Wednesday, December 7, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 16

SETIAP MANUSIA BERTANGGUNGJAWAB ATAS PERBUATANNYA SENDIRI

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya" (Al-Muddatstsir: 38)

Firman Allah di atas dengan amat nyata dan terang sekali menjelaskan tanggungjawab manusia kepada apa sahaja yang  dibuatnya, meliputi semua perbuatan atau amal baik dan amal buruk, perbuatan dalam terang dan tersembunyi.  Setiap manusia itu adalah bertanggungjawab kepada dirinya  atas segala apa yang dilakuannya. Perkara ini memang sudah kita ketahui dan fahami serta sudah begitu banyak kita  diajar dan mempelajarinya. 

Mari bersama kita renungkan, mengapakah Allah swt. menurunkan ayat ini dan apakah maknanya  kepada setiap diri kita. Apa hal ini sudah kita fahami, sedari dan hayati dengan sebenar-benarnya? 

Bagaimanakah mungkin apabila setelah  kita melakukan sesuatu perkara dengan anggota tubuh badan disertai hati kita sendiri, kita tidak mahu bertanggungjawab ke atasnya atau mahu melepaskan tanggungjawab kita itu kepada orang lain?

Ramai orang kerapkali menuduh dan lebih suka  menyalahkan orang-orang lain atau faktor-faktor lain  di luar dirinya sendiri  apabila  sudah terjebak dengan pelbagai ragam perbuatan sendiri yang tidak disenanginya. Biasanya ialah apa sahaja perbuatan yang  buruk, jahat, dusta, hina  dan merugikan. Semua yang salah dan tidak betul itu adalah orang lain, bukanlah dirinya sendiri. Dia tidak mahu mengaku akan kesalahan dan perbuatan  itu, bak kata pepatah "lempar batu sembunyikan tangan".

Jarang sekali seseorang itu bersifat  jujur dan bersedia bermuhasabah  diri  dengan  berusaha menilai segala cacat cela perbuatannya.  Mengambil  seratus peratus tanggungjawab dan kepertanggungjawaban pada dirinya sendiri sebenarnya adalah suatu keihklasan dan kejujuran pada diri sendiri, apatah lagi kepada Allah Yang Maha Melihat, Mendengar dan Mengetahui.

Apabila seseorang itu tidak mahu menilai diri atas segala apa yang diperbuatnya, sesungguhnya ia suatu kerugian. Bahkan  dia  hidup berpura-pura, main-main, sombong diri, dusta dan menzalimi dirinya sendiri kerana dari situ tertutuplah baginya jalan untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dan kekurangan dirinya,  termasuk untuk memohon taubat dan  keampunan Allah. Maka bertambah jauhlah dirinya  dari mendapat redha Allah dan tak mungkin memperolehi cintaNya.



No comments:

Post a Comment