Monday, January 31, 2011

Titisan Tinta Siri 3 - Pembangunan Potensi Diri


TITISAN TINTA    
 Setiap insan (termasuk murid dan pelajar) dianugerahi Ilahi dengan segala kelebihan dan keistimewaan sebagai makhluk ciptaannya yang paling sempurna. Secara mudahnya setiap  diri manusia itu terbentuk daripada dua bahagian utama iaitu JASAD dan ROH. Jasad dapat dijelaskan sebagai ciri dan sifat fizikal/jasmani membentuk sistem tubuh badan merangkumi semua bahagian seperti kepala, panca indera, badan, kaki, tangan, lengan, tengkok, pinggang, peha, betis, sistem tulang, urat saraf, darah, organ-organ dan lain-lain seadanya fisiologi dll

ROH pula merupakan bahagian diri manusia yang tidak nampak dan tidak boleh dipegang, tetapi tanda kewujudannya  dijelaskan dengan adanya 

Potensi setiap diri manusia dapat diringkaskan sebagai apa sahaja  KEBOLEHAN atau KAPISITI semulajadi anugerahTuhan.  Secara  fitrahnya ia terdiri daripada empat aspek atau komponen utama yang biasa diringkaskan sebagai  JERI ( jasmani, emosi, rohani dan intelek)

Sekiranya matlamat atau tujuan utama pendidikan ialah mendidik insan, maka semua aspek potensi diri yang terdiri JERI itu mestilah dibangunkan secara menyeluruh dan bersepadu. Beberapa perkara pokok yang menjadi asas kepada proses pendidikan perlulah diberi pertimbangan yang sewajarnya dan ia mungkin bersifat kesejagatan. Beberapa istilah yang berbeza juga pernah digunakan bagi aspek JERI iaitu:

Pertama,  jasmani (jasad atau fizikal),
Kedua, emosi  (jiwa atau perasaan hati),
ketiga, rohani (roh atau spiritual) dan
keempat, intelek (akal atau minda)

Antara perkara-perkara pokok yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya ialah seperti
  • Membentuk suatu kurikulum yang menyeluruh dan bersepadu dengan tujuan membangunkan semua aspek JERI
  • Menyedari bahawa terdapat perbezaan potensi atau kapisiti antara individu dan kumpulan pelajar disebabkan pelbagai faktorbaka dan keadaan persekitaran ekonomi, sosial dan budaya yang  mungkin mempunyai perbezaan dalam keperluan terhadap pendidikan.
  • Mewujudkan suatu kesinambungan pendidikan bermula dari peringkat prasekolah, memasuki peringkat sekolah rendah, menengah dan peringkat pendidikan tinggi.
  • Memberi perhatian yang sewajarnya kepada perkembangan pelbagai kepintaran (multiple intelligences) supaya semua bahagian potensi diri insan dapat dikenalpasti dan dimajukan.
  • Menggunakan pelbagai pendekatan teori dan praktik pedogogi dan penilaian yang sesuai untuk mencapai matlamat dan objektif yang di tetapkan’
  • Memberi perhatian secukupnya kepada unsur-unsur terkini yang diperlukan berupa kemahiran-kemahiran berfikir, inovasi, kreativiti, komunikasi berkesan, pengurusan diri, motivasi diri, kepimpinan berkualiti, keusahawanan, kemahiran-kemahiran ICT, kesedaran sosial, alam sekitar dan lain-lain.
  • Memberi pertimbangan kepada beberapa isu dan persoalan utama seperti ekuiti,ekualiti,  aksesibiliti, kualiti pendidikan merentasi ruang dan masa.
Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa  kapasiti atau keupayaan manusia itu bersifat  menyeluruh dan menggambarkan diri insan yang yang sebenarnya.  Apa yang perlu ialah bukan sekadar memahami ciri-ciri keupayaan seseorang pelajar tetapi yang lebih penting ialah bagaimana seluruh keupayaan (JERI) dapat dibangunkan atau dikembangkan  bagi mencapai tujuan atau matlamat yang dikehendaki atau ditetapkan.Tujuan dan matlamat pendidikan pada asasnya merupakan tindakan dan proses untuk;

Monday, January 24, 2011

Mawar Putih

Mawar Putih

Mawar putih mahkota kasih
Selembut sutera setulus air mata
Mutiara kasih anak - ayah bonda
Belaian mesra  permata jiwa
Tanpa batas ruang masa
Apakah untuk selamanya?

Mawar putih anugerah Ilahi        
Berkorban nyawa bertarunglah jiwa
Melahirkan dan membesarkan
Bersama kemelut derita dan bahagia
Kasih sejati ditagih jua
Sampai bila dan bagaimana?

Mawar putih mekar suci murni
Seharum kasturi meniti masa
Ayah bonda dimamah usia
Jiwa raga kian pudar
Semakin pilu bertambah lesu
Menunggu saat penghujung nyawa

Sebuah harapan bernama memori
Tak mungkin padam di dalam hati
Pada yang kasih dan tersayang
Mawar putih seindah mimpi harapan
Setinggi gunung mencecah janji
Dekat di mata jauh di hati

Lupa diri menjadi durhaka
Tiada lagi dakapan kasih mesra
Di taman hati sudah buta dan beku
Mawar putih hilang entah ke mana
Anak berkelana cari ayah bonda dan...
di manakah jalan lurus ke pintu Firdausi?

Kelana Putra
Selasa 25 Februari 2011
20 Safar 1432, Sura, Dungun.


Sunday, January 9, 2011

Titisan Tinta Siri 1 -Dasar Pendidikan Kebangsaan

TITISAN TINTA  
Perkembangan dan perubahan pesat  sistem pendidikan negara bermula semejak kemerdekaan pada tahun 1957.Laporan Razak 1956 telah  memberi pertimbangan secukupnya kepada kepelbagaian bahasa, agama dan budaya masyarakat berbilang kaum atau masyarakat majmuk Tanah Melayu (kemudian pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963) dalam proses pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan. 

Pendahuluan Akta Pelajaran 1961 menyatakan bahawa  “Dasar Pelajaran yang  diistiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan  satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya..”

Dasar pecah dan perintah dan impak negatif akibat penjajahan bangsa Eropah yang bermula dengan Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris semenjak kejatuhan Empayar  Melayu Melaka pada tahun 1511 telah meruntuhkan sistem politik  dan ekonomi Bumiputera, digantikan dengan sistem politik dan ekonomi Inggeris yang berbentuk pemusatan,ekonomi kapitalis dan dualism.

Sistem pendidikan atau persekolahan di bawah zaman penjajahan Inggeris lebih bersifat pengasingan demi menjaga kepentingan    politik  dan ekonomi mereka.Oleh  itu sistem pendidikan di bawah penjajahan Inggeris ini dibiarkan bergerak mengikut aliran bahasa ibunda pelbagai kaum iaitu sekolah-sekolah aliran Melayu, Cina, Tamil, Inggeris  dan agama. Semua jenis aliran sekolah ini menggunakan   bahasa pengantar, kurikulum (sukatan pelajaran dan buku teks), bentuk  penilaian  dan, latihan guru, kemudahan-kemudahan persekolahan dan pentadbiran yang berbeza.

Sistem pendidikan ini ternyata bukan sahaja tidak dapat memenuhi hasrat perpaduan masyarakat  berbilang kaum malah  gagal memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat dan pembangunan negara terutama sekali dalam memenuhi hasrat sebagai negarabangsa yang merdeka dan berdaulat.

Semenjak mencapai kemerdekaan  beberapa perkembangan dan perubahan penting telah dilakukan dalam memenuhi harapan dan keperluan sebagai satu  bangsa yang merdeka dan berdaulat.Antara beberapa perkembangan dan perubahan utama  dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak tahun 1957 ialah;
  • Pelaksanaan sistem persekolahan yang lebih bersifat kebangsaaan dengan  pembentukan dua jenis sistem persekolahan iaitu sekolah-sekolah aliran kebangsaan dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan (aliran Inggeris, Cina dan Tamil).
  • Penggunaan Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa-bahasa ibunda lain seperti Bahasa Cina, Tamil dan lain-lain sebagai bahasa pilihan/tambahan.
  • Penggunaan kurikulum (sukatan pelajaran dan buku-buku teks) yang lebih berorientasikan masyarakat dan negara Malaysia.Peranan pendidikan  kokurikulum juga dipertingkatkan di semua peringkat persekolahan terutama dalam dua dekad kebelakangan.
  • Amalan peperiksaan dan penilaian yang bercorak kebangsaan seperti peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.  Bentuk dan penilaian berasaskan sekolah (school based assessement) mula dilaksanakan selaras dengan konsep penilaian yang lebih menyeluruh dan bersepadu di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
  • Pengenalan kandungan kurikulum kebangsaan bagi semua peringkat persekolahan meliputi pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan prauniversiti.Kandungan dan orientasi kurikulum disemak dan diperbaharui bagi memenuhi pelbagai keperluan masa hadapan. Juga pengenalan pelbagai pengetahuan dan kemahiran baru yang lebih bersifat kreatif dan inovatif.
  • Latihan perguruan yang lebih berkualiti di institusi-institusi perguruan dan universiti-universiti dalam dan luar negara. KPM juga telah lama memperkenalkan program pengsiswazahan di kalangan guru-guru dan mula memperkenalkan program baru Standard Guru Malaysia (SGM)
  • Penyediaan kemudahan-kemudahan fizikal, bantuan kewangan, sistem pentadbiran/ pengurusan pendidikan dan sistem sokongan pendidikan yang lebih berkualiti.

Tuesday, January 4, 2011

Selamat Tahun Baru dan Salam Mesra Mawar Merah

Sempena dengan kehadiran tahun baru 1432 hijrah dan 2011 KELANA PUTRA (KP) mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia dengan harapan untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang bahkan terbilang dalam semua perkara yang kita ceburi. Kepada anda semua KP harap dapat perkasakan diri-minda,hati dan budi anugerah terbaik oleh Ilahi. Semoga tahun baru yang mula menyinar ini memberikan kita kekuatan, keazaman, keyakinan, keberanian dan kebijaksanaan untuk kelangsungan hidup supaya menjadi lebih bermakna dan bererti. Ringkasnya "Buatlah yang terbaik untuk menjadi yang terbaik" - selamat berjuang dan maju jaya.

Dalam kesempatan pertama yang bertuah ini KP dengan amat sukacitanya mencucapkan salam mesra mawar merah - lambang kecintaan, kemesraan, kesetiaan dan kasih sayang manusia sejagat kepada anda semua. Kepada semua kaum kerabat, sahabat handai, rakan taulan dan anak didik yang sudah biasa dan kenal mesra diharap dapat kita perteguhkan ikatan muhibbah dan silatulrahim.  Kepada yang baru KP ucapkan salam perkenalan kerana bila sudah kenal baru boleh menjadi mesra.

KP juga berharap kita akan mendapat peluang dan kesempatan yang secukupnya untuk berbicara, bersembang dan berinteraksi mengenai pelbagai isu dan persoalan, mungkin mengenai diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara dalam fokus dan konteks yang lebih menarik pada hari-hari mendatang.

Buat pertemuan pertama ini terimalah beberapa buah sajak yang telah KP hasilkan dalam tempoh enam bulan terakhir tahun 2010 yang lalu - "Rinduku tetap padaMu" "Mawar Merah" "Visi Cinta Agung" dan "Kembara Insan" - Sekian sehingga berjumpa lagi - Terima kasih