Saturday, October 1, 2011

GETARAN JIWA - MELAYU SUDAH LUPA

MELAYU SUDAH LUPA
I
Apakah kita Melayu abad  21 kini
pewaris ketuanan dan kedaulatan sejati
sudah lupa diri  tidak ingat lagi
sejarah perjuangan gigih pertiwi
hampir lima abad lamanya
bumi kaya raya dan bangsa kita
dalam genggaman cengkaman rakus
penjajah durjana
Portugis – Belanda –Inggeris
bermaharaja lela…..

Kapitalisme kaut keuntungan
entah berapa trilion banyaknya
habis kikis khazanah bangsa
datuk nenek moyang kita
diherdik dihina dicerca
miliki bumi sekangkang kera
bahasa dan budaya bangsa
ditolak dipinggirkan jauh ke sana
bangsa kita jadi rakyat kelas tiga
II
31 ogos 57
Ayah ibu datuk nenek kita
kibarkan Jalur Gemilang gagah megah
MERDEKA, MERDEKA,MERDEKA!
bergema ke seluruh dunia
 gugurlah air mata
syukur damai bahagia
tersirat beribu erti dan makna
kita kurang mengerti
apatah lagi saksikannya                                                                        

III
Lima dekad telah berlalu
ayah ibu kaum kerabat dan kita juga
mengisi dan memelihara
kemerdekaan murni  ini
kecil besar miskin hina papa kedana
gigih bersama suka duka
keringat darah dan air mata
bangunkan agama bangsa negara

Berjuang wira pahlawan bangsa
gugur di bumi tercinta ini
mereka hayati darah satria
Dol Said - Tuk Janggut - Tuk Bahaman - Mat Kilau
siapakah satria  siapakah wira?
dah kenal tapi tak cinta
bangsa sendiri perlekehkannya
petualang dan penderhaka
tak layak digelar wira
IV
Apakah kini kita mampu
jadi bangsa kelas dunia
hadapi kemelut saingan globalisasi
cengkaman keras liberalisasi
harungi gelombang kerenah punah ict
apakah nanti anak cucu cicit kita
mampu berdiri gagah megah
seteguh seutuhnya
Titiwangsa
atau Melayu ini meyerah kalah
rebah tersungkur
di bumi tercinta ini
tidak berdaya lagi!

Kelana Putra  
Bandar Hilir, Melaka  
25 September 2011  
Ahad 27 Syawal 1432

No comments:

Post a Comment