Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Apabila terjadi hari kiamat, terjadi hari kiamat itu tidak dapat didustakan, kejadian itu merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya, maka jadi dia debu yang berterbangan." (Al-Waaqi'ah: 1-6)
"Dan kamu menjadi tiga golongan, iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dulu (masuk syurga)." (Al-Waaqi'ah: 7-10)
Ayat-ayat Allah dalam Surah Al-Waaqi'ah (surah ke 56)mengandungi 96 ayat yang menceritakan mengenai Hari Kiamat. Dalam surah ini Allah swt. menceritakan mengenai kedahsyatan kejadian hari kiamat, balasan-balasan kepada tiga golongan umat manusia iaitu kepada; (1) orang-orang yang paling dahulu beriman (ayat 11-26), (2) orang-orang dalam golongan kanan (ayat 27-40) dan (3) orang-orang dalam golongan kiri (ayat 41-74). Dalam ayat-ayat yang berikutnya (ayat 75-96) Allah menyatakan sumpahNya terhadap kemuliaan Al-quran.
Dalam 10 ayat pertama surah ini seperti dalam petikan (terjemahan) di atas, Allah menceritakan perihal kejadian hari kiamat yang akan terjadi dan kejadiannya itu tidak lagi dapat didustakan, bahkan ia adalah perkara yang benar-benar terjadi sebagaimana sumpah dan janji Allah kepada seluruh umat manusia dan alam samesta. Pada hari kiamat itu nanti bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung ganang hancur lebur menjadi debu yang berterbangan.
Pada hari kiamat itulah Allah swt. meninggikan segolongan manusia dan merendahkan segolongan manusia yang lain. Pada akhirnya manusia dibahagikan kepada tiga golongan mengikut kedudukan dan balasan masing-masing di sisi Allah.
Golongan pertama ialah orang-orang yang paling dahulu beriman (assabiqun) - ia itu orang-orang yang paling dahulu Allah masukkan ke dalam syurga. Mereka ini adalah terdiri daripada orang-orang yang didekatkan kepada Allah.
Golongan kedua ialah orang-orang golongan kanan (ashabul maimanah) iaitu orang-orang yang menerima suratan amal dgn tangan kanan dan di muliakan.
Golongan ketiga ialah orang-orang golongan kiri (ashabul masyamah) iaitu orang-orang yang menerima suratan amal dengan tangan kiri dan mendapat kesengsaraan.
Orang-orang yang termasuk ke dalam golongan orang-orang yang lebih dahulu beriman dan golongan kanan Allah berikan balasan syurga dan orang-orang yang termasuk dalam golongan kiri itu pula Allah berikan hukuman azab seksa neraka. Perkara ini semuanya diceritakan dalam ayat-ayat selanjutnya dalam surah Al-Waqi'aah. Keadaan diri manusia bagi ketiga-tiga golongan ini akan dijelaskan dalam siri-siri yang selanjutnya nanti, insyaallah.
Dalam surah-surah yang lain seperti dalam surah-surah Al-Qiyaamah, Al-Haaqqah, Al-Takwir, Al-Insyiqaaq, Al-Ghaasyiyah, Al-Zalzalah dan Al-Qaari'ah Allah swt. tetap memberikan peringatan dan petunjukNya kepada manusia mengenai hari kiamat. Antaranya ialah mengenai ketibaan hari kiamat, kemusnahan alam semesta bersama dengan kedahsyatan dan kengeriannya, keadaan huru hara yang besar, kebangkitan semula manusia, perhimpunan Mahsyar untuk menerima pengadilan Allah dan balasan syurga dan neraka yang telah ditetapkanNya.
lihatlah, siapakah tiga golongan manusia yang Allah bahagikan pada hari kiamat kelak. Dalam golongan manakah kita ingin berada dan apakah iman, akhlak dan amal soleh yang kita miliki untuk melayakkannya?
ReplyDelete