MENGUBAH DRI DAN BALA BENCANA
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Dan tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk memperlihatkan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri) maka tidak sesiapapun dapat menolak dan menahan apa yang ditetapkanNya, dan tidak ada sesiapapun dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya" (Al-R'ad: 11)
Ada beberapa peringatan dan pengajaran penting daripada firman Allah Taala dalam ayat diatas berhubung dengan keselamatan diri, perubahan kehidupan sesuatu kaun dan bala bencana yang Allah timpakan.
Pertama, Allah memerintahkan malaikat-malaikat untuk menjaga manusia. Setiap manusia dijaga oleh malaikat-malaikat silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, ditugaskan menjaga keselamatan seseorang manusia daripada sesuatu bahaya. Inilah rahmat pertolongan Allah yang kita nikmati pada setiap saat dan ketika. Namun ramai yang kurang mengetahui dan memikirkannya.
Kedua, Allah menyatakan bahawa sesungguhnya Dia tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada mereka.
Maknanya sesuatu kaum yang hidup senang lenang dan aman damai disebabkan oleh keimanan dan ketaatan kepada Allah Taala dengan akhlak yang mulia dan terpuji, maka Allah tidak akan mengubah keadaan mereka sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri daripada keimanan dan ketaatan kepada kufur dan maksiat, dan daripada akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji yang membawa kepada kehancuran iaitu bala bencana yang Allah timpakan kepada kaum tersebut.
Ketiga, Allah Yang Maha Kuasa menurunkan bala bencana kepada sesuatu kaum disebabkan oleh kesalahan dan dosa-dosa yang merka lakukan. Renungilah bagaimana Allah telah menurunkan bala bencana kepada kaum-kaum Firaun, Hamam, Samut, Aad dan lain-lain kerana pelbagai sebab yang berpunca daripada segala perbuatan berupa kedurhakaan, kekufuran dan kemungkaran yang melampaui batas sehingga Allah menghapuskan mereka dari muka bumi dan Allah gantikan mereka dengan kaum-kaum lain yang lebih baik.
Keempat, bila berlaku apa-apa bala bencana tiada siapapun dapat menolak dan menahannya serta tiada sesiapapun dapat menolong dan melindunginya. Itulah kehendak dan ketetapan Allah Yang Maha kuasa.
Renungilah segala bala bencana yang telah Allah turunkan kepada kaum-kaum tertentu di hadapan mata kita seperti tsunami yang telah melanda Aceh, Thailand, Sri Lanka, Jepun dan lain-lain. Juga bencana kemarau panjang, banjir besar, ribut taufan, ledakan gunung berapi, gempa bumi dan lain-lain disegenap pelusuk dunia.
No comments:
Post a Comment