PERIHAL HARI KIAMAT DARI SURAH AT-TAKWIR
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
“Apabila matahari digulung, dan apabila bintang-bintang berjatuhan, dan apabila gunung-gunung dihancurkan, dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak dipedulikan), dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan, dan apabila lautan dipanaskan, dan apabila roh-roh dipertemukan (dengan jasad), dan apabila anak-anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh?, dan apabila catatan amal (perbuatan-perbuatan manusia) dibuka, dan apabila langit dilenyapkan, dan apabila nerka jahanam dinyalakan, dan apabila syurga didekatkan, maka tiap-tiap jiwa (manusia) akan mengetahui apakah yang telah dikerjakan.” (At-Takwir: 1-14)
Ada dua perkara pokok yang terkandung dalam ayat-ayat diatas.
Pertama, ialah gambaran mengenai kejadian hari kiamat bila seluruh alam semesta ini punah ranah, hancur lebur dan lenyap sama sekali atas perintah dan ketetapan Allah. Allah menceritakan banyak perkara yang berlaku pada hari kiamat kelak. Apakah kita mampu menjangkau dengan akal dan hati kita yang amat lemah dan kerdil ini akan segala apa yang telah Allah gambarkan itu? Semuanya itulah yang bakal terjadi kepada langit, matahari, bintang-bintang, bumi, gunung ganang, lautan dan lain-lain. Itulah semua yang terjadi atas perintah Allah bila tiba saat dan ketikanya,
Siapakah kita ini untuk dapat membayangkan segala hura hara, gegak gempita, kelam kabut yang maha dahsyat dan mengerikan itu? Melihatnya mungkin sudah menyebabkan kita terbelalak, terbeliak tidak sedarkan diri, umpama seakan gugur jantung ini, apalagi kalau sendiri mengalami dan menghadapinya?
Kedua, setelah roh dan jasad dipertemukan dan manusia dihidupkan semula, apakah nasib manusia selanjutnya? firman Allah dalam ayat-ayat 7-14 bermaksud: “dan apabila langit dilenyapkan, dan apabila nerakan jahim dinyalakan dan apabila syurga didekatkan, tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya”.
Sebaik sahaja manusia dibangkit hidup semula, setiap manusia diperintahkan untuk hadir mengadap Allah di padang atau dataran Mahsyar dengan segala kepayahan, kesengsaraan dan keperitan, melainkan jika sesiapa yang mendapat perlindungan Allah. Kita boleh mempelajari dan meneliti lebih lanjut mengenai urusan-urusan seperti penyerahan kitab amalan, hisab atau timbangan amal (mizan), melintasi jambatan dan kesudahan balasan dan hukuman Allah swt. kepada setiap manusia seperti mana yang terkandung dalam ayat-ayat pada surah-surah yang lain dan huraiannya dalam hadis-hadis Baginda Nabi saw.
Sekian, was’salam.
No comments:
Post a Comment