MEMOHON AMPUN DAN BERTAUBAT KEPADA ALLAH
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepadaNya. (Jika kau mengerjakan yang demikian ), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberi kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat" (Huud:3)
Firman Allah Taala dalam ayat di atas jelas memerintahkan manusia agar memohon keampunan dan bertaubat kepadaNya. Dengan memohon keampunan dan taubat ini, nescaya Allah akan memberikan kepada manusia itu kenikmatan yang baik iaitu nikmat yang berterusan sehingga suatu waktu yang telah ditetapkan. Allahlah yang menetapkan usia atau waktu bagi setiap manusia dan memberi kurniaan nikmatNya. Allah mementukan ajal maut (kematian), kebangiktan semula dan nasib seseorang pada hari akhirat.
Setiap manusia wajib bertaubat kepada Allah kerana setiap manusia pasti berbuat kesalahan dan dosa walau sekecil mana sekalipun. Apa lagi kalau manusia itu melakukan dosa-dosa besar yang membawa kepada kecelakaan diri menghadapi azab seksa yang amat pedih dan perit, melainkan jika seseorang itu diampunkan oleh Allah.
Bertaubat adalah amat perlu kepada seseorang selagi hayat masih ada dan pintu taubat sentiasa terbuka. Manusia diseru bertaubat dengan taubat nasuha, iaitu dengan benar-benar menyesali diri, berjanji untuk tidak mahu lagi mengulangi perbuatan sesuatu dosa itu, memohon kepada Allah dengan ikhlas dan penuh mengharap keampunanNya. Ada banyak ayat-ayat Allah yang menjelaskan perihal permohonan ampun termasuklah janji Allah untuk memberi keampunan kepada sesiapa yang berusaha membersihkan diri dan mensucikan hatinya.
Orang-orang yang memohon ampun dan bertaubat kepada Allah dengan tulus ikhlas dan mengaku akan segala kesalaan dan dosanya serta berserah diri kepadaNya, insyaallah akan di ampunkan dosa-dosanya dan Allah memberikan balasan baik di dunia dan akhirat.
Sebaliknya, seseorang yang berpaling iaitu yang ingkar tidak mahu memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah dibimbangi akan mendapat balasan azab seksa daripada Allah di akhirat nanti. Keengganan dan ketidakmahuan untuk memohon ampun dan taubat boleh menyebabkan kemurkaan Allah dan orang yang demikian itu adalah durhaka dan menyombongkan diri terhadap Allah.
Para nabil dan rasul Allah tetap memohon keampunan kepadaNya, walaupun mereka semua itu adalah tergolong ke dalam golongan orang-orang yang menjadi pilihan Allah, mempunyai kedudukan yang paling mulia berbanding dengan manusia lain dan telah mendapat jaminan Allah swt. Baik kalau sekiranya kita dapat memahami dan merenungkan dengan minda dan hati budi yang tulus ikhlas mengenai pelbagai cerita dan kisah mereka yang Allah jelaskan dalam Al-Quran yang mulia itu. Semoga kita diberi petunjuk dan hiayah untuk memohon keampunan dan taubat kepadaNya sebelum sampainya saat nyawa kita berada dihujung kerongkong.
No comments:
Post a Comment