Friday, January 30, 2015

BAH AIR KUNING

SYAIR BAH AIR KUNING
Ingin hamba bercerita peri
Alkisah  Disember  tahun 2014 masehi
Sama dengan tahun 1435 hijrah
Bah besar datang menerjah.

Di negeri-negeri Pantai Timur
Lebih seminggu hujan mencurah,
Ramai orang resah gelisah
Bah Air Kuning membawa padah.

Air juga umpama api
Masa kecil menjadi kawan
Bila dah besar menjadi lawan
Tiada  kuasa untuk melawan.

26 Disember banjir memuncak
Lebih 200,000 orang lari berpindah
Semakin gawat semakin rancak
Semua pasukan turut dikerah.

Pasukan petugas berpenat lelah
Membawa orang-orag dilanda bah
Menghantar bekalan tiada mudah
Kerana jalanraya banyak yang punah.

Duli Tuanku turut berhiba
Mengenag nasib rakyat jelata
Mencemar duli ke ceruk desa
Melhat sendiri akan petaka.

Memanda Menteri tak senang duduk
Melawat rakyat di segenap pelusuk
Memberi bantuan mana yang patut
Sambil berjanji untuk hari esok.

Ramai orang bernasib baik
Mereka sempat dipungut kutip
Walaupun ramai berderet-deret
Pusat pemindahan semakin sempit.

Musibah datang tidak diundang
Musibah pulang tidak dihalang
Ia mlenyapkan  harta tersayang
Hatta nyawa ada yang melayang.

Bila bah sudah hilang
Harta benda jadi sampah gelimpangan
Berat sungguh mata memandang,
Lebih berat jiwa yang terhalang

Semua yang hilang musnah
Kena  diganti dengan senonoh
Banyaklah wang dari khazanah
Kena belanja lebih berhemah

Hati siapa tidak sayu
Jiwa siapa tidak pilu
Mengenang peristiwa yang berlalu
Sedang masa hadapan kian lesu.

Itulah ujian dan peringatan
Untuk kita bermuhasabah
Bila diri ditimpa musibah
Banyak-banyak mengingat Allah.

Kelana Putra,
Kuala Terengganu.
Jumaat  1 Januari 2015.






Getaran Jiwa - Memori terluka

MEMORI TERLUKA
Sebuah kisah musibah petaka
peristiwa hujung disember 2014
hujan lebat mencurah-curah
segenap pelusuk melimpah ruah
tenggelam kota dan desa
negeri-negeri Pantai Timur
di alun gelombang gelora
manusia jadi gundah gulana
bigkiskan hati yang lara        
lukiskan wajah-wajah duka.


Ribuan orang dilamun derita
hilang rumah dan harta benda
ranap runtuh gelimpangan
selerak lintang pukang
dimamah  arus  deras meluru
air laju umpama peluru
semua jadi sampah sarap
menunggu masa  dilupus buang.

Banjir besar tinggalkan
luka-luka di dada
pedih perit hirisan sembilu
menikam dalam jiwa kalbu
setiap warga tua muda
hati siapa tidak pilu
jiwa siapa tidak sayu
melihat segala yang lebur
hilang dan punah ranah.

Minda,hati dan budi
dilamun hasrat yang meninggi
apakah sinarnya kian suram
menuyuluh sebuah masa depan
daya upaya kian kurang
meredah liku hidup berjurang
sambil menhgarap bantuan mendatang.

Musibah datang tidak diundang
musibah pulang tidak dihalang
lenyapkan kekayaan kemewahan
hatta nyawa orang tersayang
anak pinak, kaum kerabat dan sahabat
berat mata memandang,
berat lagi bahu memikul.
amatlah berat jiwa terluka..

Apakah musibah petaka ini
sekadar peringatan amaran
ataukah hukuman balasan
atas segala dosa dan kesalahan
hidup yang lalai dan melupakan
segala perintah dan larangan Tuhan.

Apapun jua segalanya
telah dicatat dalam Al-Kitab
sebagai qada' dan qadar
tiada kuasa manusia menolaknya
dalam paksa mahupun rela
moga dengan bermuhasabah
diri lebih perkasa ampuh
hidup mati dalam redha Ilahi
hingga sampai ke ujung usia
bersama sebuah memori terluka.

Kelana Putra,
Dungun Terengganu.
Jumaat  1 Januari 2015.



Tuesday, January 27, 2015

RENUNGAN AL-QURAN 19/2015

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat". (A-LI 'IMRAAN: 132)

Saturday, January 24, 2015

Getaran Jiwa - Cinta Abadi

CINTA ABADI

Mahligai cintaku ini
setulus nur di alam maya
sesuci air mata setia
selembut sutera bidadari
seputih awan berarak ria
sewangi mawar kasturi
semarak kerinduan para sufi.

Cetusan minda hati budi
hasratku melangit tinggi
membunuh nafsu tak bertepi
menggoda sepanjang detik usia
meranapkan segala halangan
bersama gelumang perit pedih
melamar damai nikmat cinta
bila dan di manakah
impian ini akan berhenti?

Masa berlalu sepantas peluru
siang dipadu asmara rindu
malam mimpiku asyik syahdu
Kupesan mesra pada purnama
Kukirim warkah ke alam tinggi
apakah lamunan cintaku ini
hanyalah  sebuah mimpi
yang mungkin menjadi nyata
kupohonkan Cinta Abadi
KepadaMu Ya Rabbi.

Kelana Putra
Shah Alam,  Selangor DE
15 September 2011

Selasa 17 Syawal 1432.

Friday, January 23, 2015

Bingkisan Qalbu

"Jangan kamu fikir bila berbuat amal bertimbun-timbun, pahala boleh jadi macam gunung andainya diri bersifat sombong"

RENUNGAN AL-QURAN 18/2015

BALAS MEMBALAS 

Dan Kami telah tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidungn dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (AL-MAA’IDAH: 45)

Thursday, January 22, 2015

RENUNGAN AL-QURAN 17/2O15

BERPEGANG TEGUH KEPADA AGAMA

22. Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh kepada simpulan (tali agama) yang teguh; dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (LUQMAN: 22)

RENUNGAN AL-QURAN 16/2015

DIBANGKITKAN UNTUK MENERIMA BALASAN

68. Dan sudah tentu ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangakala lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). 69. Dan akan bersinar terang benderang bumi (hari akhirat dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasan sedikitpun. 70. Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang-balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang telah mereka lakukan (AZ-ZUMAR: 68-70)