Monday, December 5, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 15

ALLAH MELIHAT  SETIAP KEBAIKAN DAN KEJAHATAN

Allah SWT berfirman dengan maksudnya:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya Dia akan melihat (membalas)nya"
"Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat dzarrahpun, nescaya Dia akan melihat (membalas)nya" (Al Zalzalah: 7 dan 8)

Ayat-ayat di atas mengandungi peringatan Allah yang amat jelas terhadap manusia mengenai apa yang dikerjakan berupa amal perbuatan baik mahupun amal perbuatan buruk. Kedua-dua amal baik dan buruk ini tidak terlepas daripada penglihatan dan balasan Allah walau sekecil mana sekalipun, hatta seberat dzarrah atau atom (kalau mengikut pengetahuan sains).

Peringatan utama yang mesti kita bersama pelajari dari kedua-dua ayat ini ialah bahawa Allah tetap melihat setiap pekerjaan berupa amalan baik dan amalan buruk yang dilakukan manusia walau sekecil mana sekalipun. Ini  meliputi semua perbuatan yang dilakukan secara terang-terangan mahupun secara sembunyi-sembunyi, di dalam terang mahupun di dalam gelap gelita.

Semua pekerjaan atau amal perbuatan baik dan buruk ini di akhirat kelak akan ditimbang dan dihisabkan dengan seadil-adilnya. Setiap manusia itu akan menerima surat amalannya masing-masing.

Sesiapa yang mempunyai timbangan amal kebaikan yang lebih berat pastilah bergembira dan beruntung pada hari akhirat kelak kerana Allah telah menjanjikan balasan rahmat syurga untuk mereka. Manakala sesiapa yang mempunyai timbangan amal kebaikan yang lebih ringan (bermaksud timbangan amal kejahatan yang lebih berat) pastilah berdukacita dan malang pada hari akhirat kelak kerana Allah telah menjanjikan balasan azab seksa neraka untuk mereka.

Atas sebab-sebab inilah Allah sentiasa menyeru manusia untuk beriman, bertaqwa, beraml soleh, berbuat apa sahaja  kebaikan, kebaktian  dan kebajikan dan sekaligus melarang manusia daripada berbuat keingkaraan, kedurhakaan, kemungkaran, kejahatan, kezaliman dan kerosakan.






No comments:

Post a Comment