Thursday, March 22, 2012

LAFAZ BASMALAH

BASMALAH

Ucapan Basmalah iaitu Bismi’llahi’rahmani’rrahim ialah merupakan suatu bacaan atau ayat yang paling kerap dan paling banyak kita sebut setiap hari, setiap mingggu, setiap bulan, setiap tahun, bahkan sepanjang usia kita. Setiap kita selalu dipesan dan diperingatkan supaya mengucapkan lafaz basmalah ini bagi memulakan sesuatu apa sahaja perkerjaan yang baik-baik.

Nabi saw. bersabda dengan maksudnya: 

“Tiap-tiap sesuatu pekerjaan yang tidak dimulai dengan Bismi’llahi’rahmani’rrahim, maka ia tidak berkat”.

Diriwayatkan dari Daruquthani dari Ibnu ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah saw. pernah mengatakan: “Adalah Jibril datang (menjumpai) aku dengan membawa wahyu, mula-mula yang diberikannya kepadaku “Bismi’llahhi’rahmani’rrahim”.

Dari Aisyah r.a. berkata: “Tatkala turun “Bismi’illahi’rahmani’rrahim” bertasbih gunung-gunung hingga kedengaran kepada penduduk Makkah. Orang-orang Kuffar Quraisy berkata: “Muhammad menyihir gunung-gunung”. Maka Allah mendatangkan asap sehingga melindungi penduduk Mekkah”.

Rasulullah saw. bersabda: “Barang sesiapa mengucapkan Bismi’illahi’rahmni’rrahim dengan yakin, bertasbih bersertanya segala gunung dan batu, tetapi manusia tidak mendengar (tasbih gunung-gunung dan batu itu)”.

Sekian, Was'salam! 

Wednesday, March 21, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 63 - SOLAT MENCEGAH KEMUNGKARAN

 MENDIRIKAN SOLAT DENGAN TEKUN

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Bacalah dan ikutilah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (AL-'Ankabut: 43)

Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan;

1.Nabi saw. membaca dan mengikuti apa yang diwahyukan kepadanya dari Al-Quran. Allah memerintahkan supaya mendirikan solat dengan tekun.

2. Allah mengingatkan bahawa sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

3. Seterusnya ditegaskan bahawa sesugguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedah dan kesannya kepada manusia.

4. Juga diingatkan bahawa Allah mengetahui apa yang manusia kerjakan atau lakukan.

Sekian, Was'salam!



Tuesday, March 20, 2012

SERUAN ALLAH SWT. - Wahai orang-orang yang beriman (1)


WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN – 1

Dalam Al-Quran terdapat banyak firman Allah Taala mengenai orang-orang yang beriman (mukmin). Adalah amat baik dan bermanfaat sekali jika kita dapat mengetahui, mempelajari, mendalami dan menghayati semua ayat-ayat tersebut dengan tujuan untuk memperkasakan keimanan, amal soleh dan ketaqwaan kepada Allah swt. dengan saban waktu berusaha bersungguh-sunguh memperbaiki diri dan mendekatkan diri kita kepada Alllah.

Berikut ini ialah firman Allah mengenai kejayaan dan kesudahan bagi orang-orang yang  beriman. Allah Taala berfirman dengan maksudnya:


“1.Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, 2.Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahayangnya; 3.Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; 4.Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); 5. Dan mereka yang menjaga kehormatannya, 6.Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak terela; 7.Kemudian sesiapa yang menginginkan selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, 8.Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, 9.Dan mereka yang tetap memelihara sembahayangnya; 10.Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, 11.Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Mu’minuun: 1-11)

Sekian, Was’salam!

PERIHAL SOLAT 10 - WUDUK YANG SEMPURNA

SIFAT WUDUK DAN KESEMPURNAANNYA

Diriwayatkan daripada Humran, hambanya Uthman bercerita kepadanya, bahawa Uthman bin Affan r.a. minta air wuduk lalu berwuduk. Beliau membasuh kedua tapak tangannya tiga kali lalu berkumur dan mengeluarkan air dari hidung. Kemuadian beliau membasuh wajahnya tiga kali, lantas membasuh dengan tangan kanannya sampai ke siku tiga kali, lalu tangan kirinya seperti itu. Setelah itu mengusap kepalanya, kemudian membasuh kaki kanannya sampai mata kaki tiga kali, lalu kaki kirinya seperti itu.  Kemudian berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw. berwuduk seperti wudukku ini, lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, lalu bersembahayang dua rakaat, sedang dalam dua rakaat itu ia tidak berbicara dengan hatinya sendiri, maka dosanya yang terdahulu akan diampuni”.

Ibnu Syihab berkata: “Para ulamak kita berkata: “Wuduk ini adalah wuduk yang paling sempurna yang dilakukan oleh seseorang untuk solat”.

Sekian, Was’salam!

Monday, March 19, 2012

RENNGAN AL-QURAN 65 - ORANG-0RANG YANG MELAMPAUI BATAS

ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (untuk mengerjakan solat)), dan makanlah, serta minumlah, dan janganlah pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.(Al-'Araf: 31)

Firman Allah dalam ayat di atas menyeru anak-anak Adam (umat manusia) supaya memakai pakaian yang indah berhias pada setiap kali pergi ke tempat ibadat (seperti masjid dan suaru) untuk mengerjakan solat. Mereka juga diingatkan untuk makan dan minum dengan secukupnya dan tidak dengan melampau.

Allah mengingatkan manusia bahawa Dia tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas, iaitu melakukan sesuatu dengan melampau. Ini meliputi dalam hal memakai pakaian, makan dan minum seperti yang disebut pada awal ayat ini.

Semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang melampau dan melampaui batas yang memang tidak disukai Allah swt.

Sekian, Was’salam!

PERIHAL SOLAT 9 - KESEMPURNAAN SOLAT

KESEMPURNAAN SOLAT 3

SALAM Adapun sempurnanya salam maka niat memberi salam kepada malaikat dan orang-orang yang di kanan kiri, dan pandangan matamu tidak lebih dari kedua bahumu.

IKHLAS Adapun sempurnanya ikhlas maka dalam tiga macam; 1. Mengharap keredhaan Allah semata-mata. 2. Merasa bahawa sembahayang itu taufik dari Allah, 3. Engkau pelihara sebaik-baiknya sehingga dapat menghadap bersamamu pada hari kiamat menghadap kepada Allah Taala. 

Dan seterusnya seorang yang sembahayang mengerti benar-benar apa yang dilakukan dan mengetahui nilainya supaya mengucap Alhamdulillah atas taufik yang diberikan kepadanya sehingga ia dapat sembahayang, sebab sembahayang itu menghimpun berbagai kebaikan yang berupa gerak atau zikir. 

Maka apabila seseoang hamba membaca ALLAHUAKBAR maka ia disambut oleh Allah:

Hambaku mengetahui bahawa Akulah yang terbesar dari segala sesuatu, dan ia telah menghadap kepada-Ku, maka bila ia takbir sambil mengangkat kedua tangannya sampai ke telinga yang bererti lepas tangan dari segala sembahayang, selain Allah. Kemudian membaca:
“Subhanaka Allahumma wabihamdika, wa tabarakasmuka, wa ta’ala jadukka wa la illaha ghairuka”

Maksudnya: Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu, dan berkat nama-M, dan tinggi kebesaran-Mu, dan Tiada Tuhan kecuali Engkau (Tiada yang menjadikan, member rezeki selain Engkau)

Salam, Was’salam! (bersambung dalam siri berikutnya)


Sunday, March 18, 2012

KALIMAH TAUHID YANG TERAGUNG

KALIMAH TAUHID

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Anas bin malik r.a. berkata Rasulullah saw. Bersabda:
“Malaikat Jibril turun sambil membaca ayat bermaksud: ‘Pada hari digantikan bumi dengan bumi yang lain, demikian pula langit, dan semua makhluk menuju kepada Allah yang Esa dan kuasa memaksa’ (Ibrahim: 48)

Nabi saw. Bertanya: Ya Jibril, bagaimana keadaan manusia pada hari kiamat?

Jawabnya: Ya Muhammad, mereka berada di atas bumi yang putih, belum pernah orang berbuat dosa di sana. Maka apabila menggaung jahanam satu kali, maka para malaikat lari, berpegang pada arasy, dan tiap malaikat berdoa; Ya Tuhan, aku tidak minta sesuatu kecuali keselamatan diriku. Sedang bukit bagaikan bulu yang dicabut dan dihambur-hamburkan, sedang bukit menjadi cair kerana takut pada jahanam, maka didatangkan jahanam yang menggaung satu kali dipertahankan oleh tujuh puluh ribu malaikat yang memegang kendalinya sehingga dihadapkan kepada Allah, lalu diperintahkan:
Hai Jahanam bercakaplah! Laa illaha illallah demi kemuliaan dan kebesaran-Mu ini, hari aku membalas orang-orang yang makan rezeki-Mu dan menyembah lain-Mu, tidak dapat melalui aku, siapa yang tidak mempunyai surat kebenaran.

Nabi saw. Bertanya: Ya Jibril, apakah surat kebenaran hari kiamat itu?

Jawab Jibril: Terimalah khabar baik hai Muhammad, kerana umatmu mempunyai surat kebenaran, iaitu siapa yang percaya, LAA ILLAAHA ILLALLAH, MAKA IA DAPAT MENYEBERANG JAHANAM.
.
Lalu Nabi saw. Bersabda: Alhamdulillah yang memberi ilham syahadah Laa illaaha illallah.

Diriwayat yang lain Nabi saw. Bersabda:

Pada hari kiamat ada seorang yang dihadapkan ke mizan, lalu dikeluarkan lembaran amalnya sembilan puluh sembilan berkas, tiap-tiap berkas selebar pandangan mata, di dalam semua dosa-dosanya, maka diletakkan atas timbangan, kemudian di bahagian yang lain, dibawakan kertas selebar hujung jari berisi syahadah: Laa illaha illallah, wa anna Muhammad abdu warasuuluh, tiba-tiba kertas kecil itu dapat mengalahkan beratnya bekas-bekas yang banyak itu, dan menghapuskan semua dosa-dosanya.

Selain itu Nabi saw. Bersabda:

“Seutama-utama apa yang aku baca dan dibaca oleh Nabi-nabi sebelumku, iaitu kalimat Laa illaaha illallah”

Sekian semoga kita mempeolehi pelajaran dan manfaat yang amat berguna daripada sabda-sabda Baginda Nabi saw. Ini.

Sekian, Was’salam!

RENUNGAN AL-QURAN 64

MENDENGAR Al-QURAN DAN MENGINGATI ALLAH

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Araf: 204)

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.(Al-Araf: 205)

Kedua-dua ayat di atas mengandungi peringatan Allah swt. supaya;

Pertama, apabila Al-Quran itu dibacakan, ia hendaklah didengar dan pendengar hendaklah berada dalam keadaan diam (tidak bercakap-cakap) dengan memberi tumpuan sepenuh untuk mendengarnya supaya kita mendapat rahmat.

Kedua, manusia diperintahkan supaya menyebut dan mengingat akan Allah: (a) di dalam hati, (b) dengan merendah diri, (c) disertai dengan rasa takut untuk melanggar perintahNya, (d) tidak menyaringkan atau mengeraskan suara, (e) sebuatan dan ingatan terhadap Allah hendaklah di buat pada waktu pagi dan petang, dan (f) janganlah menjadi orang-orang yang lalai dari menyebut dan mengingati Allah.

Sekian, Was’salam!\