Sunday, April 24, 2011

TITISAN TINTA - SIRI 12

SIFAT-SITAT TERPUJI: SABAR

Sabar ialah salah satu sifat terpuji (Mahmudah)  yang mempunyai keutamaannya tersendiri disisi Allah Taala. Secara ringkasnya sabar itu ialah kemampuan seseorang untuk menahan dirinya terhadap sesuatu khususnya dalam mentaati perintah dan menjauhkan larangan Allah SWT.

Terdapat banyak firman Allah SWT mengenai sabar dan perkara yang berkaitan dengan sifat sabar. Sebahagian daripada darjat-darjat kemuliaan dan kebajikan teah dihubungkan dengan sifat sabar dan dijadikan sebagai balasan bagi sifat ini dan orang-orang yang bersifat dengannya.  Dalam surah Al-Bakarah ayat 155 hingga 157 Allah SWT berfirman
"Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa kesusahan, mereka berkata "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayahNya."
Ayat-ayat ini dengan jelas menunjukkan ujian Allah SWT terhadap manusia berupa perasaan takut, kesulitan dan kesusahan tertentu. Namun kepada orang-orang yang bersabar Allah SWT minta disampaikan berita gembira aitu mereka akan memperoleh  pelbagai kebajikan, rahmat dan petunjuk hidayahNya.



Dalam surah Al-Zumar ayat 10 Allah SWT menyeru kepada Nabi Muhammad SAW dengan firmannya "Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu), "Wahai hamba-hambaKu yang beriman. Bertawakallah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas. Sehingga orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."
Baginda SAW  bersabda menceritakan megesifat sabar dan antaranya  ialah:

"Sabar itu adalah setengah keimanan"

"Sabar itu satu perbendaharaan daripada perbendaharaan syurga."

Persoalanya ialah: Mengapa kita perlu bersifat  sabar dan apakah tahap atau tingkat kesabaran kita itu?

Sabar ialah sebahagian daripada keimanan dan ia merupakan satu sifat yang amat diperlukan untuk menjalani hidup dalam semua masa, tempat dan keadaan. Sifat sabar akan memastikan diri setiap muslim mendapat rahmat dari Allah Taala di dunia dan di akhirat. Para Nabi dan Rasul menghadapi ujian yang amat getir berupa ancaman perang, penentangan, kesusahan dan kesulitan yang menguji keimanan, ketaatan dan kesabaran masing-masing 

Perkara ini diterangkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran seperti dalam riwayat Nabi Noh, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. Semua Nabi dan Rasul ini telah dimusuhi dan ditentang hebat  oleh kaum-kaum mereka sendiri dalam usaha menegakkan perintah dan agama Allah. Mereka menghadapinya dengan tahap keimanan, kebijaksanaan dan kesabaran yang paling tinggi.

Sifat sabar mempunyai pengertian yang luas dan berkait secara langsung dengan keimanan kepada Allah SWT. Imam Al-Ghazali memberikan penjelasan terperinci mengenai sifat sabar ini dengan  membahagikannya tkepada tiga bahagian iaitu:

Bahagian pertama, Yang berkaitan dengan sabar atas ketaatan dan atas maksiat. (a) Sabar atas ketaatan iaitu menyentuh soal-soal dalam mengerjakan perintah Allah seperti taat dan sabar dalam mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan lain-lain perintah wajib. Dalam urusan mengerjakan haji dan keluar untuk berjihad ke medan perang misalnya kita memerlukan kesabaran yang  begitu tinggi.
(b) Sabar atas maksiat iaitu kekuatan diri untuk mengawal dan menahan hawa nafsu dan anggota dari melakukan perbuatan maksiat seperti mengumpat, berbohong, riya', suka dipuji dan berbagai perkara lain.

Bahagian kedua - Yang tiada berkaitan dengan ikhtiar, tetapi ia boleh berikhtiar untuk menolongnya. Contohnya ialah kesabaran dalam menghadapi perbuatan atau perkataan, atau dianiayai dirinya atau hartanya. Maka orang itu bersabar dan tidak menuntut balas atas perbuatan itu. Sifat sabar seumpama ini adakala menjadi wajib dan adakala menjadi lebih utama. Allah SWT sebenarnya memuji orang yang sabar, mengambil sikap mengalah dan suka memaafkan.

Firman Allah SWT mengenai hal ini ialah "Jika kamu membalas, maka hendaklah kamu membalas setanding dengan penyiksaan yang ditimpakan ke atas kamu,  tapi jika kamu bersabar (memaafkan), sesungguhnya itulah yang terbaik bagi orang-orang yang bersabar." (an-Nahl: 126)

Bahagian Ketiga, Yang tiada kaitan dengan lingkungan ikhtiar sama sekali seperti ditimpa berbagai jenis musibah. Misalnya kematian, kemalangan, kemusnahan harta benda, kecederaan anggota dan lain-lain bala bencana atau mala petaka yang ditentukan Allah SWT. Semua kecelakaan yang menimpa ini sebenarnya satu ujian yang akan mengukur makam (darjat) kesabaran seseorang hamba.

Ringkasnya kesabaran itu ialah satu sifat dan  kekuatan diri anugerah Allah SWT yang tetap memberikan banyak faedah mujahadah  (memburu hawa nafsu) untuk kebaikan diri dalam kehidupan dunia dan agama. Sebagai orang Mukmin kita  amat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi untuk melawan sifat-sifat keji yang bersarang dalam hati dan dilakukan oleh anggota badan kita sendiri.

Orang Mukmin yang sejati sebenarnya hidup dengan  sifat-sifat sabar dan syukur dalam semua ketika dan keadaan iaitu semasa berada dalam nikmat dan juga  semasa dalam kesusahan dan kesulitan termasuklah bala bencana. Bagi orang Mukmin kedua-dua keadaan ini adalah baik belaka sebagaimana sabda Baginda SAW bermaksu "Amat pelik bagi urusan orang Muslim. Sesungguhnya segala urusannya baik belaka. Tidak mungkin didapati pada sesiapapun kecuali bagi orang Mukmin. Sekiranya ia mendapat sesuatu kebaikan maka ia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya. Ketika ia ditimpa bencana ia bersabar. Itu adalah baik baginya."

Satu lagi sabda Baginda SAW yang ingin saya jadikan penutup siri ini yang bermaksud "Tiga macam, siapa yang mendapatkannya ia telah mencapai kebaikan dunia akhirat.  Redha pada qadha dan takdir, sabar atas bala ujian dan berdoa di waktu senang".

Sekian salam sejahtera, wassalam.





1 comment:

  1. SABAR ialah salah satu sifat terpuji yang amat disukai oleh Allah SWT. dan seseorang yang bersabar dalam menjalankan semua perintah-Nya dan sabar dalam meninggalkan larangan-Nya akan dianugerahkan dengan keampunan dan pahala yang besar.

    ReplyDelete