Tuesday, September 3, 2013

Getaran Jiwa - Cinta Abadi

CINTA ABADI

Maglihai cintaku ini
setulus nur di alam maya
sesuci air mata setia
selembut sutera bidadari
seputih awan berarak ria
sewangi kasturi di Taman Firdausi
semarak kerinduan para Sufi

Cetusan minda hati budi
hasratku melangit tinggi
membunuh nafsu tak bertepi
menggoda sepanjang detik usia
meranapkan segala halangan
bersama gelumang perit pedih
melamar damai nikmat cinta-Mu
bila dan di manakah
impian ini akan berhenti

Masa berlalu sepantas peluru
siang dipadu asmara rindu
malam mimpiku asyik syahdu
kupesan mesra pada purnama
kukirim warkah ke alam tinggi
apakah lamunan cintaku ini
hanyalah  sebuah mimpi
yang mungkin menjadi nyata
Kepada-Mu Ya Rab’bi
Kupohonkan Cinta Abadi

Kelana Putra
Shah Alam,  Selangor DE
15 September 2011
Selasa 17 Syawal 1432.

 

 

 

Duniaku by Zainal Alam Kadir


Renungan Al_Quran 382

AKIBAT MENCINTAI PERKARA-PERKARA LAIN MELEBIHI ALLAH DAN RASUL
 
Katakan (Wahai Muhammad); Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, ( jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu CINTAI lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya): kerana Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”. (At-Taubah: 24)

SOLAT (4)

KE ARAH KESEMPURNAAN SOLAT 4
MEMBACA AL-FATIHAH
Membaca surah al-Fatihah (Ummul al-Quran) dalam setiap rakaat solat adalah wajib. Antara sabda Nabi saw. mengenai perkara ini ialah;
 
1.”Tidak sempurna solat seseorang, apabila dia tidak membaca (surah) al-Fatihah”. (Hadis Riwayat Bukari dan Muslim, Sahih al-Bukhari 714 dan Sahih Muslim 595)
2. “Barang siapa yang mendirikan solat dan tidak membaca Ummul al-Quran (al-Fatihah, maka solatnya tidak sempurna”.  Rasulullah mengulangi ujaran tersebut sebanyak tiga kali.
Adalah amat penting bagi setiap orang berusaha membaca surah al-Fatihah dengan betul, tertib, ayat demi ayat sehingga selesai. Membaca surah al-Fatihah dengan memahami erti dan maksud setiap ayatnya akan memboleh tumpuan sepenuhnya dan meningkatkan kekhusyukan dalam solat.
3. Maksud surah al-Fatihah:                
1.  Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.
3. Yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5. Engkau-lah sahaja (Ya-Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkau-lah sahaja kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
 

Mutiara Hadis

APAKAH KITA SALING MEMAAFKAN

Nabi SAW. bersabda: Akan ada seruan dari bawah arasy pada hari kiamat: “Hai umat Muhammad, dosa-dosa yang kamu lakukan langsung terhadap Aku maka Aku maafkan, dan sisa dari tuntutan-tuntutan yang di antara kamu, hendaknya kamu saling memaafkan, kemudian kamu masuk Syurga dengan rahmatKu”

Monday, September 2, 2013

GETARAN JIWA - AZALI

AZALI

Bila tiba
detik ketikanya
semua ciptaan
habis kikis
terbang melayang
hilang lenyap
hancur lumat
bagai bulu
bagai debu
hacur luluh
pulang kembali
pada asal mula
seperti azali


Kelana Putra,
Dungun, Trg.
3 Sept 2013.

Puisi Romansa: Terasa Rindu

Puisi Romansa: Terasa Rindu: Hariku berlalu tanpamu Tanpa kabar tanpa suara Merinduku untukmu wahai bidadari Biadadari yang membuat ku utuh Sudah satu minggu berlalu P...

Renungan Al-Quran 381

ORANG-ORANG YANG YAKIN TEGUH

30. Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah Malaikat kepada mereka dari semasa kesemasa (dengan memberi ilham); “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. (FUSSILAT: 30)