Sunday, January 9, 2011

Titisan Tinta Siri 1 -Dasar Pendidikan Kebangsaan

TITISAN TINTA  
Perkembangan dan perubahan pesat  sistem pendidikan negara bermula semejak kemerdekaan pada tahun 1957.Laporan Razak 1956 telah  memberi pertimbangan secukupnya kepada kepelbagaian bahasa, agama dan budaya masyarakat berbilang kaum atau masyarakat majmuk Tanah Melayu (kemudian pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963) dalam proses pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan. 

Pendahuluan Akta Pelajaran 1961 menyatakan bahawa  “Dasar Pelajaran yang  diistiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan  satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya..”

Dasar pecah dan perintah dan impak negatif akibat penjajahan bangsa Eropah yang bermula dengan Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris semenjak kejatuhan Empayar  Melayu Melaka pada tahun 1511 telah meruntuhkan sistem politik  dan ekonomi Bumiputera, digantikan dengan sistem politik dan ekonomi Inggeris yang berbentuk pemusatan,ekonomi kapitalis dan dualism.

Sistem pendidikan atau persekolahan di bawah zaman penjajahan Inggeris lebih bersifat pengasingan demi menjaga kepentingan    politik  dan ekonomi mereka.Oleh  itu sistem pendidikan di bawah penjajahan Inggeris ini dibiarkan bergerak mengikut aliran bahasa ibunda pelbagai kaum iaitu sekolah-sekolah aliran Melayu, Cina, Tamil, Inggeris  dan agama. Semua jenis aliran sekolah ini menggunakan   bahasa pengantar, kurikulum (sukatan pelajaran dan buku teks), bentuk  penilaian  dan, latihan guru, kemudahan-kemudahan persekolahan dan pentadbiran yang berbeza.

Sistem pendidikan ini ternyata bukan sahaja tidak dapat memenuhi hasrat perpaduan masyarakat  berbilang kaum malah  gagal memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat dan pembangunan negara terutama sekali dalam memenuhi hasrat sebagai negarabangsa yang merdeka dan berdaulat.

Semenjak mencapai kemerdekaan  beberapa perkembangan dan perubahan penting telah dilakukan dalam memenuhi harapan dan keperluan sebagai satu  bangsa yang merdeka dan berdaulat.Antara beberapa perkembangan dan perubahan utama  dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tahun 1957 ialah;
  • Pelaksanaan sistem persekolahan yang lebih bersifat kebangsaaan dengan  pembentukan dua jenis sistem persekolahan iaitu sekolah-sekolah aliran kebangsaan dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan (aliran Inggeris, Cina dan Tamil).
  • Penggunaan Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa-bahasa ibunda lain seperti Bahasa Cina, Tamil dan lain-lain sebagai bahasa pilihan/tambahan.
  • Penggunaan kurikulum (sukatan pelajaran dan buku-buku teks) yang lebih berorientasikan masyarakat dan negara Malaysia.Peranan pendidikan  kokurikulum juga dipertingkatkan di semua peringkat persekolahan terutama dalam dua dekad kebelakangan.
  • Amalan peperiksaan dan penilaian yang bercorak kebangsaan seperti peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.  Bentuk dan penilaian berasaskan sekolah (school based assessement) mula dilaksanakan selaras dengan konsep penilaian yang lebih menyeluruh dan bersepadu di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
  • Pengenalan kandungan kurikulum kebangsaan bagi semua peringkat persekolahan meliputi pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan prauniversiti.Kandungan dan orientasi kurikulum disemak dan diperbaharui bagi memenuhi pelbagai keperluan masa hadapan. Juga pengenalan pelbagai pengetahuan dan kemahiran baru yang lebih bersifat kreatif dan inovatif.
  • Latihan perguruan yang lebih berkualiti di institusi-institusi perguruan dan universiti-universiti dalam dan luar negara. KPM juga telah lama memperkenalkan program pengsiswazahan di kalangan guru-guru dan mula memperkenalkan program baru Standard Guru Malaysia (SGM)
  • Penyediaan kemudahan-kemudahan fizikal, bantuan kewangan, sistem pentadbiran/ pengurusan pendidikan dan sistem sokongan pendidikan yang lebih berkualiti.

No comments:

Post a Comment