Friday, December 30, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 30

KALIMAT YANG BAIK DAN KALIMAT YANG BURUK BAGAIKAN POHON

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabang-cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat" (Ibrahim: 24 dan 25)

"Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun" (Ibrahim: 26)

"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki" (Ibrahim:27)

Dalam firman-firmanNya di atas Allah memberikan perumpamaan-perumpamaan dengan tujuan supaya manusia selalu beringat-ingat mengenai kalimat yang baik dan kalimat yang buruk serta mengenai keimanan manusia bagi orang-orang yang beriman dan manusia yang disesatkan oleh Allah.

Pertama, Allah mengumpamakan kalimat yang baik seperti pohon yang baik dengan akarnya yang teguh dan cabang-cabangnya tegak menjulang ke langit. Dengan izin Allah, pohon itu memberikan hasil iaitu buahnya pada setiap musim. Rangkaian kata kalimat yang baik telah ditafsirkan sebagai kalimat tauhid iaitu dua kalimah syahadah, termasuk juga segala perkataan dan ucapan yang menyeru manusia kepada kebaikan (kebajikan), mencegah daripada kemungkaran, serta segala amal perbuatan yang baik.

Kedua, Allah mengumpamakan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi. Pohon ini tidak dapat berdiri tegak sedikitpun. Logiknya pohon seperti ini tidak bermanfaat dan akhirnya akan mati. Rangkaian kata kalimat yang buruk itu ditafsirkan sebagai ialah kalimat-kalimat kufur dan syirik, termasuklah segala perkataan yang tidak benar serta perbuatan yang tidak baik iaitu perbuatan-perbuatan maksiat, mungkar dan jahat.

Ketiga, yang dimaksudkan dengan ucapan yang teguh dalam ayat ke 27 di atas ialah kalimatun thoyyibah (kalimat yang baik) seperti di dalam ayat 24 yang terdahulunya. Allah menambah keteguhan iman kepada orang-orang yang beriman dengan kalimat yang baik dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Orang-orang yang beriman ini pasti mendapat balasan baik daripada Allah. Manakala orang-orang yang zalim disesatkan dan mendapat balasan sebagaimana yang Allah kehendaki.

Keempat, terdapat perbezaan yang amat besar dan amat bertentangan di antara orang yang mengucapkan kalimat yang baik dengan orang yang mengucapkan kalimat yang buruk. Begitulah juga perbezaan antara orang-orang yang beriman dan beramal baik berbanding dengan orang-orang yang kufur dan beramal buruk. Kedua-dua golongan ini pasti mendapat balasan masing-masing daripada Allah baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak.

Kesimpulannya, apakah dapat kita umpamakan diri kita sendiri sebagai suatu pohon. Iman kita umpamakan sebagai akar tunjang yang kuat mencengkam bumi, pohon itu pasti dapat berdiri tegak dan gagahnya. Pohon itu akan terus hidup subur membesar di atas batangnya atau tiangnya, yang kita umpamakan sebagai syariat Islam. Daripada batangnya yang kukuh, pohon itu menumbuhkan cabang-cabang dengan daun-daun yang lebat dan rimbun lalu meghasilkan buah-buah untuk dinikmati sebagai kurnia Allah, yang kita umpamakan sebagai balasan Allah kepada semua amal perbuatan baik iaitu amal soleh dan taqwa yang telah dikerjakan.

Thursday, December 29, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 29

BERDOA MEMOHON AMPUN DAN RAHMAT ALLAH

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksaan (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa); Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatlah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir" (Al-Baqarah: 286)

Firman Alah dalam ayat diatas (penutup Surah Al-Baqarah) menceritakan mengenai bebanan yang Allah berikan terhadap seseorang, balasan terhadap kebajikan dan kejahatan yang dikerjakan dan doa manusia kepada Allah untuk memohon maaf, ampun dan rahmat dariNya serta tersingkir dari ancaman kaum yang kafir. Ada beberapa isi kandungan penting yang patut menjadi bahan renungan dan petunjuk kepada kita semua.

Pertama, Allah menyatakan bahwa Dia tidaklah membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupan orang itu sendiri. Kesanggupan seseorang itu boleh kita maksudkan sebagai segala kekuatan yang Allah berikan seperti akal fikiran, kekuatan jasmani, kesucian hati, kemurnian jiwa dan sebagainya sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi. Tetapi sayangnya, ramai dari kalangan manusia semenjak umat terdahulu hinggalah umat terkini, berpendirian bahawa segala apa yang telah Allah perintahkan itu merupakan bebanan yang tidak sanggup untuk dipikul, padahal ia adalah amanah dan perintah Allah kepada manusia itu sendiri.

Pada hakikat sebenarnya, Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil mengenai apa saja yang telah diperintahkan kepada manusia iaitu untuk berbuat kebaikan dan kebajikan serta meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Hanyalah manusia itu sendiri tidak mahu mempelajari, memikirkan, menyedari dan mengisafi dirinya.

Satu sifat buruk dan keji manusia ialah mahu terus menerus membuat maksiat. Segala perbuatan jahat, keji dan mungkar yang dilakukan oleh manusia adalah berpunca dari kelemahan diri manusia itu sendiri. Diri manusia yang begitu kuat dipengaruhi oleh hawa nafsu yang keji, tipu daya syaitan dan segala keseronokan hidup dunia yang langsung menyebabkan mereka menjadi lalai, lupa, terpesong dan akhirnya tersesat dari jalan yang lurus, jalan Islam, jalan Allah.

Kedua, Allah seterusnya memperingatkan bahawa seseorang itu akan mendapat pahala dari kebajikan (kebaikan) yang dikerjakannya dan mendapat seksaan dari kejahatan yang dikerjakannya. Kedua-duanya, segala amal perbuatan baik dan jahat yang dikerjakan oleh seseorang itu pasti mendapat balasan sebagaimana yang telah Allah janjikan.

Ketiga, dalam ayat di atas Allah menunjukkan suatu doa yang telah di baca oleh umat yang terdahulu, di mana mereka memohon untuk dilepaskan dari hukuman jika telah lupa dan berbuat kesalahan, untuk diringankan bebanan yang dipikul, memohon untuk dimaafkan, diampunkan dan dikurnia rahmatNya serta tersingkir daripada ancaman orang-orang kafir.

Keempat, Allah sahajalah yang menjadi Penolong kepada mereka dan kepada manusia dan kepada kita semua. Justeru itu sebagai hamba Allah, kita mestilah berdoa memohon kemaafaan, keampunan, keselamatan dan kerahmatan dengan hati yang ikhlas, sabar, bertawakal dan berserah diri kepadaNya. Bahkan doa itu sendiri adalah suatu ibadah. Bermunajat dan berdoalah kita kepada Allah dalam keadaan apa, bila dan di mana sekalipun. Insyaallah kita mendapat restu dan redha Allah swt. jua.
 

Wednesday, December 28, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 27

MEMOHON AMPUN DAN BERTAUBAT KEPADA ALLAH

"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya. (Jika kau mengerjakan yang demikian ), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat" (Huud:3)

Firman Allah Taala dalam ayat di atas jelas memerintahkan manusia agar memohon keampunan dan bertaubat kepadaNya. Dengan memohon keampunan dan taubat ini, nescaya Allah akan memberikan kepada manusia itu kenikmatan yang baik iaitu nikmat yang berterusan sehingga suatu waktu yang telah ditetapkan. Allahlah yang menetapkan usia atau waktu bagi setiap manusia dan memberi kurniaan nikmatNya. Allah mementukan ajal maut (kematian), kebangiktan semula dan nasib seseorang pada hari akhirat.

Setiap manusia wajib bertaubat kepada Allah kerana setiap manusia pasti berbuat kesalahan dan dosa walau sekecil mana sekalipun. Apa lagi kalau manusia itu melakukan dosa-dosa besar yang membawa kepada kecelakaan diri menghadapi  azab seksa yang amat pedih dan perit, melainkan jika seseorang itu diampunkan oleh Allah.

Bertaubat adalah amat perlu kepada seseorang selagi hayat masih ada dan pintu taubat sentiasa terbuka. Manusia diseru bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu dengan benar-benar menyesali diri, berjanji untuk tidak mahu lagi mengulangi perbuatan sesuatu dosa itu, memohon kepada Allah dengan ikhlas dan penuh mengharap keampunanNya. Ada banyak ayat-ayat Allah yang menjelaskan perihal permohonan ampun termasuklah janji Allah untuk memberi keampunan kepada sesiapa yang berusaha membersihkan diri dan mensucikan hatinya.

Orang-orang yang memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dengan tulus ikhlas dan mengaku akan segala kesalaan dan dosanya serta berserah diri kepadaNya, insyaallah akan di ampunkan dosa-dosanya dan Allah memberikan balasan baik di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, seseorang yang berpaling iaitu yang ingkar  tidak mahu memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah dibimbangi akan mendapat balasan azab seksa daripada Allah di akhirat nanti. Keengganan dan ketidakmahuan untuk memohon ampun dan taubat boleh menyebabkan kemurkaan Allah dan orang yang demikian itu adalah durhaka dan menyombongkan diri terhadap Allah.

Para nabil dan rasul Allah tetap memohon keampunan kepadaNya, walaupun mereka semua itu adalah tergolong ke dalam golongan orang-orang yang menjadi pilihan Allah, mempunyai kedudukan yang paling mulia berbanding dengan manusia lain dan telah mendapat jaminan Allah swt. Baik kalau sekiranya kita dapat memahami dan merenungkan dengan minda dan hati budi yang tulus ikhlas mengenai pelbagai cerita dan kisah mereka yang Allah jelaskan dalam Al-Quran yang mulia itu. Semoga kita diberi petunjuk dan hiayah untuk memohon keampunan dan taubat kepadaNya sebelum sampainya saat nyawa kita berada dihujung kerongkong.
 
 

Monday, December 26, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 28

PERCAYA PADA HARI KIAMAT (Al-Qiyaamah)

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri), Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?" (Al-Qiyaamah: 1 - 3)

"Bukan demikian, sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus." (Al-Qiyaamah: 4 - 5)

"Ia bertanya: "Bilakah hari kiamat itu?" Maka apabila mata terbelalak (ketakutan) dan apabila bulan telah hilang cahayanya, dan matahari dan bulan dikumpulkan." (Al-Qiyaamah: 6-9)

"Pada hari itu manusia berrkata: "kemana tempat lari", sekali-kali tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali" (Al-Qiyaamah: 10-12)

"Dan pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakan dan apa yang dilakukan. Bukankah manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri?, meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya" (Al-Qiyaamah: 13-15)

Di dalam Al-Quran Nul-Karim, terdapat beberapa surah dengan begitu banyak sekali ayat-ayat yang menceritakan dan memberi peringatan mengenai hari kiamat. Hari kiamat yang juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti hari pembalasan, hari pengadilan dan hari kesudahan. Golngan manusia yang kafir dan musyrik sememang telah Allah tutup pintu hati mereka dan mereka tidak sekali-kali mempercayai hari kebangkitan semula dan hari kiamat, serta kembalinya manusia kepada Allah.

Surah Al-Qiyaamah mengandungi sejumlah 40 ayat yang memperingatkan dan menceritakan mengenai kepastian kejadian hari kiamat bersama huru haranya, jaminan Allah terhadap ayat-ayat Al-Quran yang  tersimpan di dalam dada Baginda saw. sehinggalah Baginda saw. tidak lupa sama sekali akan urutan erti dan pembacaannya. Pada ayat-ayat seterusnya dalam surah ini Allah mencela golongan manusia kafir yang tidak mahu membenarkan iaitu beriman dengan Rasul dan Al-Quran yang diturunkanNya.

Firman Allah dalam 15 ayat pada awal Surah Al-Qiyaamah ini seperti yang dipaparkan maksudnya di atas mengandungi kejadian hari kiamat dan ketakutan manusia yang dibangkitkan semula, ketiadaan tempat untuk mereka    melarikan diri dan mereka tetap pasti kembali pada Allah jua. Antara perkara-perkara yang Allah jelaskan dan nyatakan ialah:

Pertama, Allah Taala bersumpah dengan  hari kiamat (yang tidak dipercayai dan diragui)  oleh ramai manusia bahawa ia pasti berlaku.  Allah bertanya kepada manusia apakah mereka mengira mereka tidak akan dibangkitkan semula dan dikumpulkan dan dikembalikan kepadaNya. Sesungguhnya perkara ini adalah benar dan  mudah bagi Allah Yang Maha Berkuasa.

 Kedua, Allah menyatakan kekuasaanNya dalam urusan hari kiamat. Allah berkuasa  mengumpulkan tulang belulang dan menyusun jari jemari manusia yang telah mati itu dengan sempurna. Bahkan Allah mengatakan bahawa manusia itu suka membuat maksiat terus menerus.

Ketiga, manusia bertanya "Bilakah hari kiamat itu?". Allah menyatakan bahawa hari kiamat itu ialah suatu hari apabila mata terbelalak kerana ketakutan, iaitu ketakutan atas semua peristiwa yang terjadi pada waktu itu.  Saat dan ketikanya ialah  apabila bulan telah hilang cahayanya dan apabila matahati dan bulan di kumpulkan.

Keempat, apabila tiba hari kiamat itu nanti, manusia bertanya "kemana tempat lari?" Sesungguhnya pada hari itu manusia tidak dapat lari ke manapun untuk bersembunyi dan menyelamatkan  dirinya bahkan hanya kembali kepada Allah jua.

Kelima, pada hari kiamat itu manusia diberitahu mengenai apa yang telah mereka kerjakan dan lakukan semasa hidup di dunia. Ini semestinya meliputi segala kerja dan perbuatan manusia samaada yang baik mahupun yang jahat.

Keenam, pada hari kiamat itulah setiap manusia  menjadi saksi ke atas dirinya sendiri. Semua kerja dan perbuatan baik mahupun yang jahat yang telah dilakukan adalah diceritakan oleh anggota badan sendiri . Umapamanya seperti oleh  kaki, tangan, mata, telinga dan lain-lain. Sementara mulut manusia   tidak dibenarkan berkata-kata untuk menjelaskan pelbagai alasan mempertahankan diri, apa lagi untuk berbohong dan berdusta seperti yang dilakukan semasa hidup di dunia ini.

Friday, December 23, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 26

ALLAH MENYERU MANUSIA KE SURGANYA

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Allah menyeru manusia ke Darusalam (syurga), dan menunjuki orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus (Islam)" (Yunus: 25)
"Bagi oang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga dan mereka kekal di dalamnya" (Yunus: 26)
"Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindungpun daripada (azab) Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya" (Yunus: 27)

Firman Alah Taala dalam ketiga - tiga ayat di atas menjelaskan secara ringkas mengenai seruan Allah kepada manusia untuk menuju ke syurga dan apa yang terjadi kepada orang -orang yang berbuat kebaikan dan kejahatan. Saiapakh yang menjadi penguhi syurga dam siapakah pula yang menjadi penghuni neraka?

Pertama, Allah menyeru manusia ke Darusalam (syurga) dan Allahlah yang menunjukkan jalaNya yang lurus kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Jalan yang lurus adalah jalan Islam, iaitu jalan kebenaran yang diredhainya. Kalimat atau perkataan Darulsalam bererti tempat yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan iaitu syurga Allah. Orang-orang yang ditunjukki jalan yang lurus ialah orang-orang yang diberi hidayah (dipimpin) oleh Allah berupa akal pemikiran dan wahyu yang membawa kepada pencapain kebahagian di dunia dan di akhirat.

Kedua, orang-orang yang berbuat kebaikan diberikan pahala yang terbaik dengan anugerah syurga oleh Allah dan tambahannya. Yang dimaksudkan dengan tambahan dalam ayat ini ialah kenikmatan melihat Allah, yang merupakan suatu kemuliaan. Orang-orang ini mempunyai muka yang berseri-seri dan tiada sedikitpun tanda-tanda kesusahan. Mereka ini adalah merupakan penghuni syurga dan kekal di dalamnya.

Ketiga, orang-orang yang berbuat kejahatan diberi balasan atau hukuman setimpal dengan kejahatan yang telah mereka lakukan dan mereka ini ditutupi dengan penghinaan. Tiada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka daripada azab Allah. Muka mereka adalah hitam legam seakan-akan ditutupi oleh malam yang gelap gelita. Mereka ini adalah merupakan penghuni neraka dan kekal didalamnya.

Cuba kita renungi secara mendalam dan dengan penuh keinsafan, apakah diri kita, juga keluarga, kaum kerabat dan sahabat handai yang kita sayangi itu tergolong dalam orang-orang yang berbuat kebaikan atau merupakan orang-orang berbuat kejahatan. Allah juga telah menyatakan dengan jelas mengenai jalanNya iaitu jalan Islam, jalan yang lurus utnuk kita ikuti yang akhirnya menerima balsan yang baik iaitu syurga Allah. Sekiranya kita tergolong dalam golongan orang-orang yang berbuat kejahatan (perbuatan syirik dan kemungkaran) sudah pasti kita sangat malang dan akan mendapat balasan buruk iaitu azab sekasa Allah dan neraka jahanam.

Atas sebab dan alasan apa sekalipun, kita perlu mencari jalan untuk menyelamat diri daripada segala azab sekasa di dunia dan di akhirat. Kita mestilash berusaha memperbaiki diri kita dengan keimanan, ketaatan dan ketaqwaan yang lebih baik dari masa kesemasa bersama dengan memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kesalahan, selagi hayat kita masih ada dan pintu taubat masih terbuka. Dengan memilih jalan yang lurus, jalan kebaikan dan sekaligus meninggalkan jalan yang bengkok dan jalan kejahatan, kita insyallah akan beroleh kebahagian dan kesejahteraan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
 
.

Monday, December 19, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 25

 BERIBADAT KEPADA ALLAH DAN BERBUAT KEBAIKAN

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetanga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang-orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri" (An-Nisaa' : 36)

Ayat di atas merupakan firman Allah swt. yang memerintahkan manusia untuk melakukan dua perkara yang amat penting iaiatu; (a) beribadat kepadaNya tanpa ada sebarang sekutu yang lain dan (b) berbuat kebaikan kepada manusia khususnya semua orang yang di sebutkan dalam ayat tersebut di atas.

Pertama, beribadat kepada Allah ialah paksi atau pokok kepada kehidupan setiap manusia apabila seseorang itu telah beriman kepadanya. Dalam ayat yang lain Allah telah menegaskan bahawa Dia menjadikan atau mencipta manusia (termasuklah jin) tidak lain hanyalah untuk semata-mata menyembah dan beribadat kepadaNya. Inilah hakikat sebenarnya penciptaan manusia dan jin di muka bumi ini. Kerja beribadat itu pula mestilah dilakukan dengan sepenuh hati dan jiwaraga dan tidak mempersekutukan dengan apa-apa jua sekalipun. Melihat dari sudut ini kita mestilah mengisafi, menyedari dan memahami bahawa beribadat kepada Allah ialah suatu perintah yang mutlak ke atas setiap diri manusia yang wajib dan mesti dilakukan menurut segala hukum dan peraturan yang sudah Allah tetapkan. Apakah kita mahu sentiasa berkompromi dalam hal ini?

Kedua, manusia diperintahkan untuk berbuat baik kepada manusia lain, iaitu orang-orang lain yang ada disekeliling mereka. Dalam hal ini Allah telah menyatakan dengan jelas akan orang-orang yang kepada mereka kita mesti berbuat kebaikan. Kalau kita dapat direnungi secara mendalam, bahawa  berbuat baik itu sendiri mengandungi skop amal perbuatan yang begitu luas, iaitu segala bentu kebajikan, keinsanan dan kebaktian. Ia boleh berupa yang melibatkan harta benda atau kekayaan, ilmu pengetahuan, tenaga fizikal dan lain-lain.

Antara kumpulan orang untuk kita berbuat kebaikan yang Allah sebutkan dalam ayat di atas ialah: (1) kedua ibu bapa, (2) kaum kerabat, (3) orang miskin, (4) jiran tetangga yang dekat dan yang jauh, (5) kawan-kawan atau rakan-rakan sejawat, (6) orang-orang musfir yang terlantar dan (6) hamba yang dimiliki. Lihatlah betapa luasnya ruang lingkup yang ada untuk sesiapa sahaja berbuat kebaikan, pada bila-bila dan di mana jua.

Ketiga, Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan berbangga diri. Sesungguhnya sifat sombong takbur dan berbangga diri ini ialah salah satu sifat keji  yang ada dalam diri atau hati manusia. Ia berpunca daripada hati yang kotor yang juga menumbuhkan pelbagai sifat keji lain yang Allah memang membencinya seperti tamak haloba kepada makanan, percakapan dan harta kekayaan, bakhil kedekut, ujub, riak dan sebagainya.

Mengapakah seseorang itu boleh jadi berlagak sombong dan berbangga diri? Ini berlaku atas bermacam-macam alasan seperti kerana paras rupa, isteri, anak pinak,  harta kekayaan, pangkat, kedudukan, ilmu dan apa sahaja yang mereka miliki, tanpa menginsafi bahwa semua itu secara mutlaknya adalah milik Allah. Kita hanya diberi pinjam untuk sementara selagi ajal masih ada dan Allah berhak mencabutnya daripada kita pada bila-bila masa yang  Dia kehendaki. Ramai para ulama Islam menjelaskan mengenai sifat-sifat keji (mazmumah)  dan sifat-sifat terpuji (mahmudah) dalam kitab-kitab mereka berdasarkan ayat-ayat Allah dan sunnah Baginda saw.

Friday, December 16, 2011

GETARAN JIWA - NUR HIDAYAH

Nur Hidayah

Nur di atas Nur
berlapis-lapis di alam tertinggi
zahir di sini tampakkan cahaya
sinar meminar alah mata
terangi seluruh alam semesta
sang suria membuka
gelita tabir malam
siang terang benderang
malam menutup gelap pekat
disuluh sang purnama
pungguk tetap merinduinya
kerdipan bintang-bintang
nun jauh..... di atas sana
tampak namun tak kesampaian
pedoman ketika malam
di laut mahupun di daratan
arah timur - barat
utara dan selatan
wajah-wajah yang mengadapMu
atas perintah lagi taat

Alangkah manja mesranya
dakapan dua kekasih
merakam asmara pada jiwa
membisik rindu pada sukma
memadah cinta pada kalbu
memandang hakikat ciptaan
melata makhluk di pelusuk alam
menagih rahmat kurniaMu
berjuta-juta berulang kali

Mampukah matahati
menyuluh makna
menyelami erti
hidup dan mati
datang dan pergi
mestikah kita semuanya
pulang kembali
kepada siapa lagi?
"Kalau tidak kepadaNya Ilahi"


Kelana Putra
Kuala Terengganu
17 Disember 2011
Sabtu 22 Muharam 1433
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 

Thursday, December 15, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 24


IBLIS DAN SYAITAN MEMUSUHI BANI ADAM

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam"; maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dan dia tidak termasuk mereka yang bersujud" (Al-A'raaf: 11)
 `
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis; "Aku lebih baik daripadanya : Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah" (Al-A'raaf: 12)

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari syurga itu; kerana tidak sepatutnya engkau menyombongkan diri di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang hina" (Al-A'raaf: 13)

Iblis menjawab: "Beri tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)" (Al-A'raaf: 14)

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan mereka yang diberi tempoh" (Al-A'raaf: 15)

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang-halangi mereka (dari menjalani) jalan Engkau yang lurus" (Al-A'raaf: 16)

"Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta diri kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (Al-A'raaf: 17)

Semua ayat di atas menerangkan peristiwa yang telah berlaku bila Allah Taala menciptakan Nabi Adam as. dan tidak tanduk iblis yang begitu angkuh, mungkar dan sesat sehingga sanggup melanggar perintah Allah. Iblis bukan sahaja tidak mahu bersujud atau memberi hormat kepada Adam, bahkan meminta izin kepada Allah untuk terus menghasut dan menyesatkan umat manusia (Bani Adam) sehingglah sampainya hari kiamat iaitu bila semua manusia dibangkitkan.

Permusuhan iblis terhadap umat manusia bermula sebaik sahaja Allah swt. menciptakan Adam as. Allah telah memerintahkan malaikat-malaikat dan iblis sujud (memberi hormat) kepada Nabi Adam dan iblis telah mengingkari perintah ini dengan begitu angkuh dan sombong. Iblis mendakwa dirinya lebih baik kerana Allah telah mencipta dirinya daripada api, sedangkan Adam itu Allah ciptakan daripada tanah.

Kesombongannya menyebabkan Allah murka dan memberikan hukuman kepada iblis iaitu dia termasuk kedalam golongan orang-orang yang hina dan Allah mengusirnya keluar dari syurga. Lantaran itu iblis memohon izin kepada Allah hinggalah ke hari kiamat dan Allah telah memberi tempoh kepadanya. Iblis bersumpah untuk menghalang manusia daripada mengikuti jalan Allah yang lurus, iaitu jalan agama Allah yang sebenar-benarnya. Iblis juga menyatakan untuk mendatangi manusia dari semua arah dari hadapan, belakang, kiri dan kanan. Tujuan iblis ialah untuk memesongkan dan menyesatkan umat manusia (Bani Adam) daripada mengikuti jalan Allah.

Dalam ayat-ayat Al-Quran yang lain Allah menceritakan dan menjelaskan perihal bagaimana iblis dan syaitan-syaitan itu menghasut dan menjalankan tipu daya untuk merosakkan dan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara sehingga akhirnya menjerumuskan manusia ke jurang kebinaasaan  iaitu neraka jahanam. Allah banyak mengingatkan manusia agar mengelakkan diri daripada mengikuti langkah-langhah syaitan yang sentiasa memberi bisikan dan mengajak manusia melakukan berbagai-bagai jenis kemungkaran dan kejahatan. Kita juga diperingatkan bahawa syaitan-syaitan itu adalah musuh yang nyata dan kita mestilah memohon perlindunganNya daripada iblis dan syaitan.

RENUNGAN AL-QURAN 23

KITA KEMBALI KEPADA ALLAH UNTUK MENERIMA BALASANNNYA

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada pada siang hari: kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadanyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan" (Al-An'aam: 60)

"Dan Dialah yang berkuasa atas sekelian hambaNya: dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat-malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat-malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya)" (Al-An'aam: 61)

"Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dialah secepat-cepat Pengira-Penghitung" (Al-An'aam: 62)

Firman Allah swt. dalam ketiga-tiga ayat di atas menceritakan secara ringkas akan apa yang akan kita semua hambanya akan lalui hinggalah mendapat pengadilan dan hukuman atau balasanNya. Kita diberi kehidupan siang malam, hari demi hari sehinggalah sampai ketika habis ajal atau tempoh usia yang ditetapkan. Semasa hidup di dunia ini malaikat-malaikat diutuskan sebagai pengawal-pengawal untuk menjaga menjaga dan menulis semua perbuatan baik dan buruk yang kita lakukan. Dan malaikat-malaikat ini tidak cuai menjalankan tugas-tugas tersebut, bahkan menurut semua perintah Allah kepada mereka.

Semua orang yang telah mati (di ambil nyawanya) itu dikembalikan kepada Allah. Pada hari kiamat kelak semua orang pasti menerima hukuman dan balasan Allah Yang Maha Adil dan setiap orang tidak akan terlepas daripada hukuman dan balasan ini.

Semua perisiwa yang mesti dilalui disepanjang perjalanan diri manusia, bermula dengan alam arwah (alam roh), alam rahim (ibu), memasuki alam kehidupan (alam dunia), alam kubur (alam barzakh), dibangkitkan semula pada hari kiamat hinggalah ke alam akhirat telah Allah ceritakan dan nyatakan di-dalam Al-Quran Nul Karim. Jika inginkan kepastian dan keyakinan teguh terhadap semua peringkat atau episode perjalanan diri ini, perlulah kira membaca, mempelajari, meneliti dan memahami sedalam-dalamnya. Semoga kita akhirnya di redhai, diberkati dan diterima Allah jua.

Wednesday, December 14, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 22


MENGUBAH DRI DAN BALA BENCANA
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Dan tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk memperlihatkan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri) maka tidak sesiapapun dapat menolak dan menahan apa yang ditetapkanNya, dan tidak ada sesiapapun dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya" (Al-R'ad: 11)

Ada beberapa peringatan dan pengajaran penting daripada firman Allah Taala dalam ayat diatas berhubung dengan keselamatan diri, perubahan kehidupan sesuatu kaun dan bala bencana yang Allah timpakan.

Pertama, Allah memerintahkan malaikat-malaikat untuk menjaga manusia. Setiap manusia dijaga oleh malaikat-malaikat silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, ditugaskan menjaga keselamatan seseorang manusia daripada sesuatu bahaya. Inilah rahmat pertolongan Allah yang kita nikmati pada setiap saat dan ketika. Namun ramai yang kurang mengetahui dan memikirkannya.

Kedua, Allah menyatakan bahawa sesungguhnya Dia tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada mereka.

Maknanya sesuatu kaum yang hidup senang lenang dan aman damai disebabkan oleh keimanan dan ketaatan kepada Allah Taala dengan akhlak yang mulia dan terpuji, maka Allah tidak akan mengubah keadaan mereka sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri daripada keimanan dan ketaatan kepada kufur dan maksiat, dan daripada akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji yang membawa kepada kehancuran iaitu bala bencana yang Allah timpakan kepada kaum tersebut.

Ketiga, Allah Yang Maha Kuasa menurunkan bala bencana kepada sesuatu kaum disebabkan oleh kesalahan dan dosa-dosa yang merka lakukan. Renungilah bagaimana Allah telah menurunkan bala bencana kepada kaum-kaum Firaun, Hamam, Samut, Aad dan lain-lain kerana pelbagai sebab yang berpunca daripada segala perbuatan berupa kedurhakaan, kekufuran dan kemungkaran yang melampaui batas sehingga Allah menghapuskan mereka dari muka bumi dan Allah gantikan mereka dengan kaum-kaum lain yang lebih baik.

Keempat, bila berlaku apa-apa bala bencana tiada siapapun dapat menolak dan menahannya serta tiada sesiapapun dapat menolong dan melindunginya. Itulah kehendak dan ketetapan Allah Yang Maha kuasa.

Renungilah segala bala bencana yang telah Allah turunkan kepada kaum-kaum tertentu di hadapan mata kita seperti tsunami yang telah melanda Aceh, Thailand, Sri Lanka, Jepun dan lain-lain. Juga bencana kemarau panjang, banjir besar, ribut taufan, ledakan gunung berapi, gempa bumi dan lain-lain disegenap pelusuk dunia.

Sunday, December 11, 2011

GETARAN JIWA - TIADA DUSTA

TIADA DUSTA

Dimana dan bagaimanakah?
sumpah janji setiamu
perjalanan semua jiwa
sudah dicatat ditulis
dalam Al-Kitab Luah-Mahfuz
ketetapan Tuhan Yang Esa
seisi alam semesta

Sumpah janjimu
bukan pada manusia
pada siang pada malam
pada purnama dan bintang-bintang
bersaksi hati nan suci
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa
Muhammad itu Rasul pesuruhNya

Sejak awal mula kau berjanji setia
dipersatukan roh dan jasadmu
menyembah beribadat kepadaNya
beriman taat bertaqwa
abdikan diri jiwaragamu
menyerah diri padaNya

Lepaskan dakapan dunia
senda gurau gelak ketawa
kemegahan mahupun kekayaan
anak pinak dan kawan-kawan
cuma kesenangan sementara
tiada harapan beri pertolongan

Pada rupa wajahmu
terlukis baik burukmu
dosa pahalamu menunggu diadili
anggota tubuhmu menjadi saksi
mulut bisu tanpa bicara

Saksi-saksimu katakan benar
tak mampu engkau berdusta lagi
tiada tabir boleh menutupi
laku buat tingkahmu
dihitung kira dosa pahalamu
seberat sebesar manapun jua
atas timbangan Al-Mizan
nasib untung rugimu
tiadalah lagi dusta
antara kau dan Dia

Kelana Putera
Kuantan, Pahang DM
10 Disember 2011
Sabtu 15 Muharam 1433

RENUNGAN AL-QURAN 21


SYURGA UNTUK ORANG-ORANG YANG BERTAQWA

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)".
.
Katakanlah: "Ingin aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah: Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya."

(yaitu) orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka"

"(yaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di sisi Allah) dan yang memohon ampun diwaktu sahur" (Ali-'Imran: 14-17)

Firman Allah dalam ayat-ayat di atas sesungguhnya mengandungi peringatan dan petunjuk yang paling berguna untuk manusia, khususnya bagi sesiapa yang inginkan syurga di hari akhirat kelak. 

Manusia melihat keindahan kepada kehidupan dunia. Manusia mencintai berbagai perkara dalam kehidupan dunia seperti wanita-wanita, anak-anak dan berbagai jenis kekayaan harta benda seperti emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Semua ini sebenarnya merupakan kesenangan hidup di dunia. Namun Allah mengingatkan bahawa tempat kembali yang paling baik adalah di sisi Allah, iaitu di syurga yang pasti berisi dengan segala kenikmatannya.

Orang-orang yang bertaqwa dijanjikan dengan balasan syurga dan mereka dikurniakan dengan isteri-isteri yang suci. Mereka mendapat keredhaan Allah. Golongan orang-orang yang bertaqwa ini merupakan orang-orang yang antara lainnya mempunyai sifat-sifat sabar, benar, tetap kekal taat, menafkahkan hartanya ke jalan Allah dan memohon keampunan Allah pada waktu sebelum subuh.

Apakah perunjuk dan pengajaran istimewa daripada ayat-ayat di atas? Sebagai orang-orang mukmin kita wajib mempercayai ayat-ayat Allah dan beriman serta beramal dengannya. Sesungguhnya, jika kita dapat bertaqwa dengan segala amal soleh dan bertaubat memohon keampunannya, maka terbukalah jalan bagi kita mendapat keredhaan Allah dan seterusnya dikurniakan dengan nikmat syurga. Perkara ini bukan mudah untuk seseorang memperolehnya melainkan dengan kekuatan iman, melakukan amal-amal soleh, bertaqwa dan menyerah diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas, sabar dan setia.

Saturday, December 10, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 20

 MANUSIA MUDAH BERPUTUS ASA DAN BANGGA DIRI

Allah berfirman dengan maksud:

"Dan jika Kami rasakan kepada manusia dengan sesuatu rahmat (nikmat) dari Kami, dan kemudian rahmat itu Kami tarik balik(cabut) daripadanya, pastilah dia menjadi putus asa dan tidak bersyukur (berterima kasih) " (Huud: 9)

"Dan jika Kami rasakan kepadanya kebahagian sesudah bencana (kesusahan) yang menimpanya, niscaya dia akan berkata "Telah hilang lenyaplah bencana-bencana itu daripadaku": Sesungguhnya dia sangat gembira lagi bangga (bermegah-megah)" (Huud: 10)

"Kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana) dan mengerjakan amal soleh, maka mereka itu memperoleh keampunan dan pahala yang besar" (Huud: 11)
 
Firman Allah dalam ketiga-tiga ayat di atas menjelaskan mengenai perangai dan sikap kebanyakan manusia bila menghadapi ujian dan dugaan Allah.

Pertama, manusia menjadi putus asa dan tidak bersyukur atau berterima kasih apabila Allah mencabut atau menarik balik ssuatu rahmat (nikmat) yang sebelum itu telah diberikan kepada mereka. Dalam kehidupan ini Allah mengurniakan setiap manusia dengan pelbagai rahmatNya seperti kesihatan dan kekuatan anggota tubuh badan, akal fikiran, rezki, harta kekayaan, anak pinak, kedudukan, kemuliaan  dan sebagainya. Kita sepatutnya sedar dan insaf  bahawa sesungguhnya semua itu adalah milik mutlak Allah dan Dia sahajalah yang boleh samaada untuk menambah, mengurang dan melupuskannya.

Keduanya  adalah perangai dan tabiat manusia yang begitu gembira dan bangga diri apabila Allah telah menyelamatkan mereka dan daripada apa sahaja bencana, kesulitan dan kesusahan yang menimpanya. Mereka mendakwa dengan berkata bahawa telah hilang lenyaplah bencana-bencana itu daripada dirinya. Mereka lupa bahawa semua itu berlaku atas kehendak Allah.

Ketiga, dalam menghadapi situasi ini, orang-orang yang sabar menghadapi bencana dan kesusahan yang menimpa dirinya dan mengerjakan amal soleh akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar daripada Allah.

Ringkasnya kita mestilah mempunyai sifat sabar apabila menghadapi apa sahaja ujian dan cobaan Allah dan bersyukur apabila memperoleh apa sahaja nikmat dan rahmat Allah. Kita juga perlu mengelakkan diri dari perasaan berputus asa, tidak bersyukur atau berterima kasih dan bangga diri atau bermegah-megah.




 

Friday, December 9, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 19

KEHIDUPAN DI DUNIA DAN AKHIRAT

Allah berfirman dengan maksudnya: "Dan tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebaik-baik kehidupan, kalaulah mereka mengetahui". (Al-Ankabuut: 64)

Firman Allah Taala dalam ayat di atas menyatakan dengan jelas akan hakikat atau makna yang sebenar-benar mengenai kehidupan. Allah menegaskan bahawa kehidupan manusia di dunia ini hanyalah senda gurau dan main-main.

Apakah kehidupan kita di dunia ini sekadar senda gurau dan main-main seperti yang Allah sebutkan. Apakah hidup kita di dunia ini sememangnya dibuai dan dihanyutkan dengan segala macam keseronokan  berupa  senda gurauan dan main-mainan (seperti harta, kekayaan, kedudukan, kemegahan, kawan-kawan, kaum kerabat dan anak pinak atau apa saja seumpamanya) sehingga menyebabkan kita selalu leka,  lalai, lupa  dan jarang sekali mengingati dan menyembah Allah.

Kalaulah hal ini dapat kita amati dan renungi dengan  minda, hati budi yang bestari dan luhur,  kita pasti mengakui hakikat yang telah Allah firmankan itu. Dalam kehidupan dunia ini kita begitu banyak menghabiskan  masa, peluang, harta kekayaan dan lain-lain demi memenuhi kehendak dan hajat yang bersifat sementara. Malah ramai orang di antara kita menjadi begitu kemaruk,  gilakan dan cintakan dunia melebihi daripada semua yang lain, seolah-olah mereka tidak mahu mati dan tidak akan kembali kepada Allah.

Allah mengingatkan kepada manusia  bahawa kehidupan yang sebenar-benarnya ialah kehidupan akhirat. Itulah kehidupan yang kekal abadi selama-lamanya. Kita sesungguhnya menjalani kehidupan  dari peringkat demi peringkat bermula dari alam arwah ke alam rahim (ibu kita), dilahirkan ke alam dunia, mati di alam barzakh, dibangkitkan semula, dihisabkan untuk menerima pengadilan Allah dan hidup abadi di alam akhirat.

Semuanya mesti kita lalui dengan segala macam  ujian, cobaan dan balasan  dari Allah. Keimaan terhadap kehidupan yang sebenar-benarnya di alam akhirat sebagimana yang Allah janjikan itu, sudah pasti dapat memberikan kita pelbagai peringatan, pengajaran, petunjuk dan amaran jika kita mengetahinya, iaitu mempelajari dan memahaminya.

Antara kata-kata yang biasa diucapkan  ialah "Dunia ini hanya pinjam-pinjaman, akhirat juga tempat sudahnya" atau " Masa kecil dan remaja kita diajar dan belajar untuk hidup, kini tiba masanya kita perlu belajar untuk hidup semula selepas mati, hidup di akhirat yang kekal abadi". Satu persoalan besar yang patut kita tanyai diri kita sendiri ialah Bagaimanakah nanti rupa wajahku dan liku-liku hidupku di akhirat nanti?

Thursday, December 8, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 18

APAKAH KITA MENGHARAP PERTEMUAN DENGAN ALLAH

Allah berfirman dengan maksudnya:

Katakanlah: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, "Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa". Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan TuhanNya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seseorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya".  (Al-Khafi: 110)

Firman Allah Taala seperti dalam ayat di atas adalah  meminta Nabi Muhammad saw. mengatakan kepada manusia bahawa beliau hanyalah seorang manusia seperti orang-orang lain (kamu semua) yang menerima wahyuNya. Marilah sama-sama kita fahami dan renungi maksud yang terkandung dalam ayat di atas selanjutnya.

Pertama, "Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Esa". Maksudnya Tuhan bagi manusia semua ialah Tuhan Yang Esa, iaitu Allah Taala yang tiada sekutu bagiNya.

Kedua. barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya (Tuhan Yang Esa) ia hendaklah mengerjakan amal yang soleh. Amal yang soleh secara ringkasnya dapat diertikan sebagai mengerjakan semua amal makruf (baik) yang Allah perintahkan dan meninggalkan semua perbuatan yang mungkar (keji) yang Allah larang. Amal yang soleh meliputi semua perbuatan baik kepada Allah, kepada manusia dan semua makhluknya.

Ketiga, bersama-sama dengan amal yang soleh itu, seseorang adalah ditegah dan dilarang daripada mempersekutukan seseorangpun atau termasuk juga apa sahaja yang lain dalam ibadatnya kepada Allah. Perbuatan mempersekutukan Allah dengan apa saja  sekalipun adalah syirik, dosa yang paling besar.  Perbuatan   syirik yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah adalah tidak diampunkan dosanya.

Ringkasnya Tuhan kita adalah Allah, Tuhan Yang Esa. Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, ia hendaklah mengerjakan amal yang soleh  dan ia jangan sekali-kali mempersekutukan Allah dengan sesiapapun dalam ibadat kita. Semoga Allah memberikan kita segala keyakinan dan kekuatan untuk mengerjakan amal yang soleh dengan hati yang tulus ikhlas dan  sehingga kita dapat merendah diri dan berserah diri kepadaNya sebagai seorang hamba yang beriman, taat dan bertaqwa.



Wednesday, December 7, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 16

SETIAP MANUSIA BERTANGGUNGJAWAB ATAS PERBUATANNYA SENDIRI

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya" (Al-Muddatstsir: 38)

Firman Allah di atas dengan amat nyata dan terang sekali menjelaskan tanggungjawab manusia kepada apa sahaja yang  dibuatnya, meliputi semua perbuatan atau amal baik dan amal buruk, perbuatan dalam terang dan tersembunyi.  Setiap manusia itu adalah bertanggungjawab kepada dirinya  atas segala apa yang dilakuannya. Perkara ini memang sudah kita ketahui dan fahami serta sudah begitu banyak kita  diajar dan mempelajarinya. 

Mari bersama kita renungkan, mengapakah Allah swt. menurunkan ayat ini dan apakah maknanya  kepada setiap diri kita. Apa hal ini sudah kita fahami, sedari dan hayati dengan sebenar-benarnya? 

Bagaimanakah mungkin apabila setelah  kita melakukan sesuatu perkara dengan anggota tubuh badan disertai hati kita sendiri, kita tidak mahu bertanggungjawab ke atasnya atau mahu melepaskan tanggungjawab kita itu kepada orang lain?

Ramai orang kerapkali menuduh dan lebih suka  menyalahkan orang-orang lain atau faktor-faktor lain  di luar dirinya sendiri  apabila  sudah terjebak dengan pelbagai ragam perbuatan sendiri yang tidak disenanginya. Biasanya ialah apa sahaja perbuatan yang  buruk, jahat, dusta, hina  dan merugikan. Semua yang salah dan tidak betul itu adalah orang lain, bukanlah dirinya sendiri. Dia tidak mahu mengaku akan kesalahan dan perbuatan  itu, bak kata pepatah "lempar batu sembunyikan tangan".

Jarang sekali seseorang itu bersifat  jujur dan bersedia bermuhasabah  diri  dengan  berusaha menilai segala cacat cela perbuatannya.  Mengambil  seratus peratus tanggungjawab dan kepertanggungjawaban pada dirinya sendiri sebenarnya adalah suatu keihklasan dan kejujuran pada diri sendiri, apatah lagi kepada Allah Yang Maha Melihat, Mendengar dan Mengetahui.

Apabila seseorang itu tidak mahu menilai diri atas segala apa yang diperbuatnya, sesungguhnya ia suatu kerugian. Bahkan  dia  hidup berpura-pura, main-main, sombong diri, dusta dan menzalimi dirinya sendiri kerana dari situ tertutuplah baginya jalan untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dan kekurangan dirinya,  termasuk untuk memohon taubat dan  keampunan Allah. Maka bertambah jauhlah dirinya  dari mendapat redha Allah dan tak mungkin memperolehi cintaNya.



Tuesday, December 6, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 17

ALLAH BERSAMA MANUSIA DI MANA JUA

Allah berfirman dengan maksudnya:

"Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan" (Al-A'raf: 4)

Firman Allah Taala dalam ayat di atas merupakan suatu peringatan yang amat penting. Pada hakikatnya manusia tidak dapat lari atau bersembunyi daripada Allah.  Di mana saja kita berada, sesungguhnya Allah tetap pasti berada bersama kita dan Dia Maha Melihat apa sahaja perbuatan yang kita lakukan. Keyakinan dan kepercayaan ini sebenarnya tertanam dalam hati setiap manusia yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.

Sesiapa sahaja yang memahami dan mendalami hakikat ini pasti tidak begitu mudah atau sewenang-wenangnya melakukan sesuatu perkara kerana ia yakin dengan sepenuhnya bahawa semua perbuatannya itu, walaupun secara tersembunyi adalah dilihat oleh Allah. Sesiapapun tidak berdaya untuk menutup apa sahaja perbuatannya samaada perbuatan baik mahupun perbuatan jahat dari pandangan Allah. Setiap manusia dan semua makhluk sesungguhnya tidak luput dari penglihatan Allah swt.

Monday, December 5, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 15

ALLAH MELIHAT  SETIAP KEBAIKAN DAN KEJAHATAN

Allah SWT berfirman dengan maksudnya:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya Dia akan melihat (membalas)nya"
"Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrahpun, nescaya Dia akan melihat (membalas)nya" (Al Zalzalah: 7 dan 8)

Ayat-ayat di atas mengandungi peringatan Allah yang amat jelas terhadap manusia mengenai apa yang dikerjakan berupa amal perbuatan baik mahupun amal perbuatan buruk. Kedua-dua amal baik dan buruk ini tidak terlepas daripada penglihatan dan balasan Allah walau sekecil mana sekalipun, hatta seberat dzarrah atau atom (kalau mengikut pengetahuan sains).

Peringatan utama yang mesti kita bersama pelajari dari kedua-dua ayat ini ialah bahawa Allah tetap melihat setiap pekerjaan berupa amalan baik dan amalan buruk yang dilakukan manusia walau sekecil mana sekalipun. Ini  meliputi semua perbuatan yang dilakukan secara terang-terangan mahupun secara sembunyi-sembunyi, di dalam terang mahupun di dalam gelap gelita.

Semua pekerjaan atau amal perbuatan baik dan buruk ini di akhirat kelak akan ditimbang dan dihisabkan dengan seadil-adilnya. Setiap manusia itu akan menerima surat amalannya masing-masing.

Sesiapa yang mempunyai timbangan amal kebaikan yang lebih berat pastilah bergembira dan beruntung pada hari akhirat kelak kerana Allah telah menjanjikan balasan rahmat syurga untuk mereka. Manakala sesiapa yang mempunyai timbangan amal kebaikan yang lebih ringan (bermaksud timbangan amal kejahatan yang lebih berat) pastilah berdukacita dan malang pada hari akhirat kelak kerana Allah telah menjanjikan balasan azab seksa neraka untuk mereka.

Atas sebab-sebab inilah Allah sentiasa menyeru manusia untuk beriman, bertaqwa, beraml soleh, berbuat apa sahaja  kebaikan, kebaktian  dan kebajikan dan sekaligus melarang manusia daripada berbuat keingkaraan, kedurhakaan, kemungkaran, kejahatan, kezaliman dan kerosakan.






Sunday, December 4, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 14

PETUNJUK ALLAH KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN

Allah berfirman dengan maksud:

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang paling baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar" (Ash-Shaaff: 10-12)

Dalam ayat-ayat di atas, Allah dengan frimanNya menyeru dan menawarkan suatu perniagaan kepada orang-orang yang beriman yang mana tawaran dan peluang ini dapat menyelamatkan mereka dari azab yang pedih iaitu seksa neraka.

Perniagaan yang dimaksudkan itu ialah dengan beriman kepada Allah, kepada Rasulnya (Muhammad saw.) dan berjihad ke jalan Allah (agama Islam). Semua ini perlu dilakukan dengan pengorbanan harta dan jiwa (nyawa).

Sekiranya perkara-perkara yang disebutkan iaitu keimanan kepada Allah dan RasulNya dan berjihad ke jalan Allah dilakukan dengan harta dan jiwa nescaya Allah akan mengampuni doso-dosa mereka yang beriman. Seterusnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam tempat tinggal yang paling baik itiu syurga 'Adn. Ini adalah suatu keberuntungan atau nikmat yang paling besar.

Ayat-ayat di atas mempunyai maksud yang begitu jelas dan ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Terpulanglah kepada setiap kita untuk meneliti, memahami dan melaksanakannya. 

Persoalannya apakah setiap kita yang masih hidup ini telah beriman kepada Allah dan kepada Rasul dan berjihad di jalan  Allah (agama Islam) dengan harta yang biasanya lebih kita sayangi dan dengan jiwa/nyawa kita sendiri.

Kisah teladan orang-orang terdadulu yang beriman dan berjihad di jalan Allah seperti para sahabat, syuhadah dan solihin patut sekali menjadi langkah ikutan kita pada hari ini demi memperolehi keampunan dan rahmat Allah swt. Perkara ini sememangnya mudah untuk kita sebutkan, namun untuk menghayati dan melaksanakannya dengan hati yang tulus ikhlas, berani, sabar dan bertawakal sememangnya amatlah berat melainkan dengan petunjuk dan pertolongan Allah jua.