Tuesday, January 3, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 31

ORANG-ORANG YANG BERTAQWA DI DALAM SYURGA 'ADN

Allah Taala berfirman dengan maksudnya:

"Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertaqwa." (An Nahl: 30)

"(iaitu) syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya, mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa." (An Nahl: 31)

"(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): "Salaamun'alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu di sebabkan apa yang telah kamu kerjakan." (An Nahl: 32)

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat di mana Allah menceritakan perihal orang-orang yang beriman, berbuat kebaikan, beramal soleh dan bertaqwa. Golongan ini Allah kurniakan pelbagai nikmat dan balasan baik dalam hidup mereka di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat, balasan surga yang dipenuhi dengan segala nikmat dan rahmatNya.

Ayat-ayat di atas menjelas dan menceritakan perihal orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan baik iaitu syurga 'Adn daripada Allah.

Pertama, apabila ditanya: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" maka orang-orang yang bertaqwa menjawab "kebaikan" (yang Allah turunkan). Ini adalah suatu pengakuan mereka yang membenarkan segala kebaikan yang telah Allah kurniakan kepada mereka dalam kehidupan di dunia. Dalam ayat yang sama Allah telah menyatakan bahawa orang-orang yang berbuat baik di dunia akan mendapat balasan baik di akhirat. Allah menegaskan bahawa negeri akhirat itu adalah lebih baik (berbanding kehidupan dunia) dan ia adalah tempat yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kedua, tempat yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang bertaqwa yang Allah maksudkan itu ialah syurga "Adn. Di dalam syurga ini mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki sebagai balasan baik kurniaan Allah.

Ketiga, Alah swt. memberi rahmat kepada orang-orang bertaqwa dengan mewafatkan (mematikan) mereka dalam keadaan baik. Apa yang dimaksudkan dengan wafat dalam keadaan baik menurut tafsirannya ialah wafat dalam keadaan suci dari kekafiran dan kemaksiatan serta mati dalam keadaan senang kerana mereka dikabarkan dengan berita gembira oleh para malaikat yang memberi salam dan menyuruh mereka masuk ke dalam syurga. "Salaamun'alaikum, masuklah kamu di dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan".

Kesimpulannya dalam kehidupan dunia yang amat singkat ini setiap diri mestilah sedaya upaya melakukan segala amal perbuatan baik dan meninggalkan segala maksiat dan kejahatan. Oleh kerana hidup di dunia ini hanyalah sekali, kita semestinyalah berusaha gigih mempertingkatkan dan memelihara keimanan dan mengerjakan segala apa jua kebaikan dengan ikhlas kerana Allah. 

Kita amat perlu bertaubat, memohon keampunan, menaruh harapan pertolongan dan rahmatnya di dunia dan di akhirat. Apakah akhirnya Allah swt. menerima diri kita ini sebagai seorang mukmin sejati - beriman, berilmu, beramal soleh dan bertaqwa?

1 comment:

  1. Apakah diri kita mampu mempunyai sifat-sifat mulia mukmin sejati sehigga akhirnya Allah golongkan diri kita sebagai orang-orang bertaqwa? Jika tidak, apa dan bagaimana yang mesti kita lakukannya?

    ReplyDelete