Monday, December 19, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 25

 BERIBADAT KEPADA ALLAH DAN BERBUAT KEBAIKAN

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetanga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang-orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri" (An-Nisaa' : 36)

Ayat di atas merupakan firman Allah swt. yang memerintahkan manusia untuk melakukan dua perkara yang amat penting iaiatu; (a) beribadat kepadaNya tanpa ada sebarang sekutu yang lain dan (b) berbuat kebaikan kepada manusia khususnya semua orang yang di sebutkan dalam ayat tersebut di atas.

Pertama, beribadat kepada Allah ialah paksi atau pokok kepada kehidupan setiap manusia apabila seseorang itu telah beriman kepadanya. Dalam ayat yang lain Allah telah menegaskan bahawa Dia menjadikan atau mencipta manusia (termasuklah jin) tidak lain hanyalah untuk semata-mata menyembah dan beribadat kepadaNya. Inilah hakikat sebenarnya penciptaan manusia dan jin di muka bumi ini. Kerja beribadat itu pula mestilah dilakukan dengan sepenuh hati dan jiwaraga dan tidak mempersekutukan dengan apa-apa jua sekalipun. Melihat dari sudut ini kita mestilah mengisafi, menyedari dan memahami bahawa beribadat kepada Allah ialah suatu perintah yang mutlak ke atas setiap diri manusia yang wajib dan mesti dilakukan menurut segala hukum dan peraturan yang sudah Allah tetapkan. Apakah kita mahu sentiasa berkompromi dalam hal ini?

Kedua, manusia diperintahkan untuk berbuat baik kepada manusia lain, iaitu orang-orang lain yang ada disekeliling mereka. Dalam hal ini Allah telah menyatakan dengan jelas akan orang-orang yang kepada mereka kita mesti berbuat kebaikan. Kalau kita dapat direnungi secara mendalam, bahawa  berbuat baik itu sendiri mengandungi skop amal perbuatan yang begitu luas, iaitu segala bentu kebajikan, keinsanan dan kebaktian. Ia boleh berupa yang melibatkan harta benda atau kekayaan, ilmu pengetahuan, tenaga fizikal dan lain-lain.

Antara kumpulan orang untuk kita berbuat kebaikan yang Allah sebutkan dalam ayat di atas ialah: (1) kedua ibu bapa, (2) kaum kerabat, (3) orang miskin, (4) jiran tetangga yang dekat dan yang jauh, (5) kawan-kawan atau rakan-rakan sejawat, (6) orang-orang musfir yang terlantar dan (6) hamba yang dimiliki. Lihatlah betapa luasnya ruang lingkup yang ada untuk sesiapa sahaja berbuat kebaikan, pada bila-bila dan di mana jua.

Ketiga, Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan berbangga diri. Sesungguhnya sifat sombong takbur dan berbangga diri ini ialah salah satu sifat keji  yang ada dalam diri atau hati manusia. Ia berpunca daripada hati yang kotor yang juga menumbuhkan pelbagai sifat keji lain yang Allah memang membencinya seperti tamak haloba kepada makanan, percakapan dan harta kekayaan, bakhil kedekut, ujub, riak dan sebagainya.

Mengapakah seseorang itu boleh jadi berlagak sombong dan berbangga diri? Ini berlaku atas bermacam-macam alasan seperti kerana paras rupa, isteri, anak pinak,  harta kekayaan, pangkat, kedudukan, ilmu dan apa sahaja yang mereka miliki, tanpa menginsafi bahwa semua itu secara mutlaknya adalah milik Allah. Kita hanya diberi pinjam untuk sementara selagi ajal masih ada dan Allah berhak mencabutnya daripada kita pada bila-bila masa yang  Dia kehendaki. Ramai para ulama Islam menjelaskan mengenai sifat-sifat keji (mazmumah)  dan sifat-sifat terpuji (mahmudah) dalam kitab-kitab mereka berdasarkan ayat-ayat Allah dan sunnah Baginda saw.

No comments:

Post a Comment