Thursday, January 5, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 32

MANUSIA DAN SYAITAN DI PADANG MAHSYAR

Firman Allah Taala dengan maksudnya:
"Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkata orang-orang lemah kepada orang-orang yang sombong: "sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kami menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja? Mereka mejawab: "Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh atau bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri" (Ibrahim: 21).

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diseleasikan; "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku telah menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu" Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih" (Ibrahim: 22)

Firman Allah dalam kedua-dua ayat di atas menceritakan mengenai kisah manusia di padang Mahsyar dan tempelak syaitan kepada manusia yang telah disesatkan olehnya.

Pertama, orang-orang yang lemah meminta pertolongan kepada orang-orang yang sombong agar dapat menghidarkan diri mereka daripada azab seksa Allah, walau dengan hanya sedikit sahaja sekalipun. Orang-orang yang sombong itu menyatakan bahawa mereka hanya dapat memberi pertolongan jika sekira mereka mendapat petunjuk Allah, sedangkan mereka tidak memperolehinya. Orang-orang yang sombong itu mengakui bahawa mereka berada dalam keadaan yang sama seperti orang-orang yang lemah yang meminta pertolongan itu. Mereka semua adalah sama,  samaada mereka mengeluh ataupun bersabar, mereka  tetap tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.

Kedua, sutu urusan yang amat penting di padang Mahsyar nanti ialah semua manusia dihisabkan dan menerima pengadilan Allah. Sebaik sahaja perkara hisab di Padang Mahsyar itu diselesaikan syaitan menyatakan pendiriannya terhadap manusia. Syaitan mengakui bahawa apa yang telah Allah janjkan itu adalah benar dan ia sendiri mengambil tindakan yang bertentangan iaitu menyalahi apa yang telah Allah janjikan. Sebaliknya syaitan telah lama mendurhaka terhadap Allah dan bersumpah untuk menyesatkan manusia apabila ia dilaknati Allah.

Syaitan menempelak dan menyalahkan manusia dengan berkata ".....janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri". Syaitan mengakui bahawa ia sekali-kali tidak dapat menolong manusia dan manusia juga tidak dapat menolongnya. Malah manusia sendirilah yang telah mempersekutukan syaitan dengan Allah sejak dahulu lagi. Sesungguhnya orang-orang yang zalim ini mendapat seksaan yang pedih.

Dalam Al-Ouran terdapat banyak ayat-ayat Allah yang memberikan amaran dan peringatan supaya manusia bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata dan janganlah sekali-kali mengikut langkah-langkah syaitan. Apalagi mempersekutukan syaitan dengan Allah dan berbuat syirik. Permusuhan syaitan terhadap   Bani Adam meyebabkan  syaitan bersumpah  untuk menyesatkan manusia  hinggalah ke hari kiamat. Dengan ini syaitan menjalankan kerjanya dengan pelbagai muslihat dan tipu daya bagi mengajak manusia membuat pelbagai keingkaran, maksiat dan kejahatan. Allah memerintahkan manusia supaya memohon perlindungan dan pertolongan daripadaNya bagi menyelamatkan diri daripada syaitan.

No comments:

Post a Comment