Thursday, December 29, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 29

BERDOA MEMOHON AMPUN DAN RAHMAT ALLAH

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksaan (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa); Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah maaf kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatlah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir" (Al-Baqarah: 286)

Firman Alah dalam ayat diatas (penutup Surah Al-Baqarah) menceritakan mengenai bebanan yang Allah berikan terhadap seseorang, balasan terhadap kebajikan dan kejahatan yang dikerjakan dan doa manusia kepada Allah untuk memohon maaf, ampun dan rahmat dariNya serta tersingkir dari ancaman kaum yang kafir. Ada beberapa isi kandungan penting yang patut menjadi bahan renungan dan petunjuk kepada kita semua.

Pertama, Allah menyatakan bahwa Dia tidaklah membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupan orang itu sendiri. Kesanggupan seseorang itu boleh kita maksudkan sebagai segala kekuatan yang Allah berikan seperti akal fikiran, kekuatan jasmani, kesucian hati, kemurnian jiwa dan sebagainya sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi. Tetapi sayangnya, ramai dari kalangan manusia semenjak umat terdahulu hinggalah umat terkini, berpendirian bahawa segala apa yang telah Allah perintahkan itu merupakan bebanan yang tidak sanggup untuk dipikul, padahal ia adalah amanah dan perintah Allah kepada manusia itu sendiri.

Pada hakikat sebenarnya, Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil mengenai apa saja yang telah diperintahkan kepada manusia iaitu untuk berbuat kebaikan dan kebajikan serta meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Hanyalah manusia itu sendiri tidak mahu mempelajari, memikirkan, menyedari dan mengisafi dirinya.

Satu sifat buruk dan keji manusia ialah mahu terus menerus membuat maksiat. Segala perbuatan jahat, keji dan mungkar yang dilakukan oleh manusia adalah berpunca dari kelemahan diri manusia itu sendiri. Diri manusia yang begitu kuat dipengaruhi oleh hawa nafsu yang keji, tipu daya syaitan dan segala keseronokan hidup dunia yang langsung menyebabkan mereka menjadi lalai, lupa, terpesong dan akhirnya tersesat dari jalan yang lurus, jalan Islam, jalan Allah.

Kedua, Allah seterusnya memperingatkan bahawa seseorang itu akan mendapat pahala dari kebajikan (kebaikan) yang dikerjakannya dan mendapat seksaan dari kejahatan yang dikerjakannya. Kedua-duanya, segala amal perbuatan baik dan jahat yang dikerjakan oleh seseorang itu pasti mendapat balasan sebagaimana yang telah Allah janjikan.

Ketiga, dalam ayat di atas Allah menunjukkan suatu doa yang telah di baca oleh umat yang terdahulu, di mana mereka memohon untuk dilepaskan dari hukuman jika telah lupa dan berbuat kesalahan, untuk diringankan bebanan yang dipikul, memohon untuk dimaafkan, diampunkan dan dikurnia rahmatNya serta tersingkir daripada ancaman orang-orang kafir.

Keempat, Allah sahajalah yang menjadi Penolong kepada mereka dan kepada manusia dan kepada kita semua. Justeru itu sebagai hamba Allah, kita mestilah berdoa memohon kemaafaan, keampunan, keselamatan dan kerahmatan dengan hati yang ikhlas, sabar, bertawakal dan berserah diri kepadaNya. Bahkan doa itu sendiri adalah suatu ibadah. Bermunajat dan berdoalah kita kepada Allah dalam keadaan apa, bila dan di mana sekalipun. Insyaallah kita mendapat restu dan redha Allah swt. jua.
 

No comments:

Post a Comment