Monday, November 28, 2011

RENUNGAN AL-OURAN 13

Allah swt. berfirman dengan maksudnya:

"Sesungguhnya kami telah mengutuskanmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya) dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Kami mengutuskanmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan rasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya seta memuliakanNya dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang." (Al-Fat-h: 8 dan 9)

1. Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa Nabi Muhammad diutuskan sebagai seorang rasul-Nya.
2. Baginda Rasulullah saw. menjadi saksi kepada umatnya dihadapan Allah dan keterangan Baginda adalah diterima dan urusan ini akan berlaku pada hari pembalasan (Hari Kiamat) kelak. Para malaikat juga akan menjadi saksi kepada manusia serta manusia itu sendiri juga akan menjadi saksi kepada dirinya sendiri.

3. Baginda Rasulullah saw. adalah menjadi pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman. Berita gembira itu ialah janji Allah untuk memberi balasan yang baik (syurga) dan kemenangan kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa samaada di dunia mahupun di akhirat.

4. Baginda Rasulullah saw.  juga menjadi pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar. Amaran itu adalah janji Allah untuk memberi balasan buruk iaiti azab siksa ( neraka ) dan kerugian kepada orang-orang yang ingkar. Orang-orang yang ingkar kepada perintah dan larangan Allah ialah orang-orang kafir, musyrik dan fasik.

5. Allah mengutuskan Muhammad supaya Baginda sendiri dan umatnya beriman dan menguatkan agamaNya ( Islam ), memuliakanNya dan beribadat kepadaNya. Perkara inilah yang menjadi antara kewajipan kita sebagai orang-orang Islam dan mukmin.






3. 




Saturday, November 26, 2011

RENUNGAN AL-QURAN -11

HANYA UNTUK ALLAH

Allah berfirman dengan maksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan samesta alam.” (Al-An’aam: 162)
Ayat ini merupakan petunjuk yang mengandungi pengertian yang amat dalam, menjurus kepada setiap diri manusia yang mengaku sebagai hamba Allah - sebagai orang Islam dan mukmin yang sebenar-benarnynya.  Apakah setiap kita yang mengaku sebagai seorang Islam yang beriman dan bertaqwa telah mendalami segala maksud yang tersurat dan apa lagi yang tersirat disebalik setiap patah kalimat dalam ayat di atas.

Apakah sesungguh dan sebenarnya dalam hati dan  dalam semua amal perbuatan kita itu mencerminkan bahawa solat kita, ibadat kita, hidup kita dan mati kita hanya UNTUK ALLAH semata-mata.

Atau apakah kita sedang berada dalam kemelut dan pertarungan dengan segala apa yang lain dalam diri kita dan di luar diri kita (umpama hawa nafsu, sifat-sifat hati yang keji, bisikan syaitan, cintakan dunia yang berlebihan dan lain-lain) sehingga kita tidak mampu untuk mencapai maksud hanya senya untuk Allah semata-mata dan tidak sekali-kali kerana yang lain-lain. Semua ini memerlukan keimanan, keilmuan, ketaqwaan, amal perbuatan, bahkan penyerahan diri untuk menuju Allah. Setiap diri kita amat memerlukan cahaya yang dapat membuka mata hati (basirah) dari Allah swt. 

Dalam semua pekerjaan dan urusan yang disebutkan itu - solat, ibadat, hidup dan mati untuk Allah sesungguhnya merupakan pegabdian dan penyerahan diri yang ikhlas dan suci hati bersama dengan kepatuhan, ketaatan, kesabaran dan kesyukuran yang amat tinggi terhadap Allah dan segala apa yang ditentukannya.  Ini adalah pegangan akidah dan amal soleh manusia yang beriman dan bertakwa dengan hasrat mendapat keredhaan Allah dan kembali kepada Allah.  Wllahu'alam.

Friday, November 25, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 12

MENCINTAI ALLAH DAN RASUL MELEBIHI DARIPADA SEMUA YANG LAIN

Allah berfirman dengan maksud:  "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan kerugian, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai - (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya (azab seksaNya): kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (durhaka). " (Al-Taubah: 24)

Ayat ini mengandungi peringatan, pengajaran dan petunjuk Allah kepada manusia berkaitan dengan keimanan yang sebenarnya. Antara maksud yang penting dan utama ialah;

1. Jika manusia itu mencintai semua yang perkara lain lebih daripada kecintaan kepada  Allah dan Rasul-Nya dan berjihad untuk agama-Nya (Islam) maka suatu masa Allah akan mendatangkan azab seksanya.

2. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik, Ia itu orang-orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat Allah.

3. Kecintaan kita yang paling utama mestilah kepada Allah, RasulNya dan agama Islam.

4. Kecintaan terhadap manusia lain dan perkara lain tidak boleh melebihi kecintaan kepada Allah, Rasul-Nya dan jihad untuk agama Islam.

Erti dan maksud sebenar cinta kita kepada Allah, kepada Rasul dan jihad kepada Agama Islam adalah suatu perkara yang perlu kita pelajari, fahami dan hayati dengan sebenar-benarnya. Apakah yang perlu dan patut kita lakukan untuk mencapai tahap kecintaan sebenarnya kita kepada Allah, Rasul dan Islam. Apakah dalam hidup ini kita mencintai Allah, Rasul dan agama Islam itu melebih daripada semua yang lain-lainnya.

Tuesday, November 22, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 10

MANUSIA MEMIKUL AMANAH ALLAH

Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-gunung (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki  yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik: dan Allah juga akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzab: 72 dan 73)

1. Manuasia telah diberi dan menerima amanah Allah. Bagaimana kita harus menunaikan semua amanah ini dengan sebaik mungkin sebagai seorang HAMBA ALLAH DAN KHALIFAH di bumi ini?

2. Allah memperingatkan bahawa kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. Apakah kita sesungguhnya berusaha keras menghindarkan diri dari melakukan apa sahaja bentuk kezaliman pada diri dan kepada orang lain. Apakah kita sedaya upaya berusaha membuat amal makrruf dan mencegah kemungkaran.

3. Akibatnya kerana banyak melakukan kezaliman dan pelbagai perbuatan ingkar, keji dan kemungkaran, orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang MUNAFIK dan MUSYRIK akan menerima pembalasan dan seksaan Allah.

4. Allah menerima taubat orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang beriman. Sesunguhnya jika kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman, maka segeralah kita bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sunguh-sungguh, semoga akhirnya kita terhapus dari segala dosa dan mendapat keredhaan-Nya jua.





Monday, November 21, 2011

GETARAN JIWA - BENIH CINTA


Benih Cinta

Apakah benar sesungguhnya
Engkau kurniakan
hati  jiwa  kuini
bercambah  benih-benih cinta
bersiram nur hidayahMu
berlapis-lapis dalam dadaku
tunduk taat setia cinta
PadaMu
        PesuruhMu
   KitabMu
                                 AlamMu
                                         KetentuanMu
  
Membesar segar bugar
melewati  usia
menjadi  pepohon
bertunjang keimanan
berdaun  keilmuan
berbunga ketaatan 
berputik ketaqwaan
berbuah kebaktian

Ingin  aku petik
buah-buah  ranum
hanyalah sedikit di sini
dinikmati dikecapi
ingin  aku bawa bersama
buat bekal ke sana nanti

Aku jadi tidak sunyi
bukan dalam sendu 
mengigit hati
masih kuada teman sejati
yang memberi khabar
yang membuka  bukti
yang menyaksi  diri
Menghadap kehadratMu
Ya Rab’bi  Ya Ilahi

Kelana Putera
Sura, Dungun, Terengganu DI
Isnin  21 Nov 2011
25 Dzulhi’jjah 1432

Sunday, November 20, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 9

ALLAH TELAH MENYEDIAKAN KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR

Dalam Surah Al-Ahzab Ayat 15, Allah berfirman dengan maksud: 

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak - Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar"

Allah swt. Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang tetap pasti menunaikan janjinya dengan memberi keampunan dan pahala yang besar bagi semua orang lelaki dan perempuan seperti yang dinyatakan dalam surah di atas.

Kita mestilah menaruh harapan dan berprasangka baik bahawa kita semua dengan keislaman, keimanan dan ketaatan serta dengan segala sifat dan amal perbuatan soleh yang disebutkan iaitu benar, sabar, merendah diri kepada Allah, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatan diri dan menyebut nama Allah (berzikir) dengan sebanyak-banyaknya kita akan memperolehi keampunan dan pahala yang besar kurniaan Allah.
Dalam usaha mempeolehi kedua-duanya (keampunan dan pahala yang besar) ia pastinya bukanlah perkara yang mudah. Kita mestilah pada setiap waktu dapat memperhambakan diri kita dengan bermuhasabah diri, memperbaiki segala kesalahan dan dosa, mempertingkatkan amal-amal soleh dengan menyuburkan jiwaraga kita  bersama segala sifat-sifat mukmin yang terpuji (mahmudah).

Kita tidak tahu sebanyak manakah peluang dan sampai bilakan masa yang masih ada untuk kita melakukan semua itu. Jadi beribadatlah kita seolah-olah kita akan mengadap dan menumui Allah esok hari.

Saturday, November 19, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 8

MASA

Allah berfirman dengan maksud; "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran."(Al-'AShr:1-3)

Dalam surah ini Allah memberi peringatan dan petunjuk yang amat berguna kepada manusia. Orang yang tidak memanfaat masa dengan baik adalah benar-benar rugi. Yang beruntung pastinya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia kerana mereka memanfaatkan masa dengan berfaedah untuk melakukan pelbagai kerja  mentaati Allah. Mereka memberi dan menerima nasihat atau nasihat-mensihari supaya mentaati kebenaran dan tetap bersabar (menetapi kesabaran).

Perkara ini sepatutnya menjadi renungan kita secara serius dan mendalam seandainya kita ingin menjadi antara manusia beriman dan beramal soleh. Persoalan pokok ialah apakah dalam hidup ini kita telah, sentiasa  dan akan terus dapat menggunakan masa dengan bijak, berkualiti dan berfaedah untuk pelbagai kerja buat menyelesaikan urusan-irusan dunia dan lebih-lebih lagi untuk persediaan hari akhirat.

Kita selalu merungut mengenai masa dan kita menyebut tiada masa, tak cukup masa, kesuntukan masa, habis masa, diburu masa, buang masa dan sebagainya. Baik sekali kalau sekiranya pada  setiap hari  itu kita bermuhasabah diri dengan memperhitungkan apakah pada hari ini kita telah mengisi dan menggunakan masa dengan sebaik-baiknya atau sebaliknya. Apakah pada esok hari kita masih boleh, perlu dan ingin memperbaikinya.

Kita juga banyak mendengar kata azimat seperti masa itu emas, masa itu peluang, masa itu sumber, masa pergi tak akan kembali dan sebadainya.  Setiap diri dianugerahkan masa sendiri-sendiri Jadi kita awasilah MASA yang masih kita miliki ini. SUATU HARI KITA PASTI MENINGGALKAN MASA atau MASA TETAP MENINGGALKAN KITA.

Friday, November 18, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 8

BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARI KEJAHATAN MAKHLUKNYA

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh, dari kejahatan makhlukNya dan dari kejahatan malam apabila ia telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada bahul-bahul dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki"  (Surah Al-Falaq; 1- 5)

Surah Al-Falaq (Waktu Subuh) mengandungi 5 ayat. Surah ini memerintahkan kita berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan yang dilakukan oleh makhlukNya. Termasuklah dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita. Ini adalah kerana kebanyakan kerja-kerja kejahatan itu dilakukan pada waktu malam berbading dengan waktu siang. Kejahatan dilakukan oleh wanita-wanita tukang sihir yang meghembus ( beserta dengan jampi-jampi) pada bahul iaitu tali-tali yang digunakannya. Kejahatan juga dilakukan oleh orang-orang yang memiliki perasaan hasad dengki dalam hatinya.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi dan An-Nasa-i dari 'Uqbah bin 'Aamir bahawa Rasulullah saw. bersembahayang dengan membaca surah Al-Falaq dan surah An-Naas dalam perjalanan Baginda.