Allah Taala berfirman dengan maksudnya:
"Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri), Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?" (Al-Qiyaamah: 1 - 3)
"Bukan demikian, sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus." (Al-Qiyaamah: 4 - 5)
"Ia bertanya: "Bilakah hari kiamat itu?" Maka apabila mata terbelalak (ketakutan) dan apabila bulan telah hilang cahayanya, dan matahari dan bulan dikumpulkan." (Al-Qiyaamah: 6-9)
"Pada hari itu manusia berrkata: "kemana tempat lari", sekali-kali tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali" (Al-Qiyaamah: 10-12)
"Dan pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakan dan apa yang dilakukan. Bukankah manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri?, meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya" (Al-Qiyaamah: 13-15)
Di dalam Al-Quran Nul-Karim, terdapat beberapa surah dengan begitu banyak sekali ayat-ayat yang menceritakan dan memberi peringatan mengenai hari kiamat. Hari kiamat yang juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti hari pembalasan, hari pengadilan dan hari kesudahan. Golngan manusia yang kafir dan musyrik sememang telah Allah tutup pintu hati mereka dan mereka tidak sekali-kali mempercayai hari kebangkitan semula dan hari kiamat, serta kembalinya manusia kepada Allah.
Surah Al-Qiyaamah mengandungi sejumlah 40 ayat yang memperingatkan dan menceritakan mengenai kepastian kejadian hari kiamat bersama huru haranya, jaminan Allah terhadap ayat-ayat Al-Quran yang tersimpan di dalam dada Baginda saw. sehinggalah Baginda saw. tidak lupa sama sekali akan urutan erti dan pembacaannya. Pada ayat-ayat seterusnya dalam surah ini Allah mencela golongan manusia kafir yang tidak mahu membenarkan iaitu beriman dengan Rasul dan Al-Quran yang diturunkanNya.
Firman Allah dalam 15 ayat pada awal Surah Al-Qiyaamah ini seperti yang dipaparkan maksudnya di atas mengandungi kejadian hari kiamat dan ketakutan manusia yang dibangkitkan semula, ketiadaan tempat untuk mereka melarikan diri dan mereka tetap pasti kembali pada Allah jua. Antara perkara-perkara yang Allah jelaskan dan nyatakan ialah:
Pertama, Allah Taala bersumpah dengan hari kiamat (yang tidak dipercayai dan diragui) oleh ramai manusia bahawa ia pasti berlaku. Allah bertanya kepada manusia apakah mereka mengira mereka tidak akan dibangkitkan semula dan dikumpulkan dan dikembalikan kepadaNya. Sesungguhnya perkara ini adalah benar dan mudah bagi Allah Yang Maha Berkuasa.
Kedua, Allah menyatakan kekuasaanNya dalam urusan hari kiamat. Allah berkuasa mengumpulkan tulang belulang dan menyusun jari jemari manusia yang telah mati itu dengan sempurna. Bahkan Allah mengatakan bahawa manusia itu suka membuat maksiat terus menerus.
Ketiga, manusia bertanya "Bilakah hari kiamat itu?". Allah menyatakan bahawa hari kiamat itu ialah suatu hari apabila mata terbelalak kerana ketakutan, iaitu ketakutan atas semua peristiwa yang terjadi pada waktu itu. Saat dan ketikanya ialah apabila bulan telah hilang cahayanya dan apabila matahati dan bulan di kumpulkan.
Keempat, apabila tiba hari kiamat itu nanti, manusia bertanya "kemana tempat lari?" Sesungguhnya pada hari itu manusia tidak dapat lari ke manapun untuk bersembunyi dan menyelamatkan dirinya bahkan hanya kembali kepada Allah jua.
Kelima, pada hari kiamat itu manusia diberitahu mengenai apa yang telah mereka kerjakan dan lakukan semasa hidup di dunia. Ini semestinya meliputi segala kerja dan perbuatan manusia samaada yang baik mahupun yang jahat.
Keenam, pada hari kiamat itulah setiap manusia menjadi saksi ke atas dirinya sendiri. Semua kerja dan perbuatan baik mahupun yang jahat yang telah dilakukan adalah diceritakan oleh anggota badan sendiri . Umapamanya seperti oleh kaki, tangan, mata, telinga dan lain-lain. Sementara mulut manusia tidak dibenarkan berkata-kata untuk menjelaskan pelbagai alasan mempertahankan diri, apa lagi untuk berbohong dan berdusta seperti yang dilakukan semasa hidup di dunia ini.
Apakah sebenarnya Hari Qiamat?
ReplyDelete