hati  jiwa  kuini
bercambah  benih-benih cinta
bersiram nur hidayahMu
berlapis-lapis dalam dadaku
tunduk taat setia cinta
PadaMu
        PesuruhMu
   KitabMu
                                 AlamMu
                                         KetentuanMu
  
Membesar segar bugar
melewati  usia
menjadi  pepohon
bertunjang keimanan
berdaun  keilmuan
berbunga ketaatan 
berputik ketaqwaan
berbuah kebaktian

Ingin  aku petik
buah-buah  ranum
hanyalah sedikit di sini
dinikmati dikecapi
ingin  aku bawa bersama
buat bekal ke sana nanti

Aku jadi tidak sunyi
bukan dalam sendu 
mengigit hati
masih kuada teman sejati
yang memberi khabar
yang membuka  bukti
yang menyaksi  diri
Menghadap kehadratMu
Ya Rab’bi  Ya Ilahi

Kelana Putera
Sura, Dungun, Terengganu DI
Isnin  21 Nov 2011
25 Dzulhi’jjah 1432

Sunday, November 20, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 9

ALLAH TELAH MENYEDIAKAN KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR

Dalam Surah Al-Ahzab Ayat 15, Allah berfirman dengan maksud: 

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak - Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar"

Allah swt. Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang tetap pasti menunaikan janjinya dengan memberi keampunan dan pahala yang besar bagi semua orang lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam surah di atas.

Kita mestilah menaruh harapan dan berprasangka baik bahawa kita semua dengan keislaman, keimanan dan ketaatan serta dengan segala sifat dan amal perbuatan soleh yang disebutkan iaitu benar, sabar, merendah diri kepada Allah, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatan diri dan menyebut nama Allah (berzikir) dengan sebanyak-banyaknya kita akan memperolehi keampunan dan pahala yang besar kurniaan Allah.
Dalam usaha mempeolehi kedua-duanya (keampunan dan pahala yang besar) ia pastinya bukanlah perkara yang mudah. Kita mestilah pada setiap waktu dapat memperhambakan diri kita dengan bermuhasabah diri, memperbaiki segala kesalahan dan dosa, mempertingkatkan amal-amal soleh dengan menyuburkan jiwaraga kita  bersama segala sifat-sifat mukmin yang terpuji (mahmudah).

Kita tidak tahu sebanyak manakah peluang dan sampai bilakan masa yang masih ada untuk kita melakukan semua itu. Jadi beribadatlah kita seolah-olah kita akan mengadap dan menumui Allah esok hari.

Saturday, November 19, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 8

MASA

Allah berfirman dengan maksud; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran."(Al-'AShr:1-3)

Dalam surah ini Allah memberi peringatan dan petunjuk yang amat berguna kepada manusia. Orang yang tidak memanfaat masa dengan baik adalah benar-benar rugi. Yang beruntung pastinya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia kerana mereka memanfaatkan masa dengan berfaedah untuk melakukan pelbagai kerja  mentaati Allah. Mereka memberi dan menerima nasihat atau nasihat-mensihari supaya mentaati kebenaran dan tetap bersabar (menetapi kesabaran).

Perkara ini sepatutnya menjadi renungan kita secara serius dan mendalam seandainya kita ingin menjadi antara manusia beriman dan beramal soleh. Persoalan pokok ialah apakah dalam hidup ini kita telah, sentiasa  dan akan terus dapat menggunakan masa dengan bijak, berkualiti dan berfaedah untuk pelbagai kerja buat menyelesaikan urusan-irusan dunia dan lebih-lebih lagi untuk persediaan hari akhirat.

Kita selalu merungut mengenai masa dan kita menyebut tiada masa, tak cukup masa, kesuntukan masa, habis masa, diburu masa, buang masa dan sebagainya. Baik sekali kalau sekiranya pada  setiap hari  itu kita bermuhasabah diri dengan memperhitungkan apakah pada hari ini kita telah mengisi dan menggunakan masa dengan sebaik-baiknya atau sebaliknya. Apakah pada esok hari kita masih boleh, perlu dan ingin memperbaikinya.

Kita juga banyak mendengar kata azimat seperti masa itu emas, masa itu peluang, masa itu sumber, masa pergi tak akan kembali dan sebadainya.  Setiap diri dianugerahkan masa sendiri-sendiri Jadi kita awasilah MASA yang masih kita miliki ini. SUATU HARI KITA PASTI MENINGGALKAN MASA atau MASA TETAP MENINGGALKAN KITA.

Friday, November 18, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 8

BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARI KEJAHATAN MAKHLUKNYA

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh, dari kejahatan makhlukNya dan dari kejahatan malam apabila ia telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada bahul-bahul dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki"  (Surah Al-Falaq; 1- 5)

Surah Al-Falaq (Waktu Subuh) mengandungi 5 ayat. Surah ini memerintahkan kita berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan yang dilakukan oleh makhlukNya. Termasuklah dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita. Ini adalah kerana kebanyakan kerja-kerja kejahatan itu dilakukan pada waktu malam berbading dengan waktu siang. Kejahatan dilakukan oleh wanita-wanita tukang sihir yang meghembus ( beserta dengan jampi-jampi) pada bahul iaitu tali-tali yang digunakannya. Kejahatan juga dilakukan oleh orang-orang yang memiliki perasaan hasad dengki dalam hatinya.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi dan An-Nasa-i dari 'Uqbah bin 'Aamir bahawa Rasulullah saw. bersembahayang dengan membaca surah Al-Falaq dan surah An-Naas dalam perjalanan Baginda.

GETARAN JIWA - ABDI

ABDI

Masihkah ada
cebisan waktuMu
dapatku teruskan
pengabdian  ini
bersihkan jiwa
tuluskan hati
luhurkan budi.

Memanjat tangga-tangga
manusia istimewa
dalam payah getir
gilakan dunia
panahan nafsu gila
bisikan syaitan-syaitan

Mahu larikan aku
jauh sayup
dariMu
benci pada jiwa
taat sabar setia
berisi sarat iman
bermandikan taqwa
berwajah ihsan
damai lagi tenang.

Mahulah aku terus
bersujud bertasbih
bersama gunung-gunung
burung-burung
     pohon-pohon
          mentari
               bulan
                   bintang-bintang.

KepadaMu Yang Maha Mulia
Raja sekalian manusia.

Kelana Putra
Bandar Puteri
Puchong, Selangor DI
18 NOV 2011Jumaat 22 Dzulhi’jjah 1432

RENUNGAN AL-QURAN 7

ALLAH PELINDUNG MANUSIA

Firman Allah bermaksud:

Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa berembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. dari golongan jin dan manusia" (An Naas: 1-6)

Surah ini mengandungi 6 ayat, diturunkan sesudah surat Al-Falaq. Nama An-Naas  bererti MANUSIA  diambil dari "An-Naas" yang berulang kali disebut dalam surah ini.

Dalam surah ini Allah memerintahkan manusia agar berlindung kepadaNya dari segala macam kejahatan yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam dada atau jiwa manusia. Bisikan syaitan itu biasanya bersembunyi di dalam hati manusia dengan memujuk dan mengajak manusia melakukan perbuatan keji dan mungkar. Syaitan mempengaruhi hawa nafsu manusia dengan berbagai-bagai muslihat dan tipu dayanya.  Sesungguhnya Allah itu ialah Tuhan sembahan manusia dan Raja manusia. Kepada Allahlah kita mesti memohon untuk mendapatkan perlindungan dan pertolonganNya.

Wednesday, November 16, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 6

ALLAH MENJADIKAN MANUSIA CINTA KEPADA KEIMANAN

Firman Allah bermaksud:”

“Dan ketahuilah olehmu bahawa dikalangan kamu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti (kemahuan) kamu dalam beberapa urusan, benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu perhiasan/indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Sebagai  kurnia dan nikmat Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Al-Hujurat: 7 dan 8)
Ada beberapa perkara yang perlu dan patut kita fikirkan dan dalami daripada Firman Allah dalam kedua-dua ayat di atas.
1. Allah menjadikan manusia cinta kepada keimanan.
2.Allah menjadikan iman sebagai perhiasan atau keindahan dalam hati manusia.
3. Allah menjadikan manusia itu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan .Ini adalah kerana keimanan yang tumbuh dan menjadi perhiasan dalam hati seseorang.
4. Orang-orang yang bersifat demikian iaitu yang cinta kepada keimanan, yang menjadikan keimanan sebagai perhiasan hatinya dan sekaligus benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan  merupakan orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.
5.Semua itu adalah merupakan kurnia dan nikmat Allah kepada manusia.