Thursday, February 17, 2011

Titisan Tinta Siri 4 - Pembangunan Akhlak

TITISAN TINTA

Akhlak mempunyai peranan dan pengaruh yang amat penting dalam kehidupan kerana ia mencerminkan keperibadian, kepercayaan, pemikiran, sikap, nilai dan tingkahlaku setiap diri manusia, kumpulan, komuniti dan masyarakat. Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan sesuatu masyarakat dan negara bangsa itu bergantung kepada kekuatan-kekuatan pegangan agama, ekonomi, ketenteraan, politik, kepimpinan, dan juga kepada kekuatan akhlak semua warga masyarakatnya.

Kemajuan sesuatu peradaban atau tamadun itu sendiri mempunyai perkaitan erat dengan pembangunn dan kemajuan akhlak masyarakat bangsa itu sendiri. Dalam syairnya Shauqi Bay telah mengungkapkan bahawa  “Sesuatu bangsa itu tetap hidup selama akhlaknya tetap baik, apabila akhlak mereka sudah rosak, musnahlah bangsa tersebut.” Pekara ini tentu dapat dibuktikan dengan kemerosotan dan akhirnya kejatuhan beberapa empayar negara bangsa yang ternama baik dalam dunia Islam mahupun bukan Islam seperti Empayar-empayar Rom, Abbasiyah, Othamaniah, Moghul dan Empayar Melayu Melaka. 

Dalam dunia dan masyarakat moden pada zaman ini, tanpa mengira batas sempadan bangsa dan agama, kita sesungguhnya sedang mengalami krisis kehidupan dan kemanusiaan yang semakin parah. Buktinya ialah dengan peningkatan pelbagai kejadian kezaliman, diskriminasi atau penindasan ras dan agama, neo-kolonialisme, ancaman peperangan, penghapusan etnik, jenayah sosial dan ekonomi, penyeludupan, perdagangan manusia,  rasuah dan lain-lain yang sebahagiannya berkemungkinan besar merupakan agenda dan perancangan pihak-pihak tertentu.

Kejadian semua semua fenomena yang mengancam kehidupan dan manusia itu sendiri adalah merupakan akibat atau impak daripada perubahan hidup seperti perkembangan pengaruh ekonomi kapitalis yang mengutamakan kebendaan, persaingan lebih sengit dalam ekonomi dan kuasa politik antarabangsa, pertentangan ideologi atau agama, pengabaian terhadap pemupukan nilai-nilai murni dan pendidikan akhlak, pengaruh negatif media massa dan teknologi moden dan lain-lain perubahan budaya dan sosial atas nama pembangunan, kemajuan dan pemodenan.

Satu perkara penting yang perlu disedari ialah bahawa proses pembentukan dan pembangunan akhlak adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam masyarakat dan bukanlah hanya kepada pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata. Semua pihak dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab terhadapnya. Diperingkat global dan antarabangsa pula ia adalah menjadi tanggungjawab dan amanah semua kuasa besar politik dan ekonomi dunia, disamping sokongan negara-negara kecil  yang turut serta mewarnai wajah dunia dan kemanusiaannya.

Pada asasnya ada dua bentuk norma yang merupakan sumber rujukan kapada pembangunan akhlak manusia iaitu yang bersandarkan kepada; (a) pegangan dan ajaran agama dan (b) nilai-nilai dan amalan budaya yang berupa tradisi, adat resam dan nilai-nilai hidup yang menjadi amalan sesuatu masyarakat sejak turun temurun. 

Kedua-dua sumber ini menjadi rujukan dalam menentukan konsep, nilai-nilai dan amalan akhlak yang boleh diterima dan dipersetujui atau sebaliknya, akhlak yang baik atau buruk, akhlak terpuji atau keji dan lain-lain yang berkaitan. Oleh itu terdapat perbezaan yang begitu ketara antara agama dan budaya masyarakat yang berlainan dalam membentuk konsep, prinsip, kriteria dan penilaian mengenai istilah akhlak, moral, nilai-nilai murni, nilai-nilai kemanusiaan dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Terdapat perbezaan yang jelas mengenai akhlak antara agama-agama Islam, Kristian, Hindu dan Buddha dan lain-lain serta antara masyarakat atau bangsa-bangsa di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika. 

Namun begitu memang terdapat persamaan antara agama dan masyarakat yang berlainan mengenai nilai dan amalan akhlak yang bersifat sejagat yang dapat diterima umum. Ia merupakan nilai-nilai murni akhlak dan moral yang merentasi sempadan agama dan budaya seperti unsur-unsur kasih sayang, hormat menghormati, kerjasama, persefahaman, kejujuran, kesetiaan, amanah, dedikasi, bertanggung jawab, simpati, terima kasih dan lain-lain. Semua persamaan inilah yang boleh menjadi sumber kekuatan dalam mengukuhkan hubungan baik dan persahabatan antara semua agama, masyarakat, bangsa dan negara yang berlainan dan berbeza.

Konsep dan amalan mengenai pembangunan dan pendidikan akhlak sesungguhnya meliputi pengertian dan skop yang begitu luas dan mungkin amat berbeza mengikut fahaman dan rangka pemikiran tertentu. Apalagi apabila ia hendak diterjemahkan kedalam bentuk aktiviti-aktiviti dan amalan-amalan dalam sistem pendidikan formal, organisasi dan pentadbiran kerajaan dan swasta. Tentu timbul pelbagai perbezaan pendapat dalam usaha merealisasikan pemikiran, sikap, nilai dan amalan akhlak yang dapat dipersetujui sebagai baik secara menyeluruh dan bersepadu. 

Akhlak secara ringkasnya dapat diertikan sebagai adab iaitu budi bahasa, adat sopan, etika, kesusilaan, meliputi semua tingkahlaku atau perbuatan baik yang boleh diterima umum. Pada tingkatan atau tahap yang lebih tinggi ia merupakan semua sikap dan tingkahlaku mulia dan terpuji sebagaimana keperibadian dan perbuatan Rasulullah s.a.w. Agama Islam sendiri mempunyai pengertian dan asas-asas tertentu dalam membentuk dan mengembangkan akhlak individu dan seluruh warga masyarakatnya. Kita singkap perkara ini dalam Titisan Tinta Siri 5 nanti.

No comments:

Post a Comment