MANUSIA DIPERINTAHKAN BERIBADAT DAN BERBUAT BAIK
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua:
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat,
dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, dan
jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,
dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri" (An-Nisaa': 36)
Ada tiga perkara utama yang terkandung dalam ayat diatas yang patut menjadi
petunjuk dan amal dalam kita melakukan ibadah
Allah. Semuanya itu merupakan perintah Allah berhubung dengan ibadat,
berbuat kebaikan dan kebencian Allah terhadap orang-orang yang sombong takbur
dan membangga diri.
Pertama, manusia diperintahkan supaya beribadat kepada Allah semata-mata
dan tidak menyekutukan Allah dengan segala apa yang lain. Beribadat kepada
Allah merupakan suatu perkara yang begitu luas pengertian dan cakupannya. Ia bukan sahaja meliputi ibadat khusus yang
nyata di perintahkan untuk setiap diri seperti dalam Rukun Islam (Syahadah,
mengerjakan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji) bahkan
mengandungi semua amal perbuatan baik, kebajikan dan kebaktian terhadap Allah
dan juga kepada manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Semua ini mesti
dilakukan hanyasanya kerana Allah dan tidak di sekutukan dengan apa jua yang
lain, umpamanya kepada seseorang manusa, benda-benda dan syaitan-syaitan yang
dipercayai dan disekutukan dengan Allah.
Kedua, Allah memerintahkan manusia berbuat baik kepada orang-orang lain
yang disebutkan dengan begitu jelas iaitu; (a) kedua ibu bapa, (b) kaum
kerabat, (c) anak-anak yatim, (d) orang-orang miskin, (e) jiran-jiran tetangga
yang dekat dan jauh, (f) rakan sejawat atau kawan-kawan, (g) orang-orang
musafir yang terlantar seperti dalam kesakitan dan penderitaan, dan (h) hamba
yang dimiliki. Dalam kesibukan dan
kekalutan hidup seharian-harian, mungkin ramai di antara kita kurang menyedari
dan memberi perhatian kepada semua kumpulan orang-orang yang disebutkan itu.
Maka terlepaslah peluang untuk kita menyempurnakan ibadat kita kepadaa Allah.
Ketiga, Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan
membanggakan diri. Perkara ini juga menjadi suatu hal yang patut sentiasa kita
renungi dan perbaikinya kerana ada banyak perkara yang kita lakukan hari demi
hari itu tidak mudah terlepas dari perasaan dan tingkah laku yang bersifat
sombong takbur dan membanggakan diri. Ia boleh berpunca dari kata-kata (lisan)
dan perbuatan anggota-onggota tubuh badan kita sendiri dengan gaya dan lagak
tertentu yang memang kita sedari dan kadang kala kita sendiri kurang atau tidak
menyedarinya.
Allah swt. memerintah manusia beribadat dan berbuat kebaikan/kebajikan terutamanya kepada golongan/orang-orang tertentu di sekelilingnya.
ReplyDelete