Thursday, January 3, 2013

GETARAN JIWA - BAWA DIRI


BAWA DIRI
Ingin sekali aku
bawa diri ini
jauh  menyendiri
lepas bebas
merungkai  dakapan pelukan
tangan-tangan palsu duniawi
begitu rimas melemaskan
menghimpit sempit  jiwa raga
mahu sahaja aku tutup katup
pintu-pintu diriku
kepada bisikan godaan
meracuni nafsu gila membara
mengajak diri berseronok maksiat
aku di tarik dan aku juga menarik
namun aku tetap mahu bawa
diriku ini menuju destinasinya

Kelana Putra
Kuala Terengganu
Rabu 2.1.2013
19 Safar 1434

 

RENUNGAN AL-QURAN 214

DUA KUMPULAN AYAT-AYAT AL-QURAN
7. Dia telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)  Kitab Suci Al-Quran.  Sebahagian besar daripada Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungann ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah.  Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (A-LI’IMRAAN:7)

KE ARAH KESEMPURNAAN SOLAT 3

PANDUAN SOLAT - 3
DOA IFTITAH
Ertinya: “Ku hadapkan wajahku (jiwaragaku) ke hadapan Allah, Tuhan Pencipta langit dan bumi. Sebagai seorang muslim yang lurus (dengan hati yang cenderung dan berserah diri) kepada-Nya, Dan tidaklah aku termasuk golongan orang musyrikin (menyekutukan-Nya). Sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah demi Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, Aku diperintah menyembah-Nya, dan aku patuh dan berserah diri (kepadanya)”
Menghadapkan “wajah ke hadapan Allah”,  bukanlah sekadar menghadapkan muka bersama-sama anggota lahir yang lain ke hadapan Allah, tetapi menghadapkan seluruh jiwa raga  termasuk anggota-anggota batin (hati, persaan dan pemikiran) kepada Allah SWT. Solatlah dengan sentiasa menghadapkan hati dan jiwa sepenuhnya kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Allah sentiasa menghadap kepada wajah hamba-Nya yang sedang solat selama ia tidak menoleh ke kanan atau ke kiri. Jika hamba itu memalingkan wajahnya, Allah pula akan berpaling darinya” (Riwayat Abu Daud, al-Mustadrak ‘Ala Shahihain; 1481 dan Sahih Ibni Hibban: 1789)
Doa Iftitah adalah amalan sunat dalam solat. Abdullah bin Umar ra. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Doa Iftitah menjadi sebab utamanya dibukakannya pintu-pintu (rahmat yang ada dilangit) (Sahih Muslim: 943)
 
 

Wednesday, January 2, 2013

Bingkisan Qalbu

"Kembalilah kamu kepada Allah, sebelum kamu dikembalikan kepada-Nya" ..Kelana Putera

KE ARAH KESEMPURNAAN SOLAT - 2


TAKBIRATUL IHRAM

Takbiratul Ihram yang kadang-kadang juga disebut sebagai takbir Iftitah ialah lafaz Allahu Akhbar pada permulaan solat. Nabi saw. bersabda: “Anak kunci solat itu ialah bersuci, permulaannya ialah takbir dan penghabisannya ialah salam”.
Pada permulaan solat, seseorang itu diisyaratkan mengangkat kedua tangannya setentang dua bahu sebagai isyarat bahawa ia akan masuk terus ke dalam solatnya. Ia adalah isyarat selamat tinggal dunia, hubungan dengan dunia terputus dan diri hanya berhubung dengan Allah SWT semata-mata dengan tumpuan (perasaan dan pemikiran) kepada Allah Yang Maha Besar – menjadi lambang kepada kekhusyukan, ketulusan hati dan kehinaan diri hamba-Nya.

KE ARAH KESEMPURNAAN SOLAT 1


ANGGOTA ZAHIR DI HADAPKAN SEPENUHNYA

Meletakkan tangan kanan di atas belakang tapak tangan sedikit  ke arah persendian dan pergelangan tangan kiri, sambil berdiri menyusun serta mengatur kedua kaki secara  lurus dengan hujung jari kaki ke hadapan mengadap kiblat, sedang mata ditujukan ke tempat sujud dengan sedikit menundukkan kepala, adalah sebagai tanda dan isyarat sekaligus bersama dengan anggota-anggota batin untuk menghadap dan mengagungkan Allah SWT. Tegasnya semua anggota zahir tidak sekali-kali melayani perkara-perkara lain yang melalaikan.

Tuesday, January 1, 2013

MUTIARA HADIS - MANUSIA DAN NASIBNYA

APA YANG DICATAT TERLEBIH DAHULU

Nabi saw. bersabda: “Sesungguhnya seseorang dari kamu semua itu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari (asal air mani), kemudian menjadi segumpal darah beku selama 40 hari, selanjutnya menjadi segenggam daging juga selama 40 hari. Seterusnya Allah Taala lalu mengutus seorang malaikat, maka iapun meniupkan roh di dalam tubuhnya. Malaikat itu diperintahkan mencatat empat kalimat yakni mengenai REZEKI orang itu, AJAL kematiannya, AMAL perbuatannya dan CELAKA atau BAHAGIAnya.

RENUNGAN AL-QURAN 213

MENGAPA MANUSIA TIDAK BERIMAN KEPADA ALLAH?

8.Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah? Sedang Rasulullah mengajak kamu untuk beriman kepada Tuhan kamu, dan Allah telah mengambil janji setia dari kamu (untuk beriman); jika kamu hendak beriman (maka telah jelaslah dalil-dalilnya). 9. Dia-lah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan Al-Quran  yang terang nyata, kerana ia hendak mengeluarkan kamu dari gelap gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman) yang terang benderang. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu. (AL-HADID: 8-9)