Monday, January 30, 2012

MUTIARA HADIS - 8

KEUTAMAAN SEDEKAH
Abu Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Dzar al-Ghifari r.a. berkata:
‘Solat itu sendi agama, dan jihad sebagai tulang punggung (setinggi) amal, dan sedekah itu suatu yang ajaib (baik) (disebut tiga kali).
Dan ketika ditanya tentang puasa.
Jawabnya: Itu untuk taqarrub kepada Allah dan tidak ada kelebihannya.
Ditanya: Sedekah yang manakah yang lebih utama?
Jawabnya: Yang terbanyak, kemuudian menyebutkan kamu tidak akan dapat mencapai bakti yang benar-benar, sehingga mengorbankan apa yang sangat engkau suka.
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Kelebihan makanan.
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Membantu dengan kekuatan tenaganya.
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Menjaga diri dari api neraka walaupun dengan sedekah separuh dari sebiji kurma.
Ditanya: Jika tidak mempunyai?
Jawabnya: Menahan diri, yakni tidak menggangu orang.
(Di lain riwayat semua keterangan ini adalah dari Rasulullah saw.)

PEMURAH ATAU KIKIR?
Aisyah r.a. berkata:
Nabi saw. bersabda dengan ertinya:
“Pemurah (dermawan) itu suatu pohon yang akarnya (asal atau pohonnya) di syurga, dan dahan-dahannya menurun ke dunia, maka sesiapa berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga, dan kikir (bakhil) itu pohon yang bibitnya asalnya di dalam neraka, sedang daun-daunya menurun ke dunia, maka sesiapa yang berpegang padanya akan ditarik ke neraka”.

BAGAIMANAKAH MUKMIN SEJATI - ?

SIFAT-SIFAT ORANG MUKMIN
Nabi saw. bersabda dengan ertinya:
“Sesungguhnya dari sifat-sifat orang mukmin itu ialah kuat dalam beragama; tegas dan tetap pendirian dalam berlembut; keimanan dalam yakin; kuat keinginan dalam ilmu; kasihan belas dalam kebencian; penyabar dalam ilmu; sederhana dalam kekayaan; berperangai indah dalam kesempitan; mengelak diri dari sifat tamak; berusaha dalam apa yang halal; kebaikan dalam istiqamah; cergas dalam bimbingan (Allah); melarang (diri dari) keinginan yang rendah; kasihan belas kepada mereka yang tertindas; dan sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah termasuk ke dalam golongan hamba Allah yang tidak berlaku zalim kepada orang yang dimarahinya; tidak menggunakan gelaran (keji); tidak melakukan dosa (dalam memberi layanan kepada) sesiapa yang dikasihinya; tidak mempersiakan apa yang diamanahkan kepadanya; tidak dengki; tidak mencaci; tidak melaknat; tenang dalam keadaan huru hara; mengawal diri dalam keadaan senang; bersyukur dan bersikap memadai dengan apa yang ada padanya; tidak mendakwa apa yang bukan haknya; tidak berhimpun dalam kemarahan; dan dia tidak dikuasai oleh bakhil sehingga tidak melakukan kebaikan yang diingininya; dia bergaul dengan manusia untuk memberi pengajaran kepada mereka; dia berbicara kepada mereka untuk memberikan kefahaman kepada mereka; kalau dia dizalimi dan dilakukan kejahatan ke atasnya, maka dia bersabar sehingga TUHAN YANG RAHMAN MEMBERI PERTOLONGAN UNTUKNYA”.
Apakah kita semua kini memiliki sifat-sifat mukmin sejati sebagaimana yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi saw.?

TITISAN TINTA - 9 (2012)

MARTABAT SEJATI

“Aku bersumpah, inilah jalan yang lebih mulia;
Meneguk cucuran air mata hati,
Dan mengunyah biji kurma, daripada tegak tengadah,
Dengan ketamakan jiwa dan tangan menadah,
Untuk meraih – ganjaran kini!
Pandangan merunduk dan kening berkerut.
Dengan sirnanya putus asa;
Inilah kekayaan yang lebih besar dari segalanya,
Tawaran ‘tuk menghibur jiwa,
Putus asa adalah baik dan ibadah;
Takwa kepada Allah, itulah martabat sejati,
Nafsu mengajak kepada kekejian;
Kerana, andaikata dunia cerah hari ini,
Kelak ia akan mencampakkan”.

(Daripada; Bisyr bin Harits)

RENUNGAN AL-QURAN 46

MEMBERI SEDEKAH KERANA ALLAH
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi dengan (perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar” (Al-Baqarah: 263)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah merosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan) yang menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkan bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah halnya orang-orang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir” (Al-Baqarah: 264)
“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpakan hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan” (Al-Baqarah: 265)
Firman Allah dalam ayat-ayat di atas adalah berkaitan dengan pemberian sedekah. Antara maksud-maksud  penting yang dapat kita dipelajari dan diteliti ialah:
 Pertama, adalah lebih baik bagi kita untuk menolak peminta-peminta sedekah dengan perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan mereka daripada kita memberi sedekah dengan diiringi oleh perkataan dan perbuatan yang menyakitkan hati sipenerima atau peminta sedekah itu.
Kedua, pemberian sedekah kerana riya’, mengungkit-ungkitnya dan menyakiti hati penerima sedekah akan merosakkan pahala sedekah itu. Perbuatan ini tidak akan mendatangkan sebarang hasil kebaikan atau pahala. Allah memberikan perumpamaan atau bandingan sedekah ini seumpama hujan lebat yang menimpa batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian bersih tidak meninggalkan sebarang tanah lagi.
Ketiga, pemberian sedekah kerana mencari keredhaan Allah dan kerana untuk meneguhkan iman dan keiklasan akan mendapat hasil kebaikan atau pahala. Allah membuat perumpamaan atau bandingan amal perbuatan ini sebagai sebuah kebun di tanah tingggi yang disirami hujan lebat dan memberikan hasil dua kali ganda atau tetap memberikan hasil sekalipun dengan hujan renyai-renyai atau gerimis.
Kesimpulannya adalah amat bermanfaat jika kita memberikan sedekah walaupun sedikit, tetapi disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan dengan itu kita boleh berharap untuk mendapat kekuatan iman dan pahala daripada sedekah tersebut. Sekian, was'salam!


Sunday, January 29, 2012

Mawar Merah
               
Sekuntum mawar merah                    
laksana cinta indah
berputik di alam syurga
cinta pertama Adam dan Hawa

Kembara bersama ke alam dunia                  
kembang mekar mewangi
rindu asmara kasih mesra
diragut durinya meskipun berbisa

Piagam cinta mawar merah
idaman raja mahupun hamba
berseri di pondok usang
semerbak di mahligai kayangan

Berbahagialah berjuta insan
Ibrahim-Hajar di gurun cinta
Yusof-Zulaikha di istana cinta
Muhammad-Khadijah di wadi cinta

Juga aku bersama dia
mendaki gunung menuruni lembah
memetik mawar merah
damailah dunia akhir sudahnya.

Kelana Putra
Pulau Redang
Kuala Terengganu
11 Julai 2010.




             


Friday, January 27, 2012

TITISAN TINTA - 8 (2012)

IMAN
“Adapun pengetahuan yang membawa manusia kepada kehidupan zuhud ini ialah iman. Kerana iman itulah yang menjadikan manusia memalingkan perhatian dan cintanya dari dunia yang fana ini, kerana melihat kelebihan dan keistimewaan apa yang ada di sisi Allah. Iman inilah yang membersihkan HATI sehingga hati manusia dapat mlihat bahawa kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal daripada kehidupan dunia, laksana perbezaan perhiasan yang asli dan yang palsu”
(Imam Al-Ghazali r.a.)

RENUNGAN AL-QURAN 45

LAKNAT ALLAH KEPADA ORANG-0RANG YANG MENUDUH PERMPUAN YANG TERPELIHARA KEHORMATANNYA LAGI BERIMAN
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka dan kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan azab seksa yang berhak mereka mendapatkanya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha  Adil, lagi nyata keadilanNya. (An-Nuur: 23-25)
Dalam ayat-ayat di atas Allah swt. memberi peringatan dan amaranNya bahawa orang-orang yang membuat tuduhan (zina) kepada orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya  lagi beriman akan mendapat laknat Allah di dunia dan di akhirat.
Pada hari kiamat kelak  anggota tubuh mereka seperti lidah, tangan dan kaki mereka akan menjad saksi ke atas diri mereka sendiri dan menyatakan segala apa ayang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia. Ini termasuklah tuduhan yang telah mereka lemparkan kepada orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, tidak terlintas memikirkan untuk berbuat kejahatan lagi beriman kepada Allah.
Orang-orang yang membuat tuduhan atau fitnah itu akan mendapat pengadilan dan balasan azab seksa pada hari akhirat kelak kerana Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil lagi nyata keadilanNya.
Kesimpulannya adalah lebih baik dan selamat bagi kita atau sesiapa sahaja mengelakkan diri daripada membuat sebarang tuduhan terhadap orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya lagi beriman kepada Allah swt. Tuduhan seumpama itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah kerana Allah melaknatinya dan membalasnya dengan azab seksa di akhrat kelak.
Sekian, was'salam

TITISAN TINTA - 7

ENAM MACAM NIKMAT

“NIKMAT itu ada enam macam iaitu:
Pertama, ISLAM
Kedua,  AL-QURAN
Ketiga, NABI MUHAMMAD sebagai RASUL
Keempat, KESIHATAN
Kelima, TERTUTUPNYA AIB
Keenam, TIADA MENGHARAPKAN BANTUAN ORENG LAIN”
(Dari Ali r.a.)

RENUNGAN AL-QURAN 44

HUKUMAN KEATAS ORANG-ORANG YANG BERZINA
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh persaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (An-Nuur: 2)
“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik dan perempuan yang berzina itu pulan lazimnya tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman” (An-Nuur: 3)
Kedua-dua ayat di atas merupakan firman Allah yang memerintahkan supaya orang-oang perempuan dan lelaki yang melakukan zina dihukum sebat dan perihal perkahwinan orang-orang lelaki dan perempuan yang berzina. Ada beberapa perkara pokok yang perlu di beri perhatian sebagaimana berikut:
 Pertama, Allah swt. memerintahkan supaya orang-orang perempuan dan lelaki yang melakukan zina dihukum dengan seratus kali sebatan.
Kedua, Allah mengingatkan supaya tidak ada belas kasihan terhadap kedua-dua orang yang melakukan zina itu dalam menjalankan hukuman agamaNya, jika manusia benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Ketiga, pelaksanaan hukuman sebat ke atas perempuan dan lelaki yang bezina itu hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Keempat, dalam ayat yang berikutnya Allah menyatakan bahawa adalah menjadi kelaziman bagi orang lelaki atau orang perempuan yang berzina itu berkahwin dengan orang perempuan atau orang lelaki yang berzina atau dengan perempuan atau lelaki yang musyrik.
Kelima, orang-orang yang beriman adalah dilarang daripada perkahwinan sedemikian. Maksudnya ialah tidak wajar bagi orang-orang beriman berkahwin dengan orang-orang yang berzina dan begitulah juga sebaliknya.
Kesimpulannya, hukum sebat ke atas orang-orang lelaki dan perempuan yang melakukan zina ialah suatu perintah Allah swt. Sama-samalah kita merenungi perkara ini. Siapakah yang sebenar-benarnya yang bertanggungjawab memikul amanah dan menjalankan perintah ini mengikut hukum yang sepatutnya? Terpulang kepada para ulamak dan umarak dan pihak-pihak  berwajib menentukannya.
Sekian, was’salam.

MUTIARA HADIS - 7

HUKUMAN KEPADA ORANG YANG BANYAK KETAWA

Baginda Nabi saw. bersabda dengan maksudnya:
“Sesiapa yang banyak ketawanya, maka dijatuhkan keatasnya 10 hukuman:
1. Mati hatinya.
2. Hilang air mukanya (iaitu malu dan kemuliaannya).
3. Syaitan gembira kerananya.
4. Allah marah kepadanya.
5. Ia disoal kerananya pada hari kiamat.
6. Nabi saw. berpaling darinya di hari kiamat.
7. Para malaikat mengutuknya.
8. Ia dibenci oleh semua penghuni langit dan bumi.
9. Ia menjadi lupa kepada segala-segalanya.
10.Terbuka aibnya pada hari kiamat.”

Thursday, January 26, 2012

MUTIARA HADIS - 6


AMAL PERBUATAN DICATAT
Baginda Nabi saw. bersada dengan ertinya:
Adakalanya Malaikat membawa amal seorang hamba dan mereka anggap banyak dan mereka menyanjungnya sehingga sampai ke hadirat Allah, maka Allah berfirman kepada mereka: “Kamu hanya mencatat amal hambaKu, sedang aku mengawasi isi dan niat hatinya, hambaKu ini tidak ikhlas kepadaKu dalam amalnya, maka catatlah  dalam sijjin”, dan adakalanya membawa naik amal hamba lalu mereka anggap sedikit dan kecil sehingga sampai kepada Allah, maka Allah berfirman kepada Malaikat: "Kamu  mencatat amal perbuatan  hambaKu  dan Aku mengawasi isi hati dan niatnya, orang ini benar-benar ikhlas dalam amal perbuatan kepadaKu, catatkan amalnya dalam illiyin.”
 (HR: Abdullah bin al-Mubarak)

Wednesday, January 25, 2012

TITISAN TINTA - 6 (2012)

HUKUMAN BAGI ORANG YANG MENGUTAMAKAN DUNIA DARIPADA AKHIRAT

“Sesiapa yang mahukan dunia dan memilihnya daripada akhirat, maka Allah akan menjatuhkan ke atasnya enam jenis hukuman, iaitu 3 di atas dunia dan 3 lagi di akhirat. 
Adapun  tiga hukuman di dunia ialah:
1.Ia terseksa sebab ANGAN-ANGAN yang tak BERKESUDAHAN.
2. Sentiasa TAMAK dan tak pernah merasa CUKUP.
3.Di tarik dari dirinya KELAZATAN BERIBADAH.
Adapun tiga hukuman di akhirat adalah:
1.Merasakan KEDAHSYATAN di hari kiamat.
2.Mengalami PERHITUNGAN yang BERAT.
3.MENYESAL TAK SUDAH-SUDAH.”

( Daripada;  Hassan Basri)

Tuesday, January 24, 2012

TITISAN TINTA - 5 (2012)

ENAM PERKARA YANG BOLEH MEMBUKA  PINJTU  SYURGA DAN MENUTUP PINTU NERAKA
Telah diriwayatkan dari Ali r.a. bahawa beliau mengatakan  enam perkara yang boleh membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka iaitu:
Pertama, mengenal ALLAH, lalu MEMATUHI (segala perintah)Nya.
Kedua, mengenal SYAITAN, lalu MENDURHAKAInya.
Ketiga, mengenal AKHIRAT, lalu MENCARInya.
Keempat, mengenal DUNIA, kemudian MENOLAKnya.
Kelima, mengenal  YANG HAK, kemudian MENGIKUTInyA.
Keenam, mengenal  YANG BATIL, kemudian MENJAUHInya.

Monday, January 23, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 43

APAKAH KITA INGINKAN KEHIDUPAN DUNIA ATAU AKHIRAT?
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Sesiapa yang  menginginkan dunia dengan amalnya, Kami berikan kepadanya kekayaan dunia, bagi sesiapa yang Kami kehendaki kebinasaannya, kemudian kami masukkan ia kedalam neraka jahanam sebagai seorang terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah Dan sesiapa yang menginginkan akhirat dan berusaha bersungguh-sungguh dan ikhlas, dan disertai iman, maka usaha amal mereka itulah yang terpuji (diterima)”. (An-Nur 18 &19)
Firman Allah dalam ayat ini memberi perngatan dan petunjuk yang amat jelas kepada setiap manusia mengenai apa yang mereka inginkan. Ada dua perkara yang Allah tunjukkan kepada manusia mengenai keinginannya.
Pertama, jika seseorang itu menginginkan dunia (duniawi) dengan amal perbuatannya, maka Allah akan memberikan kekayaan dunia kepada orang itu. Allah juga mengingatkan bahawa bagi sesesiapa  yang dikehendakinya itu kebinasaan, Allah akan memasukkan orang itu ke dalam neraka jahanam yang menjadikannya orang itu terusir dan jauh dari rahmat Allah.
Kedua, jika seseorang itu menginginkan akhirat dan berusaha bersugguh-sungguh, ikhlas dan disertai dengan iman, maka amal usaha itulah yang terpuji di sisi Allah. Sebarang amal perbuatan seumpamanya ini  akan mendapat balasan baik dan rahmatNya di dunia dan akhirat sebagaimana yang Allah janjikan.
Daripada maksud ayat ini terpulanglah kepada diri masing-masing untuk memilihnya semata-mata  kehidupan dunia (duniawi) atau kehidupan akhirat? Kini pilihan itu terbuka luas kepada diri kita sendiri. Apakah kita hanya memilih kehidupan dunia semata-mata (seperti orang kafir) atau memilih akhirat sahaja atau memilih kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat? Pilihan yang terbaik ialah mengikut semua peringatan dan petunjuk yang telah Allah berikan. Jika kita ingin memilih kedua-duanya sekaligus, kehidupan dunia dan akhirat, bagaimanakah ia patut kita lakukan dengan sebaik-baiknya.
Ada banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi saw. yang menjelaskan dan menceritakan perihal kehidupan di dunia dengan segala godaan dan tipu dayanya dan perihal kehidupan di akhirat yang berupa balasan syurga kenikmatan yang sejahtera. Allah juga menceritakan perihal orang-orang kafir yang terhina dan rugi serta berada dalam azab seksa nerakaNya.
Sekian, was'salam

TITISAN TINTA - 4 (2012)

10 PERKARA YANG ALLAH BENCI
Allah membenci 10 perkara yang dimiliki oleh 10 jenis manusia:

1.Sifat BAKHIL dari orang-orang KAYA
2.Sifat TAMAK dari para ULAMAK
3.Sifat TAKKABUR dari orang-orang FAKIR
4.Sedikit (sahaja) sifat MALU dari kaum WANITA
5.Kecintaan DUNIA dari orang-orang TUA
6.Sifat MALAS dari PEMUDA
7.KEZALIMAN dari para PEMIMPIN
8.Sifat PENAKUT dari orang-orang yang BERPERANG
9.Sifat UJUB hamba-hamba yang ZAHID
10.Sifat RIYAK dari para ahli IBADAH
(Perkataan daripada sebahagian ahli Hikmah)

Sunday, January 22, 2012

MUTIARA HADIS - 5


SOLAT  MENDOAKAN PELAKUNYA
 Nabi saw. bersabda dengan ertinya:
Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, lalu berdiri untuk solat maka menyempurnakan rukuk, sujudnya dan bacaanya, maka solat itu berkata: “ Semoga Allah memeliharamu sebagaimana engkau memeliharaku”, kemudian dibawa naik ke langit bersinar bercahaya, maka dibukakan untuknya pintu-pintu langit sehingga sampai kepada Tuhan Allah Ta’ala, lalu memintakan ampun bagi orang yang melakukan solat itu. Sebaliknya jika tidak sempurna rukuk, sujud dan bacaanya, maka solat itu berkata: “Semoga Allah mengabaikan engkau sebagaimana engkau mengabaikan aku”, kemudian di bawa naik ke langit diliputi oleh kegelapan sehingga sampai ke langit, maka tertutup semua pintu langit baginya, kemudian dilipatkan solatnya itu bagaikan baju yang kumal, lalu dipukulkan ke muka orangnya”.
(HR  daripada Ubadah bin Asshaamit r.a.)

Saturday, January 21, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 42

PERINTAH ALLAH SUPAYA MEMELIHARA SOLAT
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Peliharalah segala solat(mu), dan (peliharalah) solat wustha. Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu’. Dan jika kamu dalam keadaan takut (bahaya), maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan. Kemudian apabila kamu telah aman, maka sebutlah Allah (solat), sebagaimana Allah telah mengajarkan kepada kamu apa  yang belum kamu ketahui”. (Al-Baqarah:  238 dan 239)
Dalam ayat di atas, Allah menyuruh manusia memelihara semua solat yang didirikan dan juga memelihra solat wustha. “Solat wutha” ialah solat ialah solat yang berada di tengah-tengah dan yang paling utama.  Ada ramai yang berpendapat bahawa “solat wustha” itu ialah solat asar.
Menurut kebanyakan ulama, ayat ini menekankan agar semua solat itu di kerjakan dengan sebaik-baiknya. Perkara yang paling pokok dalam solat ialah khusyu’ sebagaimana firman Allah “Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu’.
Persoalan “khusyu” di dalam mengerjakan solat ini mendapat banyak huraian dan kupasan oleh para ulamak. Sercara ringkasnya maksud khusyu itu ialah sesiapa yang mengerjakan solat harus berusaha sedaya upaya menghadirkan hatinya (ingatan dan pemikirannya) ke hadrat Allah Yang Esa dan tidak kepada yang lain. Para ulama juga memberikan panduan-panduan tertentu bagaimana kita boleh mencapai tahap kekhusyukan dan kesempurnaan didalam solat.
Satu perkara penting dalam ayat berikutnya (ayat 289) ialah Allah  memerintahkan supaya solat dikerjakan sambil berjalan atau berkenderaan jika seseorang berada dalam keadaan takut (bahaya) dan mengerjakannya dalam keadaan yang aman. Solat ini hendaklah di kerjakan sebagaimana yang telah diajarkan. Ini  semestinya meliputi semua perkara yang telah diajarkan dan diwasiatkan oleh Nabi saw. kepada umat Islam seluruhnya. Ada beberapa hadis yang menerangkan hal-hal penting mengenai solat yang patut kita pelajari dan hayatinya dengan harapan solat kita itu menjadi bertambah sempurna dan diterima oleh Allah swt.E
Sekian, was'salam.

TITSAN TINTA 3(2012)

MANUSIA SEPATUTNYA BERADA DALAM
ENAM JENIS RASA TAKUT

"Sesungguhnya orang mukmin berada dalam enam rasa takut:

Pertama, takut kalau Allah swt. mencabut imannya.

Kedua, takut kalau malaikat pencatat amal menulis perbuatannya yang akan menyebabkan terbuka aib dirinya di hari akhirat.

Ketiga, takut kalau syaitan merosakkan amalnya.

Keempat, takut kalau malaikat pencabut nyawanya datang mengambil rohnya dengan tiba-tiba, ketika dia dalam keadaan lalai.

Kelima, takut kalau dirinya tertipu dengan dunia, sehingga ia melalaikan dirinya dari akhirat.

Keenam, takut kalau keluarganya membuat dia sibuk dan lalai dari mengingat Allah swt."

Daripada: Usman r.a.

MUTIARA HADIS - 4

ADA 6 JENIS MANUSIA YANG DIKUTUK OLEH ALLAH DAN RASUL
Telah bersabda Nabi saw. dengan ertinya:
“Ada enam orang yang aku kutuk dan Allah juga mengutuk mereka, dan doa-doa semua nabi diperkenankan iaitu:
Pertama, orang yang menambah isi Al-Quran.
Kedua, orang mendustakan taqdir Allah swt.
Ketiga, orang yang berkuasa yang suka memaksa dan takkbur, sehingga ia memuliakan orang yang dihina oleh Allah. Dan dia telah menghina orang yang telah dimuliakan oleh Allah.
Keempat, orang-orang yang menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Tuhan di Mekah.
Kelima, umatku yang menghalalkan apa-apa yang telah diharamkan  oleh Allah.
Keenam,  orang yang meninggalkan sunnahku.
Maka sesungguhnya Allah swt. tidak memandang  mereka di hari dengan pandangan kasihan.”

Friday, January 20, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 41

KEBAJIKAN DI SISI ALLAH
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Bukankah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), dan orang-orang yaang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji; dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah: 177)
Ayat 177 surah AL-Baqarah ini mengandungi erti dan perkara-perkara yang berhubung dengan apa yang dikatakan sebagai kebajikan di sisi Allah swt. Pada keseluruhannya kebajikan yang Allah maksudkan dalam ayat di atas mengandungi perkara-perkara berikut:
Pertama, pekara yang  berhubung terus dengan keimanan iaitu beriman kepada Allah, hari kemudian (hari akhirat), malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi.  Semua ini adalah merupakan pegangan, keyakinan dan pembenaran yang biasa disebut sebagai rukun iman. Semua perkara ini ada dijelaskan dan diperincikan dalam hadis-hadis Rasulullah saw.
Kedua, perkara yang berkaitan secara langsung dengan amal perbuatan seseorang berkaitan dengan harta benda atau kekayaan. Perkara yang dinyatakan dalam ayat di atas ialah memberikan atau membelanjakan harta kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang musafir yang memerlukan, orang-orang yang meminta-minta serta memerdekakan hamba sahaya.
Ketiga, dua perkara yang merupakan bahagian daripada rukun Islam yang dinyatakan dalam ayat di atas ialah mendirikan solat dan menunaikan zakat. Kedua-dua perkara ini adalah menjadi kewajipan yang difardhukan kepada setiap orang Islam.
Keempat, perkara yang berkaitan dengan menunaikan amanah iatu orang-orang yang menepati janji apabila seseorang itu berjanji dan sifat sabar iaitu orang-orang yang sabar dalam kesempitan penderitaan dan peperangan. Beramanah pada janji dan sabar ini adalah merupakan dua sifat akhlak yang terpuji atau sifat mahmudah yang di sukai dan dikehendaki oleh Allah swt.
Kelima, akhirnya Allah menyatakan bahawa mereka itu iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan itu adalah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itu ialah orang-orang yang bertaqwa. Siiat -sifat dan amalan orang-orang yang beriman dan bertaqwa ini banyak di sebut dan diterangkan dalam ayat-ayat lain di dalam Al-Quran nul-Karim.
Semoga kita lebih memahami maksud dan erti kebajikan yang Allah maksudkan itu dan sama-samalah kita memperkasakan diri dengan melakukan kebajikan dalam erti sebenarnya sebagaimana maksud dalam friman Allah swt. itu. Semoga kita memperoleh keredhaan dan rahmatNya jua.
Sekian, was’salam.

MUTIARA HADIS - 3

AWASI EMPAT PERKARA YANG BOLEH MEROSAKKAN
Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda dengan ertinya:
“Emapat macam yang dapat membatalkan puasa dan wuduk dan menghapuskan amal (merosaknya). Pertama, gibah (membincangkan keburukan orang lain). Kedua, dusta. Ketiga, mengadu-adu (mengadu domba seseorang dengan lainnya). Keempat, memperhatikan kecantikan wanita yang haram dilihatnya. Dan semua itu dapat menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air menyuburkan bibit tanaman, dan minuman khamr (arak) itu mengatasi semua dosa-dosa.”
Sekian, was'salam

TITISAN TINTA - 3 (2012)


ENAM PERKARA YANG ALLAH SEMBUNYIKAN

Sesungguhnya Allah saw. telah menyembunyikan enam perkara iaitu:
1. RidhaNya di dalam  taat.
2. Murkanya di dalam maksiat.
3. NamaNya Maha Agung di dalam Al-Quran.
4. Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadan.
5. Solat yang paling utama di dalam solat lima waktu.
6. Tarikh terjadinya hari kiamat di dalam semua hari”

(Daripada: Umar r.a.)




Thursday, January 19, 2012

TITISAN TINTA - 2 (2012)

KEWAJIBAN MURID KEPADA GURU

“Engkau laksana mayat terlentang,
Di depan gurumu terletak membentang,
Dicuci dibalik laksana batang,
Janganlah engkau berani menentang.

Perintahnya jangan engkau elakkan,
Meskipun  haram seakan-akan,
Tunduk dan taat diperintahkan,
Engkau pasti ia cintakan.

Biarkan semua perbuatannya,
Meskipun berlainan dengan syara’nya,
Kebenaran nanti akan nyatanya,
Bagimu akan jelas  rahsianya.

Ingatlah ceritera Khaidir dan Musa,
Tentang pembunuhan anak desa,
Musa seakan-akan putus asa,
Pada akhirnya ia terasa.

Pada akhirnya jelaslah sudah,
Tampak padanya secara mudah
Kekuasaan  Allah tidak tertadah,
Ilmunya luas tidak termadah.

Nukilan: Naqsyabandi Bahaudin  (WAFAT: 1389H)

RENUNGAN AL-QURAN 41

PERIHAL HARI KIAMAT DARI SURAH AT-TAKWIR
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Apabila matahari digulung, dan apabila bintang-bintang berjatuhan, dan apabila gunung-gunung dihancurkan, dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan), dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan, dan apabila lautan dipanaskan, dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan jasad), dan apabila anak-anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh?, dan apabila catatan amal (perbuatan-perbuatan manusia) dibuka, dan apabila langit dilenyapkan, dan apabila nerka jahanam dinyalakan, dan apabila syurga didekatkan, maka tiap-tiap jiwa (manusia) akan mengetahui apakah yang telah dikerjakan.” (At-Takwir: 1-14)
Ada dua perkara pokok yang terkandung dalam ayat-ayat diatas.
Pertama, ialah gambaran mengenai kejadian hari kiamat bila seluruh alam semesta ini punah ranah, hancur lebur dan lenyap sama sekali atas perintah dan ketetapan Allah. Allah menceritakan banyak perkara yang berlaku pada hari kiamat kelak. Apakah kita mampu menjangkau dengan akal dan hati kita yang amat lemah dan kerdil ini akan segala apa yang telah Allah gambarkan itu? Semuanya itulah yang bakal terjadi kepada langit, matahari, bintang-bintang, bumi, gunung ganang, lautan dan lain-lain. Itulah semua yang terjadi atas perintah Allah bila tiba saat dan ketikanya,
Siapakah kita ini untuk dapat membayangkan segala hura hara, gegak gempita, kelam kabut yang maha dahsyat dan mengerikan itu? Melihatnya mungkin sudah menyebabkan kita terbelalak, terbeliak tidak sedarkan diri, umpama seakan gugur jantung ini, apalagi kalau sendiri mengalami dan menghadapinya?
Kedua, setelah roh dan jasad dipertemukan dan manusia dihidupkan semula, apakah nasib manusia selanjutnya? firman Allah dalam ayat-ayat 7-14 bermaksud: “dan apabila langit dilenyapkan, dan apabila nerakan jahim dinyalakan dan apabila syurga didekatkan, tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya”.
Sebaik sahaja manusia dibangkit  hidup semula, setiap manusia diperintahkan untuk hadir mengadap Allah di padang atau dataran Mahsyar dengan segala kepayahan, kesengsaraan dan keperitan, melainkan jika sesiapa yang mendapat perlindungan Allah. Kita boleh mempelajari dan meneliti lebih lanjut mengenai urusan-urusan seperti penyerahan kitab amalan, hisab atau timbangan amal (mizan), melintasi jambatan dan kesudahan balasan dan hukuman Allah swt.  kepada setiap manusia seperti mana yang terkandung dalam ayat-ayat pada surah-surah yang lain dan huraiannya dalam hadis-hadis Baginda Nabi saw.
Sekian, was’salam.



















MUTIARA HADIS - 2

MANUSIA MELINTASI JAMBATAN DI ATAS NERAKA JAHANAM
Baginda Nabi saw. bersabda ertinya: “Kemudian dibentangkan jambatan di atas neraka jahanam dan dibolehkan memberikan syafaat dan orang-orang akan berkata “Ya Allah selamatkanlah, Ya Allah selamatkanlah”. Rasulullah ditanya orang; Apakah jambatan itu? Nabi menjawab: “Jambatan itu adalah suatu jalan yang membuat manusia tergelincir dan juga menyebabkan terlepasnya kaki. Padanya  ada beberapa kaitan dan besi-besi lengkung juga  duri-duri dari besi. Dikata orang sebagai sudan. Orang-orang beriman melaluinya dengan kecepatan sekelip mata, kilat, angin, burung, kuda pacuan, jalannya unta. Maka ada orang yang terselamat dan terlepas, ada pula yang terkoyak-koyak badannya kemudian dilepaskan dan akhirnya selamat. Tetapi ada pula yang terpelanting ke dalam neraka jahanam”.  (HR: Bukhari & Muslim)
 Melintasi jambatan sebagaimana yang  terkandung dalam hadis ini ialah suatu perkara yang setiap orang terpaksa melakukannya pada hari kiamat kelak. Apakah kita cukup bersedia menghadapi salah satu ujian sebagaimana janji Allah swt ini dan dengan apakah kita boleh menyelamatkan diri?  Samalah kita merenung fikir sambil terus membaiki dan meninggikan iman dan amal taqwa. Semoga kita semua mendapat perlindungan dan pertolongan Allah swt jua.
Terima kasih dan was’salam.




















Wednesday, January 18, 2012

RENUNGAN AL-QURAN - 40

ALLAH ADALAH DEKAT DAN MENGABULKAN DOA HAMBANYA
 Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (maka jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat.  Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa, apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” (AL-Baqarah: 186)
Dalam ayat diatas Allah swt. menyahwukan kepada Nabi saw. agar  apabila ditanya oleh hamba-hambaNya mengenai Allah, maka baginda diminta menjawab dengan mengatakan bahawasanya Allah itu adalah dekat dan Allah mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa. Apabila mereka memohon kepadanya, mereka dikehendaki mematuhi segala perintah Allah dan beriman kepada Allah. Ini adalah supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.
Dalam hal ini kita selayaknya mempelajari dan memahami maksud yang tersurat dan juga yang tersirat daripada ayat ini. Ada beberapa hal yang patut kita pelajari dan fahami dengan mendalam akan maksud dan pengiktibaranya. Perkara-perkara ini ada dihuraikan dan dikupas  oleh para ulamak dalam kitab-kitab mereka. Antaranya hal-hal utama itu ialah:
1.  Allah itu dekat kepada hamba-hambaNya.
2. Allah mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa  kepadaNya.
3. Allah memerintahkan apabila memohon kepadanya orang-orang yang berdoa itu hendaklah;  (a) memenuhi segala perintahNya. (b) beriman kepadaNya,  agar mereka  selalu berada dalam kebenaran.
Kita pasti akan dapat menemui kitab-kitab yang boleh menjelaskan selanjutnya akan maksud bahawa Allah itu dekat kepada hambanya atau bagaimana kita mungkin dapat mendekatkan diri kita kehadirat Allah dan juga mengenai doa-doa yang Allah makbulkan dengan niat yang tulus ikhlas dan berserah diri kepadaNya. Apa lagi kalau kita dapat menetili hadis-hadis Baginda saw. mengenai hal ini.



Tuesday, January 17, 2012

Getaran Jiwa-Bidadari Firdausi


Bidadari Firdausi

Kaulah puteri sunti
suci murni
dibelai semesra mutiara
amat cantik  jelita
 idaman jutaan manusia
bibirmu semerah delima
senyummu berkuntum mawar
rambutmu sewangi kasturi
matamu meredup kristal biru
lirikmu menyapa kalbu
jelingmu melenyap cemburu
tawamu membenih rindu
nyanyimu  memadam nestapa
 wajahmu  menutup purnama

Di sini kau tiada
hanya  khabar gembira
bersulam mimpi-mimpi
kalaulah aku
ditakdirkan bertemumu
apakah aku kan jadi sasau
gila terus merana
kau milik para  rasul dan nabi
syuhadah dan ambia’

Aku hanyalah insan biasa
apakah mungkin dapat
aku miliki hatimu
demi  cinta setia abadi
menjamah damai sejahtera
bersama kucupanmu
di mahligai Firdausi

Kelana Putra
Bukit Puteri
Kuala Terengganu
18  Januari 2012-01-17
Selasa  23 Safar 1433










Mutiara Hadis - 1


ISLAM DIBANGUNKAN DI ATAS  LIMA  PERKARA

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, ia berkata “Rasulullah bersabda: Sabda “Islam itu dibangunkan atas lima hal: persaksian (syahadat) bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muammad adalah utusanNya, mendirikan solat, memberikan zakat,  haji di Baitullah dan puasa Ramadan” 

Hadis di atas menjelaskan lima perkara yang menjadi asas Islam dan sejak kecil lagi  kita biasa diajar dan mempelajarinya sebagai Rukun Islam.  Di dalam hadis ini haji didahulukan dan puasa di kemudiannya. Namun begitu hadis serupa yang diriwayatkan oleh periwayat yang lain seperti Ibu Umar meletakkan puasa dihadapan haji. Pertertiban itu dikatakan sesuai dengan pentertiban masa mensyariatkannya kerana puasa telah diwajibkan lebih awal iaitu pada tahun kedua hijrah, manakala haji pula diwajibkan pada tahun keenam atau ketujuh hijrah. Selain itu timbul perbezaan di sebabkan oleh adanya periwayat yang mengambil dari lafaz yang didengar dan ada juga periwayat yang mengambil dari  pengertian makna yang terkandung di dalamnya. Namun demikian hal ini dikatakan tidak tercela.

Saudara saudari rakan pembaca bolehlah mempelajari hal ini selanjutnya daripada Al-Tahwir: Syarah Sahih Muslim Jilid I atau kitab-kitab lain yang seumpamanya bagi lebih memahami dan meneliti perkara ini. Was’salam.

mutiara hadis - 1

Monday, January 16, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 39

 
PERISTIWA KIAMAT  DALAM  SURAH AL-INSYIQAAQ

Sumpah Allah dan perihal orang-orang yang beriman

Firman Alah Taala dengan maksudnya:

“Apabila langit terbelah, dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh, dan apabila bumi diratakan, dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong, dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah  semestinya bumi itu patuh, (pada waktu itu manusia akan mengetahui akibat perbuatannya). Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuinyNya.” Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka  ia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang mana-mana beriman) dengan gembira.” (Al-Insyiqaaq: 1-8)

1.Langit dan bumi mematuhi perintah Allah
2.Sesiapa yang bekerja bersungguh-sunguh menuju Allah, ia pasti akan menemuiNya
3.Orang-orang yang diberi dan menerima kitabnya (surat amalanya) dari sebelah kananya dihisab dengan mudah.
4.Orang-otang ini akan kembali kepada kaumnya yang sama-sama beriman dan berada di dalam syurga. 
5. Mereka berada dalam keadaan gembira.

Orang-orang yang durhaka dan azab seksa Allah

Allah Taala berfirman dengan maksudnya: 

“Adapun orang-orang  diberikan kitabnya dari belakang, maka dia akan berteriak “Celakalah aku” Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira dikalangan kaumnya (yang sama-sama kafir). Sesungguhnya dia yakin bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali  (kepada Tuhannya). (Bukan demikian), yang benar, Sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.” (Al-Insyiqaaq: 9-15)

1.Orang-orang yang dberikan kitabnya (surat amalannya) dari belakang akan masuk neraka.
2.Mereka berteriak dengan mengatakan: “Celakalah aku”.
3.Semasa di dunia dahulu mereka bergembira bersama-sama kaumnya yang sama-sama kafir
4.Mereka yakin merek tidak di kebalikan kepada Allah.
5.Sesungguhnya Allah selalu melihatnya, iaitu segala apa yang dilakuan secara terang dan secara tersembunyi.

Manusia mengalami proses kehidupan tingkat demi tingkat

Allah berfirman dengan maksudnya:

“Sesungguhnya aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja, dan dengan malam dan apa yang dihubunginya, dan dengan bulan apabila jadi purnama, sesungguhnya kamu melalui tingkat demi tingkat  dalam kehidupan. Mengapa mereka tidak mahu beriman? Dan apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak bersujud, bahkan orang-orang kafir itu mendustakan(nya). Padahal Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka). Maka kabar gembiralah mereka demgan azab yang pedih. Tetapi orang-orang beriman dan beramal soleh, bagi mereka pahala yang tidak putus-putus” (Al-Insyiqaaq: 16-25)

1.Allah menyatakan sumpahnya dengan mega senja, malam dan bulan apabila purnama bahawa sesungguhnya kehidupan manusia adalah melalui tingkat demi tingkat.
2.Hakikat ini kalau dapat kita renung fikir dengan mendalam adalah benar. Pada mulanya manusia berada di alam roh, masuk ke alam rahim, lahir ke alam dunia, mati di alam barzakh, dibangkitkan semula  dan akhir sekali berada di alam akhirat yang kekal abadi.
3.Allah swt. menyoal: “Mengapa mereka tidak mahu beriman?”
4.Mereka tidak bersujud, maksudnya tidak menyembah Allah.
5.Mereka mendustakannya apabila ayat-ayat Al-Quran dibacakan.
6.Khabar gembira Allah  untuk mereka ialah azab seksa yang pedih. 
7.Orang-orang beriman dan beramal soleh mendapat pahala yang tidak putus-putus, iaitu di dunia hinggalah ke akhirat.

Sebagai rumusannya, marilah sama-sama kita pelajari dan fikirkan semua maksud yang terkandung dalam surah ini untuk lebih memahami hakikat hari kiamat dan kesudahan manusia di hari akhirat kelak. Moga-moga dengannya kita dapat mengukuh dan mempertingkatkan iman, amal soleh dan tawqa kepada Allah swt. dengan mengharap pertolongan dan perlindungannya di dunia dan di akhirat. Sekian Was'salam.
.