Monday, August 26, 2013

Renungan Al-Quran 365

BERIBADAT KEPADA ALLAH DAN BERBUAT KEBAIKAN
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetanga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang-orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri" (An-Nisaa' : 36)

Ayat di atas merupakan firman Allah swt. yang memerintahkan manusia untuk melakukan dua perkara yang amat penting iaiatu; (a) beribadat kepadaNya tanpa ada sebarang sekutu yang lain dan (b) berbuat kebaikan kepada manusia khususnya semua orang yang di sebutkan dalam ayat tersebut.

Pertama, beribadat kepada Allah ialah paksi atau  pokok kepada kehidupan setiap manusia apabila seseorang itu telah beriman kepadanya. Dalam ayat yang lain Allah telah menegaskan bahawa Dia menjadikan atau mencipta manusia (termasuklah jin) tidak lain hanyalah untuk semata-mata menyembah dan beribadat kepadaNya. Inilah hakikat sebenarnya Allah menciptakan manusia dan jin di muka bumi ini. Kerja beribadat itu pula mestilah dilakukan dengan sepenuh hati dan jiwa raga dan tidak mempersekutukan dengan apa-apa sekalipun. Melihat dari sudut ini kita mestilah mengisafi, menyedari dan memahami bahawa beribadat Allah ialah suatu perintah  yang mutlak ke atas diri manusia yang wajib dan mesti dilakukan menurut segala hukum dan peraturan yang sudah Allah tetapkan.

Kedua, manusia diperintahkan untuk berbuat baik kepada manusia lain, iaitu orang-orang lain yang ada disekekeliling mereka. Dalam hal ini Allah telah menyatakan dengan jelas akan orang-orang yang kepada mereka kita mesti berbuat kebaikan. Kalau kita direnungi secara mendalam  berbuat baik itu sendiri mengandungi skop amal perbuatan yang begitu luas iaitu segala bentuk kebajikan, keinsanan dan kebaktian. Ia boleh berupa yang melibatkan harta benda atau kekayaan, ilmu pengetahuan dan tenaga fizikal.
 
Antara kumpulan orang untuk kita berbuat kebaikan yang Allah sebutkan dalam ayat di atas ialah: (1) kedua ibu bapa, (2) kaum kerabat, (3) orang miskin, (4) jiran tetangga yang dekat dan yang jauh, (5) kawan-kawan atau rakan-rakan sejawat, (6) orang-orang musfir yang terlantar dan (6) hamba yang dimiliki. Lihatlah berapa luasnya ruang lingkup yang ada untuk sesiapa sahaja berbuat kebaikan, pada bila-bila dan di mana jua.
Ketiga, Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan berbangga-bangga. Sesungguhnya sifat sombong takbur dan berbangga diri ini ialah salah satu sifat keji (mazmumah) yang ada dalam diri atau hati manusia. Ia berpunca dari hati yang kotor yang juga menumbuhkan pelbagai sifat keji yang lain yang Allah memang membencinya seperti tamak haloba kepada makanan, percakapan dan harta kekayaan,  bakhil kedekut, ujub, riak dan lain-lain.  Ramai para ulama  Islam  menjelaskan sifat-sifat keji dan sifat-sifat terpuji (mahmudah) dalam kitab-kitab mereka berdasarkan ayat-ayat Allah dan sunnah Baginda saw.

No comments:

Post a Comment