Friday, December 9, 2011

RENUNGAN AL-QURAN 19

KEHIDUPAN DI DUNIA DAN AKHIRAT

Allah berfirman dengan maksudnya: "Dan tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebaik-baik kehidupan, kalaulah mereka mengetahui". (Al-Ankabuut: 64)

Firman Allah Taala dalam ayat di atas menyatakan dengan jelas akan hakikat atau makna yang sebenar-benar mengenai kehidupan. Allah menegaskan bahawa kehidupan manusia di dunia ini hanyalah senda gurau dan main-main.

Apakah kehidupan kita di dunia ini sekadar senda gurau dan main-main seperti yang Allah sebutkan. Apakah hidup kita di dunia ini sememangnya dibuai dan dihanyutkan dengan segala macam keseronokan  berupa  senda gurauan dan main-mainan (seperti harta, kekayaan, kedudukan, kemegahan, kawan-kawan, kaum kerabat dan anak pinak atau apa saja seumpamanya) sehingga menyebabkan kita selalu leka,  lalai, lupa  dan jarang sekali mengingati dan menyembah Allah.

Kalaulah hal ini dapat kita amati dan renungi dengan  minda, hati budi yang bestari dan luhur,  kita pasti mengakui hakikat yang telah Allah firmankan itu. Dalam kehidupan dunia ini kita begitu banyak menghabiskan  masa, peluang, harta kekayaan dan lain-lain demi memenuhi kehendak dan hajat yang bersifat sementara. Malah ramai orang di antara kita menjadi begitu kemaruk,  gilakan dan cintakan dunia melebihi daripada semua yang lain, seolah-olah mereka tidak mahu mati dan tidak akan kembali kepada Allah.

Allah mengingatkan kepada manusia  bahawa kehidupan yang sebenar-benarnya ialah kehidupan akhirat. Itulah kehidupan yang kekal abadi selama-lamanya. Kita sesungguhnya menjalani kehidupan  dari peringkat demi peringkat bermula dari alam arwah ke alam rahim (ibu kita), dilahirkan ke alam dunia, mati di alam barzakh, dibangkitkan semula, dihisabkan untuk menerima pengadilan Allah dan hidup abadi di alam akhirat.

Semuanya mesti kita lalui dengan segala macam  ujian, cobaan dan balasan  dari Allah. Keimaan terhadap kehidupan yang sebenar-benarnya di alam akhirat sebagimana yang Allah janjikan itu, sudah pasti dapat memberikan kita pelbagai peringatan, pengajaran, petunjuk dan amaran jika kita mengetahinya, iaitu mempelajari dan memahaminya.

Antara kata-kata yang biasa diucapkan  ialah "Dunia ini hanya pinjam-pinjaman, akhirat juga tempat sudahnya" atau " Masa kecil dan remaja kita diajar dan belajar untuk hidup, kini tiba masanya kita perlu belajar untuk hidup semula selepas mati, hidup di akhirat yang kekal abadi". Satu persoalan besar yang patut kita tanyai diri kita sendiri ialah Bagaimanakah nanti rupa wajahku dan liku-liku hidupku di akhirat nanti?

No comments:

Post a Comment