Tuesday, May 21, 2013

Perempuan Malang


Perempuan Malang

Perempuan malang di kamar seribu tamu
Betapa suram cahaya dalam keredupan mata meminta,
Di tilam segala peristiwa dalam saksi yang buta,
Dari berahi yang memberi untuk hidup yang meminta.

Malam milik manusia bersama dengan perbezaan segala,
Siapa datang, ah, malam ini ia memberi dan menerima;
Alangkah nikmatnya terlentang di bumi tanah tercinta,
Sebelum bendera merdeka sampai sekarang sederap sama.

Semua diterima dalam saksi kamar yang mati,
Manusia silih mengganti tasbih, atau paduka apa
Segalanya, paling hina dan mulia, merasa sama
Menghilang dan datang dari pintu rahsia mereka.

O, perempuan malang yang membeban segala jalang,
Kauterima, rela atau tiada, dalam hidup telanjang;
kau menyimpan segala himpunan keji manusia terpuji,
Kerana demikan hukum dunia manusia yang "berbudi".

Retak dan pecah dalam kebakaran nafsu,
Hidup manusia yang begitu pahit terhirup,
Ah, minjingkit-jingkit dalam panas mencerut,
Sebab usia memanjat jua, menyebabkan kau termangu.

Sampai sekarang, O perempuan malang,
Hukum hidup manusia buas memanjang.

(Usman Awang 1958)

No comments:

Post a Comment