MANUSIA MENERIMA KITAB DARI SEBELAH KANAN ATAU KIRI
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah). Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: “Ambillah, bacalah kitabku (ini)”. Sesungguhnya aku yakin, bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai, dalam syurga yang tinggi. Buah-buahan dekat (kepada mereka dikatakan): “Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang lalu”.(Al-Haaqqah: 18-24)
“Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitab dari sebelah kiri, maka dia berkata: “Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). Dan aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Harta sekali-kali tidak akan memberikan manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaan dariku”. (Al-Haaqqah: 25-29)
“Allah berfirman: Peganglah dia lalu belenggulah tangannya kelehernya.” Kemudian masukanlah dia ke dalam api yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar. Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin. Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di sini. Dan tiada pula makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.” (AL-Haaqqah: 30-37)
Didalam ayat-ayat di atas, Allah swt. menceritakan perihal kesudahan bagi semua orang pada hari kiamat. Pada hari kiamat itu tiada suatu apapun yang dapat disembunyikan daripada Allah swt. Orang-orang yang diberikan dan menerima kitab suratan amalnya dari sebelah kanan merupakan golongan orang-orang yang beruntung dan mendapat balasan kenikmatan syurga disebabkan oleh segala amal perbuatan baik yang telah mereka dikerjakan semasa kehidupan di dunia. Mereka ini diredhai dan memperoleh kemuliaan daripada Allah.
Manakala orang-orang yang diberikan dan menerima kitab surtan amalnya dari sebelah kiri merupakan orang-orang yang rugi dan mendapat balasan neraka disebabkan oleh kejahatan dan dosa-dosa yang telah mereka kerjakan semasa kehidupan di dunia. Mereka diseksa dengan dibelenggu tangannya kelehernya dan dicampakkan ke dalam api yang menyala-nyala, kemudian dibelit dengan rantai sepanjang tujuh puluh hasta dan diberi makan dari darah dan nanah. Ini disebabkan oleh keingkaran mereka daripada beriman kepada Allah dan mereka juga tidak mendorong orang lain memberi makan kepada orang-orang miskin. Mereka tidak diterima dan dibalas dengan penghinaan dan azab sengsara daripada Allah.
Kesimpulannya inilah dua gambaran dan ketetapan Allah bagi dua golongan manusia iaitu golongan kanan dan golongan kiri sebagaimana yang juga telah di ceritakan dalam surah Al-Waaqiah dalam dua siri yang lalu. Semoga semua ini menjadi petunjuk dan peringatan kepada kita untuk mengukuhkan iman, berbuat lebih banyak kebaikan dan beramal taqwa serta terus meninggalkan segala kemungkaran dan kejahatan. Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dengan memutuskan apakah lagi yang perlu dan mesti kita lakukan bagi mensucikan diri, mendapat keredhaan dan balasan baik daripada Allah swt. samaada di dunia ini dan lebih-lebih lagi pada hari akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment