Thursday, December 12, 2013

AMALAN MANUSIA - BERSEDEKAH

MEMBERI SEDEKAH KERANA BERIMAN KEPADA ALLAH
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi dengan (perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar” (Al-Baqarah: 263)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah merosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan) yang menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkan bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah halnya orang-orang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan member petunjuk kepada kaum yang kafir” (Al-Baqarah: 264)
“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpakan hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan” (Al-Baqarah: 265)
Firman Allah dalam ayat-ayat di atas adalah berkaitan dengan member sedekah. Antara perkara-perkara yang dimaksudkan ialah:
Pertama, adalah lebih baik untuknmenolak peminta-peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan mereka daripada memberi sedekah dengan diiringi oleh perkataan dan perbuatan yang menyakitkan hati sipenerima atau peminta sedekah itu.
Kedua, pemberian sedekah kerana riya’, mengungkit-ungkitnya dan menyakiti hati penerima sedekah akan merosakkan pahala sedekah itu. Perbuatan ini tidak akan mendatangkan sebarang hasil kebaikan atau pahala. Allah memberikan perumpaan atau bandingan sedekah ini seumpama hujan lebat yang menimpa batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian bersih tidak meninggalkan sebarang tanah lagi.
Ketiga, pemberian sedekah kerana mencari keredhaan Allah dan kerana untuk meneguhkan iman dan keiklasan akan mendapat hasil kebaikan atau pahala. Allah membuat perumpamaan atau bandingan amal perbuatan ini sebagai sebuah kebun di tanah tingggi yang disirami hujan lebat dan memberikan hasil dua kali ganda atau tetap memberikan hasil sekalipun dengan hujan renyai-renyai atau gerimis.
Kesimpulannya berilah sedekah walaupun sedikit dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan dengan itu kita berharap untuk mendapat kekuatan iman dan pahala daripada sedekah tersebut.
 
 

1 comment:

  1. Memberikan sedekah/derma/sumbangan/bantuan dengan ikhlas kerana Allah akan mendapat balasan baik yang setiampalnya di dunia dan di akhirat kelak.

    ReplyDelete