Thursday, December 15, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 24


IBLIS DAN SYAITAN MEMUSUHI BANI ADAM

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam"; maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dan dia tidak termasuk mereka yang bersujud" (Al-A'raaf: 11)
 `
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis; "Aku lebih baik daripadanya : Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah" (Al-A'raaf: 12)

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari syurga itu; kerana tidak sepatutnya engkau menyombongkan diri di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang hina" (Al-A'raaf: 13)

Iblis menjawab: "Beri tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)" (Al-A'raaf: 14)

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan mereka yang diberi tempoh" (Al-A'raaf: 15)

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang-halangi mereka (dari menjalani) jalan Engkau yang lurus" (Al-A'raaf: 16)

"Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta diri kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (Al-A'raaf: 17)

Semua ayat di atas menerangkan peristiwa yang telah berlaku bila Allah Taala menciptakan Nabi Adam as. dan tidak tanduk iblis yang begitu angkuh, mungkar dan sesat sehingga sanggup melanggar perintah Allah. Iblis bukan sahaja tidak mahu bersujud atau memberi hormat kepada Adam, bahkan meminta izin kepada Allah untuk terus menghasut dan menyesatkan umat manusia (Bani Adam) sehingglah sampainya hari kiamat iaitu bila semua manusia dibangkitkan.

Permusuhan iblis terhadap umat manusia bermula sebaik sahaja Allah swt. menciptakan Adam as. Allah telah memerintahkan malaikat-malaikat dan iblis sujud (memberi hormat) kepada Nabi Adam dan iblis telah mengingkari perintah ini dengan begitu angkuh dan sombong. Iblis mendakwa dirinya lebih baik kerana Allah telah mencipta dirinya daripada api, sedangkan Adam itu Allah ciptakan daripada tanah.

Kesombongannya menyebabkan Allah murka dan memberikan hukuman kepada iblis iaitu dia termasuk kedalam golongan orang-orang yang hina dan Allah mengusirnya keluar dari syurga. Lantaran itu iblis memohon izin kepada Allah hinggalah ke hari kiamat dan Allah telah memberi tempoh kepadanya. Iblis bersumpah untuk menghalang manusia daripada mengikuti jalan Allah yang lurus, iaitu jalan agama Allah yang sebenar-benarnya. Iblis juga menyatakan untuk mendatangi manusia dari semua arah dari hadapan, belakang, kiri dan kanan. Tujuan iblis ialah untuk memesongkan dan menyesatkan umat manusia (Bani Adam) daripada mengikuti jalan Allah.

Dalam ayat-ayat Al-Quran yang lain Allah menceritakan dan menjelaskan perihal bagaimana iblis dan syaitan-syaitan itu menghasut dan menjalankan tipu daya untuk merosakkan dan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara sehingga akhirnya menjerumuskan manusia ke jurang kebinaasaan  iaitu neraka jahanam. Allah banyak mengingatkan manusia agar mengelakkan diri daripada mengikuti langkah-langhah syaitan yang sentiasa memberi bisikan dan mengajak manusia melakukan berbagai-bagai jenis kemungkaran dan kejahatan. Kita juga diperingatkan bahawa syaitan-syaitan itu adalah musuh yang nyata dan kita mestilah memohon perlindunganNya daripada iblis dan syaitan.

No comments:

Post a Comment