Sunday, December 11, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 21


SYURGA UNTUK ORANG-ORANG YANG BERTAQWA

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)".
.
Katakanlah: "Ingin aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah: Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya."

(yaitu) orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka"

"(yaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di sisi Allah) dan yang memohon ampun diwaktu sahur" (Ali-'Imran: 14-17)

Firman Allah dalam ayat-ayat di atas sesungguhnya mengandungi peringatan dan petunjuk yang paling berguna untuk manusia, khususnya bagi sesiapa yang inginkan syurga di hari akhirat kelak. 

Manusia melihat keindahan kepada kehidupan dunia. Manusia mencintai berbagai perkara dalam kehidupan dunia seperti wanita-wanita, anak-anak dan berbagai jenis kekayaan harta benda seperti emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Semua ini sebenarnya merupakan kesenangan hidup di dunia. Namun Allah mengingatkan bahawa tempat kembali yang paling baik adalah di sisi Allah, iaitu di syurga yang pasti berisi dengan segala kenikmatannya.

Orang-orang yang bertaqwa dijanjikan dengan balasan syurga dan mereka dikurniakan dengan isteri-isteri yang suci. Mereka mendapat keredhaan Allah. Golongan orang-orang yang bertaqwa ini merupakan orang-orang yang antara lainnya mempunyai sifat-sifat sabar, benar, tetap kekal taat, menafkahkan hartanya ke jalan Allah dan memohon keampunan Allah pada waktu sebelum subuh.

Apakah perunjuk dan pengajaran istimewa daripada ayat-ayat di atas? Sebagai orang-orang mukmin kita wajib mempercayai ayat-ayat Allah dan beriman serta beramal dengannya. Sesungguhnya, jika kita dapat bertaqwa dengan segala amal soleh dan bertaubat memohon keampunannya, maka terbukalah jalan bagi kita mendapat keredhaan Allah dan seterusnya dikurniakan dengan nikmat syurga. Perkara ini bukan mudah untuk seseorang memperolehnya melainkan dengan kekuatan iman, melakukan amal-amal soleh, bertaqwa dan menyerah diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas, sabar dan setia.

No comments:

Post a Comment