Monday, February 21, 2011

RENUNGAN MINDA HATI BUDI

TITISAN TINTA - SIRI  5

KEUTAMAAN AKHLAK YANG BAIK

Akhlak yang baik adalah asas bagi kehidupan semua manusia. Akhlak secara ringkasnya dapat dimaksudkan sebagai adab, budi pekerti, kesopanan dan tingkahlaku yang baik. Bagi orang Islam akhlak yang baik adalah merupakan perintah Allah s.w.t. Satu-satunya contoh teladan manusia agung, mulia dan terpuji akhlaknya adalah Baginda Rasulullah s.a.w. Marilah sama-sama kita memahami, meneliti dan menghayati akhlak yang baik agar hidup kita semua mendapat rahmat dan perlindungan Allah s.w.t. di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Dalam kehidupan moden pada hari ini kita semua sedang menghadapi krisis kemanusiaan dan keruntuhan akhlak yang semakin parah. Krisis kemanusiaan dan krisis sosial ternyata bermula dengan kemerosotan, kelemahan dan kejatuhan akhlak di kalangan hampir seluruh umat manusia melewati bangsa, agama dan budaya. Tindakan-tindakan penzaliman, diskriminasi, penindasan, pencerobohan, penjajahan, jenayah, penyeludupan dan lain-lain semuanya sedikit sebanyak mencerminkan kejatuhan dan kemerosotan akhlak. Semua ini berlaku di semua peringkat - global atau antarabangsa, negara, organisasi atau komuniti yang lebih kecil di dunia Islam dan bukan Islam.

Biar apapun, persoalan ini mestilah ditangani dan diselesaikan dengan penuh amanah, tanggungjawab dan kebijaksanaan oleh semua pihak dalam masyarakat global atau antarabangsa atau sesebuah negara. Amalan akhlak yang baik mestilah menjadi agenda penting bagi menghadapi kehidupan moden globalisasi yang penuh cabaran dan persaingan sengit ini. Para pemerintah, pemimpin, ulama, ilmuan, pendidik, budayawan, aktivis masyarakat dan ibu bapa bahkan semua pihak dalam sesebuah negara dan masyarakat sesungguhnya memikul amanah, tanggungjawab, peranan dan pengaruh masing-masing yang sekaligus dapat membentuk, memupuk dan membina akhlak yang baik.

Berikut ini saya perturunkan beberapa petikan firman Allah s.w.t. dan hadis Rasullullah s.a.w. untuk renungan minda hati budi kita bersama. Kemerosotan dan kejatuhan akhlak inilah satu-satunya penyakit kehidupan dan kemanusiaan yang sedang mengancam kita di mana jua.  

PERTAMA, akhlak yang baik menurut ajaran Islam adalah merupakan perintah Allah s.w.t sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran dan diamalkan oleh manusia agung Rasulullah s.a.w. Seseorang mukmin yang mempunyai akhlak yang baik pasti mendapat kemuliaan, kedudukan dan ganjaran samaada di dunia atapun di akhirat kelak. Baginda s.a.w. bersabda dengan membawa maksud  "Akhlak yang baik adalah ciptaan Allah s.w.t.yang teragung"

KEDUA, Baginda Rasulullah s.a.w. merupakan seorang manusia dan rasul pilihan Allah s.w.t. yang mempunyai akhlak yang paling agung, sempurna, mulia dan terpuji. Allah s.w.t. memuji Baginda dengan firman-Nya   ".dan sesungguhnya engkau benar-benar berakhlak agung" (Al-Qalam: 4) Baginda s.a.w. pernah bersabda dengan maksud  "Sesungguhnya aku hanyalah diutus demi menyempurnakan akhlak yang mulia"  Dengan itu satu tugas kerasulan yang penting ialah mengembangkan akhlak yang baik dikalangan umatnya.

KETIGA, setiap mukmin yang mempunyai akhlak yang baik pasti mendapat tempat dan balasan disisi Allah s.w.t. sebagimana dinyatakan dalam sabda Baginda s.a.w. bermaksud  "Sesuatu yang pertama kali akan diletakkan di atas meraca atau mizan pada Hari Kiamat adalah akhlak yang baik dan kedermawanan" dan bersabda lagi dengan maksud  "Timbangan yang paling berat dari apa yang diletakkan di atas neraca Hari Kiamat kelak adalah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik"

KEEMPAT, Baginda s.a.w. sangat mencintai orang yang berakhlak mulia dan bersabda dengan maksud "Sesungguhnya yang paling kucintai diantara kamu dan paling dekat tempat duduknya denganku, pada Hari Kiamat adalah yang paling baik akhlaknya."

KELIMA, setiap mukmin yang mempunyai akhlak yang baik adalah tinggi darjatnya disisi Allah s.w.t. Dalam hal ini Baginda s.a.w. bersabda dengan maksud "Kemuliaan diri seorang mukmin adalah agamanya, sedangkan ketinggian darjatnya adalah dalam kebaikan akhlaknya, kesatriaan dan kelurusan akalnya".

Setiap petikan dan fakta yang saya paparkan secara ringkas ini tentu boleh diperjelaskan dan dikupas dengan panjang lebar dan mendalam lagi. Ini hanyalah sekadar selayang pandang mengenai apa yang dimaksudkan dengan keutamaan akhlak yang baik yang telahpun difirmankan Allah sw.t. dan sabda  ungkapan Baginda Rasulullah s.a.w. Semoga kita terus mencari dan menggali persoalan ini bak permata yang semakin pudar di telan zaman dengan niat untuk mendapat nikmat dan keredhaan-Nya jua. Salam sejahtera kepada anda semua.

No comments:

Post a Comment