Wednesday, January 11, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 34

DUA GOLONGAN MANUSIA DI DALAM SYURGA

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu masuk syurga. Mereka itulah orang didekatkan (kepada Allah). Tinggal menetap di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. Di antaranya sekumpulan besar daripada orang-orang yang terdahulu dan segolongan kecil orang-orang yang terkemudian. Mereka berada di atas takhta-takhta yang bertatahkan emas dan permata, seraya bertelekan di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda, dengan membawa gelas, tekoh dan piala berisi dari minuman yang diambil dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk, dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burumg dari apa yang mereka inginkan. Dan dalam Syurga itu mereka dilayani oleh bidadari-bidadari yang cantik jelita, laksana mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. Sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang telah mereka kerjakan. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa. Akan tetapi mereka mendengar ucapan "Selamat, Selamat." (Al-Waaqi'ah: 11-26)

"Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Mereka bersenang-senang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri dan pohon-pohon pisang yang tersusun rapi buahnya. Dan ruangan yang tetap terbentang luas dan air yang sentiasa mengalir dan buah-buah yang banyak, yang tidak putus-putus dan tidak terlarang mengambilnya. Dan tempat-tempat tidur yang empuk. Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan yang istimewa, dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (yang tidak pernah disentuh). Yang penuh cinta dan sebaya umurnya. Kami ciptakan mereka untuk golongan kanan, iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu dan sebilangan besar dari orang-orang yang terkemudian." (Al-Waaqi'ah: 27-40)

Dalam ayat-ayat dari surah Al-Waaqi'ah sebagaimana yang dimaksudkan itu, Allah Taala menceritakan kenikmatan dan kesejahteraan hidup di dalam Syurga-syurga sebagai balasan dan kurniaan kepada dua golongan manusia iaitu; (a) orang-orang paling dahulu beriman dan paling dahulu memasuki syurga dan (b) golongan kanan.

Golongan pertama ialah orang-orang paling dahulu beriman (assabiqun) dan merekalah yang paling dulu memasuki Syurga. Mereka ini terdiri dari sebahagian besar orang-orang terdahulu (iaitu umat-umat para nabi dan rasul sebelum Muhammad saw.) dan sebahagian kecil dari umat terkemudian (iaitu umat Muhammad saw.) Mereka memperoleh kemuliaan dan didekatkan kepada Allah. Kenikmatan hidup yang mereka kecapi di dalam Syurga ialah seperti yang Allah firman dalam ayat-ayat 11 hingga 26 Surah Al-Waaqi'ah, bermaksud seperti dalam petikan terjemahan di atas.

Golongan kedua ialah golongan kanan (ashabul maimanah) iaitu orang-orang yang menerima suratan amal mereka dengan tangan kanan. Mereka terdiri dari sebilang besar dari orang-oraang yang terdahulu dan sebilangan besar dari orang-orang yang terkemudian. Golongan ini mendapat kebahagian dengan kenikmatan hidup di dalam Syurga sebagaimana yang Allah swt. firmankan dalam ayat-ayat 27 hingga 40 Surah Al-Waaqi'ah, bermaksud seperti dalam petikan terjemahan di atas.

Jika kita dapat merenung fikir dengan minda hati budi yang luhur, nyatalah betapa mulia dan nikmatnya Syurga yang Allah janjikan kepada orang-orang mukmin yang beriman, beramal soleh dan bertqwa itu. Kesimpulannya itulah dua golongan manusia yang amat beruntung. Allah berikan balasan Syurga dengan segala nikmat yang tiada bandingannya dengan segala apa yang pernah di nikmati di dunia ini. Sebaliknya pula golongan kiri  akan Allah balas dengan azab seksa neraka jahanam. Perkara ini akan kita singkap di dalam siri berikutnya nanti. Sekian salam sejahtera, was'salam.
 
 

No comments:

Post a Comment