Friday, January 20, 2012

RENUNGAN AL-QURAN 41

KEBAJIKAN DI SISI ALLAH
Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Bukankah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), dan orang-orang yaang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji; dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa." (Al-Baqarah: 177)
Ayat 177 surah AL-Baqarah ini mengandungi erti dan perkara-perkara yang berhubung dengan apa yang dikatakan sebagai kebajikan di sisi Allah swt. Pada keseluruhannya kebajikan yang Allah maksudkan dalam ayat di atas mengandungi perkara-perkara berikut:
Pertama, pekara yang  berhubung terus dengan keimanan iaitu beriman kepada Allah, hari kemudian (hari akhirat), malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi.  Semua ini adalah merupakan pegangan, keyakinan dan pembenaran yang biasa disebut sebagai rukun iman. Semua perkara ini ada dijelaskan dan diperincikan dalam hadis-hadis Rasulullah saw.
Kedua, perkara yang berkaitan secara langsung dengan amal perbuatan seseorang berkaitan dengan harta benda atau kekayaan. Perkara yang dinyatakan dalam ayat di atas ialah memberikan atau membelanjakan harta kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang musafir yang memerlukan, orang-orang yang meminta-minta serta memerdekakan hamba sahaya.
Ketiga, dua perkara yang merupakan bahagian daripada rukun Islam yang dinyatakan dalam ayat di atas ialah mendirikan solat dan menunaikan zakat. Kedua-dua perkara ini adalah menjadi kewajipan yang difardhukan kepada setiap orang Islam.
Keempat, perkara yang berkaitan dengan menunaikan amanah iatu orang-orang yang menepati janji apabila seseorang itu berjanji dan sifat sabar iaitu orang-orang yang sabar dalam kesempitan penderitaan dan peperangan. Beramanah pada janji dan sabar ini adalah merupakan dua sifat akhlak yang terpuji atau sifat mahmudah yang di sukai dan dikehendaki oleh Allah swt.
Kelima, akhirnya Allah menyatakan bahawa mereka itu iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan itu adalah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itu ialah orang-orang yang bertaqwa. Siiat -sifat dan amalan orang-orang yang beriman dan bertaqwa ini banyak di sebut dan diterangkan dalam ayat-ayat lain di dalam Al-Quran nul-Karim.
Semoga kita lebih memahami maksud dan erti kebajikan yang Allah maksudkan itu dan sama-samalah kita memperkasakan diri dengan melakukan kebajikan dalam erti sebenarnya sebagaimana maksud dalam friman Allah swt. itu. Semoga kita memperoleh keredhaan dan rahmatNya jua.
Sekian, was’salam.

No comments:

Post a Comment